{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Fasa darah manis Faralyna

Posted:

Fasa darah manis Faralyna

Fasa darah manis Faralyna

PETIR dan guruh yang sedang bertingkah di langit langsung tidak mengganggu ketenangan emosi Faralyna Idris.

Dia memberikan sepenuh fokusnya kepada setiap bidikan lensa yang dihalakan ke mukanya. Hujan lebat pada petang Rabu lalu seperti mengizinkan kami untuk bercerita lebih lama.

Dia mesra membahasakan dirinya sebagai Fa. Dramatis yang sedang muncul menerusi drama bersiri Fajar Aiman itu tidak perlu dibelai-belai dengan ayat pemanis mulut.

Terus-terang pertemuan itu diatur untuk mengajak bintang filem Gila-Gila Remaja 2 itu bercerita tentang lamaran yang sedang didakapnya.

Fotografi ini pula berlangsung tiga hari sebelum bunga kelahiran Taiping, Perak itu disunting sebagai tunangan si kumbang pilihan.

Bertempat di kediamannya di Ampang, Selangor, malam tadi Faralyna selamat bergelar tunangan kepada Ahmaf Fikri Abdullah, 24.

Langkah pertama sedang diatur. Wanita yang baru berusia 23 tahun ini sedang mengikut intuisi.

Selangkah lagi sebelum memasuki tangga usia ke-24 pada pertengahan Disember nanti, zaman anak daranya bakal berakhir.

"Berkahwin tahun ini atau tunggu lagi beberapa tahun pun, hidup saya tetap begini. Saya tetap berlakon dan bekerja untuk keluarga," itu penegasan yang meluncur keluar daripada bibir si wanita berdarah manis, Faralyna.

Persoalan kahwin muda biasa kedengaran. Buat Faralyna sendiri, seruan itu seperti angin semilir yang menyapanya tenang.

Persiapan tanpa ibu

"Saya tidak merancang atau menetapkan sebarang tempoh usia untuk berkahwin. Saya dengan Fikri bukan jenis yang beria-ria bercinta. Kami berkawan dan perhubungan itu dapat dihidu oleh arwah ibunya," beritahu Faralyna.

Sambil jari-jemarinya mengelus anak rambut di pipi, anak kedua daripada tiga beradik itu menyambung kisah.

FARALYNA IDRIS sedang mempersiapkan dirinya untuk naik pelamin pada pertengahan Disember nanti.


Kata Faralyna, dia tidak menyangka usikan arwah ibu tunangnya sekitar akhir tahun lalu menjadi nyata.

"Arwah ibu Fikri dimasukkan ke hospital, saya beberapa kali pergi melawat arwah.

"Suatu hati dia mengusik saya, mengatakan mungkin sayalah 'orangnya' pilihan Fikri. Dia kata, selepas keluar dari hospital nanti, dia akan masuk meminang.

"Perkara itu habis di situ sahaja. Kemudian, saya ikut lagi Fikri melawat ibunya, ketika ibu saudara Fikri juga ada di hospital, saya diusik lagi oleh saudara Fikri pula. Tiga hari kemudian, saya dapat panggilan daripada adik Fikri bahawa ibu mereka sudah meninggal.

"Saya terkejut padadal ketika melawatnya, keadaan arwah stabil dan hanya menunggu waktu untuk dibenarkan pulang ke rumah," cerita Faralyna terkenangkan bibit sayu itu.

Selang dua bulan selepas pemergian ibu tersayang, Fikri meluahkan hasrat untuk meminang kekasih hati.

"Sekitar bulan Februari lalu Fikri ajak saya berkahwin. Mulanya saya terkejut. Apabila fikir masak-masak, mungkin inilah namanya jodoh.

"Saya senang berkawan dan dialah lelaki paling rapat dengan saya selain bapa. Sudah sampai masa agaknya. Saya setuju dan keluarga juga setuju," tuturnya lembut.

Sedia berdepan perkahwinan pada usia muda, Faralyna mengiakan langkah itu bukan sebuah perjudian 'cuba-cuba'.

"Ini benda baik, buat apa saya mahu tunggu lama-lama. Saya sudah bersedia untuk menempuh fasa hidup yang seterusnya. Memang usia saya baru 23 tahun, tetapi saya melalui banyak perkara sejak remaja.

"Saya bekerja sejak belasan tahun. Ibu saya juga sudah meninggal enam tahun lepas. Hidup saya memang untuk keluarga dan tidak salah untuk saya juga memulakan sebuah keluarga," katanya penuh harapan.

BERKAHWIN muda bukan satu isu besar buat Faralyna.


Tiada perubahan drastik

Hampir dua tahun mengenali hati budi, Faralyna juga berharap tempoh tujuh bulan mendatang akan dijadikan sebagai tempoh persediaan.

"Saya harap tempoh ini menguatkan lagi kepercayaan dan meneguhkan perhubungan kami.

"Memanglah, orang gelarkan pasangan yang bertunang sebagai darah manis, tapi selagi kita mahukan yang terbaik, insya-Allah," ujarnya yang hanya menjemput sekitar 200 tetamu semasa majlis pertunangannya malam tadi.

Berkongsi keterujaan, kegembiraan, debaran dan kepenatan menguruskan majlis tanpa insan penting yang melahirkannya ke dunia, ada embun jernih terpancar di mata.

"Mujurlah saya ada ibu saudara dan adik-beradik yang boleh tolong. Fikri lagilah kasihan, arwah ibunya dari Medan, Indonesia dan tiada sesiapa yang boleh uruskan hal seperti barang-barang hantaran.

"Kami sepakat untuk agar semua persiapan barang hantaran saya yang uruskan. Huru-hara juga hidup saya sebab jadual kerja juga tak menentu.

"Terfikir juga, kalaulah ibu masih ada, mesti dia yang paling sibuk. Tapi Tuhan lebih sayangkan mereka," ucapnya sambil tersenyum menghapus sayu.

Bintang drama Bio-Nik itu sudah lama bergelar pelakon namun ketika namanya sedang meningkat naik, dia pula memilih untuk naik pelamin.

"Seperti yang saya katakan tadi, berkahwin sekarang atau tunggu entah sampai bila, rasanya saya tetap berlakon macam biasa.

"Berkahwin atau tidak, hidup saya tidak akan berubah 360 darjah. Tidak akan ada apa-apa yang berubah," katanya.

Dalam karier lakonannya, Faralyna cukup faham permainan populariti, jatuh dan bangunnya seseorang artis. Lambat atau cepat popular bukanlah satu isu buat bekas kekasih pelakon Hairul Azreen itu.

"Saya pun faham, saya bukanlah artis popular. Lakonan ialah pekerjaan dan rasanya saya okey dengan peluang saya setakat ini.

"Kalau ada yang kata, sekarang zaman pelakon baharu dapat perhatian, saya okey. Selagi saya ada kerja dan tidak kacau orang, saya tidak pernah cemburu kerana tidak menjadi sebahagian daripada nama-nama yang sedang popular.

"Lagipun, saya masih muda. Bayangkan kalau saya tengah meletup-letup popular ketika ini, bagaimana saya mahu terus mengekalkan populariti itu untuk lima hingga 10 tahun lagi?" tutupnya optimis.

Akhil Hayy dakwa teraniaya

Posted:

Akhil Hayy dakwa teraniaya

Akhil Hayy dakwa teraniaya

BERSAMA isteri, Waheeda. Akhil Hayy akui hatinya terguris apabila ada individu cuba menutup periuk nasinya.


SATU PERSATU helaian kisah hidup Akhil Hayy, 45, dilanda kontroversi. Pernah bekas pengacara rancangan Cubaan itu nekad untuk menyaman seorang penulis blog yang disyaki mencela dirinya dan isteri, Waheeda.

Terbaru, pemilik nama sebenar Akhil Abdul Hayy itu berkata, hatinya terguris apabila ada pihak cuba menutup periuk nasinya. Dia kecewa selepas pihak pengurusan Astro dikatakan tidak memberikan alasan kukuh mengapa dia tidak lagi dibenarkan berdakwah menerusi program-program terbitan Astro Oasis.

Lebih menyedihkan, sudah hampir empat tahun dia tidak dibenarkan muncul dalam saluran berbentuk islamik itu sedangkan dahulu, dialah salah seorang pendakwah bebas terawal yang menanam benih dakwahnya di saluran berkenan.

"Televisyen merupakan medium yang mudah untuk berdakwah kepada masyarakat khususnya mereka yang tidak sempat menghadiri majlis ilmu atau datang ke masjid.

"Kali terakhir saya terbabit dalam program Astro ialah empat tahun lalu. Pada masa itu saya mengacarakan program Imam Muda.

"Bukan mahu meraih simpati tetapi saya berasa ralat apabila tawaran yang sepatutnya diberikan kepada saya tetapi ditolak pula oleh pihak pengurusan Astro," jelas Akhil ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya yang berjudul Andai Esok di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah Akhil, dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab dengan peminat apabila ditanya mengenai pembabitannya dalam industri seni yang semakin suram.

Menurutnya, tawaran daripada pihak produksi luar kepadanya memang ada namun disebabkan ada individu berpengaruh dalam pengurusan Astro, tawaran lakonan itu terpaksa ditukarkan dengan orang lain.


AKHIL HAYY tampil dengan single terbaharu berjudul Andai Esok.


"Sebelum ini, alunan zikir dan azan yang menggunakan suara saya ditarik balik. Kemudian, tawaran menjadi juri untuk program realiti Pencetus Ummah dihentikan.

"Terkini, tawaran berlakon dalam telemovie berjudul Rock Sangkut terbitan Mawi Entertainment yang bakal ditayangkan di Astro Prima juga digantikan dengan pelakon lain.

"Apabila saya bertanyakan hal itu kepada Mawi yang merupakan Pengarah Urusan syarikat itu, dia sendiri tidak dapat menjelaskannya kerana pihak Astro tidak memberikan alasan yang konkrit.

"Saya bimbang hanya disebabkan ada seorang yang tidak menyukai saya, dia mempengaruhi orang lain supaya menolak saya," jelas Akhil yang mahukan penjelasan daripada individu berkenaan.

Tambah Akhil, biarpun tidak muncul di kaca televisyen namun rezekinya masih ada.

"Alhamdulillah, saya sering mendapat jemputan berdakwah ke luar negara. Walaupun penat sedikit tapi saya bersyukur kerana ramai yang menyokong perjalanan saya dalam menyampaikan dakwah.

"Saya berharap dia tidak termasuk dalam golongan yang menzalimi orang lain kerana dakwah itu ibarat air sungai yang mengalir dan tidak akan terputus," luah Akhil.

Sementara itu, mengulas tentang single terbaharu berjudul Andai Esok, Akhil memberitahu, lagu tersebut merupakan ciptaan Badhisham dan liriknya ditulis oleh Hairul Anuar Harun.

"Selepas Badhisham pulang daripada menunaikan umrah, dia menghubungi saya dan memberitahu yang dia telah menghasilkan sebuah lagu istimewa untuk saya.

"Walaupun saya mampu menghasilkan single sendiri tapi saya lebih selesa bekerja secara berjemaah. Secara tidak langsung saya dipertemukan dengan syarikat rakaman, Natz Production serta Badhisham," katanya.

Lagu Andai Esok mengajak masyarakat untuk melakukan perkara yang bermanfaat sebelum dipanggil Ilahi.

Sebelum menutup bicara, Akhil turut memberitahu, dia bakal menerbitkan album yang tertangguh sejak empat tahun lalu. Album tersebut turut menyelitkan dua buah lagu ciptaan isterinya, Waheeda iaitu Ighfir Zunubi dan Subhanakh.

Hanez tak mati dek keji

Posted:

Hanez tak mati dek keji

Hanez tak mati dek keji

KONTROVERSI sudah menjadi nama kedua kepada Hanez Suraya. Dia bukan pelakon bermasalah namun apa sahaja masalah yang berlingkar menjadi dilema Hanez, semuanya bermula dengan cinta.

Reda seketika kisah dihentam khalayak gara-gara bercinta dengan suami orang, pelakon berusia 29 tahun itu mengejutkan ramai apabila menyaman Penerbangan Malaysia (MAS). Semua itu gara-gara gambar keratan tiket penerbangannya bersama sang kekasihnya, Romie ke Bangkok, Thailand tersebar di internet.

Hanez mendakwa, perbuatan itu dilakukan oleh kakitangan MAS kerana hanya pihak syarikat penerbangan itu yang mempunyai kuasa menyimpan dan memegang keratan tiket penumpang yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Kes itu menjadi hangat manakala Hanez sebagai artis dituduh sengaja memperbesar-besarkan isu itu.

"Saya saman MAS atas alasan hak privasi saya diceroboh. Saya percaya semua orang ada hak itu," jelas Hanez yang pada mulanya enggan mengulas memandang kes itu akan dibicarakan di mahkamah.

Pada 22 Mei lalu, Hanez bersama peguamnya memfailkan saman terhadap MAS di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Pada hari yang sama kes itu difailkan, peguam saya sudah mendapat respons daripada pihak MAS. Mereka meminta beberapa perkara. Saya boleh berkongsi setakat itu sahaja," katanya yang enggan mendedahkan butiran kes itu lebih lanjut.

Hanez sebenarnya bimbang kenyataannya akan bercanggah apabila kes itu dibicarakan kelak. Dari satu perspektif yang lain, keberanian Hanez menegakkan haknya itu seperti membongkarkan keburukan dirinya sendiri.

"Selama ini, saya buat perkara baik pun tetap akan dipandang jahat, orang tetap tak sukakan saya.

"Cukuplah dengan apa yang telah saya lalui, saya kena baca segala kejian mereka, tetapi jangan disebabkan kontroversi sebelum ini, mereka ambil mudah untuk buruk-burukkan saya lagi.

"Saya mahu jadikan perkara ini pengajaran, ini hak saya. Kes itu memang layak dibawa ke mahkamah," kata pelakon drama 3 Janji itu tenang.

Tidak berniat untuk menjatuhkan mana-mana pihak, Hanez akur bahawa dia masih manusia yang ada hati perut. Dia tidak menolak kemungkinan jika suatu hari nanti kes itu berjaya diselesaikan di luar mahkamah.

"Saya pun tidak mahu perkara ini jadi besar," ujarnya yang sudah tidak mempedulikan kecaman yang masih diterima menerusi media sosial.

Tambah Hanez: "Cuma saya pelik apabila pembenci hanya berani memaki saya menerusi Instagram tetapi setiap kali saya keluar ke majlis-majlis, saya tidak pula diserang bahkan ada pula yang tampil memberikan kata-kata semangat.

"Sekarang, kalau ada pengikut yang masih tidak puas-puas menghentam saya di Instagram, saya tidak teragak-agak untuk menghalang akses pengikut tersebut. Ingatkan jumlah pengikut akan berkurang rupa-rupanya makin ramai.

"Sama ada mereka itu pembenci atau benar-benar peminat, terserah," beritahunya yang kini sibuk dengan latihan untuk teater berjudul Projek Kahwin.

Hanez hampir tidak mahu berlakon dalam teater itu gara-gara kontroversi yang melanda namun bak kata pepatah, tak hidup dek keji tak mati dek keji, dia akan terus melangkah berdepan setiap onar yang mendatang.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat