Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan FAEZAH IZZANI KUALA LUMPUR 26 Julai - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin proses pemilihan parti itu yang bakal berlangsung tahun ini bukan sahaja menjadikan parti terbesar orang Melayu tersebut lebih kuat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, malah lebih berorientasikan rakyat. Jelas beliau, dengan pemilihan barisan kepimpinan parti bakal ditentukan seramai 150,000 ahli yang layak mengundi selaras dengan perlembagaan baru, UMNO bukan sahaja lebih terbuka dan demokratik tetapi percaya lebih ramai pemimpin yang bakal dipilih nanti merupakan tokoh yang diterima rakyat. Hasil transformasi ke atas UMNO katanya, ahli-ahli parti itu berupaya memilih pemimpin yang dapat meletakkan parti teras dalam Barisan Nasional (BN) itu di atas asas lebih kukuh dan pada masa yang sama menjadikannya sebagai wadah yang bukan sahaja diterima baik, malah menjadi pilihan rakyat. "Inilah yang paling penting sekali. Kita bukan sahaja mahu pemimpin berjaya dalam parti tetapi turut berjaya dalam pilihan raya. Sebagai parti pilihan rakyat kita mesti mengetengahkan pemimpin yang disenangi rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT) di sini hari ini. Yang turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; dua Naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta kesemua ketua sayap parti. Dalam pada itu, Najib percaya pada pemilihan yang bermula 7 September dan berakhir pada 5 Oktober nanti lebih ramai muka baru akan terpilih, namun keputusan akhir katanya terletak pada tangan ahli kerana mereka bertanggungjawab memutuskan siapa bakal diangkat sebagai barisan kepimpinan UMNO. Menurutnya, pendaftaran calon bagi semua jawatan bermula 7 September sebelum disusuli persidangan serta pemilihan sayap pergerakan yang akan dibuat pada 28 September, manakala persidangan perwakilan bahagian serentak dengan pemilihan Majlis Tertinggi pula berlangsung pada 5 Oktober. "Mereka yang berminat bertanding MT, bahagian dan sayap pergerakan parti boleh mendaftar sebagai calon di Badan Perhubungan UMNO negeri pada 7 September ini. "Tarikh Perhimpunan Agung UMNO pula akan berlangsung mulai 2 hingga 7 Disember iaitu dari hari Selasa hingga Sabtu," katanya. Mengenai keahlian terbaru UMNO, Najib berkata, terdapat penambahan 113,959 ahli baru dari 1 Januari hingga 22 Julai tahun ini menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 3,441,946 ahli. Sementara itu Najib turut mengumumkan pelantikan enam pengerusi baharu Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Timbalannya bagi Perlis, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor yang diputuskan dalam mesyuarat MT hari ini. |
Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT Oleh KASTHURI JEEVENDRAN Tan Tuan Tat (kiri) bersama bekas Bendahari DAP Balakong, Yap Kon Ming berbincang selepas selesai sidang akhbar berhubung sikap sebenar Karpal Singh di Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 26 Julai - Pengerusi DAP, Karpal Singh dibidas kerana 'menutup mata dan telinga' dalam semua dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam partinya walaupun sering menonjolkan diri sebagai pejuang rakyat. Justeru, Karpal dicabar untuk bersikap lebih telus dan mengotakan slogan retoriknya dengan tampil menjawab setiap dakwaan beserta bukti kukuh. Bekas Ketua Cawangan DAP, Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat mendakwa, Karpal seolah-olah bersikap pilih bulu dengan 'membela' penyelewengan serta dakwaan penipuan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada Disember lepas tanpa siasatan rapi. "Baru-baru ini Karpal tampil membuat dakwaan bahawa buku hasil karangan Father Agustus Chen itu sebenarnya satu penipuan yang boleh menjatuhkan DAP. Apa bukti beliau berkata demikian? "Bagaimana pula dengan dakwaan seramai 547 perwakilan haram telah hadir mengundi pada CEC lepas? Kita tidak harus lupa, Karpal pernah mengakui kesilapan pengiraan undi itu sebenarnya perkara paling memalukan parti. Mengapa tiada apa-apa tindakan daripada parti atau Karpal selepas itu?," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar berhubung perkara itu di sini hari ini. Menurut Tuan Tat, Karpal hanya pandai bercakap bahawa parti dan dirinya memperjuangkan agenda rakyat namun jika dilihat dengan mata kasar, ia seolah-olah bersifat peribadi. "Mengapa Karpal tidak berbuat apa-apa dengan dakwaan ahli DAP sendiri mungkin terdapat unsur penyelewengan dalam pemilihan parti? Microsoft Excel dipersalahkan kerana terdapat salah kira undi, mengapa tidak pernah ada sebarang penjelasan? "Bagaimana pula dengan dakwaan terdapat 753 ahli sah yang layak mengundi telah dinafikan hak mengundi pada hari tersebut? Adakah Karpal pernah membuat sebarang penyiasatan berhubung dakwaan itu? Juga adakah beliau benar-benar mendapat undi ketiga terbanyak dalam pemilihan itu," soalnya. Jelasnya, DAP begitu teruja memainkan isu penipuan undi Pilihan Raya Umum (PRU) lepas seperti isu terdapat 40,000 pengundi warga Bangladesh dan blackout tetapi penipuan dalam pemilihan parti 'disenyapkan' begitu sahaja. "Isu Red Bean Army juga langsung tidak disentuh oleh Karpal. Juga pemecatan ahli DAP demi kepentingan segelintir berkepentingan seperti membabitkan Jenice Lee dan A. Ashogan? Namun mereka sungguh lantang dalam menuding jari mendakwa UMNO dan Barisan Nasional (BN) kononnya punca penyelewengan itu terjadi. Jika mereka tuding jari dan persoal tidak apa, jika UMNO BN persoal, maka mereka salah. "Mengapa perlu bersikap dwistandard? Jika begitu, janganlah bermegah dengan slogan hebat seperti anda bersikap adil dan bersih. Bersihkan dulu kekotoran dalam parti anda sebelum bercakap tentang orang lain," katanya. Dalam pada itu, Tuan Tat juga mencabar Karpal untuk segera tampil jika beliau benar-benar mempunyai integriti tinggi dan bermaruah supaya segera menyelesaikan setiap dakwaan yang telah dibuat ahli DAP sendiri. "Karpal juga harus 'berani' berdepan dengan anak beranak Dinasti Lim iaitu Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng supaya segera mengadakan pemilihan semula CEC daripada terus menyalahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS)," cabarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |