Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Jasa klinik 24 jam sehari
"ANAK-ANAK kalau sakit tidak kira masa. Klinik 24 jam memudahkan saya mendapatkan rawatan pada bila-bila masa, siang ataupun malam." Begitulah kata Farina Jamaluddin, 45, yang merupakan salah seorang pelanggan Klinik Idzham ketika ditemui Kosmo! di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ibu kepada lima anak itu bukan sekadar mendapatkan rawatan untuk penyakit seperti demam, batuk atau selesema, malah servis berkhatan untuk anak lelakinya. Melihat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, timbul persoalan siapakah gerangan pemilik Klinik Idzham yang kini mempunyai 10 buah klinik sekitar Lembah Klang, kesemuanya beroperasi 24 jam sehari. Suka duka Kosmo! berjaya menjejak pengasas Klinik Idzham iaitu Dr. Md. Idzham Ibrahim, 67, lantas berkongsi cerita suka duka di sebalik kejayaan yang diraih pada hari ini. Kejayaan tersebut bermula apabila beliau mengambil keputusan 'bersara' setelah berkhidmat lebih 10 tahun di hospital kerajaan. Pada November 1983, ketika berusia 38 tahun, Idzham berjaya membuka klinik pertama di Taman Melawati. Usia tersebut baginya agak lewat untuk menceburi bidang perniagaan, namun bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Dengan bantuan tiga jururawat, beliau mengerah segala kudrat dan masa di klinik yang merupakan klinik pertama beroperasi selama 24 jam di Taman Melawati. "Pada tiga tahun terawal hanya saya seorang doktor yang bertugas. Setiap masa saya berada di klinik dan hanya berehat atau tidur apabila tiada pelanggan. "Ketika itu pada waktu siang, saya dibantu pekerja, manakala pada waktu malam saya dibantu oleh isteri. Waktu malam juga masih ada pelanggan terutamanya warga emas yang menghadapi masalah asma. Memberi rawatan kepada pesakit asma merupakan salah satu sebab saya membuka klinik 24 jam di Taman Melawati. "Kesungguhan bekerja dahulu, jika dikenangkan pada hari ini saya tidak tahu di mana datangnya semua kudrat itu. Apa yang pasti, semangat saya kuat untuk memberi khidmat dan bantuan kepada para pesakit," kata bapa kepada empat anak tersebut. Bercerita mengenai modal membuka klinik tersebut, beliau cukup terhutang budi kepada SME Bank (dahulu dikenali sebagai Bank Pembangunan) kerana memberikan pinjaman sekali gus impiannya memiliki klinik sendiri menjadi nyata. Untuk membuka klinik kosnya sangat besar dan beliau memerlukan kira-kira RM200,000 pada waktu tersebut. Bagaimanapun, selain faktor wang, Idzham cukup bertuah apabila isterinya, Che An Nik Omar, 65, banyak membantu dan memberi dorongan. Pada masa yang sama, saudaranya Datuk Syed Manshor Syed Mahmood, pengasas Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. banyak menghulurkan bantuan terutamanya pada awal pembukaan Klinik Idzham. BEROPERASI 24 jam sehari memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan di Klinik Idzham. "Saya bersyukur kerana Syed Manshor membantu saya menemuduga jururawat, malah membelikan perabot klinik. Beliau juga menasihatkan saya jika hendak berjaya, perlu membuka lebih banyak klinik kerana sebuah klinik tidak mencukupi," katanya yang sehingga kini masih menawarkan khidmat selama empat jam lima hari seminggu di klinik. Gimnastik dan teater Menyingkap kembali kisah pada zaman kanak-kanaknya, Idzham merupakan seorang yang aktif dalam sukan dan juga banyak menghabiskan masa dengan membaca buku. Antara buku-buku kegemarannya ialah Perry Mason karya Erle Stanley Gardner. Bola sepak merupakan sukan yang digemarinya, malah ketika di tingkatan empat, beliau terpilih mewakili sekolah untuk bertanding di peringkat negeri, Ketika itu beliau bermain di posisi penyerang. Bukan itu sahaja, siapa menyangka beliau turut menyertai pasukan gimnastik sekolah serta berlakon drama ketika di tingkatan enam. Akibat terlalu aktif dalam aktiviti sukan, guru-guru telah menegur dan menasihatinya agar menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Nasihat tersebut nyata berbekas di hatinya menyebabkan beliau mula tekun menelaah buku. "Pada zaman sekolah, cita-cita saya hendak menjadi juruterbang atau peguam, namun hasrat tersebut dihalang oleh bapa yang mahu saya menjadi seorang doktor. Bapa saya merupakan seorang guru manakala ibu seorang surirumah. "Selepas tamat tingkatan enam saya mulai berminat meneruskan pengajian dalam bidang perubatan lantas India menjadi pilihan. "Ini kerana yuran dan kos pengajian di negara tersebut murah apatah lagi kesemua perbelanjaan di sana atas biaya keluarga tanpa sebarang penajaan," katanya. Cabaran di India Pada tahun 1966, untuk melanjutkan pengajian di India, Idzham terpaksa menaiki kapal laut seorang diri dari Pulau Pinang ke Madras, India. Perjalanan tersebut memakan masa selama seminggu. Pada peringkat awal menaiki kapal laut memang menyeronokkan namun hari kedua beliau mabuk laut dan tidak lalu makan sehingga badan menjadi terlalu lemah. "Pengalaman tersebut masih segar dalam ingatan saya sehingga hari ini. Dari Madras saya menaiki kereta api menuju universiti yang terletak di Bombay. "Tiga tahun awal pengajian, saya terpaksa mengikat perut dan makanan harian saya merupakan capati dan kuah dal. Itulah menu untuk sarapan, makan tengah hari dan malam. "Pada tahun 1969, saya mendapat biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjumlah RM200 sebulan. Sejak itu merasa jugalah makan ayam tandoori," kata bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Iskandar dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah itu. IDZHAM memeriksa seorang pesakit yang datang ke kliniknya. Nama timangan Sewaktu dalam kandungan, ibunya berhasrat memberikan nama Yusuf kerana wajah Nabi Yusuf yang kacak tetapi bapa saudaranya mendaftarkan nama Md. Idzham Ibrahim. Ketika berusia setahun setengah, badan Idzham diserang kudis. Ibunya merasakan nama tersebut kurang sesuai dan memanggilnya dengan gelaran Yusuf. "Sehingga kini nama saya dalam keluarga melekat sebagai Abang Cop," ujarnya tersenyum. Dalam kesibukan kerjaya, Idzham tetap meluangkan masa untuk bersantai. Beliau merupakan peminat kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Antara lagu yang diminatinya termasuk Jerat Percintaan, malah beliau mempunyai semua koleksi album penyanyi tersebut. Tidak cukup dengan itu, beliau juga sering menonton persembahan penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang itu, malah sanggup membelanjakan sejumlah wang menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza di Albert Hall, London. "Ketika itu, salah seorang anak saya belajar di London dan saya pergi melawatnya. Pada masa sama, saya dan ahli keluarga mengambil kesempatan menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza di Albert Hall," katanya yang juga merupakan penyokong pasukan bola sepak, Liverpool. Dalam pada itu, seorang pelanggannya, Maliki Mat Din, 37, yang tinggal di Wangsa Maju turut berpuas hati dengan perkhidmatan doktor-doktor di Klinik Idzham. Dia yang telah menjadi pelanggan tetap sejak tahun 2004 menyukai sikap para doktor bertugas yang berterus-terang tentang penyakit dihidapnya. "Perkhidmatan doktor di sini cukup memuaskan, mereka akan berterus terang tentang penyakit termasuk pernah meminta saya melakukan x-ray di hospital terlebih dulu sebelum rawatan lanjut dijalankan olehnya. "Selain itu, klinik yang beroperasi 24 jam memudahkan saya untuk mendapatkan rawatan pada bila-bila masa," katanya yang bekerja di Indah Water Konsertium. Klinik Idzham merupakan panel syarikat tempatnya bekerja. | |
Kesan sukan ganas terhadap otak Posted: Kesan sukan ganas terhadap otakOBJEKTIF sukan tinju yang memfokuskan tumbukan padu di kepala meningkatkan risiko kecederaan otak. KETIKA peninju Ireland, Katie Taylor beraksi buat pertama kali di Olimpik yang berlangsung di timur London pada tahun lalu, John Hardy langsung tidak mahu menontonnya. Sebagai seorang neurosaintis dan ahli biologi molekul, John berpendapat, perlawanan tinju seumpama satu sesi merosakkan otak. "Kita tidak sepatutnya berasa gembira apabila menonton aksi tinju yang boleh merosakkan otak mereka," kata John yang merupakan Pengerusi Penyakit Neurologikal Molekul Biologi, Institut Neurologi di Universiti College London. Penyelidikan John memberi fokus kepada penyakit alzheimer dan lain-lain jenis demensia. Kemodenan neurosains bermakna para saintis mampu mengesan kerosakan otak dan trauma jangka panjang hasil daripada tumbukan yang banyak pada kepala. Berdasarkan kejayaan sains itu, ketika ini merupakan masa yang sesuai untuk meneliti kerosakan otak dalam sukan termasuklah pemain Liga Bola Sepak Kebangsaan Amerika (NFL). Sesetengah pihak percaya, bekas pemain San Diego Charger, Junior Seau membunuh diri tahun lalu selepas beberapa tahun menderita akibat konsusi berganda. Penyelidikan neurologi Minggu lalu, NFL dan General Electric Co. mengumumkan usaha sama dengan pakar-pakar neurologi. Mereka mengumumkan peruntukan sebanyak AS$60 juta (RM182.67 juta) bagi mempercepatkan kajian terhadap kecederaan otak. Kajian bertujuan meningkatkan diagnosis dan rawatan selepas keprihatinan masyarakat meningkat mengenai konkusi berkaitan dengan sukan. Debat mengenai otak telah dibawa ke Rumah Putih. Pada Januari lalu, Presiden Barack Obama mencadangkan perubahan dibuat pada undang-undang NFL bagi mengurangkan tahap impak keganasan. Dalam sukan bola sepak juga, kebimbangan mengenai kecederaan terhadap pemain meningkat, kebarangkalian berlaku semasa mereka menanduk bola. Satu kajian ringkas terhadap pemain bola sepak wanita bulan lalu menemui bukti pengurangan mental disebabkan perbuatan menanduk bola dengan banyak kali. Para penyelidik Amerika Syarikat (AS) yang menjalankan kajian tersebut menyatakan menanduk bola menyebabkan kecederaan traumatik otak lemah pada lobus frontal. Dalam sukan tinju, pakar kesihatan dan saintis, malah sesetengah atlet sendiri mempunyai kerisauan mengenai keadaan otak selama berdekad-dekad. Bekas juara tinju dunia kelas featherweight berbangsa Ireland, Barry McGuigan pernah menyuarakan perasaan takutnya yang sukan tersebut boleh merosakkan otaknya. Peninju kelas lightweight, Terry Marsh yang didiagnosis menghidap epilepsi turut mengakui tumbukan di kepala boleh memberikan kesan negatif. BOLA sepak Amerika juga dilihat sebagai antara sukan yang menyumbang kepada kecederaan otak. Tumbukan mabuk Pada tahun 1928, ahli patologi AS, Stanford Martland menulis sebuah kertas kerja bertajuk Punch drunk (Tumbukan mabuk) yang menceritakan penderitaan seorang peninju yang mengalami kecederaan otak akibat saluran darah pecah. Kondisi punch drunk dikenali sebagai ensefalopati traumatik kronik (CTE) atau demensia pulilistika. Ia juga dikenali sebagai demensia peninju. Ia merupakan penyakit neurodegeneratif yang boleh memberi kesan kepada para peninju akibat hentakan di kepala seperti kemurungan, impulsiviti dan kehilangan memori. "Ramai peninju dan pemain bola sepak Amerika pada usia 30-an dan 40-an mengalami kemurungan," kata John. Juara heavyweight AS dan idola dunia tinju, Muhammad Ali mula bergelut dengan percakapan tergagap-gagap dan tangan terketar-ketar. Keadaannya kesihatannya semakin merosot apabila mendapat gangguan neurogeneratif sindrom Parkinson. Bekas juara heavyweight dunia British, Frank Bruno didiagnosis mempunyai keadaan sama dengan teman senegara, Michael Watson. Dia memerlukan enam pembedahan otak dan menderita kerosakan kekal selepas ditumbangkan dalam perlawanan pada tahun 1991. Dalam bahasa sains otak, ia dipanggil hilang kawalan eksekutif. "Ia tidak wujud dalam personaliti sebagai peninju, ia merosakkan korteks frontal. Mereka sudah pun mengalami pengalaman kecederaan otak. - Reuters |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |