Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 03 Jul 2013 11:30 PM PDT Azlinda Arshad (berdiri) mengendalikan kelas membuat aksesori. BERBEZA dengan kehidupan bandar yang lebih menyendiri atau privasi, sukar bertemu dengan jiran walaupun tinggal bersebelahan. Ramai yang tidak mengenali atau mengetahui nama jiran di sebelah rumah apatah lagi jiran-jiran yang tinggal berhampiran. Namun dengan adanya aktiviti-aktiviti tertentu yang dilakukan oleh individu tertentu, hubungan sesama jiran dapat dipereratkan. Berkunjung ke rumah Wan Mahyumi Wan Mohd. Fizi di Sunway Kayangan, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, beberapa orang suri rumah yang merupakan jiran beliau turut berada di sana. Rumah Wan Mahyumi atau ringkasnya Yumi menjadi tempat untuk jiran berkumpul mempelajari beberapa aktiviti berfaedah seperti membuat aksesori dan sebagainya. Menurut Yumi, dengan adanya aktiviti seperti ini, hubungan dengan jiran akan menjadi lebih mesra. Mereka akan sering bertemu dan bertanya khabar. Tambah beliau lagi, kelas manik atau membuat aksesori telah dimulakan di rumah beliau sejak tiga minggu lalu dan disertai oleh tujuh orang jiran wanita. Mereka mendapat tunjuk ajar daripada Azlinda Arshad, pakar membuat aksesori yang mempunyai koleksi sendiri, iaitu MahaniMoleque. Mereka terdiri daripada suri rumah yang berusia di antara 40-an hinggalah 60-an yang meluangkan masa untuk mempelajari sesuatu yang boleh memberikan pendapatan sampingan. Salah seorang peserta, Wan Salamiah Wan Abdul Rahman berkata, setelah bersara lebih 10 tahun lalu, beliau mempunyai banyak masa di rumah. Apabila diberitahu mengenai kelas manik ini beliau lantas setuju kerana sekurang-kurangnya beliau dapat berkenalan dengan jiran-jiran lain. ''Memandangkan usia saya yang telah lebih 60 tahun memanglah tak ada keperluan untuk belajar kelas membuat aksesori ini. Namun saya rasa tak salah kita belajar walaupun dalam usia seperti ini. ''Walaupun saya sendiri tidak memakai aksesori seperti ini, masih boleh juga dihadiahkan pada anak-anak, cucu atau kawan-kawan," ujarnya. Nooral Lafuziah Zainal Abidin pula berkata, walaupun hanya dapat belajar sebulan sekali, membuat manik dan aksesori ini bukanlah susah. ''Mula-mula ini buat yang ringkas sahaja tapi lama-kelamaan tentu boleh buat yang lebih cantik dan boleh dijual untuk tambah pendapatan. ''Saya memang berminat dengan kerja-kerja tangan seperti ini dan suami pula tidak menghalang. Selesai kerja di rumah, baru saya datang ke sini. Kalau tak ada kelas macam ini, memang susah berjumpa dengan kawan-kawan yang tinggal satu taman,'' katanya. Seorang lagi peserta, Siti Fatimah Rusli pula cukup seronok kerana dapat mempelajari sesuatu yang baru, iaitu membuat aksesori yang kini menjadi minat ramai. ''Harga aksesori yang dijual mahal juga. Lebih baik kita belajar dan buat sendiri. Selain boleh dipakai sendiri, boleh juga dijual. ''Seronok ada aktiviti seperti ini. Bukannya senang nak berjumpa dengan kawan-kawan kalau tak ada aktiviti seperti ini kerana masing-masing sibuk dengan kerja rumah,'' tambahnya. Latifah Abdullah yang nampak tekun membuat gelang tangan berkata, dahulu semasa anak-anak masih kecil beliau tidak mempunyai masa untuk belajar sebarang kerja tangan. Namun kini setelah anak-anak besar, masanya semakin banyak terluang. Apabila diajak menyertai kelas ini, beliau cukup seronok kerana ada perkara baru yang boleh dipelajari untuk diri sendiri dan keluarga. - MERAN ABU BAKAR |
Posted: 03 Jul 2013 11:30 PM PDT Pilihan rekaan langsir yang sesuai mampu menyerlahkan hiasan dalaman kediaman secara keseluruhan. Masih ada sebulan lagi namun persiapan sudah semakin rancak. Begitulah suasana yang berlaku apabila menjelang kedatangan Aidilfitri. Biasanya antara persiapan awal ialah mengganti langsir yang menjadi penghias jendela. Malah ramai percaya tingkap merupakan jendela kepada jiwa sesebuah rumah dan perhiasan tingkap merupakan elemen yang penting dalam kehidupan berkualiti. Pengolahan aksesori tingkap yang berfungsi dan direka dengan baik bukan sahaja mencerminkan personaliti dan cita rasa penghuni, bahkan turut menyerlahkan hiasan dalaman rumah secara keseluruhan. Pada masa sama ia memainkan peranan praktikal seperti memberi privasi dan kawalan cahaya. Berkongsi semangat tersebut, peneraju perhiasan tingkap dan fabrik terkenal, Elyza's , menyambut musim perayaan ini dengan enam koleksi fabrik terbaru dan empat tema rekaan utama iaitu Cottage Romance, New Classic, Urban Living dan Young and Trendy. Pengasas dan Ketua Pegawai Operasi ELYZA'S Home (M) Sdn Bhd, Elyza Yong, berkata, pelancaran koleksi terbaru ini adalah seiring dengan trend pembinaan rumah hari ini yang banyak mengambil konsep seni bina kontemporari. "Kami sangat peka dengan trend semasa dan bagaimana ia memberi impak ke atas pilihan untuk menghias kediaman. "Oleh itu kami mencipta koleksi kain dan gaya perhiasan tingkap terbaru yang bakal memenuhi cita rasa iaitu kesederhanaan dan kontemporari," katanya. Yong berkata, gaya hidup sibuk pengguna yang moden memerlukan mereka memilih rekaan yang mudah dan senang diadunkan serta dipadankan untuk situasi yang berbeza. Apa yang penting hiasan jendela tersebut mesti tampak elok dan berfungsi dengan baik. Beliau juga menjangkakan permintaan akan semakin meningkat untuk penyelesaian perhiasan tingkap yang bergaya dan ringkas tetapi praktikal. "Oleh itu ringkas namun bergaya (stylish simplicity) merupakan fokus kami pada tahun ini dan juga untuk tahun-tahun yang akan datang. "Berdasarkan pemerhatian, trend perhiasan tingkap telah berubah daripada formal kepada tidak formal, daripada berat kepada ringan, daripada robol kepada lisu mudah dan daripada pelbagai lapisan kepada lapisan tunggal. " Secara ringkas, ia telah berubah daripada tradisional kepada kontemporari," kata Yong. Justeru beliau mengharapkan enam koleksi fabrik terbaru Elyza's yang secara keseluruhannya mampu memenuhi gaya hidup pelbagai pemilik rumah, daripada klasikal, kedesaan (country), kebandaran (urban) kepada muda dan bergaya akan menjadi jawapan untuk gaya hidup yang indah. Selaras dengan konsep rekaan ringkas namun bergaya, pihaknya memperkenalkan dua sistem langsir khas iaitu Ripplefold dan Flexifold dari Forest Group Nederland. "Langsir Ripplefold menyerupai gelombang berterusan yang unik apabila dibuka dan ditutup. Ia mewujudkan lipatan seakan riak lembut, yang mengalir lancar dari satu hujung trek ke trek yang lain. "Keseragaman dalam kelembutan golekkan (rolling) sepanjang panel mewujudkan rupa baru yang langsing, bersih dan elegan untuk ruang kontemporari. "Selain itu, penyelenggaraan yang rendah, penggunaan fabrik yang kurang, pergerakan lancar yang berkekalan dan bergaya, merupakan beberapa kelebihan tambahan gaya langsir baru ini," kata Yong. Dalam pada itu katanya, sistem Flexifold adalah pada asasnya sama seperti Ripplefold dari segi pandangan rupa dan fungsi. Perbezaan utama adalah kebolehannya menyelaraskan saiz lipatan kepada lebih besar atau lebih kecil, mengikut cita rasa pengguna sekali gus mewujudkan lebih banyak pilihan gaya. Sempena pelancaran koleksi baru ini dan sambutan hari raya, Elyza's sedang menawarkan promosi pra-tempahan Hari Raya Aidilfitri yang bakal berakhir pada 15 Julai ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |