{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Nahas lokasi kerja meningkat

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh Haniza Hassan
utusanjohor@utusan.com.my

R. VIDYANATHAN bersalaman dengan para peserta dalam majlis perasmian Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerja di Hotel Selesa, Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 4 Julai - Para majikan di negeri ini terus digesa memberi sepenuh perhatian kepada aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja ekoran statistik kemalangan dan kejadian kecemasan yang berlaku di lokasi berkenaan semakin meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyanathan berkata, statistik tahun ini sehingga Jun menyaksikan sebanyak 40 kes melibatkan kematian di tempat kerja dengan 29 kes hilang upaya kekal.

Beliau berkata, bagi kecederaan tergolong dalam kategori tidak hilang upaya kekal merekodkan angka sebanyak 580 kes dan kes kecemasan lain adalah sebanyak 13 kes.

"Jumlah tersebut biarpun nampak biasa namun agak membimbangkan dan kita khuatir jika tidak diambil perhatian dan tindakan sewajarnya akan terus meningkat sekali gus memberi kesan kepada tahap produktiviti dan daya saing sesebuah organisasi.

"Setiap majikan perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengawal penggunaan bahan kimia berbahaya, pengurusan keselamatan kebakaran dan pengurusan sistem Keselamatan, Kesihatan dan Pekerjaan (OSH) yang akan membantu mereka dalam merencana tindakan susulan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Beliau berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan anjuran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MMPG) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Kecemasan Pasir Gudang (Pagema), Pusat Pembangunan Tenaga Industri Johor (Puspatri) dan beberapa agensi lain di sini hari ini.

Tahun lalu, jumlah kes melibatkan kematian sebanyak 26 kes, hilang upaya kekal (63), tidak hilang upaya kekal (1,287) dan kecemasan (28).

Tambah Vidyanathan, dalam tempoh sama tahun ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mengambil tindakan undang-undang terhadap 16 majikan dan mengenakan kompaun terhadap tujuh majikan melibatkan jumlah sebanyak RM60,000.

Katanya, komitmen berterusan perlu diterapkan setiap majikan dan pekerja bagi mencegah kemalangan, penyakit pekerjaan mahupun kejadian berbahaya yang boleh berlaku kepada pekerja.

"Setiap majikan perlu pragmatik dan menghindari sikap sedia dan tunggu pegawai daripada DOSH mengambil tindakan undang-undang. Majikan dan pekerja sepatutnya mengamalkan budaya mencegah sebelum sesuatu kejadian," katanya.

MDT berazam beri khidmat terbaik

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh Zulhisham Isahak
utusanjohor@utusan.com.my

LEDANG 4 Julai - Majlis Daerah Tangkak (MDT) berazam memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai tanpa mengira kaum selaras penganugerahan Sijil MS ISO 9001: 2008 diberikan oleh SIRIM Berhad, di sini hari ini.

Yang Dipertuanya, Ab. Han Ramin berkata, penganugerahan itu menjadi wadah baharu kepada warga pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam memberi perkhidmatan terbaik dan lebih mendekati penduduk setempat yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

"Peranan dan fungsi PBT dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam amat penting kerana orang ramai menganggap PBT kerajaan bagi mereka.

"Dalam erti kata lain, pada pandangan orang ramai, sekiranya baik mutu perkhidmatan diberikan PBT, maka baiklah mutu perkhidmatan awam atau kerajaan dan begitulah juga sebaliknya," katanya dalam majlis penyampaian sijil itu di sini.

Ab. Han berkata, walaupun MDT bukan PBT pertama di negeri ini dianugerahkan sijil itu, namun anugerah itu cukup bermakna buat warga kerjanya yang mempunyai keazaman tinggi dan sangat komited dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan demi pembangunan di daerah ini.

Beliau berkata, usaha untuk melaksanakan MS ISO 9001:2008 sudah dilakukan secara serius sejak 2010 iaitu proses kritikal dan menjadi tumpuan pelanggan di MDT membabitkan sembilan jabatan di bawahnya.

Katanya, sijil yang diperoleh itu sah bermula 12 April tahun ini hingga 11 April 2015 dan pencapaian itu amat membanggakan dalam usaha memaju serta meningkatkan mutu perkhidmatan menerusi pemakaian sistem pengurusan berkualiti diiktiraf antarabangsa.

"Hasrat kerajaan mengguna pakai MS ISO 9001:2008 ini sebagai strategi menerapkan budaya kerja cemerlang dalam perkhidmatan awam, bukan saja dapat menghasilkan perkhidmatan terbaik dan memberi kepuasan kepada pelanggan tetapi meningkatkan budaya saing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

"Ini akan memberikan petunjuk kekuatan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan yang menjadi teras MDT," katanya.

MDT juga, kata beliau, komited dalam usaha memberikan perkhidmatan ke tahap tertinggi menerusi Pelan Strategik MDT yang bermula sejak 2009 hingga 2015 dengan sasaran membawa perubahan kepada kakitangan serta kepuasan kepada pelanggan.

Tanah perkuburan Islam baharu di Mawai

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

KOTA TINGGI 4 Julai - Masyarakat di sekitar Kampung Makam di sini, tidak perlu bimbang dengan keadaan Tanah Perkuburan Islam Makam Bendahara yang dijangka penuh dalam masa dua tahun lagi kerana satu lagi kawasan baharu untuk pengebumian orang Islam akan dibuka.

Walau bagaimanapun, Pegawai Tadbir Agama Daerah Kota Tinggi, Mohd. Taufik Kiyai Shamsudin berkata, Tanah Perkuburan Islam Makam Bendahara seluas 2.42 hektar itu akan digunakan sepenuhnya terlebih dahulu.

"Kita telah memperuntukkan tapak tanah perkuburan baharu seluas 15 hektar di Kilometer 54, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran Pejabat Hutan Batu 6, Jalan Mawai.

"Namun, sebelum itu kita akan penuhkan dahulu jenazah-jenazah di makam berhampiran iaitu Makam Dagang dan Makam Sultan di sini," katanya dalam Program Mengenang Jasa Ibu Bapa di Tanah Perkuburan Islam Makam Bendahara, Kampung Makam, di sini semalam.

Program anjuran Unit Dakwah Bil Hal, Bahagian Dakwah, Pejabat Kadi Daerah Kota Tinggi tersebut diisi dengan taklimat dan bacaan tahlil ringkas, menziarahi pusara dan bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan tersebut.

Program itu disertai lebih 120 kakitangan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Jabatan Kerja Raya Daerah, Majlis Daerah Kota Tinggi, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Pasukan Sukarelawan Malaysia dan pelajar Sekolah Menengah Vokasional Kota Tinggi.

Menyentuh mengenai program tersebut, Mohd. Taufik berkata, amalan menziarahi kubur adalah ibadat sunah untuk mendidik umat Islam mengingati kematian selain menyuburkan semangat dan nilai murni dalam masyarakat.

"Oleh itu, diharap masyarakat tidak hanya tunggu hari raya atau setahun sekali baru hendak ziarah kubur, malah ada juga yang tidak tahu di mana kubur ibu mereka atau mengharap jabatan agama yang bersihkan kubur. Amalan yang baik ini seharusnya dikekalkan terutama apabila ada kelapangan," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat