Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Program kurang import sayur Thai
- Maritim Kelantan pertingkat operasi
- Cadang tubuh akademi sebagai usaha kekalkan keaslian dikir barat
Program kurang import sayur Thai Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT Oleh ROSMIZAN RESDI Fadlee Hassan (kanan) bertukar dokumen dengan Sahidi Mud (empat dari kiri) selepas majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli antara FAMA dengan Peserta Program Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak di RTC ,Kota Bharu, kelmarin. KOTA BHARU 11 Julai - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yakin Program Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang diperkenalkan mampu mengurangkan kebergantungan kepada sumber bekalan sayuran dari Thailand. Timbalan Pengarah FAMA Wilayah Timur 1, Fadlee Hassan berkata, melalui program ini, para pemborong dapat mengambil bekalan sayuran terus daripada petani tempatan tanpa perlu mendapatkan bekalan dari negara jiran itu. Menurutnya, melalui Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak tersebut, pendapatan petani sebagai pengeluar juga dapat ditingkatkan kerana hasil tanaman mereka dapat dipasarkan terus ke RTC. "Program ini pasti memberikan manfaat kepada pengeluar dan pemasar kerana tidak melibatkan ramai orang tengah dalam memasarkan bekalan tersebut. "Ini merupakan salah satu langkah yang diwujudkan bagi meningkatkan ekonomi masyarakat petani di negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli antara FAMA dengan Peserta Program Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak di RTC di sini semalam. Dalam majlis itu, seramai tujuh peserta di bawah program ini yang membabitkan lima pengeluar dan dua pemasar menandatangani perjanjian tersebut. Fadlee berkata, jumlah insentif yang disalurkan kepada peserta keseluruhannya berjumlah RM6,000 yang mana RM2,000 kepada pemasar manakala selebihnya adalah insentif kepada pengeluar bagi membantu proses pengeluaran secara keseluruhan. "Program ini akan berjalan selama setahun dan melibatkan lima jenis sayuran sahaja untuk permulaan iaitu terung, cili padi, timun, ketola segi dan kacang bendi. "Petani akan mengeluarkan hasil mengikut perjanjian yang dibuat dengan anggaran berjumlah 144 metrik tan setahun dengan hasil jualan sebanyak RM500,000," katanya. Sementara itu, seorang peserta yang juga pemasar, Sahidi Mud berkata, program ini adalah langkah terbaik bagi menambah bekalan sayuran serta memperluaskan lagi pasaran. "Ini bukan sahaja dapat membantu pengeluar dan pemasar, malah turut membantu pengguna mendapatkan sumber bekalan tempatan yang lebih berkualiti serta murah," katanya. |
Maritim Kelantan pertingkat operasi Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT Oleh TOREK SULONG PASIR PUTEH 11 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan tetap melaksanakan Operasi Perkasa Timur dan Ops Benteng Bali sepanjang bulan Ramadan ini bagi memastikan aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan negara berjaya dibendung. Ketua Penguat Kuasa Maritim negeri, Kapten Maritim Wan Burhanuddin Jusoh berkata, persekitaran pelantar minyak dan sempadan antarabangsa perairan negara adalah lokasi yang diberi fokus utama. Beliau berkata, kedua-dua kawasan tersebut sering menjadi tumpuan nelayan asing menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara. Menurutnya, pencegahan bukan hanya membabitkan pencerobohan atau kegiatan menangkap ikan secara haram, tetapi turut mencakupi penyeludupan bahan letupan, khususnya mercun yang lazimnya mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan dan berkemungkinan diseludup menggunakan jalan laut. "Maritim akan menggunakan kekuatan anggota sedia ada dengan pelbagai pendekatan demi kesejahteraan perairan negara. Jangan anggap penguatkuasaan kita merosot hanya kerana bulan puasa. "Kita tingkatkan kekerapan operasi berbanding sebelumnya kerana menyedari kemungkinan banyak pihak yang mengambil kesempatan apabila penguatkuasaan jalan darat sukar dibolosi sepanjang Ramadan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kapal Maritim Amanah yang melaksanakan Ops Perkasa Timur di perairan negeri ini semalam. Wan Burhanuddin berkata, tanggapan bahawa perairan negara mudah dibolosi sepanjang Ramadan tidak tepat kerana ibadat puasa tidak menghalang anggota daripada melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka. "Selain Maritim, beberapa agensi penguatkuasaan laut seperti Jabatan Perikanan dan Jabatan Taman Laut sentiasa melaksanakan operasi yang sama di perairan negara," katanya. |
Cadang tubuh akademi sebagai usaha kekalkan keaslian dikir barat Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT Anizam Abd. Rahman (tiga dari kanan) beramah mesra bersama rombongan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Dikir Barat Kelantan Berhad yang diketuai Dr. Zulkepli Mohamad (dua dari kiri) di Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU 11 Julai - Kerajaan Pas Kelantan bercadang menubuhkan sebuah akademi dikir barat bagi memastikan keaslian seni budaya tersebut tidak lenyap ditelan zaman. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Anizam Abd. Rahman berkata, nilai keaslian seni dikir barat perlu dijaga supaya konsep asalnya tidak dicemari unsur-unsur negatif yang bertentangan dengan syarak dan budaya masyarakat negeri ini. "Kerajaan negeri sentiasa menjaga keaslian dikir barat agar seni warisan itu tidak bertentangan dengan agama dan adat serta budaya orang Melayu terutama dari segi persembahan dan seni kata lagu dikir. "Melalui akademi itu, insya-Allah kita boleh jadikannya sebagai medium ke arah memartabat seni itu selain melatih generasi baharu dan anak-anak muda yang berminat dengan kesenian ini," katanya. Beliau ditemui selepas menerima kunjungan rombongan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Dikir Barat Kelantan Berhad (KDBKB) diketuai Pengerusinya, Datuk Dr. Zulkepli Mohamad di pusat pentadbiran kerajaan Kota Darulnaim, di sini hari ini. Anizam berkata, kerajaan sedia bekerjasama dengan pihak koperasi mengadakan persembahan dikir barat asli ke seluruh daerah negeri ini dalam usaha mengembalikan semula keaslian seni tersebut yang dikatakan semakin hilang konsep asalnya. Dalam pada itu, katanya, keunikan seni dikir barat mampu dijadikan sebagai produk pelancongan memandangkan ramai lapisan masyarakat meminati permainan tersebut. "Oleh itu kita mesti menjaga ciri-ciri keharmonian atau nilai keaslian permainan tradisi rakyat itu," katanya. Sementara itu, Zulkepli berkata, sebanyak 98 peratus dikir barat hilang keasliannya selepas struktur persembahannya bercampur aduk dengan unsur-unsur yang tidak sepatutnya. "Contohnya dari segi muzik, terselit unsur rock, dangdut, rap dan sebagainya yang tidak pernah ada dalam sejarah keaslian permainan dikir barat," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |