Utusan Online - Rekreasi
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rekreasi |
Jelajah ekstrem Gua Batu Maloi Posted: 25 Apr 2013 02:00 AM PDT Oleh ROHANA MAN ANTARA laluan yang ditempuh dalam penerokaan Gua Batu Maloi. MENDAKI gunung dan meneroka gua merupakan dua aktiviti yang bezanya seumpama langit dan bumi. Masing-masing mempunyai peminat tegar yang tersendiri. Namun tidak ada salahnya jika kedua-dua aktiviti lasak itu digabungkan dalam satu program atau ekspedisi yang sama. Ia tentu sahaja menjanjikan pengalaman unik dan lain daripada kebiasaan, seperti mana yang dilakukan oleh ahli Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) pada 6 hingga 7 April 2013 yang lalu. Program 'dua dalam satu' itu meliputi eksplorasi Gua Batu Maloi dan mendaki Gunung Tampin yang terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Tampin, Negeri Sembilan. Perjalanan kami bermula dari Kuala Lumpur pada petang 6 April lalu dan sebaik tiba di tapak perkhemahan Gua Batu Maloi, kami terus memulakan aktiviti barbeku. Program ini disertai 13 peserta termasuk urus setia kelab. Kami memulakan aktiviti meneroka ekstrem Gua Batu Maloi yang diketuai oleh penunjuk arah, Khazely Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Malik. Sebelum itu, pengurus tapak perkhemahan Gua Batu Maloi, Muhamad Nazri Ellango Abd. memberikan taklimat ringkas. Kumpulan kami digabungkan dengan dua kumpulan lain. Menurut Malik, keseluruhan jarak penerokaan gua adalah kira-kira 2.38 kilometer dari tapak perkhemahan. Dalam penerokaan itu, kami meredah sungai dan menempuh gua batu granit yang pelbagai saiz dari tapak perkhemahan sehingga ke check point 24. Eksplorasi kami bermula pada pukul 9.30 pagi dan awal perjalanan sekadar meredah sungai yang jernih dan sejuk airnya. Perjalanan diteruskan sehingga kami tiba di check point 3 yang mana, kami perlu menyusup masuk dan keluar dari celah batu yang agak sempit. Ada beberapa kawasan disediakan tali untuk memudahkan peserta program melepasi laluan curam di tepi batu besar yang berlumut. Memang unik pengalaman ini. Nampaknya meneroka gua batu granit lebih ekstrem berbanding gua batu kapur yang pernah dilakukan oleh kebanyakan daripada kami. Ini kerana kami perlu meniarap, merangkak, menyusup, mengiringkan badan, menundukkan kepala, mengengsot, dan mendaki batu-batu licin untuk naik ke kawasan yang lebih tinggi. Ada ketikanya, lubang gua yang mahu ditembusi agak mustahil bagi peserta bersaiz besar. Namun, dengan 'demonstrasi' yang dilakukan oleh Malik, kesemua peserta berjaya melepasi celah-celah rekahan batu yang sempit itu. Dalam penerokaan itu, kami singgah di gua kelawar, gua kapal dan gua Buddha yang mana kesemuanya memiliki keunikan tersendiri. Sebelum kami tiba di gua kelawar, Malik mengarahkan kami menutup lampu suluh. Katanya, cahaya terang akan membuatkan kelawar yang sedang bergayutan di bumbung gua berterbangan lari. AKTIVITI barbeku menghidupkan suasana malam yang santai di tapak perkhemahan Gua Batu Maloi. Bau kurang menyenangkan di dalam gua tidak menjadi masalah kepada kami untuk meneruskan perjalanan. Gua berikutnya adalah gua kapal yang mana imej seperti hujung sebuah kapal dapat dilihat dengan jelas. Layar yang masih 'kembang' juga boleh kelihatan jika diamati dengan teliti. Kami berehat agak lama di dalam gua kapal, sementara menunggu kesemua peserta berkumpul untuk mendengar taklimat berikutnya. Selesai taklimat, kumpulan kami yang berada di hadapan meneruskan penerokaan. Anak-anak ikan tengas yang banyak menarik perhatian kami. Ada peserta membawa roti untuk memberi ikan makan yang habitatnya adalah di dalam aliran sungai yang deras dan di celah-celah batu. Udang juga boleh ditemui, selain katak batu yang menurut Muhamad Nazri boleh mencapai saiz sebuah topi keledar! Kami juga berehat agak lama di dalam gua Buddha. Imej sami Buddha yang sedang bertafakur dapat dilihat di dinding batu. Di sebelahnya ialah isterinya yang mana kedua-dua imej itu terbentuk daripada lembapan air yang menitis dari bumbung gua. Setibanya kami di check point 12, kami keluar dari dunia gua yang gelap untuk menghirup udara sedar di permukaan sungai. Dikelilingi hutan menghijau, kami merehatkan diri buat seketika sambil menjamah makanan dan minuman ringan. Menurut Malik, laluan selepas check point ini lebih mudah dan tiada lagi laluan bawah batu yang perlu ditempuhi. Jarak di antara satu check point dengan satu check point juga lebih dekat dan kami mengakhiri penerokaan ekstrem Gua Batu Maloi tepat pukul 1 petang. Selepas sesi bergambar, kami meneruskan perjalanan balik ke tapak perkhemahan dengan mengikut trek hutan. Di pertengahan jalan, kami singgah di sebuah batu besar yang dikatakan 'kampung orang bunian'. "Inilah Batu Maloi. Dulu, ada gua yang menjadi tempat simpan pinggan mangkuk yang boleh dipinjamkan kepada penduduk kampung untuk kenduri. "Tapi, sekarang dah tak ada lagi," cerita Malik kepada kami. Untuk sampai ke puncak batu besar itu, kami terpaksa memanjat dengan menggunakan akar pokok. Di atasnya terdapat pokok pisang tunjuk langit yang belum berbuah. Oleh kerana kami akan mendaki Gunung Tampin pada hari yang sama, maka kami bergegas balik ke tapak perkhemahan untuk berkemas. Ternyata, penjelajahan gua yang lain daripada yang lain ini memberikan pengalaman baru kepada kami. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |