{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Admin

Utusan Online - Utara


PenBEX sasar 100,000 pengunjung

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh azeli ali
utusanpenang@utusan.com.my

MUHAMMAD Farid Saad menunjukkan poster Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang dalam sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam. - Utusan/AZMAN ASMAYATIM

PULAU PINANG 28 Mei - Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (PenBEX) menyasarkan 100,000 pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM2 juta sepanjang sembilan hari pameran yang diadakan di Dataran Transformasi Usahawan, Kubang Menerong dekat Tasek Gelugor di sini.

Ekspo yang akan bermula dari 31 Mei hingga 8 Jun itu bakal mempromosikan produk hasil keluaran usahawan tempatan di negeri ini.

Pengerusi Kumpulan Sasar Pembangunan Usahawan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP), Muhammad Farid Saad berkata, sasaran itu tidak mustahil dicapai kerana pada tahun lalu PenBEX berjaya mengutip hasil jualan sebanyak RM1.4 juta dengan bilangan pengunjung mencecah 85,000.

"PenBEX berjaya membantu mempromosi dan menggalakkan rangkaian pemasaran produk dalam kalangan usahawan bumiputera terutama dari Pulau Pinang serta rakan strategik perniagaan di luar negara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan banyak lagi.

"Melalui seminar yang diadakan ketika ekspo ini, usahawan juga berpeluang menerokai peluang perniagaan baharu di dalam dan luar negara serta diberi pendedahan meluas mengenai membina rangkaian perniagaan mereka," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Majlis pelancaran PenBEX 2014 akan disempurnakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Shabudin Yahaya pada 31 Mei ini.

Sebanyak 382 ruang pameran disediakan sepanjang PenBEX meliputi ruang berhawa dingin atau tidak berhawa dingin selain ruang auto, spa dan pasar tani.

Selain itu terdapat juga peniaga dari negara luar seperti Aceh, Indonesia, Satun di selatan Thailand dan Kemboja yang akan turut serta dalam ekspo itu.

"Peniaga atau usahawan yang hadir bukan sahaja dari Pulau Pinang malah dari negeri sekitar seperti Perak, Kedah, Perlis dan Kelantan.

"Melalui PenBEX juga kita berhasrat untuk melahirkan lebih ramai jutawan yang terdiri daripada usahawan Melayu di negeri ini," katanya.

Karnival Amal Hari Penyayang 2014 Jumaat, Sabtu ini

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

MOHD. Shukri Hamad (dua dari kiri) menerima replika cek daripada Syed Unan Mashri Syed Abdullah bagi tajaan akhar Utusan Malaysia sempena Karnival Amal Hari Penyayang di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 28 Mei - Orang ramai di sekitar utara tanah air dijemput untuk memeriahkan Karnival Amal Hari Penyayang 2014 anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di pekarangan Stadium Darul Aman dekat sini pada Jumaat dan Sabtu ini.

Pengerusi Karnival Amal Hari Penyayang 2014, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, acara bertujuan untuk mengumpul dana bagi membiayai projek Titian Bistari yang memerlukan perbelanjaan hampir RM1.2 juta setahun.

Katanya, projek Titian Bistari itu yang dimulakan sejak 15 tahun yang lalu adalah merupakan projek tuisyen percuma yang dibiayai sepenuhnya oleh YSB bagi meningkatkan keupayaan murid-murid di kawasan pedalaman di dalam mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

"Antara yang istimewa pada karnival ini adalah terdapat acara lelongan amal barangan peribadi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah seperti jam tangan baginda, potret, meriam, keris dan lain-lain lagi pada Sabtu.

"Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan karnival ini yang juga membolehkan mereka beramal," katanya kepada pemberita di pejabat YSB di sini hari ini.

Dalam program tersebut YSB menaja akhbar Utusan Malaysia bernilai RM3,600 dan majlis penyerahan replika cek telah berlangsung dengan diserahkan oleh Syed Unan Mashri sendiri kepada Eksekutif Jualan Utusan Malaysia Cawangan Kedah,Mohd. Shukri Hamad.

Menurut Syed Unan Mashri, bertemakan berhibur sambil menderma, pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang karnival tersebut seperti larian bendang, kempen derma darah, bazar kebajikan dan kafe penyayang.

Selain itu katanya, pertandingan seni suara burung, peraduan mewarna kanak-kanak, pameran kerjaya, sukan remaja dan pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang dua hari karnival ini berlangsung.

"Golongan artis juga dijemput untuk memeriahkan karnival ini dan antara yang akan hadir ialah Tegar, Adira, Jay Jay, kumpulan Forteen dan Lan Kristal.

"Tidak ketinggalan terdapat juga hadiah menarik menanti para pengunjung yang berpeluang menyertai cabutan bertuah yang bernilai sehingga RM20,000," katanya.

51 badang beradu kekuatan

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my

SEORANG peserta mengangkat kayu pada pertandingan Badang Malaysia Endurance and Strength 2014 di Kampung Labu Kubung, Lubuk Merbau, Padang Rengas, Perak baru-baru ini. - UTUSAN/HASHIM P. MAMAT

PADANG RENGAS 28 Mei - Badang, bukanlah nama asing untuk masyarakat di negara ini khususnya bagi orang Melayu.

Ini kerana sejak kecil, kita sering dimomokkan dengan kegagahan luar biasa seorang lelaki yang bertubuh tegap dan besar hingga mampu menewaskan bukan sahaja lawan tetapi mengangkat beban yang sukar diangkat oleh manusia biasa.

Kuasa Badang yang tiada tandingan itu diperoleh selepas dia dikatakan memakan muntah jin sehingga membolehkan lelaki itu mempunyai kekuatan luar biasa yang sukar digambarkan.

Sama ada cerita mengenai lelaki itu merupakan satu dongengan atau ada sejarahnya tersendiri, tiada siapa pun dapat memberikan pengesahannya, malah kisah itu kini amat sinonim apabila menggambarkan kegagahan seseorang.

Justeru, bagi mencari seorang individu yang menyamai kekuatan Badang, Persatuan Pelancongan Padang Rengas dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengadakan Pertandingan Badang Malaysia Endurance and Strength 2014 di Kampung Labu Kubong dekat sini baru-baru ini.

Pertandingan itu mendapat sambutan amat menggalakkan walaupun pertama kali diadakan dengan penyertaan sebanyak 51 orang peserta dari seluruh negara termasuk dua pasukan Thailand.

Melalui pertandingan itu, setiap peserta dikehendaki melakukan larian mendaki bukit, memakan ala muntah berupa bubur dalam mangkuk, mengangkat empat tayar traktor dari dalam sawah, menterbalikkan tayar traktor seberat 80 kilogram, memikul batang balak dan menangkap belut.

Pengarah kejohanan, Amiruddin Mohd. Daud berkata, acara itu merupakan pertama kali diadakan bukan sahaja di Padang Rengas malah di negeri ini dalam memperkenalkan Badang Malaysia.

Menurutnya, semua acara yang disertai peserta memerlukan mereka mempunyai kekuatan tersendiri dan sihat tubuh badan.

Katanya, cabaran dalam pertandingan ini memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang kuat di mana mereka mestilah mempunyai kebolehan mengangkat beban berat.

"Saya lihat semua peserta mampu melepasi syarat dan acara yang ditetapkan. Walaupun ramai yang tewas namun apa yang lebih penting adalah semangat kesukanan dan sanggup menghadapi cabaran walaupun sukar," katanya.

Dalam pertandingan itu, setiap pemenang bakal menerima hadiah wang tunai iaitu bagi johan RM2,000 bersama pingat emas, naib juara (RM1,500 dan pingat perak), tempat ketiga (RM1,000 dan pingat gangsa).

Bagi pertandingan tarik tali terbuka, johan membawa pulang piala pusingan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, wang tunai RM2,000 dan pingat emas manakala tempat kedua menerima RM1,500 dan pingat perak dan tempat ketiga mendapat wang tunai RM1,000 dan pingat gangsa.

Kategori tarik tali tertutup pula, johan menerima sebuah piala pusingan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubuk Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan wang tunai.

Sementara itu, Siti Salmah ketika ditemui berkata, beliau amat gembira apabila program tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung.

Katanya, berdasarkan sambutan itu, beliau yakin pihak penganjur pasti bersedia menjadikan program itu sebagai acara tahunan sekali gus mampu mempromosikan Padang Rengas sebagai lokasi pelancongan.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar