Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Legasi kehakiman Sultan Azlan Shah Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT Oleh Salleh Buang SULTAN Azlan Shah diiringi Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi bersalaman dengan Ketua Hakim Singapura, Datuk Seri Chan Sek Keong selepas Almarhum baginda berkenan mencemar duli ke Majlis Syarahan Undang-undang ke-23 di Kuala Lumpur, pada 2009. SEBELUM Almarhum Sultan Azlan Shah naik takhta sebagai Sultan Negeri Perak, Almarhum sudah lama berkhidmat dalam perkhidmatan kehakiman negara dari peringkat paling bawah (Majistret Kelas I) hinggalah peringkat paling tinggi selaku Ketua Hakim Negara. Saya tidak pernah berkhidmat di bawah baginda, juga tidak berpeluang berinteraksi dengannya sewaktu Almarhum memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan jawatan-jawatannya yang lebih tinggi. Sewaktu Almarhum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1965 (pada usia 37 tahun), saya belum pun menjejak kaki di Lincoln's Inn London, di mana Almarhum menamatkan pengajian undang-undangnya pada 1954. Pada 1973, bila Almarhum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan, saya baru sahaja berkhidmat di Jabatan Peguam Negara selama tiga tahun. Bila Almarhum dinaikkan pangkat ke jawatan Hakim Besar Malaya pada 1979, saya sudah pun meninggalkan Jabatan Peguam Negara untuk mencuba nasib sebagai Peguambela dan Peguamcara. Akhir sekali bila Almarhum sampai ke kemuncak kerjayanya, di lantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 November 1982, saya sudah pun bersiap sedia berhijrah ke menara gading. Walaupun saya tidak berkesempatan mengenali Almarhum Sultan Azlan Shah dari dekat (berbeza dengan nasib saya dapat kenal rapat dengan Allahyarham Tun Suffian Hashim dan Tun Salleh Abas, kedua-duanya mantan Ketua Hakim Negara) namun kata-kata bijaksana yang diucapkan oleh Almarhum selaku hakim terus dekat di hati saya. Begitu banyak sekali penghakiman Almarhum baginda sebagai hakim yang saya rujuk, sebut, komen dan perjelaskan - dalam buku, monograf, rencana, kuliah, syarahan umum dan bengkel undang-undang yang saya kendalikan dari semasa ke semasa. Pendek kata, saya berani menyatakan dengan penuh yakin bahawa selagi ada rakyat negara ini yang mempelajari ilmu undang-undang, berkarya sebagai pengamal undang-undang, turun-naik mahkamah mewakili anak guamnya, Almarhum Sultan Azlan Shah akan kekal hidup dan terus bercakap menerusi penghakimannya kepada semua - pelajar, warga peguam dan hakim-hakim kita. Legasinya yang tidak ternilai akan terus bermakna dan dimanfaatkan. Salah satu kes terpenting dalam perundangan tanah negara yang diputuskan oleh Almarhum sebagai hakim bicara adalah kes Sidek & 461 Ors lwn. Kerajaan Negeri Perak [1982] 1 MLJ 313, yang melibatkan penerokaan kawasan hutan dekat Teluk Intan oleh sekumpulan rakyat yang tidak bertanah. Plaintif dalam kes ini merupakan perintis (kumpulan pertama) yang menerokai kawasan hutan itu, diikuti oleh ramai lagi selepasnya. Walaupun pada mulanya plaintif diberi maklum bahawa kumpulannya akan dikurniakan tanah di kawasan yang mereka terokai itu, akhirnya hajat mereka tidak kesampaian. Dalam kes ini, isu utama yang perlu diputuskan oleh hakim bicara adalah status setinggan dalam undang-undang negara. Di akhir perbicaraan, Almarhum (selaku hakim bicara) memutuskan bahawa; "Setinggan tidak ada apa-apa hak di sisi undang-undang atau pun ekuiti". Keputusan Almarhum ini terus diikuti dan dipetik oleh begitu ramai sekali hakim lain selepasnya apabila ada sahaja kes setinggan sampai ke mahkamah. Satu lagi keputusan Almarhum yang tidak boleh saya lupakan adalah kes Roberts lwn. Ummi Kalthom [1966] 1 MLJ 163. Ketika Almarhum mendengar kes ini, baginda baru sahaja memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi. Isu utama dalam kes ini berkisar kepada hak seorang suami terhadap harta (sebidang tanah) yang didaftarkan atas nama isteri, selepas pasangan itu bercerai. Plaintif dalam kes ini ialah seorang bukan Melayu tetapi telah memeluk agama Islam sebelum berkahwin dengan defendan. Penghakiman Almarhum dalam kes ini merupakan permulaan undang-undang harta sepencarian moden, yang selepas itu terus dikembangkan oleh hakim-hakim lain. Kini kes-kes harta sepencarian tidak lagi dibicarakan di mahkamah sivil kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Namun kes Ummi Kalthom terus menjadi salah satu kes rujukan penting mengenai harta sepencarian. Peluang tunggal untuk saya bertemu dengan Almarhum timbul apabila saya selesai melaksanakan satu tugas berat untuk Yayasan Tun Suffian. Sekitar 2005 saya diminta oleh yayasan itu menulis sebuah buku ilmiah mengenai kerjaya Allahyarham Tun Suffian semenjak tokoh tersohor itu dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi sehinggalah selepas dia bersara daripada jawatannya sebagai Ketua Hakim Negara. Saya terima tugas berat itu dengan sukarela kerana saya memang kenal beliau semasa hayatnya. Setelah buku itu siap dicetak pada 2007, saya dimaklumkan bahawa projek penerbitan Yayasan Tun Suffian (karya saya) itu akan dilancarkan dengan rasminya oleh Sultan Azlan Shah. Peristiwa paling bermakna itu berlangsung di Carcosa Seri Negara Kuala Lumpur, turut dihadiri Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim (ketika itu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan), Tun Mohamed Dzaidin (mantan Ketua Hakim Negara, selaku Pengerusi Yayasan Tun Suffian) dan Tunku Datuk Dr. Sofiah Jewa (pengasas Yayasan Tun Suffian). Itulah kali pertama saya diberi penghormatan duduk di atas pentas bersama Almarhum Sultan Azlan Shah (serta orang kenamaan yang saya sebutkan di atas tadi), sebelum buku mengenai Tun Suffian itu dilancarkan dengan rasminya oleh baginda. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Almarhum. Amin. PENULIS ialah penganalisis undang-undang. |
Memagar Serambi Mekah daripada pil kuda, kenduri seks Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT Oleh Azran Fitri Rahim SEBAIK sahaja media melaporkan mengenai 'kenduri seks' yang membabitkan gadis sunti berusia 15 tahun dirogol lebih 30 lelaki di Ketereh, Kota Bharu pada 28 Mei lalu, ada yang bertanya adakah ia benar-benar berlaku. Malah ada yang menyatakan jika betul ia berlaku sudah pasti kes ini adalah rekod baharu yang boleh dimuatkan dalam Malaysia Book of Records. Ya, memang benar ada kewajaran untuk mempertikaikan perkara tersebut kerana ia adalah suatu perkara yang tidak normal dan tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran. Namun jika direnung kembali isu tersebut bukan sahaja membabitkan jumlah perogolnya tetapi ia membawa persoalan yang lebih besar dalam kehidupan sosial masyarakat di negara ini khususnya di Kelantan. Secara jujur, penulis merasa amat malu untuk melaporkan tentang tragedi ini kerana ia berlaku dalam negeri Serambi Mekah tetapi biar sepahit mana sekali pun kebenaran ini harus didedahkan kepada khalayak sebagai pengajaran dan sempadan hidup. Justeru itu, perkara pertama yang perlu ditelaah semua pihak terutama kerajaan dan masyarakat ialah punca kejadian itu. Jangan lupa, statistik menunjukkan kes rogol di bawah umur di Kota Bharu amat membimbangkan, 21 kes dalam tempoh lima bulan. Ini baru satu daerah tidak dicampur dengan daerah-daerah lain di negeri ini. Satu angka yang amat menakutkan! Daripada pemikiran yang mudah, hanya ada dua punca kejadian itu berlaku. Pertama, dadah dan kedua, sikap ibu bapa. Namun tidak dapat dinafikan masih ada punca-punca kecil lain yang boleh menyebabkan ia berkembang menjadi besar. Penduduk di negeri ini amnya mengetahui masalah dadah terutama pil kuda telah menjadi barah utama dalam masyarakat terutama generasi muda. Biar sekuat mana operasi membanteras musuh nombor satu negara ini diadakan, ia tetap mara ke hadapan seolah-olah tiada siapa yang mampu menghalangnya. Dadah jenis sintetik ini menjadikan seseorang itu seperti mayat hidup, hanya jasad yang bergerak tetapi otak entah ke mana. Pengambilnya sanggup melakukan apa sahaja hatta perkara yang dianggap tidak normal oleh manusia biasa - mungkin lebih dahsyat daripada zombie. Justeru tidak pelik sekiranya mayat-mayat hidup ini sanggup 'memperkudakan seorang gadis berusia 15 tahun beramai-ramai tanpa merasa jijik dan bersalah kerana akal sudah hilang daripada jasad. Punca kedua, ialah ibu bapa. Soalan asas, ke mana, di mana dan dengan siapa anak kita berada? Ia harus sentiasa berada dalam pemikiran setiap ibu bapa bagi mewujudkan rasa 'curiga' demi kebaikan zuriat kita. Benar, dunia hari ini menuntut ibu bapa bekerja kuat demi survival hidup namun anak-anak adalah harta yang tiada tolak bandingnya yang harus ditatang sehingga mereka benar-benar dewasa untuk mengenal erti dunia. Bagaimanapun dua punca ini ada penawarnya. Pertama, Kelantan terletak di sempadan dengan Thailand. Jarak yang memisahkan di antara kedua-dua negara hanya sekangkang kera. Statistik juga menunjukkan Kelantan antara negeri tertinggi mencatatkan jumlah penagih dadah baru dan jumlah penghidap HIV. Di sini pintu dadah dibawa masuk. Pintu ini harus ditutup dengan rapat. Justeru itu, cadangan kerajaan untuk membina tembok mahupun pagar di kawasan sempadan harus disegerakan sekiranya mahu melihat anak bangsa terutama Melayu Islam tidak terus rosak. Tidak dapat dinafikan banyak perkiraan harus dibuat untuk menutup pintu ini. Kerajaan Pas Kelantan memikirkan undi yang akan hilang disebabkan penduduk di sempadan marah kerana pintu rezeki mereka ditutup. Kerajaan Pusat pula memikirkan kos ratusan juta yang perlu dilaburkan. Tetapi kebaikannya amat besar demi generasi akan datang. Pagar atau tembok harus dibina secepat mungkin. Kedua, adalah ibu bapa dan masyarakat. Ini kunci azimat untuk menutup segala jendela kemaksiatan. Semuanya bermula di rumah. Masyarakat juga harus cakna dengan persekitaran mereka dan bukan hanya menyerahkan kepada polis atau kerajaan untuk menyelesaikan setiap isu sosial. Pihak berkuasa khususnya Polis Kelantan telah melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang, statistik jenayah semakin menurun. Cuma ada satu dua kes yang menyakitkan hati. Kini menjadi tugas semua anggota masyarakat bermula daripada keluarga sehingga ke pemimpin tertinggi untuk memasang 'pagar' mengelakkan anak-anak muda terjebak dengan masalah sosial. Terakhir, mungkin sudah sampai masanya hukum hudud dilaksanakan secepat mungkin di negeri ini bagi mewujudkan rasa gerun kepada pelaku jenayah. Harap-harap tiada lagi berita kenduri seks atau rogol yang terpaksa dilaporkan di dada akhbar selepas ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |