{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Sukan

Posted by Admin

Utusan Online - Sukan


Posted: 31 May 2014 11:19 AM PDT

Oleh FADHILUL IZMEL ISHAK
sukan@utusan.co.my

Indra Putra Mahayuddin dan rakan-rakan sepasukan meraikan kejayaan mara ke final Piala FA selepas menyingkirkan Kelantan di Stadium Shah Alam, malam tadi. MINGGUAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

SHAH ALAM - Felda United memahat sejarah apabila menempah pertemuan akhir Piala FA menentang Pahang, Sabtu depan selepas mengejutkan gergasi bola sepak tempatan, Kelantan pada separuh akhir di Stadium Shah Alam, semalam.

Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2 dan kedua-dua pasukan terikat menerusi agregat 5-5, namun skuad Sang Peneroka atau turut dikenali sebagai The Settlers layak menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Kejayaan mengikat Kelantan 3-3 pada separuh akhir pertama di Kota Bharu pada 6 Mei lalu, menjadi kunci kejayaan skuad The Settlers melangkah ke Stadium Bukit Jalil dalam final yang penuh berprestij, minggu depan.

Turun dengan status pasukan Liga Perdana tidak sedikit pun mengurangkan keyakinan Felda untuk menyaingi reputasi besar Kelantan.

Sebaliknya sokongan padu yang diberikan lebih 5,000 penyokong setia telah menaikkan semangat mereka.

Kelantan dikejutkan oleh Felda United selepas pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-20.

Indra menanduk bola yang ditepis penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat ketika cuba menyelamatkan percubaan kapten The Settlers, Mohd. Shukor Adan.

Namun kedudukan itu tidak kekal lama selepas pemain jersi 23, Mohd. Izuan Rosli menyamakan kedudukan apabila rembatannya gagal ditahan dengan kemas oleh penjaga gol Felda, Mohd. Farizal Harun.

Penyokong Kelantan semakin gembira selepas pemain kebangsaan Liberia, Francis Forkey Doe meletakkan pasukan kesayangan mereka di hadapan apabila dia berjaya merembat bola tepat ke gawang gol selepas gagal dikawal rapi oleh benteng pertahanan Felda.

Permainan bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan membuat asakan bertalu-talu sehingga pemain import Felda, Edward Junior Wilson menyumbat gol cantik dari luar kotak penalti meletakkan pasukannya seri 2-2 sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, jurulatih Kelantan, George Boateng melakukan perubahan teknikal dengan mengukuhkan jentera pertahanan apabila memasukkan Nik Mohd. Shahrul selepas mengeluarkan Mohd. Nazri Ahmad pada minit ke-58.

Jurulatih Felda, Irfan Bakti Abu Salim membuat dua pertukaran dengan mengeluarkan Makeche Ndumba dan Mohd. Raimi Mohd. Noor untuk diganti oleh K.Thanaraj dan Ahmad Syamim Yahaya bagi melancarkan corak permainan pasukannya.

Pencarian gol semakin sukar apabila kedua-dua pasukan saling menampilkan corak pantas dan memiliki peluang sama rata.

Felda kini mengikut jejak Sime Darby yang menjadi pasukan berstatus kelab pertama berjaya melayakkan diri ke final Piala FA pada 2012.

Emosi iringi kekalahan Malaysia

Posted: 31 May 2014 11:19 AM PDT

Oleh AIZAWATI AHMAD
aizawati.ahmad@utusan.com.my

Mohd. Sukri Mutalib cuba menyaingi pemain Australia, Kieran Govers dalam perlawanan Piala Dunia di The Hague, Belanda semalam. - AFP

KUALA LUMPUR - Walaupun kekalahan memang sudah diduga, namun beberapa kejadian yang menimpa skuad hoki negara sebelum turun ke padang semalam menjadikan kekalahan 0-4 kepada Australia dalam aksi pembukaan Piala Dunia di The Hague, Belanda diterima dengan penuh emosi.

Kekalahan itu tidak mampu menutup kesedihan yang sedang ditanggung skuad hoki kebangsaan yang baru sahaja kehilangan Bapa Hoki Malaysia, Almarhum Sultan Azlan Shah yang mangkat, Rabu lalu.

Tidak cukup dengan kehilangan itu, skuad negara menerima berita sedih tidak lama sebelum turun beraksi apabila jurulatih negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah mendapat panggilan dari India bahawa bapanya, R. Kanniah meninggal dunia di Hospital Madras, semalam.

Malaysia, turun ke padang pada perlawanan pertama dengan memakai lilitan hitam di lengan sebagai menghormati kemangkatan Sultan Azlan Shah yang merupakan Penasihat Kehormat Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) yang kini dikenali sebagai Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), dan juga Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF).

Walaupun menyedari Australia bukan calang-calang lawan, Malaysia tetap bersemangat turun ke padang dengan membawa harapan untuk mengekang asakan bertali juara bertahan itu yang bukan tandingan pasukan kebangsaan.

Namun, anak-anak buah Dharmaraj hanya mampu bertahan selama 25 minit pada babak pertama permainan, sebelum pintu gol mereka yang dikawal oleh penjaga gol berpengalaman, S. Kumar akhirnya berjaya dirobek Glenn Turner.

Turner yang bertubuh tegap, begitu mudah melepasi benteng pertahanan Malaysia menerusi larian solo sebelum melepaskan pukulan kencang yang membolosi gawang skuad kebangsaan bagi membolehkan mereka mendahului 1-0. Keputusan itu kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.

Sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung, pasukan negara berusaha untuk bangkit, namun mereka hanya mampu bertahan selama 15 minit.

Pintu gol Malaysia bocor tiga kali dalam tempoh empat minit.

Eddle Ockenden meledakkan gol kedua hasil jaringan padang pada minit ke-50.

Jamie Dwyer menambah derita Malaysia selang dua minit kemudian untuk gol ketiga Australia, dan Turner sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan kebangsaan apabila menyempurnakan gol keempat pada minit ke-54.

Dharmaraj ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, walaupun beliau menerima berita sedih tersebut, beliau masih perlu kekal fokus untuk skuad kebangsaan yang baru sahaja memulakan aksi pada Piala Dunia.

Memanglah sedih tetapi saya yang pilih kerjaya ini, jadi saya perlu tabah.

Lagipun pengebumian bapa akan diuruskan oleh abang sulung saya di Madras," katanya.

Mengulas mengenai kekalahan Malaysia, Dharmaraj memberitahu, kurang fokus menjadi punca kekalahan pasukannya kepada Australia, dan dibolosi sebanyak tiga kali sewaktu lawan hanya bermain dengan 10 orang tidak sepatutnya berlaku.

Kini kita perlu lupakan kekalahan kepada Australia. Perjalanan Malaysia masih jauh dan fokus harus diberi kepada perlawanan menentang Belgium, Isnin ini," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar