Kosmo Online - Pesona
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pesona |
Kanak-kanak tawan dapur masakan Posted: Kanak-kanak tawan dapur masakanOleh NIZHA PERIASWAMY
AKHIR-AKHIR ini, semakin ramai yang mula menunjukkan minat dalam aktiviti memasak, malah sekolah-sekolah kulinari dalam melahirkan chef profesional tumbuh bak cendawan selepas hujan. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, kanak-kanak juga turut diberi pendedahan dan pendidikan awal tentang dunia masakan. Bertempat di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur akademi masakan kanak-kanak, Young Chef Academy (YCA) baru-baru ini mengadakan satu pertandingan memasak. Ia merupakan program masakan YCA dengan kerjasama pembuat sos pasta nombor satu di Australia, Leggo's. Melibatkan para peserta kanak-kanak yang berusia antara sembilan hingga remaja 15 tahun, Cabaran Chef Junior Leggo's ternyata menguji kemahiran kanak-kanak itu dalam menyediakan masakan yang bukan sahaja lazat, bahkan menyihatkan. Kemenangan istimewa Disertai oleh kanak-kanak dan remaja yang kebanyakannya merupakan pelajar YCA, menariknya seorang remaja istimewa, Adam Mohamad Helmy, 15, tidak ketinggalan turut menunjukkannya kehebatan di dapur pertandingan. Remaja yang mengalami Sindrom Down itu berpasangan dengan Satyashini Suresh, 12. Hebatnya, pasangan tersebut membuktikan jika sesuatu perkara dilakukan dengan minat dan bersungguh-sungguh tiada apa yang boleh menjadi penghalang. Mereka berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan yang melibatkan lapan kumpulan itu. Baru menyertai kelas masakan di YCA dua bulan lepas, ibu Adam, Norshamsiah Abdul Latiff, 46, memberitahu, dia dapat mengesan minat anaknya dalam bidang masakan melalui aktivti bersama keluarga di rumah. "Dia akan masak macam-macam jenis makanan di rumah. Kek yang dibakar antara pilihan kegemaran. Walaupun tidak begitu mahir membuat aising kerana mempunyai masalah dengan skil pemotoran, Adam jelas kelihatan seronok dan gembira apabila dapat memasak," kata ibunya. Shamsiah mengakui, dia sendiri memang tidak menyangka menu Adam bersama Satyashini iaitu arranchini dengan sos pasta berjaya menawan hati juri untuk mendapat hadiah kedua. CHEF Siti Sarah memerhatikan salah satu pasangan yang menyediakan makanan pada pertandingan Cabaran Chef Junior Leggo's. "Saya perlu mengawasi dia kerana dia anak istimewa. Namun, saya memberi kebebasan saat Adam memasak dan mengetengahkan kemahiran," kongsinya. Malah, ibu itu juga memberitahu, penglibatan dalam kelas memasak di YCA untuk mendedahkan Adam bersosial dengan rakan-rakan sekelas yang lain. Adam dan pasangannya, Satyashini membawa pulang RM500 tunai dan hamper barangan Leggo's bernilai RM200. Penjurian Menurut salah seorang hakim pertandingan yang juga Presiden Persatuan Kulinari Malaysia, Sydney Kan, menu kumpulan tersebut iaitu arranchini dengan sos pasta merupakan hidangan yang dipersembah dengan tekstur yang sempurna dan cara persembahan seperti seorang chef berpengalaman. Kanak-kanak lain turut mengetengah skil masak dan persembahan yang menawan para juri. Malah, media yang hadir turut diberi peluang menghakimi masakan tersebut. Pertandingan selama sejam setengah itu dihakimi dua lagi juri profesional iaitu Chef Siti Sarah Halim iaitu Pengetua YCA dan Penolong Pengurus Pemasaran komersial Asia Tenggara Simplot, Saw Kok Kheng. Kesemua keputusan hakim merangkumi rasa, kebersihan, kerja berpasukan, persembahan dan kreativiti. Para hakim menyumbang 80 peratus daripada kehakiman, manakala 20 peratus pula disumbangkan oleh pihak media. Menabung Sementara itu, kumpulan yang disertai Avinash Austin, 12, dari Subang Jaya, Selangor dan Chow Qin Rhu, 9, dari Aman Puri, paling menambat perhatian ramai petang itu apabila tampil dengan menu mini pizza pockets. Mereka diumum sebagai johan pertandingan sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000 dan hamper Leggo's bernilai RM300. Kedua-dua mereka memikat para hakim dengan persembahan menarik dan lebih penting, rasa pizza poket yang sangat lazat. "Kami semua diberi resipi, tetapi saya cuba mengubah dengan menambah beberapa herba dan menukar bahan utama iaitu menggunakan sosej menggantikan ham," kata Avinash yang mengikuti kelas masakan secara berkala iaitu pada musim cuti sekolah sejak setahun setengah yang lepas. Mahu menyimpan duit kemenangannya di dalam bank, Avinash mengakui minat memasak muncul sejak dia berusia tujuh tahun lagi. Pasangan yang memenangi tempat ketiga pula ialah Robin Chan Wei Loon,15, dan Sean Ng Qi Xiang, 13, dengan menu nasi Sepanyol bersama makanan laut. Pasangan itu memberitahu, mendapat ilham menu tersebut daripada buku masakan chef kegemaran mereka, Jamie Oliver. "Kami juga melayari laman YouTube untuk mendapatkan teknik yang betul masakan itu," kata Robin. QIN RHU (kiri) dan Avinash yang memenangi tempat pertama dalam pertandingan cabaran memasak Leggo's. Peserta lain dalam pertandingan itu turut tampil dengan pelbagai menu masakan yang mensyaratkan mereka menggunakan sos Leggo's. Antara menu yang dipertandingan ialah seperti ravioli brokoli menggunakan sos berkrim tomato Leggo's dan sos mozarella, penkek Cannelloni bakar, chips tortilla dengan krim salsa dan ayam bakar mozarella menggunakan sos pasta Leggo's. Seorang ibu, Uma Rani, 47, dari Bandar Sri Damansara berkata, anaknya Raasini Manimaran, 14, tidak pernah memasak di rumah kecuali menu kegemarannya spagethi. Namun beliau amat gembira melihat kesungguhan anaknya menyertai pertandingan dan berjaya menyampaikan menu dalam masa yang ditetapkan. Chef Sarah pula memberitahu adalah penting untuk mendekatkan kanak-kanak dengan memasak kerana ia satu seni yang boleh mematangkan mereka. "Mereka akan sedar tentang pilihan makanan yang sihat, di samping memasak dengan baik," katanya. | |
Posted: Plaza Tugu destinasi seniOleh NIZHA PERIASWAMY
SETIAP hujung minggu aksi sekumpulan penggiat seni membuat persembahan di Plaza Tugu, Tugu Negara, Kuala Lumpur, pasti mendapat tumpuan pengunjung. Mereka bermain alat muzik dan menari tarian gelek tribal. Tidak ketinggalan pelatih seni aliran poi dan copoiera turut memeriahkan persembahan tersebut. Pertemuan itu berlaku pada setiap hari Ahad antara pukul 5.30 petang hingga 8.30 malam. Mereka melakukannya secara sukarela dan mengisi masa lapang. "Kami mula sejak tahun 2002 dengan bermain alat muzik. Pada masa sama, kami turut mengajak penonton untuk turut serta," kata Paul Lau Thee Doo, 53. Pada peringkat awal, kumpulan tersebut hanya dianggotai pemain alat genderang dan drum. Tunjuk ajar diberikan oleh pemuzik terkenal iaitu Lewis Pragasam yang pernah membuat persembahan di Dewan Philharmonik Petronas, Kuala Lumpur pada tahun 2011. Paul mengasah kemahiran bersama ahli kumpulannya, Tugu Drum Circle. "Kami tidak mempunyai jadual persembahan yang tetap di sini tetapi setiap kali beraksi pasti ramai pengunjung hadir," jelas Paul. Penari tarian gelek Dalam pada itu, kelihatan dua orang wanita sedang asyik menari mengikut rentak irama yang dimainkan oleh kumpulan Tugu Drum Circle. Mereka menyertai kumpulan berkenaan pada awal tahun ini sebagai penari tarian gelek tribal. Kedua-dua mereka ialah Nikki Law, 29, dan Beatrice Flowers, 32, yang memakai pakaian dan aksesori lengkap seolah-olah sedang membuat persembahan rasmi di hadapan penonton. "Penyertaan kami seumpama melengkapkan lagi kumpulan ini malah kami rasa teruja setiap kali membuat persembahan," kata Nikki. Rakannya, Beatrice, seorang warga United Kingdom yang datang ke negara ini sebagai pelatih tarian turut teruja setiap kali berpeluang menyertai persembahan di kawasan tersebut. Berkecimpung dalam bidang tarian gelek sejak berusia 10 tahun, Beatrice menganggap tarian gelek tribal sebagai sangat unik. Menurutnya, tarian tersebut memerlukan penari mengenakan lebih banyak pakaian dan aksesori bagi menyerlahkan gerak tari. Di sudut lain, kelihatan seorang lelaki sedang memberi tunjuk ajar kepada seorang wanita. Dia turut memegang poi iaitu sebuah alat bertali yang mempunyai bebola di bahagian hujungnya. ORANG ramai dialu-alukan menyertai persembahan seni di Plaza Tugu. Alat itu berfungsi dengan memusingkannya menggunakan kedua-dua belah tangan. Fariz Barburs, 29, seorang eksekutif perniagaan dari New Zealand sangat meminati aliran seni itu. Fariz berkata, aksi tersebut cukup mencabar kerana poi perlu dipusingkan menggunakan dua belah tangan dan dihayun ke dua arah bertentangan. Dia berminat dengan seni itu sejak menontonnya di laman YouTube pada tahun 2008. "Saya turut mempelajari teknik-teknik persembahan tersebut melalui internet," katanya. Dalam pada itu, seorang pengunjung dari Taman Desa, Kuala Lumpur, Taufek Hamdan, 28, tidak menyangka dapat menyaksikan persembahan yang menarik di kawasan tersebut. "Sebelum ini, saya tidak tahu terdapat persembahan secara percuma di Plaza Tugu. "Ternyata persembahan mereka yang cukup menghiburkan menyerikan lagi suasana hujung minggu di Tugu Negara," katanya yang menikmati tarian itu dari jarak agak jauh. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |