Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 01 Jul 2013 11:30 PM PDT Kecederaan teruk pada bahagian kaki seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa dera bapa tiri dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. YANG paling terbaharu, tiga kanak-kanak lelaki di Kuala Terengganu dipercayai didera oleh bapa tiri mereka dan salah seorang daripada mereka ditemui dalam keadaan kritikal bersendirian terkurung di dalam rumah. Ketika ini, anak kecil berkenaan masih dirawat di hospital dan ibu kandung serta bapa tirinya yang dipercayai positif dadah telah dihadapkan ke muka pengadilan. Sebelum itu, seorang lelaki ditahan polis kerana dipercayai mendera anak teman wanitanya yang berusia dua tahun sehingga menyebabkan kematian akibat dipukul dengan kayu. Malah, terdapat beberapa kes penganiayaan yang dilakukan terhadap anak-anak, ibu dan teman lelaki mereka disyaki bersekedudukkan, namun rela berdiam diri dan membiarkan anak-anak mereka menderita akibat didera. Kes-kes berkenaan adalah antara yang dilaporkan, hakikatnya mungkin ramai lagi anak-anak kecil yang menderita akibat menjadi mangsa deraan ahli keluarga terdekat yang masih tersembunyi dalam lipatan kemelut sosial masyarakat pada hari ini. Apa yang menjadi persoalannya sekarang, di mana fungsi seorang ibu yang seharusnya menjadi pelindung apabila anak mereka terancam secara fizikal mahupun seksual. Malah, lebih parah lagi sekiranya ibu itu turut sama bersekongkol mendera anak mereka atas suatu 'alasan' yang mereka sahaja ketahui. Dalam kes kanak-kanak lelaki yang ditemui terkurung di Kuala Terengganu, difahamkan ibu mereka yang berkahwin dengan bapa tiri mereka sejak 10 bulan lalu selepas kematian suaminya mengetahui anaknya didera, bagaimanapun takut untuk berbuat apa-apa kerana dia juga diugut. Sebagai ibu, bukankah golongan ini sepatutnya rela 'menggadaikan' nyawa untuk menyelamatkan anak kecil mereka daripada sebarang bahaya, berbanding mendiamkan diri melihat segala penyeksaan yang berlaku terhadap anak sendiri. Menurut Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh, hakikatnya apabila perasaan cinta secara membuta-tuli telah menguasai diri seseorang wanita itu, pastinya segala tindak-tanduk yang akan dilakukan adalah tidak rasional lagi. Jelasnya, seorang ibu itu sepatutnya mempunyai jiwa keibuan yang menebal, tetapi pada sesetengah kes, mungkin disebabkan pengaruh alkohol atau dadah, pertimbangan akal fikiran mereka sudah tidak waras lagi. "Dari satu segi, kebergantungan keterlaluan terhadap lelaki atau suami juga menjadikan mereka takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa dan sanggup berdiam diri melihat anak kandung mereka didera. "Maksud kebergantungan keterlaluan ini termasuklah golongan ibu itu terpaksa bergantung sepenuhnya terhadap lelaki berkenaan untuk menampung kehidupan dari segi ekonomi, mahupun emosi. "Faktor seterusnya adalah mungkin kerana ugutan. Ibu-ibu ini berasa takut untuk melarikan diri atau melaporkan keadaan anak-anak mereka kerana menerima ugutan daripada teman lelaki yang boleh mendatangkan kecederaan terhadap mereka," kata Hushim lagi. Dalam pada itu Hushim memberitahu, sesetengah daripada wanita kini, jati diri mereka tidak kental, justeru apabila berlaku sesuatu tragedi terhadap diri mereka menyebabkan golongan ini hilang pertimbangan. Itu sebab ujarnya, ramai dalam kalangan wanita dahulu yang bercerai sama ada hidup mahupun mati enggan berkahwin lagi kerana tidak mahu menanggung risiko anak-anak mereka dipersia-siakan oleh bapa tiri. "Sebenarnya masyarakat kita pada hari ini semakin banyak yang menderita mental dan jiwa, cuma tidak terdedah sepenuhnya kepada orang ramai. "Penyakit jiwa dalam senyap atau dipanggil psikosis ini yang menyebabkan seseorang itu sanggup bertindak kejam terhadap individu lain dan mahu orang lain berada di bawah telunjuknya dan membuli yang boleh menimbulkan kepuasan kepada dirinya," katanya. Dalam pada itu Hushim turut mencadangkan agar ujian saringan mental dapat dilakukan terhadap bakal suami atau isteri yang akan berumahtangga sebagai langkah berjaga-jaga agar pasangan tidak hidup bersama dengan insan yang tidak 'waras' jiwanya. Sementara itu Pensyarah Kaunseling Universiti Utara Malaysia, Sabasiah Husin berkata, apakah kewajaran seorang wanita yang baharu bertemu dengan seorang lelaki namun mudah meletakkan kepercayaan dan harapan untuk meninggalkan anak-anak di bawah pengawasan mereka. "Mungkin ketika bersama, mereka kelihatan baik tetapi boleh berubah sekelip mata akibat pengaruh alkohol ataupun dadah. "Salahnya pada wanita jenis ini yang terlalu bergantung harap kepada lelaki supaya merasakan diri mereka lebih terlindung dan berupaya mendapatkan kepuasan batiniah. "Tiada apa yang peliknya, sekiranya mereka ini meletakkan kuasa cinta sebagai yang pertama dan meletakkan harga anak-anak di tempat yang kedua menyebabkan kebajikan anak dipertaruhkan," ujar Sabasiah. Sebenarnya menurut Sabasiah, masyarakat hari ini sudah sangat rapuh soal keimanan mereka sehinggakan sekiranya mengetahui anak-anak atau ahli keluarga mereka terlibat dengan kes bersekedudukkan, tiada pula apa-apa tindakan yang dilakukan untuk membendung gejala itu. Sehinggalah sesuatu berlaku kepada anak-anak kecil atau cucu mereka, baharulah mereka melahirkan rasa kekesalan yang amat sangat. Dalam pada itu Sabasiah menjelaskan, kes-kes penderaan terhadap anak-anak seperti ini akan berlaku terhadap golongan wanita yang juga berhadapan dengan masalah atau kemelut kehidupan mereka sendiri atau trauma dan tertekan dengan sejarah silam keluarga. Sebenarnya, dalam keadaan seperti ini, wanita berkenaan yang perlu diberi kaunseling kerana menjalani kehidupan yang penuh dengan tekanan. Menurut Sabasiah, seorang wanita mempunyai pilihan untuk meneruskan kehidupan mereka dengan mendahulukan keselamatan dan kebahagiaan anak-anak agar tidak terjebak untuk memilih lelaki yang salah dalam hidup mereka. "Fitrah sebagai seorang ibu adalah sanggup untuk melindungi anak-anak dalam apa jua keadaan. "Kalau terjumpa lelaki yang kurang 'waras' begini, dinasihatkan tidak bersuami pun tidak apa, asalkan anak-anak anda selamat," katanya. - ROSMAH DAIN |
Posted: 01 Jul 2013 11:30 PM PDT Oleh ROSMIZAN RESDI KETIKA pemuda seusianya sibuk membina kerjaya serta meniti kehidupan sendiri, namun bagi Wan Mohd. Fakhrul Anwar Abu Bakar, 27, tiada yang lebih penting selain tanggungjawab terhadap ibu tercinta. Wan Mohd. Fakhrul Anwar tidak pernah merungut apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan sejak ibunya terlantar sakit akibat diserang angin ahmar lima bulan lalu di Kampung Seberang Pasir Mas, Salor, Kota Bharu, Kelantan. Didorong rasa tanggungjawab, dia mengambil keputusan berhenti kerja bagi membuktikan kasih sayang seorang anak kepada wanita yang telah melahirkannya. Anak keempat daripada lima beradik yang sebelum ini bekerja sebagai pelukis mural kini menguruskan ibunya, Remalah Shafeim, 64, yang memerlukan penjagaan rapi akibat penyakit yang dideritai. Bukan itu sahaja, sebelum ini, Wan Mohd. Fakhrul juga terpaksa berhenti belajar kerana tidak mampu meneruskan pengajiannya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, akibat kesempitan hidup selepas kematian ayahnya, Abu Bakar Ismail pada 2009. "Selepas kematian ayah, saya terpaksa berhenti belajar kerana tidak mampu menampung kos pengajian. Selepas itu, saya bekerja sebagai pelukis mural bagi menambah pendapatan keluarga. "Namun, selepas dua tahun bekerja, ibu pula diserang angin ahmar ketika bekerja sebagai pembantu kedai makan dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Salor pada 11 Februari lalu sebelum lumpuh separuh badan dan memerlukan rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini. Menurutnya, dia terpaksa berhenti kerja dan menumpukan masa sepenuhnya menjaga segala keperluan ibu seperti menyuap makanan dan minuman khas berupa susu, selain menukar lampin pakai buang setiap hari. "Hanya ini yang mampu saya lakukan untuk ibu tercinta. Dengan cara ini juga saya dapat membalas jasanya yang selama ini tanpa jemu mendidik dan menjaga kami adik beradik. "Kami akan cuba sedaya upaya membantu ibu walaupun sedar kami tidak berkemampuan menampung segala keperluan serta rawatan ibu yang memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1,500 sebulan," katanya sambil menahan sebak. Wan Mohd. Fakhrul Anwar berkata, mereka tidak mampu menampung perbelanjaan tersebut memandangkan abang sulungnya, Wan Mohd Fazul, 37, bekerja sebagai pembantu kedai makan. Manakala abang keduanya, Wan Mohd. Fadzli, 29, hanya bekerja sebagai tukang rumah. Sementara kakak ketiganya, Wan Mazura, 28, bekerja sebagai promoter di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur dan adik bongsu, Wan Noraini, 22, masih menuntut di sebuah universiti tempatan. "Setakat ini, kami menerima bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sebanyak RM250. Namun, jumlah itu masih tidak mencukupi. "Saya pernah membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan untuk bantuan bulanan. Tetapi permohonan ditolak dengan alasan bantuan hanya boleh disalurkan jika penyakit ibu yang lumpuh separuh badan sudah memasuki tempoh lebih enam bulan," ujarnya. Katanya, hampir RM6,000 wang simpanan yang dikumpul ketika bekerja dibelanjakan untuk membeli barang keperluan dan membiayai kos rawatan ibunya. Keadaan rumah mereka turut uzur dengan lantai papan rumah kayu itu semakin reput dan banyak yang berlubang. "Saya amat berharap ada pihak yang sudi membantu keluarga kami kerana apa yang paling penting adalah kesihatan ibu," kata Wan Mohd. Fakhrul Anwar penuh harap. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |