Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Aspek keselamatan haiwan peliharaan Posted: Aspek keselamatan haiwan peliharaanPERNAH suatu ketika, langsir di rumah Mohd. Nadzri Abdul Mutalib, 35, jatuh dari bidainya saat dia meninggalkan rumah untuk pulang beraya ke kampung halaman. Rumahnya berselerak dan perkakas rumah bertaburan di lantai. Kekacauan itu bukan dikerjakan pencuri tetapi kucing-kucing kesayangan milik Nadzri dan isteri. "Tak sampai seminggu habis rumah jadi tunggang-langgang kucing kerjakan," imbas Nadzri yang ketawa setiap kali terkenang kisah tersebut. Kini, setiap kali Nadzri dan isteri meninggalkan rumah untuk beberapa hari, kucing-kucing aktif dan nakal karakternya diletakkan di dalam sangkar besar. Selebihnya, dibiarkan di dalam rumah seperti biasa. Sebagai pemilik kepada 13 ekor kucing, Nadzri perlu memastikan keselamatan haiwan peliharaannya terjaga meskipun ia ditinggalkan. Presiden kepada Komuniti Bantuan Penyelamat dan Rawat Kucing Jalanan (SCRATCH) itu atau dulunya dikenali sebagai Kucing Terbiar dan Anjing Jalanan (KTAJ) berkata: "Lebih-lebih lagi apabila musim perayaan, saya kena sediakan kelengkapan dan kemudahan kucing-kucing ini dengan teratur. Dalam seronok beraya, kita kena ingat haiwan peliharaan di rumah. Kalau tidak dirancang sebaik-baiknya, ia boleh mendatangkan mudarat kepada haiwan dan kita sendiri." KELENGKAPAN sempurna untuk kemudahan kucing di rumah boleh mengurangkan tekanan kepada haiwan itu saat ia ditinggalkan tanpa pengawasan manusia - Gambar hiasan. Berapa lamakah kucing boleh ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan manusia? Ia merupakan persoalan subjektif yang sukar dijawab. Setakat ini, tempoh peninggalan boleh diselaraskan bergantung kepada jumlah kucing yang dimiliki seseorang individu. "Paling lama tiga atau empat hari sahaja saya tinggalkan," kongsi jurucakap SCRATCH, Rosmawar Mohamed, 29, yang memiliki 12 ekor kucing. Bagi mengelakkan rumahnya bersepah sepanjang ketiadaannya, Rosmawar membawa kucing-kucing yang aktif dan masih kecil pulang ke kampung. "Pemilik kena kenal pasti karakter kucing mereka. Kemudian, baru boleh tentukan macam mana hendak uruskan kucing-kucing itu ketika meninggalkan rumah untuk beberapa hari," katanya. Stok makanan Menurut Rosmawar, tahap kerisauannya berganda menjelang musim perayaan. Bagi memastikan kebajikan kucing-kucingnya terjamin, Rosmawar meletakkan makanan dan minuman di dalam bekas di setiap penjuru rumah. Wanita yang berasal dari Johor Bahru itu bimbang bekas makanan dan minuman yang disediakan tertumpah. Bekalan air sebenarnya lebih penting kepada kucing berbanding makanan. TANDAS kucing perlu ditinggalkan dalam keadaan bersih termasuk menambah amaun pasir. Sama seperti manusia, kucing mudah mengalami dehidrasi jika kekurangan air. Sehubungan itu, pastikan air disediakan lebih banyak berbanding hari-hari biasa. Tambah beberapa bekas air mengikut jumlah kucing peliharaan anda sebagai langkah berjaga-jaga. Begitu juga makanan. Jumlah makanan perlu dianggar oleh pemilik kucing. Makanan kering iaitu biskut adalah pilihan terbaik. Mungkin mereka yang terbiasa memberi makanan basah perlu mengubah kebiasaan itu kerana makanan jenis itu mudah basi dalam tempoh yang singkat. "Kalau hendak selamat, letak banyak-banyak pun tak apa asalkan anda rasa kucing cukup makan sepanjang ketiadaan anda. Ada sesetengah pemilik menggunakan pemberi makanan automatik, namun hati-hati kerana ia boleh tersangkut dan menyekat aliran makanan," dedah Rosmawar. Soal keselamatan kucing peliharaan saat kita meninggalkan rumah juga perlu dilihat pada skop yang lebih luas. Penggunaan kolar misalnya sering dipandang remeh oleh majoriti pemilik kucing. Kolar yang berfungsi sebagai tanda pengenalan kepada seekor kucing hakikatnya boleh mengundang bahaya. Seperti yang dialami Rosmawar, salah seekor daripada kucingnya cedera di gigi sehingga mengakibatkan pendarahan gara-gara kolar tersangkut pada mulut. "Mungkin ia bergaduh dengan kucing lain atau bermain sehingga mengalihkan kolar ke bahagian mulut. Sejak itu, setiap kali saya tinggalkan rumah untuk tempoh lama, saya tanggalkan semua kolar kucing," cerita Rosmawar bahawa terdapat juga kolar yang dilengkapi fungsi keselamatan juga boleh tertanggal sendiri. KOLAR kucing sebaik-baiknya ditanggalkan sekiranya pemilik meninggalkan rumah untuk tempoh beberapa hari. - Gambar hiasan Langkah ekstra Mohd. Azrin Mohd. Azali, 34, koordinator acara SCRATCH juga tidak lokek berkongsi tip-tip berguna kepada pemelihara kucing sempena Aidilfitri. Lelaki dari Seremban itu menasihatkan agar segala barangan tajam dan objek halus termasuk peniti dan duit syiling disimpan dengan cermat. "Jangan sesekali biarkan barangan ini bersepah di dalam rumah. Memang nampak kecil tetapi boleh membahayakan kucing. Pernah ada kes kucing tertelan peniti sehingga tersangkut pada tekak. Jadi jangan ambil mudah benda begini," pesan Azrin yang memelihara lima ekor kucing. Bagi mereka yang menggunakan pasir kucing, pastikan amaun pasir dalam setiap bekas pasir mencecah atau melebihi ketinggian 5.08 sentimeter. Jumlah bekas pasir juga bergantung kepada bilangan kucing. Dari segi pengudaraan, kucing yang tinggal di dalam rumah memerlukan aliran udara yang cukup untuk pernafasan. Mereka yang tidak mahu membuka tingkap atas alasan keselamatan, bolehlah memasang kipas pada ruang tamu atau bilik yang menempatkan kucing. "Kalau buka tingkap, pastikan ia dilengkapi jeriji yang menghalang kucing keluar rumah," jelas Azrin yang menambah kepala gas juga perlu dicabut sebagai langkah keselamatan tambahan. | ||
Kitten Cottage hostel kucing tanpa sangkar Posted: Kitten Cottage hostel kucing tanpa sangkar
SEPTEMBER 2011 menjadi detik hitam kepada pencinta kucing di seluruh Malaysia. Tindakan pemilik sebuah premis hostel kucing di Petaling Jaya, Selangor yang mengabaikan penjagaan kira-kira 200 ekor kucing pada cuti perayaan Aidilfitri ketika itu mengakibatkan 16 ekor haiwan itu mati dalam keadaan tragis. Lebih menyayat hati, masih ada kucing yang bernyawa ditemui dalam keadaan lemah dan tidak terurus. Dibiar selama seminggu tanpa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi, kucing di bawah penjagaan hotel itu jatuh sakit akibat penyakit berjangkit dan dehidrasi. Dalam kejadian tersebut, kedua-dua pemilik pusat jagaan haiwan peliharaan itu menerima hukuman setimpal apabila dipenjara selama tiga bulan dan denda RM6,000 setiap seorang oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Kes tersebut telah membuka mata rakyat Malaysia khususnya pejuang kebajikan haiwan. Ia melahirkan trauma dalam diri pembela kucing dan anjing di dalam negara setiap kali mereka mahu menghantar haiwan peliharaan mereka ke hostel haiwan. Pada musim perayaan terutamanya Hari Raya Aidilfitri, rata-rata pemilik kucing sibuk mencari hostel terbaik bagi menempatkan si manja mereka sepanjang cuti raya. Tragedi dua tahun lalu itu banyak memberi pengajaran kepada pemilik kucing, jadi mereka amat selektif dan cerewet dalam memilih penempatan sementara bagi haiwan kesayangan mereka. Selain keselesaan, faktor keselamatan dan kredibiliti pemilik sesebuah premis hostel kucing juga perlu diambil kira pelanggan. Kitten Cottage di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur antara hostel kucing terbaik yang wajar dikunjungi pemilik kucing. 60 unit kondominium di Kitten Cottage ini cukup untuk membuatkan kucing selesa sepanjang tempoh penginapan. Tanpa sangkar Premis yang dibahagikan kepada tiga seksyen itu membuatkan pelanggan berlapang dada ketika meninggalkan kucing di situ. Dibuka secara rasmi pada pertengahan tahun lalu, Kitten Cottage menggunakan pendekatan suasana tanpa sangkar kepada pelanggan. "Kucing cepat stres jika diletakkan terlalu lama di dalam sangkar. Saya cuba menggalakkan pemilik kucing untuk mengikuti pendekatan tanpa sangkar. Namun terpulang kepada pemilik sama ada mereka setuju untuk mencampurkan kucing mereka dengan kucing orang lain. "Setakat ini pelanggan yang mencuba cara ini memuji pendekatan kami dan mendapati kucing mereka sihat dari segi mental dan fizikal ketika diambil dari hostel," jelas pemilik Kitten Cottage, Ryan Leong Kwong Fei, 31. Beberapa pelanggan berulang Ryan mengakui keberkesanan konsep pergaulan sesama kucing di Kitten Cottage. Biarpun ramai meragui amalan tersebut tetapi setakat ini ia mendapat maklum balas positif daripada pelanggan. "Sebelum seseekor kucing itu dicampurkan bersama kucing lain, karakternya perlu dikenal pasti. Ada yang apabila dicampur tidak dapat menyesuaikan diri dan kita letak ia kembali di dalam unit masing-masing. "Paling penting, kucing yang dihantar ke Kitten Cottage wajib divaksin, bebas penyakit dan kutu. Kami juga tidak menerima kucing bunting dan yang baru menjalani pembedahan kerana kucing kumpulan ini memerlukan pemantauan khas daripada veterinar," ujar Ryan ketika ditemui Kosmo!. Bagaimanapun, pada dasarnya pelanggan masih perlu memilih ruangan untuk menempatkan kucing mereka. Sebanyak 60 unit kondominium bersaiz 1.67 meter persegi sedia untuk ditawarkan kepada pelanggan yang mahukan ruangan sederhana dan selesa. Bilik pertengahan atau dikenali dengan nama Very Important Cat (VIC) disediakan kepada mereka yang mahukan ruangan yang lebih besar. Dilengkapi tempat memanjat, empat unit VIC bersaiz 4.6 meter persegi itu ditawarkan pada harga RM70 untuk tempoh satu malam.
Bagi bilik paling selesa, dua unit Very Very Important Cat (VVIC) bersaiz 3.65 meter persegi diletakkan pada harga RM90 semalam. Kebiasaannya ruangan tersebut menjadi pilihan pelanggan yang mahu menempatkan kucing mereka melebihi dua atau tiga minggu. Mengekang bakteria "Kami juga menggunakan lampu cahaya ultra ungu sebagai sanitasi daripada sebarang kuman dan membunuh bakteria yang boleh menjangkiti kucing. "Lampu ini digunakan di semua hospital bagi mengekang penyebaran bakteria yang berlaku dengan pantas melalui udara. Kami letakkan tiga lampu di seksyen kondominium dan setiap unit di VIC dan VVIC mempunyai lampu sendiri. Ada segelintir hostel haiwan meletakkan anjing dan kucing di dalam premis yang sama. Hanya kandang menjadi pemisah dua haiwan peliharaan kegemaran manusia itu. Bagi sesetengah individu, suasana itu tidak memberi keselesaan kepada kedua-dua haiwan terutamanya kucing. "Saya mempunyai hostel anjing yang dibuka tujuh tahun lalu selang beberapa kedai dari sini. Saya asingkan kucing dan anjing kerana kucing memerlukan suasana yang aman dan bebas daripada bunyi bising. Salakan anjing yang kuat boleh menakutkan kucing," jelas Ryan yang turut memasang muzik mendamaikan di Kitten Cottage bagi menghidupkan suasana tenang di hostel tersebut. - ALIF ABU BAKAR |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |