{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Harian Metro: Hati

Posted by Tanpa Nama

Harian Metro: Hati


Pupuk semangat jati diri

Posted: 16 Apr 2013 09:11 AM PDT

"Takut lemas, takut terminum air masin, takut kaki kejang, saya tak nak menyelam.

"Saya suka pantai dan karangan laut, tapi saya tak pandai berenang. Lebih baik saya tunggu mereka di sini saja," perlahan si cilik Zulaikha Natasya Rosdi, 9, berbisik ke telinga penulis tatkala ditanya mengapa dia enggan mengikut rakan lain melakukan aktiviti selam skuba.

Pelajar Sekolah Rendah (SK) Tekek, Pulau Tioman itu berkata, walaupun sejak berusia tiga tahun lagi dia sudah didedahkan dengan pantai dan laut, dia tidak pernah mengikuti aktiviti selam skuba atau snorkeling.

"Saya lebih suka bermain di gigi air atau mandi-manda di tepi pantai bersama rakan dan ahli keluarga, tetapi untuk menyelam atau snorkeling, saya belum pernah melakukannya, takut sangat," katanya jujur.

Foto

PEMULIHARAAN alam semula jadi turut diberi penekanan.

Foto

MULA-MULA takut tapi akhirnya masing-masing teruja.

Foto

PESERTA diberi tunjuk ajar.


Bagaimanapun, ternyata jurulatih bijak bermain dengan emosi Zulaikha Natasya yang akhirnya bersetuju untuk menyertai aktiviti selepas dipujuk.


"Ini kali pertama saya melakukannya dan ternyata ia memang aktiviti sangat menyeronokkan. Takut memang takut kerana saya tidak pandai berenang, tetapi semuanya sudah berakhir.

"Alhamdulillah, saya berjaya dan akan beritahu ibu bapa saya mengenai selam skuba," katanya.

Zulaikha Natasya ditemui bersama 41 pelajar sekolah rendah sekitar Rompin, Pulau Tioman dan Mersing dalam program Kem Bubble di Damai Tioman Resort, Kampung Genting, Pulau Tioman.

Bagi Fakhrul Asyraf Tarmizi, 12, kemeriahan program itu memberi pengalaman menarik kepadanya yang juga pertama kali mengikuti­nya.

"Saya benar-benar teruja dapat mengikuti program ini walaupun pada peringkat awal saya takut keadaan fizikal saya tidak mampu menahannya.

"Ibu bapa juga bimbang saya gagal menghabiskan semua aktiviti kerana tidak biasa dengan cuaca panas ketika ini," kata pelajar SK Seri Mersing, Johor itu.

Menurutnya, program berkenaan membantunya memupuk semangat jati diri dan berdaya saing dengan semua peserta.

"Beberapa acara memang menguji ketahanan mental dan fizikal kerana kebanyakan acara berlangsung di pantai. Mengutip sampah di sepanjang pantai juga seronok sekalipun dalam keadaan cuaca panas kerana ia memberi pendedahan mengenai penjagaan dan pemuliharaan alam semula jadi kawasan pantai.

"Walaupun letih dan penat malah dalam keadaan lapar dan dahaga, kami tetap memberikan yang terbaik kerana bukan sesuatu yang mudah untuk menyertai kem ini," katanya.

Rayyad Haider Hairol Jamali, 11, berkata program itu sinonim dengan kehidupannya yang sentiasa 'bermain' dengan laut sejak kecil.

"Kehidupan saya dikelilingi laut. Saya tidak takut melakukan apa saja aktiviti malah seronok kerana dapat bertemu rakan baru.

"Bagaimanapun, saya belum pernah melakukan aktiviti selam skuba dan snorkeling. Justeru, saya amat teruja bila dapat mengikuti program ini kerana berpeluang melihat terumbu karang dan pelbagai spesies ikan berwarna-warni yang sukar dilihat sebelum ini," kata pelajar SK Tekek itu.

Katanya, program itu juga memberinya peluang berkenalan dengan pelajar dari sekolah lain yang mempunyai minat sama.

"Walaupun baru pertama kali bertemu, kami cepat mesra kerana setiap aktiviti dijalankan secara berkumpulan.

"Semangat kerjasama berpasukan diterapkan dalam setiap aktiviti membantu kami menyiapkan setiap tugasan dalam waktu yang ditetapkan. Saya berharap program sama dapat diadakan pada tahun depan," katanya.

Nur Zahhirah Mohd Razali, 9, berkata penyertaan dalam kem itu akan menjadi kenangan manis pada dirinya kerana pertama kali berpeluang berbuat demikian.

"Walaupun setiap hari melihat laut, saya tidak boleh sesuka hati melakukan aktiviti seperti berkelah atau mandi-manda kerana kami sebenarnya tiada pantai.

"Saya mengambil peluang mengikuti program ini kerana ia peluang untuk belajar menyelam dan snorkeling serta mengenali hidupan laut yang sebelum ini hanya diperoleh daripada pembelajaran di kelas," katanya.

Jurulatih selam skuba, Noranizam Demin, 36, berkata kebanyakan peserta teruja melakukan aktiviti air walaupun baru pertama kali melakukannya.

"Perasaan takut memang ada malah ada yang menangis kerana takut menyelam. Tetapi selepas dipujuk dan diberi motivasi, mereka bersemangat dan bersaing sesama sendiri untuk membuktikan kebolehan masing-masing.

"Ibu bapa seharusnya membenarkan anak mereka belajar menyelam untuk memberi keyakinan kepada mereka sebagai 'benteng' jika berlaku perkara tidak diingini terutama ketika menyertai aktiviti perkelahan dan bermandi-manda di air terjun atau pantai," katanya.

Noranizam berkata, sepanjang program berlangsung, pelajar terbabit dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain walaupun ada dalam kalangan mereka tidak pernah bertemu.

"Saya gembira melihat kemesraan terjalin antara mereka malah saling membantu antara satu sama lain sepanjang program.

"Pulau Tioman adalah lokasi paling sesuai untuk mereka yang berminat menceburi aktiviti selam skuba. Saya yakin peserta kem ini mempelajari sesuatu yang baru dalam hidup mereka sekalipun kehidupan mereka dikelilingi laut sebenarnya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Syed Rizalman Syed Abu Bakar berkata, program empat hari berlangsung pada 25 hingga 28 Mac lalu memberi tumpuan kepada aktiviti pantai.

Menurutnya, pelajar terdiri daripada mereka yang berusia enam hingga 12 tahun daripada pelbagai latar belakang keluarga.

Antara pengisian sepanjang program adalah ceramah alam sekitar, taklimat penjagaan hidupan laut oleh pegawai dari Pusat Informasi Taman Laut, penjagaan keselamatan diri ketika menjalankan aktiviti air, snorkeling, kembara hutan serta pengenalan kepada asas selam skuba dan percubaan menyelam.

"Kami juga mengadakan ceramah mengenai pemuliharaan alam sekitar yang berkaitan hidupan marin.

"Peserta diterapkan pengetahuan pemuliharaan sebagai usaha melahirkan generasi pelapis yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar," katanya.

Menurutnya, kebanyakan peserta adalah pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tekek, Pulau Tioman; SK Sri Mersing; Sekolah Kebangsaan Paichee, Mersing dan beberapa sekolah lain termasuk dari Selangor.

Program anjuran Villagers Travel & Tours ini mendapat kerjasama Tourism Malaysia Pahang dan Lembaga Pembangunan Tioman. Di peringkat awal, kebanyakan peserta kelihatan gementar apabila melakukan dua aktiviti berkenaan terutama pada mereka yang takut dan tidak memiliki keyakinan diri.

"Tetapi melalui tunjuk ajar dan diterapkan keyakinan serta percaya pada diri sendiri, semua peserta berjaya melalui aktiviti berkenaan dengan selamat.

"Aktiviti seperti selam skuba seolah-olah meletakkan mereka dalam satu dunia baru yang tidak pernah dijangkau sebelum ini. Awalnya takut tetapi akhirnya mereka enggan berhenti kerana terlalu teruja menyelam," katanya.

Menjadi harapan pihak penganjur supaya setiap peserta yang menyertai program itu dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan bersama rakan lain yang tidak berpeluang mengikuti program berkenaan.

Syed Rizalman berkata, pengetahuan sedemikian sangat penting terutama apabila mereka berada di kawasan percutian.

"Generasi muda kini dapat bertukar pengetahuan daripada program seperti ini dengan rakan lain menerusi Facebook atau laman sosial lain. Kami juga bercadang memperluaskan program berkenaan pada masa depan yang akan membabitkan penyertaan ibu bapa.

"Program untuk ibu bapa akan diatur berasingan. Selain mereka dapat memantau anak-anak yang menyertai program ini, ibu bapa juga dapat mengeratkan hubungan sesama mereka.

"Secara langsung, pihak penganjur dengan sokongan Tourism Malaysia dan Lembaga Pelancongan Tioman dapat memperkenalkan pulau ini sebagai destinasi percutian keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Keunikan sitrus

Posted: 16 Apr 2013 08:37 AM PDT

Rantau Asia menawarkan pelbagai campuran ramuan serta teknik memasak, jus­teru tidak hairan jika kita mampu merasai pelbagai tekstur dan rasa dalam satu hidangan.

Buah sitrus bukan asing kepada penduduk Asia, malah ia sesuai digandingkan dengan pelbagai ramuan masakan seperti rempah-ratus, sayuran, makanan laut, daging dan ayam.

Ia juga memiliki aroma dan rasa tersendiri, malah mampu memperkayakan lagi perasa makanan dan minuman.

Disebabkan keunikannya, pakar kulinari terkenal Amerika, Chef Robert Danhi menjelajah Asia sepanjang Mac lalu bagi menyebarkan kebaikan dan keunikan buah sitrus.


Dibawakan jenama minuman terkemuka Sunkist, pakar masakan terbabit menyediakan koleksi resipi lazat dan mudah disediakan dengan menggabungkan cita rasa premium California bersama keistimewaan perasa tempatan.


Antara tempat dikunjunginya ialah Kuala Lumpur, Singapura dan Hong Kong bagi menonjolkan kepelbagaian rasa buah-buahan sitrus Sunkist termasuk oren naval, oren naval Cara Cara dan lemon dalam satu hidangan menye­lerakan.

Graduan dan bekas profesor Institut Kulinari Amerika yang gemar mengembara ini menghabiskan masa dua dekad untuk menyelami hidangan masakan Asia.

Ia membolehkan Chef Danhi mengumpul kepakaran kulinari yang diilhamkan daripada perasa eksotik dan menghimpun teknik masakan hampir 30 budaya berbeza.

Malah, pengarang buku masakan James Beard Finalist Southeast Asian Flavors - Adventures in Cooking the Foods of Thailand, Vietnam, Malaysia and Singapore ini juga menunjukkan penye­diaan resipi menggunakan sitrus Sunkist di setiap tempat dikunjunginya.

Antara resipi dihidangkan ialah jus lemon California berkarbonat dengan pandan dan halia, hirisan lemon panggang dengan salmon dan minyak teh melur, oren Cara Cara dan yogurt parfait de­ngan kelapa parut panggang serta udang halia bersama oren Cara Cara.

INFO:

  • Terdapat dua jenis oren yang utama iaitu Navel dan Valencie, tetapi ia mempunyai beratus variasi berbeza.
  • Lebih besar bentuk pusat (navel) di te­ngah oren, rasanya lebih manis.
  • Oren tidak akan terlebih masak jika dibiarkan pada pokoknya tanpa dipetik.
  • Masyarakat Cina menggunakan oren bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina yang melambangkan kemakmuran dan rezeki yang melimpah-ruah.
  • Boleh didapati sepanjang tahun.
  • Lemon bebas lemak, bebas kolesterol, bebas natrium dan rendah kalori.
  • Dua sudu makan jus lemon mengandungi 20 peratus keperluan vitamin C tubuh.
  • Sekiranya menambah perahan jus lemon ke dalam hidangan teh, ia membantu meningkatkan penyerapan antioksida badan. Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

    Leave a Reply

    Raja Alias

    Segamat

    Kuantan

    G. Musang

    Trolak

    J. Bahru

    Terengganu

    Mempaga

    A. Setar

    Jengka

    Sahabat