Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Penduduk yakin keupayaan calon BN
- Pelatih wanita di ILP meningkat
- Guru pelatih Orang Asli dekati kumpulan sasaran
Penduduk yakin keupayaan calon BN Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh melihat pelan tapak selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Cadangan Membina dan Menyiapkan SMK Alor Peroi di Kuala Besut, Terengganu, semalam. BESUT 16 Julai - Pulau Perhentian merangkumi gugusan tiga pulau dengan keluasan keseluruhan 1,392 hektar dan menjadi penempatan kepada lebih 1,400 orang penduduk yang tertumpu di Pulau Perhentian Kecil. Hampir kesemua kemudahan awam terdapat di kawasan penempatan itu termasuk tadika, sekolah rendah, masjid, balai raya, pondok polis, klinik kesihatan, wakil pos, bomba, premis perniagaan dua tingkat manakala dua blok rumah pangsa dan masjid indah masih dalam pembinaan. Pulau itu terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dengan jumlah pengundi pada pilihan raya umum lalu mencecah 734 orang, bilangan yang terendah daripada sembilan pusat mengundi DUN berkenaan. Hampir 80 peratus merupakan penyokong tegar Barisan Nasional (BN) kerana keyakinan terhadap UMNO dan BN yang berusaha meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk melalui bantuan, kemudahan, bimbingan dan peluang memajukan diri. Apatah lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut terdahulu, Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar merupakan anak tempatan Pulau Perhentian yang menjadi kebanggaan kerana pencapaiannya dalam pendidikan, kerjaya dan politik. Rata-rata penduduk Pulau Perhentian yang ditemui berharap Kuala Besut dapat diterajui oleh seorang pemimpin yang berterusan memberi perhatian terhadap mereka sebagaimana yang dilakukan oleh Allahyarham A. Rahman. Mereka percaya, pemilihan bekas Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) (Bahagian Korporat), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, merupakan satu keputusan tepat apatah lagi beliau merupakan kalangan muda dengan latar belakang profesional. Malah kata Ali Akhbar Abdul Rahman, 68, jika calon tersebut bukan anak tempatan (pulau), perkara tersebut bukan isu besar baginya. ''Yang penting dia mudah mesra dan cakna hal penduduk. Kita mahu seorang pemimpin yang bertanggungjawab ke atas rakyatnya dan mahir dalam menguruskan sesebuah kawasan. Bendera-bendera Barisan Nasional dan UMNO menghiasi sebahagian bot nelayan yang berlabuh di Jeti Kuala Besut ketika tinjauan Utusan Malaysia di Kuala Besut, Terengganu, semalam. "Tengok watak dia itu (calon), saya rasa tiada masalah untuk rakyat beri sokongan lebih banyak kepada BN kali ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam. Seorang lagi penduduk, Riduan Abdul Rahman, 29, memberitahu, umur tidak menjadi soal kerana yang lebih penting calon itu dapat memenuhi kehendak seluruh masyarakat di Kuala Besut terutamanya di Pulau Perhentian. "Calon muda mungkin mempunyai pendapat yang lebih segar dan bergerak lebih laju. "Saya harap beliau (Tengku Zaihan) juga sebaik Allahyarham A. Rahman," ujarnya. Bagi Abdullah Omar, 57, memandangkan lebih 80 peratus masyarakat di pulau tersebut terlibat dengan aktiviti pelancongan, dia berharap pihak terbabit dapat merancang lebih banyak manfaat. "Perkampungan nelayan ini sering dikunjungi pelancong, jadi, saya harap kemudahan seperti masjid dapat dipercepatkan pembinaannya selain menyusun semula penempatan penduduk agar nampak lebih tersusun," ujarnya. Dalam pada itu, Mohd. Deraman yakin, calon anak tempatan yang dipilih BN bakal mendapat sokongan seluruh masyarakat di kawasan itu. "Kita mahu calon anak tempatan kerana orang seperti itu lebih memahami kehendak dan keluhan orang kampung seperti kami dan kita akan menyokong sepenuhnya Tengku Zaihan pada pilihan raya nanti," katanya. |
Pelatih wanita di ILP meningkat Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI Sebahagian pelatih baru yang mengikuti Minggu Suai Kenal di ILP Gong Badak, Kuala Terengganu kelmarin. KUALA TERENGGANU 16 Julai - Penyertaan pelatih perempuan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu meningkat sehingga 20 peratus tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya. Pengarahnya, Abdul Wahid Embung berkata, jumlah keseluruhan pelatih perempuan di institusi itu tahun ini sebanyak 40 orang pada pengambilan Januari lalu manakala pengambilan Julai ini sebanyak 10 orang. Katanya, beliau yakin, jumlah berkenaan akan meningkat dari tahun ke tahun memandangkan semakin ramai pelajar perempuan meminati kursus yang lebih sinonim dengan lelaki ketika ini seperti kejuruteraan dan perkayuan. "Pihak kita tidak mengehadkan penyertaan ke ILP untuk jantina tertentu sahaja namun mungkin disebabkan kursus yang ditawarkan lebih terarah kepada kursus yang bersesuaian dengan lelaki, maka ILP lebih popular dalam kalangan pelatih lelaki. "Namun, ketika ini pelajar perempuan sudah mula meminati kursus yang ditawarkan di sini terutama kursus teknologi maklumat dan binaan perkayuan dan ini perkembangan baik," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam. Tambahnya, syarat yang ditetapkan pusat latihan itu antara pelatih lelaki dan perempuan adalah sama dan tidak timbul kursus-kursus yang ditawarkan hanya dibuka kepada golongan lelaki. Ujarnya, sehingga kini, potensi serta kualiti pelatih perempuan yang mengikuti kursus di ILP amat memberangsangkan malah keputusan yang dicatatkan juga sama baik dengan pelatih lelaki. "Pelatih perempuan dilihat dapat menyesuaikan diri bersama pelatih lelaki dan mampu melakukan ujian praktikal melibatkan mesin mahupun pertukangan dan ketika ini kita tidak berhasrat menambah kursus-kursus yang tertumpu kepada pelajar perempuan sahaja kerana tempat di sini amat terhad," katanya. "Dalam pada itu, pelatih, Syafizatul Akma Suhaila Rahmat, 18, yang mengikuti kursus binaan dan perkayuan di ILP Kuala Terengganu memberitahu, dia amat meminati kursus berkenaan dan sanggup berhijrah dari Taiping, Perak semata-mata untuk mengikuti kursus berkenaan. "Di Taiping tiada kursus ini sebab itu saya sanggup ke sini untuk mengikuti kursus perkayuan. Sejak kecil saya memang gemar kerja-kerja perkayuan sebab ayah sering membina rumah. "Saya tidak takut untuk bersaing dengan pelatih lelaki malah senang kerana dapat sama-sama menimba ilmu dan yakin bidang perkayuan juga boleh diceburi golongan wanita," jelasnya. |
Guru pelatih Orang Asli dekati kumpulan sasaran Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT Guru-guru pelatih mengadakan aktiviti bersama pelajar Orang Asli semasa Program Transformasi Pedagogi Pendidikan Zon Timur di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu, Terengganu, baru-baru ini. HULU TERENGGANU 16 Julai - Penglibatan sebanyak 45 guru pelatih Orang Asli daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) tiga negeri Pantai Timur dalam Program Transformasi Pedagogi Pendidikan Zon Timur di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua di sini, baru-baru ini membawa misi menyebar luas kepentingan pendidikan kepada komuniti tersebut di kawasan berkenaan. Berteraskan prinsip pendidikan adalah milik masyarakat, matlamat program itu tergalas di bahu peserta dari IPG Kampus Kota Baharu, Kota Baharu; IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis; IPG Kampus Sultan Mizan, Besut. Turut terlibat peserta dari IPG Kampus Dato Razali Ismail, Kuala Terengganu yang berkampung selama tiga hari dua malam. Selain melibatkan guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua, program anjuran Pusat Kecemerlangan Pedagogi Pribumi Zon Timur dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) dengan pelbagai pengisian yang dirangka khas untuk ibu bapa bagi membolehkan mereka bersama melaksanakan program secara berfokus. Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan, Datuk Mazlan Mohamad berkata, penganjuran program sulung di negara ini melibatkan menggabungkan empat IPG di Pantai Timur itu adalah usaha yang wajar diberi pujian. ''Penglibatan guru pelatih Orang Asli memudahkan mereka mendekati dan memahami permasalahan, kekangan dan keperluan Orang Asli dalam aspek pendidikan selain beberapa isu berkaitan kesihatan dan kebersihan," katanya. Tambahnya, penglibatan golongan itu juga mencerminkan aspirasi Kementerian Pendidikan dalam memastikan akses pendidikan berkualiti turut dinikmati murid Orang Asli di luar bandar selaras inisiatif Pelancaran Transformasi Pendidikan Orang Asli oleh kerajaan. "Program ini adalah pengisian pendemokrasian pendidikan negara yang merupakan isu penting kepada semua lapisan masyarakat sama ada yang terlibat secara langsung atau pun yang berada di luar sistem pendidikan di samping merapatkan jurang pencapaian di bandar dan pedalaman," katanya. Tambahnya, usaha membangunkan modal insan melalui Pusat Kecemerlangan Pedagogi Pribumi Zon Timur dengan aktiviti secara berpusat seperti itu merupakan langkah positif dalam memenuhi gagasan Indeks Prestasi Utama (KPI) kementerian. Kementerian juga, jelasnya, akan memastikan menjelang abad ke-21, isu-isu keciciran dalam kalangan anak-anak Orang Asli serta masyarakat pribumi memenuhi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), iaitu melalui perluasan akses pendidikan kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan tanpa ada garis sempadan antara bandar dan luar bandar. Menurutnya, strategi dalam Pedagogi Pendidikan Pribumi yang merujuk kepada kemahiran melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berlandaskan kepada sosiobudaya, nilai dan norma masyarakat Orang Asli dan pribumi menjadikan guru pelatih Orang Asli menggalas kepercayaan untuk memastikan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Negara berjaya tercapai. Berucap dalam majlis penutupan program baru-baru ini, tegasnya, pendidikan merupakan aspek utama bagi mewujudkan masyarakat berpengetahuan, berketerampilan, mempunyai jati diri, progresif, kreatif dan berinovasi selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara (FPN) selain menjadi faktor utama mengelakkan ketidaksamaan dalam jaringan sosial dari terus wujud. Sehubungan itu, katanya, kementerian telah mengambil inisiatif melaksanakan kelas dewasa untuk ibu bapa murid Orang Asli dan pribumi bagi membantu mereka dengan turut memasukkan elemen nilai tambah kemahiran bahasa Inggeris dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). "Usaha kerajaan merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar juga selaras dengan matlamat Pendidikan untuk Semua yang disasarkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya. Menurutnya, dalam Laporan Pendidikan untuk Semua yang dikendalikan oleh UNESCO 2009, Malaysia berada pada kedudukan 45 daripada 129 negara dalam Indeks Pembangunan Pendidikan Untuk Semua (Education for All). "Pencapaian ini membolehkan Malaysia berada dalam kalangan 56 negara yang berada di kedudukan aras tinggi, bermaksud akses, ekuiti dan kualiti pendidikan di negara kita berada pada tahap yang terbaik," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |