Utusan Online - Jenayah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Jenayah |
Lagi guru mati ditembak dalam kereta Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT Oleh OPAT RATTANACHOT Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap kereta K. Shanmugam (berwarna putih) dan kereta yang dilanggarnya selepas ditembak berdekatan persimpangan Simpang Empat Keladi, Kulim tengah hari semalam. KULIM 18 Julai - Tidak sampai dua minggu selepas seorang guru penolong kanan mati ditembak di Bachok, Kelantan, seorang lagi guru menerima nasib sama selepas ditembak dua lelaki di Simpang Empat Keladi di sini hari ini. Kejadian berlaku pukul 12.25 tengah hari ketika K. Shanmugam, 45, dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Bidara ke tempat kerjanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berapit, Bukit Mertajam dekat sini. Sebaik sahaja tiba di lokasi terbabit iaitu berhampiran satu persimpangan lampu isyarat, dua lelaki bermotosikal menghampiri bahagian kanan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dipandunya lalu melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya berkata, berikutan itu, kenderaan mangsa terbabas dan melanggar sebuah kereta lain di hadapannya. "Siasatan mendapati tembakan yang dilepaskan daripada pistol jenis automatik mengenai kepala dan anggota badan mangsa. Kedua-dua suspek kemudian terus memecut melarikan diri," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Dalam kejadian pada 8 Julai lalu, seorang guru penolong kanan maut ditembak sebanyak tiga das dari jarak dekat ketika baru keluar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor dekat Bachok, yang dipercayai kerana masalah hutang. Nashir seterusnya berkata, polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian menemukan beberapa butir kelongsong peluru yang dipercayai digunakan suspek. Katanya, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu dan sekiranya kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan pembunuh upahan. "Kita akan mengambil keterangan daripada beberapa pihak termasuk ahli keluarga mangsa," katanya yang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk dibedah siasat. Sementara itu, salah seorang saksi, Mat Lin Saad, 35, berkata, semasa kejadian dia memandu kereta Perodua Viva di hadapan kenderaan mangsa. Katanya, apabila sampai berhampiran simpang lampu isyarat tersebut, dia terdengar bunyi seperti mercun tetapi tidak menghiraukannya. "Namun tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi sebuah kereta melanggar belakang kereta saya. Saya turun dan dapati orang ramai mengerumuni kenderaan mangsa. "Mangsa yang berlumuran darah dilihat meronta-ronta di kerusi penumpang depan sebelum terduduk diam," katanya. Seorang lagi saksi, Zulkefli Itam, 45, berkata, ketika kejadian dia berada bersebelahan jalan dan melihat dua lelaki menaiki motosikal mengekori kenderaan mangsa. "Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi seakan-akan mercun dan dua lelaki yang menaiki motosikal tersebut terus memecut laju ke arah Taman Selasih," katanya. |
Kes culik ada kaitan tindakan pasangan kontroversi Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT KUALA LUMPUR 18 Julai - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan, pendakwaan terhadap Alvin Tan dan Vivian Lee dibuat lanjutan daripada kejadian seorang individu yang diculik dan dipukul oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali dipercayai rentetan tindakan pasangan kontroversi itu. Menurut beliau, memandangkan pasangan itu mempunyai kecenderungan memuat naik kandungan yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai, Jabatan Peguam Negara turut membuat permohonan supaya mereka tidak dilepaskan dengan sebarang jaminan sementara menunggu perbicaraan. ''Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara meminta semua pihak berhenti memberi sebarang kenyataan atau membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut bagi mengelak sebarang perbicaraan melalui media,'' kata beliau dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini. Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau nama penuhnya Lee May Ling, 24, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan. Mereka didakwa memuat naik gambar dengan komen Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!) mengandungi logo halal dalam laman Facebook mereka iaitu ''Alvin and Vivian-Alvivi'' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers. Pasangan blogger itu turut didakwa memuat naik penerbitan yang sama di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini yang mana perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan. Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa mempamerkan gambar yang didapati lucah di laman web www.alviviswingers.tumblr.com antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu. Mereka tidak dibenarkan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |