Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH SAYA amat bersetuju dengan titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dalam Majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2013, bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13: Permuafakatan dan Perpaduan Nasional, di Wisma Perwira ATM, Kementerian Pertahanan, baru-baru ini. Baginda menggesa kerajaan mengutamakan pendidikan asas kenegaraan bermula di peringkat sekolah dengan menyemai semangat setia kepada raja dan negara, sesuai dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong. Titah Raja Dr. Nazrin, kerajaan perlu mengasuh kanak-kanak melalui kurikulum serta kaedah bersesuaian sejak awal untuk turut menghormati simbol lain seperti bendera supaya tidak terus dihina seperti dipijak-pijak atau dijadikan pakaian. Idea ini telah lama dibangkitkan oleh para akademia dan penggubal dasar. Malah ada yang mencadangkan ia menjadi subjek wajib ketika peringkat sekolah rendah lagi. Tetapi ditentang hebat oleh kumpulan ultra kiasu kerana membebankan pelajar. Pada mereka, subjek ini menggugat subjek lain dan boleh menjejaskan penguasaan bahasa ibunda. Ada yang mensyaratkan jika subjek ini mahu diajarkan, mediumnya bukan bahasa Melayu, tetapi bahasa ibunda. Malangnya, kita tidak pernah tegas. Kita terus tunduk kepada tekanan ultra kiasu. Akhirnya, subjek ini tidak ke mana-mana. Produk yang dikeluarkan adalah jenis yang menterbalikkan Jalur Gemilang dan menjadinya pengesat kaki dan meja. Agenda negara tidak dikuasai. Yang jelas, lebih ramai ultra kiasu dilahirkan. Apakah subjek kenegaraan itu? Dalam konteks Malaysia, subjek kenegaraan adalah kursus yang berkaitan rapat dengan jati diri dan semangat cintakan negara. Ini termasuk memahami asal-usul, sejarah dan sistem kerajaan negara ini. Kita akan menyelusuri sejarah Tanah Melayu, sehinggalah bertukar menjadi Malaysia, seperti adanya hari ini. Nampak begitu berat. Tetapi ia boleh dipermudahkan, bersesuaian dengan peringkat persekolahan. Pendek kata, semuanya telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan suatu ketika dahulu. Persoalannya adalah, mahu dilaksanakan atau tidak? Atau terus melayan tuntutan ultra kiasu. Amat malang sama sekali, sesuatu perkara dilakukan bukan disebabkan keperluan negara, tetapi sekadar memenuhi tuntutan orang lain. Akibatnya, agenda negara tergendala. Kita terus melahirkan rakyat yang tidak pernah bersyukur. Lebih dahsyat, melahirkan mereka yang kufur nikmat. Memburuk-buruk negara sendiri di luar negara. Untuk makluman, kursus Kenegaraan Malaysia adalah satu kursus wajib untuk semua pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), manakala di IPTA agak berbeza sedikit. IPTA diwajibkan mengambil Hubungan Etnik dan subjek Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS). Subjek Kenegaraan Malaysia boleh diadunkan mengikut kesesuaian sesebuah universiti dengan mengambil kira roh subjek kenegaraan tersebut. Kursus ini dikawal selia Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang mana skop dan sukatan pelajaran adalah mengikut piawaian yang ditetapkan oleh MQA. Matlamat utama kursus Kenegaraan Malaysia adalah untuk melahirkan rakyat yang setia dan cinta kepada negara, berwawasan, bangga sebagai rakyat Malaysia. Dengan harapan, akan lahir rakyat Malaysia yang mampu menghadapi cabaran ke arah mencapai kesejahteraan hidup serta dapat menghayati peranan Malaysia di arena antarabangsa, menumpahkan taat setia tanpa berbelah bahagi. Selain itu, liputan kuliah turut melibatkan perbincangan topik-topik penting. Antaranya adalah zaman prasejarah Malaysia, kehebatan Tanah Melayu sebelum penjajahan, zaman penjajahan, kebangkitan nasionalisme, kebangkitan pejuang Melayu menentang penjajah, perjuangan ke arah kemerdekaan, demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, sistem dan struktur pentadbiran negara, unsur-unsur penting Perlembagaan, dasar-dasar kerajaan dan cabaran dan sebagainya, mengikut kesesuaian. Pendek kata, antara objektif yang ingin dicapai adalah: n Memahami sejarah bangsa dan negara serta perkembangan masyarakat dari aspek sosio-budaya, politik dan ekonomi. n Mempertingkatkan kesedaran, kepakaran dan semangat ingin melibatkan diri dalam usaha mempertahankan kedaulatan undang-undang dan menyumbang ke arah pembangunan negara. n Menghargai usaha dan sumbangan ke arah pembangunan negara. n Menghargai keperibadian bangsa dan berbangga menjadi rakyat Malaysia Subjek ini amat penting dalam untuk melahirkan rakyat yang patriotik, taat setia dan cintakan negara serta tidak belot. Mereka sanggup mempertahankan negara habis-habisan sehingga ke titisan darah yang terakhir. Semuanya ini perlu bermula dengan mesti celik sejarah. Jika lagu Negaraku pun tidak dihafal dan tidak disebut dengan betul, bagaimanakah kita boleh pergi lebih jauh daripada itu? Ketika bertitah, baginda melahirkan kebimbangan kita akan muncul lebih ramai individu seperti pengguna Facebook dengan nama Melissa Gooi, yang baru-baru ini ditahan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong akibat kejahilannya tentang fungsi raja-raja di negara ini. Orang seperti ini amat ramai di negara kita. Siapakah harus dipersalahkan? Kita tidak pernah bertegas, malah mahu menghapuskan Akta Hasutan 1948. Justeru, sudah sampai masanya, subjek kenegaraan ini diwajibkan bermula daripada sekolah rendah, menengah, sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Susunlah kurikulum mengikut kesesuaian tahap umur dan pengajian. Sebenarnya subjek kenegaraan itu adalah sejarah. Malangnya di peringkat rendah, subjek Sejarah langsung tidak diajar. Cuma di peringkat menengah sahaja ia diajar dan seterusnya disambung ke peringkat universiti. Itupun masih ada yang merungut kenapa subjek ini diajar di peringkat pengajian tinggi. Subjek ini dilihat sebagai beban kepada pelajar. Lebih menyedihkan, di peringkat universiti di tempat saya bekerja, ada yang mencadangkan supaya subjek ini digugurkan dan diganti dengan subjek sejarah ketenteraan. Kumpulan ini tidak tahu bahawa subjek kenegaraan itu memayungi subjek ketenteraan. Kesimpulannya, sejarah negara ini yang berasal daripada nama Tanah Melayu mesti dikhatam dan dihadamkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa berkecuali. Mereka perlu sedar ramai pejuang Melayu Islam yang lalu gugur syahid mempertahankan tanah air tercinta berteraskan Islam. Pejuang-pejuang seperti Tok Janggut, Dato Maharaja Lela, dan ramai lagi adalah kalangan tentera Allah yang terkorban syahid mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara. Malangnya, kita mahu sejarah ini dipadamkan. Kita mahukan sejarah negara bermula dengan kerjasama semua kaum untuk mencapai kemerdekaan. Kita sengaja membutakan mata bahawa tuntutan kemerdekaan telah berlaku sejak negara dijajah terutama apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani 1874. Yang menjadi korban dan mangsa adalah orang Melayu Islam. Bukan Melayu hanya terkorban di zaman penjajahan Jepun. Kita hanya akan berjaya melahirkan Malaysian 1st jika sistem kenegaraan ini dihayati. |
Tarikan awal kempen PRK Kuala Besut Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia Terengganu. BARU lebih dua bulan berlalu, ketika masih banyak kedapatan bendera dan sebilangan poster parti-parti belum luruh diragut waktu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut akan berlaku. PRK yang pertama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada 5 Mei lalu dan menjadikan demam politik yang mulai beransur kebah, membahang semula. Namun Ramadan mungkin mengekang sedikit suhu itu walaupun keputusan 24 Julai nanti yang bakal ditentukan oleh pengundi akan membawa makna dan kesan yang sangat besar bagi kedua-dua parti yang bersaing dalam mencorakkan senario politik. Malah kemungkinan akan memberi kesan kepada rakyat dan negeri dalam tempoh lima tahun lagi. Ini membayangi pendirian pemimpin parti-parti yang bertanding. BN perlu memastikan ia tetap mempunyai kelebihan dua kerusi yang memberikan hak kepadanya untuk kekal menerajui negeri. Pembangkang mahu menjadikan jumlah seimbang bagi menggoyahkan BN dan mungkin mengheret menjadi konflik perlembagaan memanjang jika BN yakin kedudukan Yang Dipertua DUN masih memberikan kelebihan kepadanya, jika kalah. Sebagai persiapan, kelmarin BN dan Pas yang sepakat untuk kembali bertanding bagi meraikan proses demokrasi melancarkan gerak kerja pilihan raya pada masa sama mengumumkan calon masing-masing. BN mengetengahkan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, yang berlatar belakang sebagai jurutera awam dengan suasana kehidupan keluarga dan khidmat yang dekat dengan masyarakat. Pas pula mengemukakan Azlan @ Endot Yusof, 48, bendahari Pas kawasan yang juga seorang kontraktor dan harapan yang dipertaruhkan kepada mereka ternyata cukup tinggi sebagaimana yang digambar oleh pucuk pimpinan parti masing-masing. Apa yang menarik kali ini, BN mengemukakan calon yang dianggap begitu muda dalam resam politik UMNO dengan harapan membawa kemenangan lebih besar. Pas tidak menurunkan kalangan yang diberi status ulama atau setidak-tidaknya ustaz sebagaimana lazimnya tetapi memutuskan seorang yang dikatakan banyak menyumbangkan sumber kewangan untuk parti. Namun PRK ini berlaku di kawasan yang dianggap kubu kuat UMNO, apatah lagi dalam Parlimen dan bahagian yang diterajui oleh Datuk Seri Idris Jusoh, pemimpin yang disenangi lawan malah turut dihormati lain di samping khidmat berkesan Allahyarham Dr. A Rahman Mokhtar. Mungkin kerana itulah Pas dalam PRU lalu tidak begitu menunjukkan tentangan dengan hanya meletakkan calon wanita tunggalnya di negeri ini untuk berhadapan dengan Allahyarham. Pas buat pertama kalinya meminta calonnya melakukan baiah (bersumpah) secara terbuka pada majlis pengumuman calonnya yang bertujuan memastikan mereka tidak berpaling menentang parti. Langkah di luar kelaziman itu yang dipertonton dan diperdengar umum apabila Azlan dinamakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon parti itu. Abdul Hadi bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa perbuatan itu dilakukan secara terbuka dan apakah kandungan baiah itu sama sebagaimana yang pernah dilafazkan oleh calon-calon Pas sebelum ini. Abdul Hadi membayangkan tidak mustahil kemenangan boleh dicapai jika orang kampung dapat dipengaruhi dan disedarkan agar tidak terus menyokong kerajaan biarpun telah menerima banyak kemudahan. Justeru, jentera Pas Kelantan yang berpengalaman dikatakan akan membantu untuk lebih mencerdikkan mereka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |