{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Dadah, rokok seludup dimusnahkan

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

Kakitangan Maritim Malaysia memasukkan karton rokok haram dalam mesin pelupusan pada satu majlis di Batu Pahat, kelmarin.

JOHOR BAHRU 2 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) daerah Batu Pahat melupuskan kira-kira 220,000 batang rokok seludup dan dadah jenis ketamin serta syabu bernilai kira-kira RM875,000 semalam.

Ketua Penguat Kuasanya, Leftenan Komander Maritim Iskandar Ishak berkata, kesemua rokok dan dadah tersebut adalah hasil rampasan dan kejayaan pasukan berkenaan sejak awal tahun lalu sehingga Mac tahun ini.

"Kebanyakan kes berkaitan rokok dan dadah yang tidak sah berjaya diselesaikan pihak kami dan hasil rampasan dilucutkan hak serta dimansuhkan dengan mencarik lalu membakarnya supaya tidak timbul sebarang keraguan.

"Proses pelupusan tersebut dibuat dengan kerjasama Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (GPTM) yang menyediakan mesin pelupusan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iskandar berkata, permintaan terhadap rokok putih dan keretek tidak sah dalam pasaran tempatan menyumbang kepada peningkatan penyeludupan rokok seumpama itu di negara ini.

Bagaimanapun, pihaknya mempunyai perancangan tersendiri bagi membendung kes penyeludupan rokok dan dadah yang menjadikan perairan Batu Pahat sebagai pintu masuk dari negara jiran bagi kegiatan haram tersebut.

"Maritim Batu Pahat akan meningkatkan kawalan keselamatan termasuk rondaan dan operasi khas bagi menangani segala bentuk aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim," katanya.

KPMNJ sasar 10 peratus KDNK menjelang 2020

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

JOHOR BAHRU 2 Julai - Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Bhd. (KPMNJ), akan memberi tumpuan terhadap bidang perniagaan berimpak tinggi sebagai usaha mencapai sasaran 10 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Pengerusinya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, antara bidang yang akan diberikan penekanan termasuk perladangan, kewangan Islam, peruncitan serta pemborongan, perkhidmatan pengangkutan awam dan perhotelan.

Beliau memberitahu, KPMNJ juga sedang mencari peluang untuk melibatkan diri dalam bidang hartanah yang dilihat akan memberikan pulangan tinggi selain memberi manfaat kepada masyarakat.

"Hingga kini, sumbangan koperasi di Malaysia kepada KDNK hanya 0.8 peratus dan kita akan melaksanakan pelbagai usaha bagi menjayakan hasrat menyumbang sebanyak 10 peratus pada 2020.

"Sebagai permulaan, kita menetapkan sasaran tiga peratus sumbangan bagi tahun ini dan kita akan terus meneroka bidang-bidang perniagaan yang mampu memberikan impak besar," katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-18 KPMNJ di Pasir Gudang, dekat sini semalam.

KPMNJ merupakan antara koperasi yang aktif dan berdaya saing di negeri ini dengan ahlinya kini mencecah 9,000 orang dan sebanyak 14 syarikat menjadi ahli koperasi.

Pada majlis berkenaan, KPMNJ turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM7,474 kepada Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia selain turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak ahli koperasi yang cemerlang dalam pelajaran.

Sementara itu, Mohamad Ali merayu kerajaan negeri menimbang semula permohonan KPMNJ bagi mendapatkan tanah yang dijanjikan, selain tanah-tanah terbiar untuk dibangunkan secara sendiri atau bersama pihak berkepentingan.

Selain itu, beliau turut memohon kerajaan negeri memberi pihaknya ruang termasuk ekuiti dalam segala kegiatan pembangunan ekonomi di kawasan-kawasan seperti Iskandar Malaysia dan Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang.

"Kita tidak mahu ketinggalan dalam limpahan pembangunan yang sedang rancak berlaku, sebaliknya mahu terlibat secara langsung dalam memajukan negeri ini," katanya.

Perpustakaan konsep keluarga

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

Tunku Aminah Sultan Ibrahim melihat buku di Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM sambil ditemani Dr. Mohd. Noh Dalimin di UTHM, Batu Pahat, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 2 Julai - Perpustakaan Tunku Tun Aminah yang merupakan perpustakaan tercanggih di negeri ini bukan sahaja membuka keahliannya kepada mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), malah turut menerima keahlian daripada komuniti luar.

Ketua Pustakawan Perpustakaan Tunku Tun Aminah, Bharun Narosid Mat Zin berkata, bangunan perpustakaan yang mempunyai keluasan 16,000 meter persegi itu turut mengetengahkan konsep perpustakaan keluarga, sekali gus membenarkan kemasukan kanak-kanak.

"Berikutan itu, UTHM menyediakan perpustakaan kanak-kanak yang membolehkan ibu bapa meninggalkan anak mereka sementara mendapatkan bahan bacaan yang dikehendaki," katanya selepas majlis perasmian perpustakaan tersebut yang disempurnakan oleh anakanda Sultan Johor, Tunku Aminah Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin; Pegawai Daerah Batu Pahat, Wahab Ridwan, ahli-ahli Lembaga Pengarah UTHM, wakil pemimpin setempat, pegawai kanan universiti, kakitangan dan penuntut UTHM.

Dalam gimik perasmiannya, Tunku Aminah turut diberi penerangan tentang latar belakang perpustakaan setinggi lima tingkat yang siap dibina pada 2010 dan boleh menampung kapasiti sehingga 3,000 pengguna dalam satu-satu masa.

Ia turut dilengkapi 40 bilik perbincangan, dua bilik seminar, Pejabat Canselori yang menempatkan Pejabat Naib Canselor, Dewan Jemaah, Bilik Mesyuarat Eksekutif, Dewan Jamuan, Bilik Jamuan Eksekutif dan dewan-dewan kuliah untuk kegunaan mahasiswa.

Bharun berkata, selain ratusan ribu buku, terdapat 40,000 jurnal disediakan di perpustakaan tersebut untuk komuniti dari dalam dan luar UTHM.

"Pada masa ini, perpustakaan telah mempunyai 200,000 naskhah monograf, 10,000 judul tesis, 40 judul jurnal bercetak, 50 judul majalah dan 22,000 unit bahan audio visual. Pihak perpustakaan juga telah melanggan perkhidmatan 26 pangkalan data, empat e-books dan 380 judul e-journals," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat