{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Projek ECER ubah nasib peserta

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

Oleh AIMUNI TUAN LAH
utusankelantan@utusan.com.my

GUA MUSANG 30 Mei - Projek Agropolitan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dijalankan di Rantau Manis di sini mampu meningkatkan pendapatan setempat selaras dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Nor Azma Abdul Rahman berkata, projek tersebut diyakini mampu mengubah nasib peserta berikutan terdapat pelbagai peluang pekerjaan baharu untuk kumpulan sasar iaitu golongan miskin tegar.

Katanya, projek yang menekankan pertumbuhan ekonomi luar bandar melalui aktiviti pertanian dan industri asas tani itu memberi peluang kepada peserta bekerja di ladang kelapa sawit dan pusat semaian koko selain menjana pendapatan sampingan dengan mengusahakan kebun dapur berhampiran rumah.

"Peserta digalak memaksimumkan penggunaan tanah di sekitar laman rumah dengan menjalankan aktiviti pertanian bagi menambah pendapatan seharian.

"Dengan bekerja di ladang kita (ECER), peserta mampu memperoleh pendapatan sekitar RM1,300 hingga RM2,000 sebulan termasuk jika kebun dapur membuahkan hasil," katanya kepada pemberita ketika sesi lawatan media ke Projek Agropolitan ECER Rantau Manis di sini baru-baru ini.

Projek Agropolitan ECER yang bermula pada 2009 kini mempunyai 325 peserta iaitu 266 dari Gua Musang, Kuala Krai (54 peserta) dan Jeli (lima peserta).

Manakala 300 buah rumah lagi sedang dibina dan dijangka siap menjelang tahun depan.

Selain memberi kemudahan perumahan dan peluang pekerjaan, projek ini turut menyediakan kemudahan infrastruktur seperti rumah pekerja, rumah kedai, tadika, surau, dewan orang ramai, gelanggang futsal dan sebuah sekolah yang sedang dibina.

Sementara itu, rata-rata peserta yang terpilih mengikuti projek ECER terbabit mengakui pendapatan dan kehidupan mereka lebih teratur berbanding dahulu.

Menurut peserta, Saadiah Saamah, 50, dahulu kehidupannya terumbang-ambing namun semuanya baik setelah dia mengikuti program tersebut.

Ibu tunggal kepada tujuh anak itu berkata, kebun koko yang diusahakan di belakang rumah yang mula mengeluarkan hasil sejak setahun lalu juga banyak mengubah nasib mereka sekeluarga.

"Pada waktu pagi, saya bekerja di pusat semaian koko dan sebelah petang saya menumpukan tanaman sampingan koko yang mampu mengeluarkan hasil sehingga 30 kilogram setiap kali jualan," katanya.

Bagi seorang lagi peserta, Naemah Naim, 33, kehidupan sebelum ini yang diibaratkan seperti kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang itu telah berubah dan kehidupannya kini lebih terjamin.

"Jika dahulu saya sering memikirkan bagaimana mahu bayar sewa rumah dan menyara kehidupan kami anak-beranak setiap hari, namun kini tidak lagi.

"Bukan sahaja memberi peluang pekerjaan, malah pihak pengurusan juga turut memberi tempat kediaman yang mempunyai tanah lapang untuk mengusahakan kebun sendiri bagi meningkatkan pendapatan sekeluarga," katanya.

Seorang lagi peserta, Che Zahar Che Mamat, 39, turut mengucapkan terima kasih kepada agensi kerajaan seperti pihak ECER dan Kesedar yang membantu mereka yang rata-ratanya terdiri daripada golongan miskin tegar.

=

Rumah terbakar, buruh tinggal sehelai sepinggang

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

PASIR MAS 30 Mei - Seorang buruh tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Banggol Ara, dekat sini terbakar petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu berlaku ketika mangsa, Ahmad Rosdi Mat Nor, 39, tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Ahmad Rosdi berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas diberitahu oleh penduduk kampung.

Menurutnya, dia terus bergegas pulang ke rumah yang hanya terletak kira-kira 300 meter dari tempat kerjanya.

"Ketika sampai, rumah saya sudah hangus terbakar. Saya hanya mampu melihatnya dari jauh tanpa sempat berbuat apa-apa kerana api marak dengan begitu pantas.

"Inilah satu-satunya rumah peninggalan ibu dan menjadi tempat saya berteduh daripada hujan dan panas," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ahmad Rosdi memberitahu, buat masa ini dia terpaksa menumpang di rumah jiran sambil mengharapkan bantuan daripada pelbagai pihak.

Katanya, pendapatannya yang tidak menentu menyulitkan hasratnya untuk membina semula rumah tersebut.

"Pendapatan saya hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian. Sepanjang tinggal di rumah berkenaan, saya terpaksa bergelap kerana tiada bekalan elektrik," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira pukul 6.46 petang.

Katanya, seramai lima anggota dan sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Punca masih lagi dalam siasatan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM30,000," ujarnya.

Transformasi stesen minyak Petronas diperhebat

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

MOHD. Shobri Abu Bakar (kanan) mengisi minyak keluaran terbaharu di stesen minyak Petronas Wakaf Baru, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 30 Mei - Petronas Dagangan Berhad (PDB) akan terus menjalankan transformasi perniagaan runcitnya dengan meningkatkan jumlah stesen minyak di seluruh negara yang berfungsi sebagai stesen sehenti bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan.

Pengurus Besar Bahagian Bekalan dan Pengedarannya, Mohd. Shobri Abu Bakar berkata,langkah menaik taraf itu seiring dengan pertambahan berterusan stesen minyak termasuk 40 stesen baharu yang disasarkan di seluruh negara tahun ini.

"Dari segi perniagaan keseluruhan, PDB sememangnya menguasai pasaran tetapi dari segi jumlah stesen minyak yang ada, kita masih di tangga kedua dan kita menyasarkan berada di tangga pertama bersama dengan konsep baharu yang ditawarkan kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Petrol Baharu, Petronas Primax 95 dengan Advanced Technology Formula bagi Pantai Timur di stesen minyak Petronas Wakaf Baru di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Syamsul Badrin Mohshin; Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Hasnan Abdullah dan Pengurus Runcit PDB Wilayah Timur 1, Mohd. Habibul Rahman Abdul Samad.

Menurut Mohd. Shobri, dengan kerjasama syarikat rakan kongsi, stesen minyak akan menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada pelanggan dan bukan sekadar mengisi minyak sebagaimana pendekatan tradisi.

"Di sesetengah stesen kini disediakan restoran makanan segera, kafe, pasar mini, di samping ada juga menyediakan bengkel servis dan membersih kenderaan selain sebagai wakil pos dan perkhidmatan perbankan," katanya.

Sehingga kini, katanya, terdapat 151 stesen minyak Petronas di Pantai Timur di mana 75 daripadanya di Pahang, 40 Terengganu dan 36 di Kelantan.

Sementara itu ketika berucap pada majlis tersebut, Mohd. Shobri yakin petrol baharu yang dihasilkan daripada teknologi perlumbaan Formula Satu mampu meyakinkan lebih ramai pengguna.

"Petronas Primax 95 baharu membersihkan enjin untuk mengoptimumkan penghantaran petrol, menghasilkan semburan lebih halus bagi menambah baik pembakaran dan perlepasan tenaga.

"Ia juga mengurangkan geseran untuk meminimumkan kehilangan tenaga dan seterusnya menghasilkan penjimatkan petrol. Ketiga-tiga fungsi ini bergabung untuk memberikan kecekapan petrol yang lebih hebat kepada pengguna," katanya.

Katanya, kejayaan ini hasil komitmen berterusan terhadap kejuruteraan dan menjadi salah satu bukti kejayaan perkongsian strategik antara jurutera Petronas dengan pasukan Formula Satu, Mercedez AMG Petronas.

Menurut beliau, pelaburan Petronas dalam sukan lumba kereta dunia ituternyata bermakna apabila teknologi yang terus dipertingkat dan digunakan sebagai kemuncak kepada ujian prestasi sebenar diserapkan dalam kenderaan awam.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat