Berita Harian: Nasional
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Nasional |
Posted: 18 Apr 2013 09:45 AM PDT ROS hanya tidak iktiraf pemegang jawatan CEC, boleh guna simbol roket Kuala Lumpur: Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mengiktiraf pemegang jawatan DAP yang dibentuk dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu 15 Disember tahun lalu. Bagaimanapun, pendaftaran DAP tidak terbatal dan parti itu masih boleh menggunakan simbolnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). "Sementara menanti penyelesaian pertikaian ini, ROS seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966, dengan ini tidak memberi pengiktirafan kepada pemenang jawatan DAP yang dibentuk pada pemilihan parti pada 15 Disember 2012," katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam. Abdul Rahman juga berkata, siasatan pemilihan parti itu juga akan diteruskan. Isu pemilihan CEC timbul apabila ahlinya mendakwa DAP gagal memberikan notis kepada 753 delegasi, yang juga ahli sah dan layak mengundi pada pemilihan itu. Sementara itu, DAP dalam mesyuarat CEC, malam tadi, memutuskan akan menggunakan simbol PAS bagi calonnya yang bertanding di Semenanjung dan simbol PKR di Sabah serta Sarawak jika ROS tidak menarik semula surat yang dihantar kelmarin sehingga jam 3 petang ini. Beliau berkata, DAP tidak boleh menerima begitu saja kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang menyatakan parti itu masih boleh menggunakan simbol roket selepas ROS sebelum ini memutuskan untuk menyelesaikan isu itu selepas PRU. Guan Eng juga mendakwa tindakan ROS mengeluarkan surat itu dalam tempoh 48 jam sebelum penamaan calon adalah untuk menghalang DAP bertanding dalam PRU ini. |
PM perjelas isu pencalonan Kamilia Posted: 18 Apr 2013 09:41 AM PDT Najib nafi dakwaan BN tak beri tempat kepada wanita Kuala Lumpur: Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim telah ditawarkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan dan jawatan EXCO negeri jika Barisan Nasional (BN) menang di Perak, tetapi menolaknya kerana mahu bertanding kerusi Parlimen Kuala Kangsar. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata berikutan itu kerusi berkenaan diberikan kepada calon lain, sekali gus menolak dakwaan kononnya BN tidak memberikan tempat kepada pemimpin wanita. Keputusan Kamilia sendiri "Itu adalah keputusan yang beliau buat dan tidak timbul sama sekali beliau tidak diberi tempat atau tidak dihargai oleh BN," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jaringan Wanita Ibu Tunggal Malaysia (JUWITA), di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam. Selasa lalu, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan penyandang kerusi DUN Bukit Chandan, Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad bertanding kerusi Parlimen Kuala Kangsar. Sebelum ini, Kamilia dikatakan bakal bertanding di kerusi Parlimen berkenaan menggantikan penyandangnya, Tan Sri Rafidah Aziz. Mengulas lanjut, Najib berkata, BN berpendapat lebih baik Kamilia bertanding DUN dan menjadi EXCO untuk terus memberikan sumbangan kepada pembangunan negeri dan negara. Beliau berkata, bekas Presiden GERAKAN, Tun Lim Kheng Yaik pernah bertanding kerusi DUN di Perak dan menjadi EXCO serta memberikan sumbangan kepada pembangunan negeri. "Sebenarnya, sebagai EXCO, jika diterima tawaran itu, Datuk Kamilia boleh main peranan bukan saja dalam negeri, malah dalam konteks negara," katanya. Tak pendam perasaan Ditanya mengenai pemimpin BN yang tidak dicalonkan, Najib berkata, mereka bertenang dan memahami bukan mudah untuk BN memberikan kepuasan kepada semua pihak. "Oleh itu, kepada mereka yang rasa sedikit kekecewaan, saya harap tidak memendam perasaan dan fikirlah masa depan parti bahawa pilihan raya ini kita memerlukan kesetiaan dan sokongan daripada setiap anggota parti. "Yang paling penting, kita hendak tubuh kerajaan. Bila kita tubuh kerajaan, kita boleh membantu mereka dengan banyak cara tetapi jika kita tidak ada kuasa, kita tidak boleh bantu," katanya. Sehubungan itu, Najib menegaskan barisan 222 calon Parlimen dan 505 calon DUN BN yang diumumkan di setiap negeri adalah pasukan terbaik yang mampu menjamin masa depan negara. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |