Kosmo Online - Negara
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Negara |
Posted: Kerani sekolah mati kena bomOleh ADHAM SHADAN ANGGOTA polis memeriksa mayat Yusrizal yang mati akibat terkena letupan bom di Taman Sri Periok, Tumpat semalam. TUMPAT – Kegembiraan kerani sekolah berkumpul di rumah mertua sempena Aidilfitri yang masuk hari keempat semalam tidak berpanjangan apabila lelaki itu maut terkena letupan bom yang diletakkan di atas bumbung kenderaan pelbagai guna (MPV) milik abang iparnya di Taman Sri Periok di sini. Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, Mohd. Yusrizal Mat Zain, 32, kerani Sekolah Kebangsaan Manek Urai di Kuala Krai mati dengan kedua-dua belah tangan putus manakala perutnya terburai. Badan mangsa terkena letupan itu ketika dia mencapai satu bungkusan dipercayai mengandungi bahan letupan yang diletakkan di atas kenderaan Naza Citra yang diletakkan di hadapan rumah mertuanya. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas 20 minit terkena letupan tersebut. Ketika anggota unit pemusnah bom melakukan siasatan di kawasan tersebut, berlaku letupan kedua pada pukul 4.40 petang. Letupan di kawasan sama itu dipercayai berpunca daripada serpihan bahan letupan yang menyebabkan Yusrizal terbunuh. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, sebelum kejadian mangsa ternampak satu objek di atas Naza Citra milik abang iparnya yang merupakan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal. Mangsa keluar dari rumah untuk mengambil objek tersebut. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. |
Posted: Pemandu teksi cekik darahOleh IKHWAN HAZWAN HAMIDUN SHAH ALAM - Seorang peminat Kelab Barcelona terkejut apabila dia diminta membayar tambang teksi sebanyak RM150 ketika dia mahu pulang ke rumahnya di Damansara Utama, Petaling Jaya selepas menyaksikan perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa antara pasukan Harimau Malaya dan Barcelona di Stadium Shah Alam di sini malam kelmarin. Jumlah tersebut adalah enam kali ganda lebih tinggi berbanding kadar biasa sekitar RM20 bagi perjalanan dari Stadium Shah Alam ke Damansara Utama sejauh 18 kilometer. Teksi tersebut mempunyai meter tambang tetapi ia tidak digunakan. Ketiadaan pengangkutan awam alternatif di stadium tersebut menjadi faktor utama pemandu teksi terbabit mengenakan caj melampau walaupun mangsa cuba menaiki teksi tersebut pada pukul 10.45 malam. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Sallehudin berkata, dia menahan teksi tersebut disebabkan tiada pengangkutan awam lain di stadium tersebut. Jelasnya, dia yang ingin pulang ke rumahnya di Damansara Utama terkejut apabila pemandu tersebut meminta bayaran sebanyak RM150. "Saya ada wang RM150, tetapi merasakan jumlah itu terlalu melampau. Saya hubungi saudara saya dan terpaksa menunggunya datang ambil saya pada pukul 1 pagi. "Saya langsung tidak menyangka pemandu teksi tersebut akan mengenakan caj yang begitu mahal dan tidak menggunakan meter," katanya kepada Kosmo! semalam. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. |
Posted: Surau resort Sedili dicemariOleh FARIK SALLEH INILAH surau dalam Resort Tanjung Sutera Sedili, Johor yang digunakan oleh penganut agama lain untuk bersembahyang. KOTA TINGGI - Penduduk perkampungan nelayan Sedeli Besar di sini gempar apabila bangunan surau yang didirikan dalam sebuah pusat peranginan di sini dicemari dengan upacara sembahyang agama lain. Upacara yang dilakukan oleh sekumpulan individu dipercayai penganut Buddha itu disedari seorang pengunjung pusat peranginan itu, Ahmad Tarmizi Adnan yang singgah untuk menunaikan solat asar di surau itu kelmarin. Ahmad Tarmizi, 45, mendakwa terdengar suara orang seperti berzikir dalam bahasa asing selain bunyi loceng dari dalam surau. "Apabila ditinjau, saya nampak sekumpulan lelaki dan perempuan berpakaian serba putih membuat upacara sembahyang diketuai seorang sami," katanya. Peniaga dari Kuala Lumpur itu sempat merakamkan aktiviti itu dengan telefon bimbit sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Sedili. Seorang penduduk kampung, Mohamad Talib, 54, pula mendakwa, kumpulan itu datang ke surau berkenaan setiap hujung minggu untuk mengadakan upacara sembahyang selama beberapa jam sejak sebulan lalu. "Kami pada mulanya menyangka mereka pelancong," katanya. RAKAMAN menunjukkan penganut agama Buddha menjalankan upacara sembahyang dalam surau di Kota Tinggi. Dia kesal kerana pemilik pusat peranginan itu seolah-olah tidak memandang berat kejadian berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung Sedeli Besar, Ali Mohamad, 64, berkata, penduduk kampung telah bertindak menghalau kumpulan terbabit keluar dari surau berkenaan sebaik menyedari kejadian itu. "Kami sangat tidak berpuas hati dengan kejadian itu, apatah lagi dalam surau itu ada tergantung banyak kalimah suci agama Islam," ujarnya. Imam Dua Masjid Besar Al-Muttaqin Sedeli Besar, Norizan Haron, 51, turut kecewa kerana beliau antara individu yang menyokong pembinaan surau dalam pusat peranginan tersebut tiga tahun lalu. "Saya telah menandatangani surat sokongan untuk membina surau ini, sekarang ia telah disalahgunakan pula," katanya. Tinjauan Kosmo! semalam mendapati persekitaran surau tersebut telah dibersihkan daripada peralatan sembahyang kumpulan berkenaan. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |