Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- Kenangan silam Syawal Emma, Chacha
- Syafie Naswip kumpul duit raya RM2,500
- Tiz Zaqyah berat hati balik raya
Kenangan silam Syawal Emma, Chacha Posted: Kenangan silam Syawal Emma, ChachaKILAUAN primadona dan nostalgik jelas terpancar daripada dekorasi setiap sudut kafe antik Ipoh Station, Puchong, Selangor. Atas dasar itu Kosmo! memilih lokasi tersebut untuk sesi fotografi bersama pasangan adik-beradik selebriti, Emma dan Chacha Maembong tahun ini. Mengusik kenangan beraya sebelum bergelar artis dan kini setelah nama semakin bersinar, Emma menjelaskan perubahan itu dirasakan sangat cepat dan mengujakan. "Tahun lepas drama Kau Yang Terindah sedang ditayangkan pada hari raya, ketika menziarah sudah ada sanak-saudara yang perasan tapi masih tertanya-tanya. "Hari raya masih sama cuma bezanya populariti. Kalau dahulunya saya nakal dan boleh buat perangai sesuka hati, tetapi sekarang kena lebih menjaga langkah dan perlakuan takut timbul kata-kata kurang senang. "Apapun, kami masih seperti dahulu, adik-beradik yang happy go lucky dan senang berkawan dengan sesiapa sahaja," ujar Emma atau nama sebenarnya Che Fatimah Rohani Ismail,21. Tambahnya, ritual sambutan raya keluarganya masih sama seperti tahun-tahun sudah. Hari raya pertama diluangkan bersama bapanya, Ismail Embong di Kuala Lumpur sebelum menziarahi rumah ibunya pada sebelah petang. Main layang-layang Pada sebelah malam barulah Emma sekeluarga bertolak pulang ke kampung di Batu Buruk, Terengganu dan menyambung kemeriahan Aidilfitri di kampung sebelah bapanya. "Biasanya, kami akan beraya di sana (Terengganu) selama seminggu sebab sudah tiada sesiapa lagi di Kuala Lumpur ketika itu. "Malah, sudah menjadi kebiasaan juga buat keluarga kami di Terengganu mengadakan kenduri kecil-kecilan pada hari raya ketiga," katanya.
Sungguh berbeza cara Emma dan Chacha meraikan lebaran saban tahun. Ini kerana mereka akan menjejakkan kaki di Pantai Batu Buruk untuk bermain layang-layang yang merupakan agenda wajib mereka pada setiap hari raya. "Kemeriahan masak bersama, bermain bunga api dan pusing-pusing satu kampung sudah pasti kami lakukan. Cuma bezanya kami adik-beradik juga akan ke pantai untuk bermain layang-layang. "Bunyinya agak pelik, tetapi itu antara perkara paling menyeronokkan apabila beraya. Kalau tidak, ketika zaman kecil-kecil dulu kami suka pusing-pusing kampung singgah rumah jiran semata-mata untuk menghabiskan kuih raya," tutur Chacha. Nikmat Syawal bagi Chacha atau nama penuhya Siti Aishah Ismail, 17, pula apabila dapat berkumpul sekeluarga dan bermaaf-maafan antara satu sama lain. Katanya, sukar untuk mencari waktu terluang antara dia dan adik-beradik untuk berhimpun pada satu-satu masa atas dasar kesibukan bekerja. "Seronoknya raya apabila kami sekeluarga dapat berjumpa dan berkumpul pada satu masa, anugerah itu sebenarnya yang tidak ternilai harganya," ujarnya. Hilang abang Bagaimanapun, kehilangan abang tercinta, Ahmad Shaikie Abdullah Ismail pada tahun 2005 benar-benar meruntun hati kedua-dua Emma dan Chacha setiap kali menjelangnya detik 1 Syawal. Kongsi Emma, semenjak kehilangan abangnya dia merasakan sambutan Aidilfitri tidak semeriah zaman kanak-kanaknya. "Pagi raya pasti kami sekeluarga akan terkenangkan arwah dan apabila memandang seorang demi seorang adik-beradik kami, pasti air mata akan mengalir. "Rasa sebak itu makin kuat dirasa apabila menziarahi pusara arwah kerana dia antara adik-beradik yang rapat dengan saya. "Memang pada mulanya susah untuk terima pemergiannya, tetapi Alhamdulillah sekarang sudah boleh menerima takdir yang telah tersurat. Kini tinggal kami 10 beradik meraikan Aidilfitri bersama-sama," luah Emma berkongsi perasaan bersama Chacha. | ||
Syafie Naswip kumpul duit raya RM2,500 Posted: Syafie Naswip kumpul duit raya RM2,500Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
PELAKON muda yang mencipta nama menerusi filem Mukhsin iaitu Syafie Naswip, 21, mengakui sangat sibuk menjalani penggambaran drama mahupun telefilem sepanjang Ramadan sehingga menjelang raya. Bahkan, Syafie hanya berkesempatan menikmati sambutan hari raya untuk beberapa hari sahaja kerana terpaksa menyambung penggambaran drama selepas itu. "Saya terlalu sibuk berlakon sehingga ibu yang uruskan segala persiapan untuk raya. Saya juga jarang bertemu dengannya kerana ketika pulang pada tengah malam, ibu sudah tidur dan keesokan paginya saya akan kembali ke set penggambaran. "Saya beraya di Gombak, Selangor pada hari raya pertama sebelum masuk semula ke set penggambaran pada hari raya kedua atau ketiga," tuturnya yang masih ingin berdiri di atas nama pengarah Yasmin Ahmad yang berjaya mencungkil bakat lakonannya. Menyingkap sambutan rayanya, ujar anak tunggal itu, sehingga kini dia masih menerima duit raya daripada keluarga dan sanak saudara biarpun sudah mempunyai pendapatan sebagai pelakon. Jelas Syafie, dia pernah dapat duit raya sehingga RM2,500 pada usia tujuh tahun. "Bagi saya itu memori raya paling menyeronokkan. "Duit raya sebanyak itu bukan saya dapat daripada keluarga dan sanak saudara sahaja, tetapi, sebenarnya saya kumpul lepas pergi beraya di rumah orang," kongsinya sambil ketawa.
Mengulas lanjut, kata Syafie, aktiviti kumpul duit raya itu bermula selepas takbir pada malam raya. Ketika itu, dia dan empat lagi saudara akan ke rumah orang untuk beraya. Ujarnya, setiap tahun dia akan membawa empat orang sahaja saudara untuk beraya. Jika pergi beramai-ramai dia tidak akan dapat duit raya yang banyak. "Sebelum pergi, kami akan kosongkan perut dan sasarkan lima minit sahaja untuk sebuah rumah. "Malam raya sahaja kami mampu pergi sehingga 20 buah rumah dan kumpul beberapa ratus ringgit duit raya. "Keesokan harinya bermula 8 pagi hingga 11 malam, kami akan sambung semula beraya di rumah orang," jelasnya yang bakal muncul dalam filem Rentap di samping pelakon Zahiril Adzim dan Elfira Loy pada tahun depan. Sementara itu, bercakap tentang impiannya untuk menyambung pelajaran, ujar anak muda itu, disebabkan terlalu sibuk berlakon, dia sudah dua kali terpaksa memadam niat untuk kembali belajar. Ujarnya: "Mula-mula saya berhasrat untuk sambung belajar dalam bidang pengarahan dan penulisan skrip pada tahun lepas, tetapi disebabkan sibuk dengan tawaran berlakon, saya tangguhkan niat tersebut. "Kemudian, saya pasang niat baharu iaitu mahu menyambung pengajian pada tahun ini pula. "Malangnya, tahun ini juga saya sibuk berlakon. Namun, saya perlu nekad untuk sambung belajar tahun depan," katanya. Bicara Syafie lagi, dia terpaksa berbuat demikian memandangkan usianya sudah mencecah 21 tahun, malah keluarganya turut mendesak untuk dia menyambung pelajaran. "Insya-Allah saya akan berhenti berlakon seketika untuk menumpukan perhatian pada pelajaran," ungkapnya yang turut mengakui risau penonton bosan kerana kerap muncul di kaca TV. | ||
Tiz Zaqyah berat hati balik raya Posted: Tiz Zaqyah berat hati balik rayaOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
JIKA orang lain tidak sabar untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, tidak pula bagi pelakon cantik Tiz Zaqyah. Heroin drama Sebenarnya Saya Isteri Dia itu mengakui berat hati untuk pulang ke kampung menyambut raya. Sebaliknya, dia tidak sabar-sabar pula untuk balik semula ke Kuala Lumpur. Mungkin ada yang menganggap sikap pelik Tiz Zaqyah itu disebabkan dia tidak dapat berenggang dengan kekasih hatinya, Daniel Haziq. Pemuda kacak itu sering menghiasi gambar-gambar koleksi pelakon berusia 25 tahun itu di laman sosial Instagram miliknya. Mengulas mengenai perkara itu, ternyata lain jawapan yang keluar dari mulut Tiz Zaqyah. Ujatnya, dia berat hati untuk pulang ke kampung ibunya di Negeri Sembilan atau ke kampung bapanya di Melaka disebabkan 20 ekor kucing yang dipeliharanya. "Setiap kali hendak balik raya ataupun ketika keluar negara untuk sesi penggambaran, saya mesti berasa berat hati tinggalkan 20 ekor kucing saya. "Disebabkan itu, saya cuma balik raya sehari sahaja, sama ada balik ke Melaka atau Negeri Sembilan. Selebihnya kami menyambut raya di Kuala Lumpur sahaja," jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar drama Jodoh Itu Milik Kita di Restoran Teeq, Pusat Beli-Belah Lot 10, Kuala Lumpur baru-baru ini. Beraya di rumah kekasih Mengulas lanjut, kata Tiz, dia tidak sanggup menghantar kesemua kucingnya ke pusat pemeliharaan kerana risau akan keselamatan haiwan-haiwan kesayangannya itu. Mempunyai kucing daripada baka biasa dan juga Parsi, Tiz turut membela lima ekor sugar glider. Kata Tiz, minatnya terhadap kucing telah bermula ketika usianya sembilan tahun. "Pada waktu itu, ayah bawa saya ke rumah kawan dia. Ketika itulah kawan ayah hadiahkan dua ekor kucing. Sejak itu, kucing-kucing itu membiak sehinggalah menjadi 20 ekor," jelasnya yang akan memperuntukkan sebanyak RM800 sebulan untuk menjaga haiwan peliharaannya. Menyukai menu wajib ibunya iaitu rendang ayam, akui Tiz, dia tidak pandai memasak hidangan raya dan lebih senang melakukan dekorasi rumah bagi menyambut lebaran.
Disoal sama ada dia akan ke rumah kekasihnya pada tahun ini, jelas Tiz, dia sudah banyak kali ke rumah kekasihnya itu dan tidak terkecuali pada sambutan hari raya tahun ini. Bukan sekadar mesra dengan keluarga Daniel, kekasihnya itu juga sudah begitu mesra dengan keluarga Tiz sendiri. Daniel sebenarnya turut hadir pada majlis sidang akhbar drama Jodoh Itu Milik Kita itu. Buat pertama kalinya juga Tiz membawa kekasihnya pada majlis-majlis rasmi yang melibatkan media. Daniel bagaimanapun enggan foto dirinya dirakam mahupun di temu bual. Dia sekadar berkata: "Saya datang ke sini untuk menemani Tiz kerana dia ingin menunjukkan kepada saya selok-belok dunia lakonan tempatnya mencari rezeki." Berlakon teater muzikal Soalan lantas terus diajukan semula kepada Tiz tentang bilakah dia dan Daniel bakal mendirikan rumah tangga. Ini memandangkan Tiz kini lebih bersikap terbuka dan berani membawa kekasihnya itu dalam majlis-majlis yang melibatkan media. Tiz dan Daniel ada berbincang mengenai masa depan bersama tetapi buat masa ini mereka belum merancang untuk berkahwin. Tiz berharap, hubungan selama setahun yang terjalin antaranya dan Daniel mekar dan menjadikan mereka lebih mengenali hati budi satu sama lain. Dalam pada itu, Tiz memberitahu, buat kali pertama kali akan berlakon di pentas teater. Tiz masih lagi dalam peringkat perbincangan untuk muncul dalam teater muzikal terbitan Datin Seri Tiara Jacquelina. "Saya masih lagi pertimbangkan tawaran untuk berlakon teater muzikal dengan Tiara. Mengenai teater itu, ia akan diarahkan oleh Melissa Saila dan akan dipentaskan di Sabah dan Sarawak sahaja. Tetapi ia adalah peluang baik untuk saya cuba sebab di pentas teater saya boleh menimba lebih banyak pengalaman dan pengetahuan tentang dunia serta teknik lakonan," jelasnya yang muncul menerusi drama raya, Karlos Bolos di TV3. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |