Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Dua penjenayah samun penyambut tetamu
- Anak angkat Bistari terima suntikan semangat
- Pihak pengurusan SWM siasat lori miliknya rempuh warung
Dua penjenayah samun penyambut tetamu Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT Oleh MOHAMAD AIZIM BAHARON KUALA PILAH 16 Ogos - Dua penjenayah menggunakan taktik berpura-pura bertanyakan bilik hotel sebelum bertindak menyamun seorang penyambut tetamu lelaki di sebuah hotel, di sini malam tadi. Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, mangsa berusia 23 tahun sedang bertugas di kaunter pertanyaan sebelum muncul kedua-dua suspek dan bertanyakan sekiranya ada bilik kosong. Jurucakap polis berkata, tiba-tiba salah seorang suspek mengeluarkan sebilah parang dan mengacukan ke leher mangsa seterusnya melompat masuk ke dalam kaunter itu. "Suspek kemudian mengambil wang tunai berjumlah RM400 yang disimpan dalam sebuah peti besi di kaunter berkenaan. Mereka kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah," katanya di sini hari ini. Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Supritendan Azmi Abdul Rahim ketika mengesahkan kes itu berkata, identiti suspek sedang dikenal pasti berdasarkan keterangan mangsa dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di hotel berkenaan. "Kita telah membuat lakaran wajah suspek berdasarkan keterangan mangsa dan rakaman CCTV malah usaha mengesan mereka sedang giat dilakukan," katanya yang memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. |
Anak angkat Bistari terima suntikan semangat Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT IDRIS Haron (tiga dari kiri) turut membaca doa untuk anak-anak angkat Bistari yang akan mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah sambil diaminkan oleh Fadilah Abdullah (dua dari kiri) di Ayer Keroh, kelmarin. MELAKA 16 Ogos - Badan Amal Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat (Bistari) negeri mengambil inisiatif mendekatkan seramai 67 anak angkatnya dengan pemimpin dalam usaha menyuntik semangat mereka untuk terus melakar kecemerlangan dalam akademik. Pengerusinya, Datin Fadilah Abdullah berkata, usaha mendekatkan pelajar yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) Oktober ini bersama Ketua Menteri, Datuk Idris Haron akan memberi kegembiraan kepada mereka. Menurutnya, anak-anak angkat itu turut berpeluang mendengar kata-kata semangat serta pengalaman dilalui Idris semasa zaman kecilnya yang boleh dijadikan panduan serta dorongan kepada mereka. "Majlis ini juga merupakan tanda sokongan dan tanggungjawab Bistari Melaka dalam memastikan anak-anak angkat berupaya mengulangi kecemerlangan seperti yang dicapai rakan-rakan mereka terdahulu," katanya ketika berucap dalam majlis anak-anak angkat Bistari Melaka bersama pemimpin iaitu 'Tak Kenal Maka Tak Cinta 2013' di Dewan Seri Bendahara, Ayer Keroh, di sini semalam. Dalam majlis tersebut, Idris turut menyampaikan sumbangan duit raya serta kelengkapan alat tulis bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Jelas Fadilah, anak-anak angkat Bistari yang diraikan itu merupakan kumpulan ketiga anak-anak Melaka yang dipilih berdasarkan kecemerlangan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010. "PMR merupakan ujian kedua bagi anak-anak angkat ini untuk menunjukkan kemampuan mereka mempertahankan kecemerlangan akademik seperti yang mereka capai dalam UPSR lalu. "Pertemuan khas ini diharap dapat memberi dorongan dan inspirasi kepada anak-anak ini demi memikul tanggungjawab sebagai aset cemerlang kerajaan negeri," ujarnya. Sementara itu, seorang pelajar, Muhamad Shafiq Haizad, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad berkata, dia teruja dan berbangga kerana mendapat peluang bertemu serta bersalaman dengan ketua menteri. "Pengalaman dan panduan yang diberikan beliau banyak memberi manfaat kepada saya dan kawan-kawan sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan tidak lama lagi. "Saya berazam untuk belajar sebaik mungkin bagi mendapat keputusan yang cemerlang dan bercita-cita untuk berjaya seperti Datuk Idris suatu masa nanti," katanya. Seorang lagi pelajar, Syamilia Josli, 15, dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar, Jasin berkata, program yang dianjurkan itu memberinya lebih semangat untuk berjaya dalam bidang akademik. "Saya bersyukur dengan segala suntikan yang diberikan terutamanya oleh pemimpin dan berjanji untuk melipatgandakan usaha memberikan yang terbaik dalam peperiksaan dan seterusnya mengharumkan nama Melaka," ujarnya. |
Pihak pengurusan SWM siasat lori miliknya rempuh warung Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT JEMPOL 16 Ogos - Pihak pengurusan SWM Environment Sdn. Bhd. akan menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kejadian kompaktor (lori sampah) syarikat tersebut merempuh sebuah warung makan dalam satu kejadian di pekan Bahau kelmarin. Pengurus negerinya, Mahadi Abd. Talib memberitahu, pihaknya amat terkilan dengan kejadian tersebut dan akan cuba mencari jalan penyelesaian. "Buat masa ini, pemandu yang membawa lori sampah tersebut telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jempol. "Bagi pihak SWM pula, kita akan jalankan siasatan tentang kejadian ini dalam masa terdekat. Sekiranya terbukti bahawa kejadian ini berlaku akibat kecuaian pekerja, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu terlibat," jelasnya. Akhbar hari ini melaporkan beberapa pelanggan di sebuah warung terpaksa menyelamatkan diri apabila premis tersebut dirempuh oleh sebuah lori sampah yang diletakkan berhampiran kawasan tersebut. Lori yang mengundur itu merempuh warung dan sebuah motosikal Yamaha LC 135 milik pelanggan. Malah, dalam kejadian tersebut, seorang pekerja di warung turut tercedera apabila minyak panas dalam kuali mengenai bahagian badannya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |