Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Trafik perlahan di lebuh raya petang ini
- Rompak: Mufti Perlis ceritakan 5 jam tunggu rawatan di HUS
- Perkasa kutuk tindakan kejam di Mesir
Trafik perlahan di lebuh raya petang ini Posted: 17 Aug 2013 03:18 AM PDT KUALA LUMPUR 17 Ogos - Trafik dilapor bergerak perlahan di beberapa lebuh raya petang ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan. Jurucakap Plusline, ketika dihubungi Bernama berkata, setakat 5 petang, trafik perlahan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) iaitu dari Subang ke Damansara selepas tol Damansara ke Lebuhraya Sprint. "Trafik juga perlahan selepas tol Sungai Besi ke Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (Metramac) dan kenderaan dilihat bertambah dan meningkat dari Nilai ke Seremban. "Di utara, trafik sibuk dari tol Juru ke Bukit Tambun, dan perlahan dari Juru ke Seberang Jaya," katanya sambil menambah peningkatan jumlah kenderaan mungkin disebabkan cuti persekolahan berakhir esok, dan orang ramai yang keluar untuk ke rumah terbuka. Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik perlahan di beberapa lebuh raya berikutan berlaku kemalangan. "Kemalangan berlaku dari Sungai Petani Utara ke Gurun di Kilometer 87.4, Kuala Kangsar ke Ipoh di Kilometer 265.7, arah ke Universiti Putra Malaysia di Kilometer 308.8 dan Simpang Renggam ke Macap di Kilometer 64.4. Ini mengakibatkan trafik bergerak perlahan," katanya. Jurucakap itu berkata, trafik juga perlahan sebelum tol Skudai, Johor dan kenderaan dilihat mula bertambah di pertengahan jambatan Pulau Pinang namun trafik masih terkawal. "Bagaimanapun, dari Kuala Lumpur ke Karak, trafik masih lancar ketika ini," katanya. - BERNAMA |
Rompak: Mufti Perlis ceritakan 5 jam tunggu rawatan di HUS Posted: 17 Aug 2013 02:55 AM PDT Oleh FARHANA JONI KUCHING 17 Ogos - Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya hari ini menceritakan bagaimana beliau yang menjadi mangsa rompak di rumahnya di Samariang di sini awal pagi semalam, terpaksa menunggu berjam-jam untuk menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS). "Perkhidmatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) harus dipertingkatkan kerana ramai pesakit yang terpaksa menunggu hingga berjam-jam bagi mendapatkan rawatan. "Saya sendiri terpaksa menunggu hampir lima jam di Bahagian Kecemasan hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan dan akhirnya hanya menerima panadol serta ubat luka," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di sini hari ini. Pada sidang akhbar itu, Dr. Juanda meminta kerajaan menempatkan lebih ramai anggota polis di Balai Polis Gita di sini bersesuaian dengan peningkatan jumlah penduduk dan keluasan kawasan kawalan. Dalam kejadian semalam, beliau mengalami detik-detik cemas apabila kediamannya di Samariang dirompak dua lelaki bersenjatakan pedang samurai, awal pagi semalam. Beliau kerugian kira-kira RM50,000 selepas wang tunai serta pelbagai barangan kemas termasuk cincin perkahwinan dilarikan perompak. - UTUSAN ONLINE |
Perkasa kutuk tindakan kejam di Mesir Posted: 17 Aug 2013 02:30 AM PDT Oleh MD. AZRIN ROSLY KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengutuk tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan rejim haram Mesir yang telah membunuh rakyatnya sendiri. Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin berkata, apa yang dilakukan oleh rejim haram Mesir ke atas para penyokong Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi tersebut adalah di luar batas-batas atau nilai-nilai kemanusiaan. "Penggunaan senjata oleh sebuah rejim terhadap rakyatnya sendiri adalah perbuatan bacul dan dayus yang wajib dikecam oleh keseluruhan tamadun kemanusiaan yang cintakan keamanan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Angka kematian berikutan kekejaman yang berlaku terus meningkat dengan semalam, sekurang-kurangnya 70 orang lagi maut selepas beberapa pertempuran berlaku di antara penyokong Mohammed Mursi dan pasukan keselamatan di bandar-bandar utama negara itu. - UTUSAN ONLINE |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |