Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Ubah sejarah The Lone RangerPADA usia lima tahun, Johnny Depp merupakan peminat fanatik siri televisyen popular ketika itu, The Lone Ranger. Dia menonton program tersebut dengan minat yang sangat mendalam. Namun jauh di sudut hatinya, ada sesuatu yang dirasakannya tidak kena dengan program TV yang disiarkan di layar kaca Amerika Syarikat dari 15 September 1949 hingga 7 Jun 1957 itu. "Ada sesuatu yang tidak kena," ujar Depp dalam satu temu bual dengan sebuah media Barat di Santa Fe, New Mexico, Amerika Syarikat baru-baru ini mengenai program TV tersebut. The Lone Ranger versi TV itu menampilkan dua karakter utama - seorang lelaki kulit putih, The Lone Ranger (lakonan Clayton Moore) dan pemuda kaum peribumi Red Indian, Tonto (Jay Silverheels). Apa yang menimbulkan perasaan tidak puas di hati Depp ialah perbezaan yang ketara tentang bagaimana dua karakter tersebut digambarkan. Katanya: "Kenapa pula lelaki kulit merah (Tonto) perlu pergi ke sana dan ke mari untuk lakukan itu dan ini serta sekadar digambarkan sebagai watak kawan baik kepada The Lone Ranger? Kenapa pula lelaki kulit putih itu (The Lone Ranger) diangkat sebegitu rupa sehingga menjadi figura pujaan?" The Lone Ranger pada asalnya merupakan sebuah program radio yang mula ke udara pada tahun 1933 sebelum dijadikan siri buku dan TV. Ia juga beberapa kali diadaptasi ke layar perak. Namun, watak Tonto dipaparkan secara stereotaip sebagai seorang kaum peribumi Amerika Utara tanpa jiwa dan latar budaya - sekadar ditampilkan sebagai gandingan The Lone Ranger yang diangkat sebagai wira utama. Depp mahu mengubah karakter Tonto tersebut yang telah digambarkan dengan penuh klise oleh Hollywood selama ini. Justeru, apabila pada tahun 2006 dia ditawarkan melakonkan watak tersebut untuk produksi terbitan Disney yang diberi judul The Lone Ranger itu, Depp melompat kegirangan. Reaksi bapa kepada dua orang anak itu adalah impak daripada peluang keemasan yang diraihnya untuk menghidupkan karakter Tonto dengan penuh luhur dan jujur. "Ia (Tonto) sebenarnya adalah satu-satunya sebab saya mahu menjadikan filem ini muncul sebagai suatu naskhah yang jujur dan luhur," tuturnya. Tambah Depp: "Ia merupakan sesuatu yang saya mahu lakukan mengikut cara saya sendiri. Jelas sekali, ia adalah satu sumbangan kecil daripada saya secara peribadi, tetapi sekurang-kurangnya itulah suatu pencetusan rasa diri ini."
Diarahkan oleh Gore Verbinsky yang pernah berkolaborasi dengan Depp menerusi siri filem Pirates of the Caribbean dan naskhah animasi, Rango, versi layar perak terbaharu The Lone Ranger itu buat kali pertamanya dipaparkan menerusi perspektif Tonto. Ia sekali gus menampilkan Tonto untuk posisi karakter utama dengan The Lone Ranger (lakonan Armie Hammer) muncul sebagai rakan gandingannya. Terbalik dan seratus peratus songsang berbanding kesemua naskhah The Lone Ranger yang pernah ditayangkan sebelum ini. Apa yang menarik, Tonto yang direalisasikan Depp itu masih mengekalkan sikap dan tabiat figura yang sudah sebati di mata penonton yang pernah menyaksikan naskhah-naskhah The Lone Ranger sejak berdekad yang lalu. Kekok bertutur dalam bahasa Inggeris dan sentiasa melagukan doa dalam bentuk yang sukar difahami. Itu dua ciri sinonim Tonto yang dikenali sekian lama di layar perak dan kaca TV tetapi dikekalkan oleh Depp dalam menghidupkan semula karakter tersebut. Ujar aktor berusia 50 tahun itu, dia melakukannya kerana tidak mahu penonton yang sejak tahun 1950-an lagi mengenali sisi seorang Tonto melihat karakter itu sebagai sesuatu yang asing. Namun dalam masa yang sama, Depp menerusi The Lone Ranger versi 2013 cuba membawa penonton dalam pengembaraan untuk mengenali Tonto yang telah diberikan nafas baharu. Ia masih sama tetapi tidak lagi serupa. "Saya fikir bodohlah diri ini jika tidak kembali menampilkan ciri-ciri yang pernah ada pada Tonto dan memaparkan kembali dirinya yang sudah biasa dikenali penonton. "Bagi saya, biarkan penonton terlebih dahulu berasa selesa menyaksikan kemunculan semula Tonto sebelum kemudian mengangkat karakter tersebut ke peringkat yang seterusnya. Itu harapan saya," jelasnya. Tonto penangan Depp disuntik dengan elemen kelucuan, kebijaksanaan dan keramahan yang pernah diterapkan menerusi karakter-karakter lakonannya sebelum ini seperti Willie Wonka, Edward Scissorhands dan Jack Sparrow. Sebagai Tonto, Depp tidak melafazkan apa yang ingin cuba disampaikan dari dalam naluri dirinya secara terang-terangan. Cukup sekadar menerusi gerak isyarat pada wajah, kerdipan mata dan pergerakan badannya yang bagaimanapun sukses dalam menyerlahkan segalanya. Misi dan visi Depp jelas sekali dalam usahanya menarik minat penonton terhadap Tonto versi terkini itu. Malah lebih unik dan agak eksentrik, Depp melakukan pendekatan terhadap produksi terbitan Jerry Bruckheimer itu dengan melihatnya sebagai sebuah filem bisu. JOHNNY DEPP (kiri) di samping Armie Hammer. Mereka masing-masing melakonkan karakter Tonto dan The Lone Ranger menerusi naskhah terbaharu Disney, The Lone Ranger. Karyawan tersohor industri filem bisu lewat era awal 1990-an, Buster Keaton dijadikan inspirasi buat dirinya. "Harapan saya, Tonto muncul sebagai pemerhati yang menjadi mulut dan telinga kepada penonton. Biarlah kurang berdialog tetapi dia lebih banyak bermain dengan pergerakan wajah dan mata. "Ia mampu menyerlahkan cerita dengan maksud yang lebih mendalam. Saya sentiasa menaruh keyakinan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi terhadap fakta tersebut," ujarnya. Depp juga menerapkan imej baharu Tonto berdasarkan lukisan hasil kreativiti pelukis Kirby Sattler. Jika selama ini, Hollywood menampilkan Tonto dengan imej jambul yang berjuntaian dilengkapi dengan cekak rambut. Namun Tonto yang dijelmakan Depp itu sebaliknya tidak berbaju, dihiasi bulu haiwan, wajahnya dilukis dengan lakaran belang berwarna putih dan kepalanya pula ditempatkan dengan bangkai burung gagak. Ia kedengaran agak melampau. Namun itulah revolusi imej Tonto yang dicetuskan Depp dan dia mempunyai alasan tersendiri kenapa nekad melakukannya. Jelas Depp: "Saya menyukai lakaran belang putih pada wajah Tonto. Ia nyata mewakili personaliti dan pemikirannya. Berbanding burung gagak sekadar berterbangan di belakang dirinya, saya fikir lebih baik bangkai haiwan itu menjadi perhiasan di kepalanya. "Justeru, saya menjelmakan Tonto menerusi suatu siri yang tersurat tetapi penuh dengan makna tersirat." Dalam pada itu, timbul kontroversi apabila ada sesetengah masyarakat Red Indian tidak gembira dan menuduh Depp cuba memanipulasi ciri stereotaip Tonto tanpa sokongan realiti sebenar budaya. Ia dikhuatiri sehingga boleh menjejaskan imej dan maruah puak mereka pada pandangan umum dalam dunia moden hari ini. Depp tetap ada jawapan terhadap isu tersebut. Katanya: "Saya dan Gore (Verbinsky) meneliti skrip filem ini bersama-sama dengan (penulis skrip) Justin (Haythe) dan kami kemudian membahagi-bahagikannya kepada beberapa bahagian yang kecil. Kami lakukannya supaya ia tidak terlalu kompleks dan mudah difahami. "Ini kerana saya tidak mahu timbul pelbagai persoalan dalam kalangan penonton seperti tentang makna dan apakah yang telah dilakukan serta bagaimana mereka (karakter-karakter dalam filem) hidup?" | |
Posted: Energi Konsert AIA KpopOleh HARYATI KARIM 4 MINUTES menyampaikan rangkaian lagu hit mereka, termasuk Hot Issue yang telah mempopularkan mereka. MALAM Khamis minggu lalu, tiga artis Korea yang bernaung di bawah bumbung Cube Entertainment, iaitu kumpulan 4Minute, Beast dan penyanyi solo G.Na telah menghiburkan hampir 8,000 peminat mereka yang membanjiri Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Meskipun ini bukanlah kali pertama mereka mengadakan persembahan di Malaysia, sambutan yang diberikan peminat terhadap AIA KPop Concert Live in Kuala Lumpur itu sungguh luar biasa. Tepat pukul 8.30 malam, G.Na membuka tirai persembahan. Tampil di atas pentas dengan gaya seksi, penyanyi yang fasih berbahasa Inggeris ini bijak menarik perhatian penonton untuk memberi fokus kepadanya. Diiringi empat penari, G.Na memulakan persembahan dengan lagu Supa Solo dan 2Hot. "Saya gembira dapat kembali semula ke sini. Nantikan album terbaharu saya yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi", katanya yang sudah tiga kali berkunjung ke Kuala Lumpur. Meneruskan persembahan, G.Na mendendangkan lagu I'll Be Off So You Can Live Better versi bahasa Inggeris. Peminat bagai diserang histeria apabila JunHyung (Beast) membuat kemunculan istimewa sebagai pelengkap persembahan lagu itu. Persembahan G.Na selama setengah jam itu bertambah rancak dengan dendangan enam buah lagu lagi iaitu Banana, Take A Bow, Rude Boy, First Kiss, Top Girl dan diakhiri dengan lagu Black & White. Selepas larut dengan genre balada daripada G.Na, pentas kembali hangat dengan aksi tarian daripada kumpulan 4Minute. Tampil dengan penuh bergaya tetapi masih kelihatan sopan berbanding pakaian persembahan mereka sebelum ini, So-hyun (21), Ji-yoon (22) Hyuna (21), Ga-yoon (23) dan Ji-hyun (23) memulakan persembahan dengan lagu What's Your Name.
Kumpulan ini sememangnya terkenal dengan kelincahan dan aksi seksi salah seorang ahlinya, Hyuna. Sekali lagi Hyuna mencuri perhatian ramai dengan gaya nakal dan menggodanya di atas pentas. Meneruskan persembahan, 4Minute mendendangkan lagu Mirror Mirror, I'm Ok, Huh, Muzik, Heart to Heart dan lagu yang mempopularkan mereka iaitu Hot Issue. Rasanya ramai peminat yang hadir pada konsert kali ini merupakan peminat setia kumpulan Beast. Buktinya, apabila Beast muncul di atas pentas, suasana bertukar menjadi kecoh dan penuh dengan jeritan terutamanya gadis-gadis remaja yang menggilai enam anak muda ini. Tidak mengambil masa yang panjang, Beast memulakan persembahan dengan lagu Beautiful Night. Ironinya, pada awal persembahan mereka telah diganggu dengan masalah mikrofon. Meskipun begitu, mereka bijak mengatasi masalah tersebut dan meneruskan persembahan seperti biasa. Mempamer aksi persembahan mantap lagi energetik Doo-joon, Dong-woon, Gi-kwang, Yo-seob, Hyun-seung dan Jun-hyung meneruskan persembahan penuh energi mereka dengan lagu Bad Girl, Shock, Special dan Fiction. Suasana rancak bertukar ke sentimental apabila kumpulan Beast mendendangkan lagu ciptaan Jun-hyung yang berjudul On Rainy Days serta sebuah lagu baharu mereka, I Will You Be Alright sebelum meneruskan persembahan dengan lagu I knew It, Freeze, Beautiful dan V.I.U. Rata-rata persembahan mereka tidak ada cacat celanya, namun, mungkin sudah terlalu kerap melihat persembahan ketiga-tiga artis ini di Malaysia, sudah tidak ada kelainan yang ditonjolkan. Namun, peminat seperti tidak kisah dengan persembahan dan tarian yang sama asalkan mereka dapat melihat penyanyi pujaan mereka dari jarak yang dekat. | |
Siti berminat taja kanak-kanak Palestin Posted: Siti berminat taja kanak-kanak Palestin Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
BIARPUN jadual hariannya cukup padat dengan aktiviti seni, ia langsung tidak menghalang penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk melakukan kerja-kerja amal. Baru-baru ini penyanyi berkenaan telah menjayakan acara minum petang Rebuild Gaza For a Nation Feat Datuk Siti Nurhaliza & Rabbani anjuran Majlis Perundangan Islam Malaysia (Mapim) dan Rabbani Production Sdn. Bhd. yang berlangsung di Hotel De Palma, Ampang, Selangor. Antara matlamat utama penganjuran acara tersebut adalah bagi mengumpul dana untuk membangunkan semula Gaza di Palestin serta daerah yang musnah teruk angkara serangan Zionis Israel. Siti yang ditemui selepas berakhirnya acara menyatakan, sebagai seorang umat Islam dia perlu bersikap lebih prihatin terhadap nasib saudara seagama di Palestin yang teruk ditindas. "Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, saya mempunyai impian untuk menjejakkan kaki ke bumi Palestin dan mengikut jejak langkah beberapa artis lain seperti Heliza Helmi dan Afdlin Shauki. "Kalau diizinkan oleh Allah dan suami, saya berharap dapat pergi ke sana, terutamanya ke Masjid Al-Aqsa dan Gaza. Saya sentiasa berdoa agar impian ini terlaksana," ujarnya. Ketika ditanya sama ada dia mempunyai rancangan untuk mengambil anak angkat atau menaja kanak-kanak Palestin, Siti memberitahu dia pernah berbincang mengenai perkara itu dengan pihak Mapim. "Andai ditakdirkan saya menerima seorang kanak-kanak dari Palestin, sudah tentu saya gembira dan akan menjaga sebaik-baiknya. Cuma pihak Mapim menjelaskan agak sukar untuk membawa kanak-kanak Palestin keluar dari tanah air mereka. "Saya diberitahu bahawa lebih baik mereka terus tinggal di negara asal. Namun begitu, untuk menaja pula rasanya tiada masalah. Saya memang berminat dengan langkah sebegini sebagai satu sumbangan kecil saya," jelasnya. Menurut Siti, dia akan berbincang terlebih dahulu dengan suaminya di samping mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Mapim tentang langkah seterusnya. DATUK SITI NURHALIZA (berbaju hijau tua) bersama kumpulan Rabbani dan anggota Majlis Perundangan Islam Malaysia (Mapim) pada acara minum petang Rebuild Gaza For A Nation Feat Datuk Siti Nurhaliza & Rabbani baru-baru ini. Siti belum dikurniakan anak sejak berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada tahun 2006. Imej baik Atas dasar keprihatinan yang ditunjukkan terhadap nasib umat Islam Palestin, Siti menerima kejutan apabila menerima Anugerah Kemanusiaan Mapim. Menurut Siti, dia agak terkejut dengan anugerah itu, namun bersyukur. Dia berharap anugerah itu mampu memberi dorongan kepada dirinya dan rakan-rakan artis lain supaya prihatin terhadap nasib umat Islam yang lain. "Kalau dilihat sumbangan saya ini agak kecil berbanding dengan beberapa ahli Mapim yang telah memberanikan diri pergi ke Palestin dan memberikan bantuan yang diperlukan," ujarnya. Sementara itu, Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Siti layak menerima anugerah berkenaan kerana dia mempunyai imej yang baik sebagai seorang artis serta bersikap kepada umat Islam Palestin. "Sewaktu pihak Mapim mahu mengundang Siti untuk menjayakan acara minum petang ini sebagai salah satu aktiviti mengutip dana bagi membantu rakyat Palestin, dia terus menerimanya. "Selain itu, kami banyak berkongsi mengenai keadaan terkini yang berlaku di Palestin. Akhirnya, ahli jawatankuasa Mapim mengambil keputusan untuk memberikan anugerah ini kepada Siti," ujarnya. Pada majlis tersebut, Siti mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Oda Di Bumi Anbia, Ketika Cinta dan Kepadamu Kekasih, manakala Rabbani mendendangkan lagu-lagu seperti Intifada, Teman Sejati serta Mawar Berdarah yang merupakan lagu baharu mereka. Lebih menarik lagi, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan meluangkan masa hadir pada acara tersebut. Pada masa yang masa berlangsung majlis pelancaran buku The Tunnel Girl tulisan Mohammad Qayyum Badaruddin dan Nur Sakinah Hanani Mohd. Azmi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |