{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Dalam Negeri

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Dalam Negeri


Malaysia hantar surat kepada OIC selesaikan krisis di Mesir - PM

Posted: 21 Aug 2013 02:22 AM PDT

PUTRAJAYA 21 Ogos - Malaysia menghantar surat kepada semua negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meminta supaya diadakan persidangan khas untuk mencari penyelesaian secara aman bagi krisis di Mesir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sudahpun menghantar surat berkenaan selaras dengan ketetapan yang diambil kerajaan.

Menurutnya, Malaysia sedang berusaha memainkan peranan dalam usaha mencari keamanan di Mesir, dan katanya beliau menjangka akan menerima panggilan telefon daripada pemimpin-pemimpin negara Arab mengenai perkara itu dalam sehari dua lagi.

Beliau berkata, mesyuarat Kabinet hari ini pula melahirkan rasa kesal dengan penggunaan kekerasan yang keterlaluan di Mesir sehingga mengorbankan banyak nyawa, yang jika dibiarkan berterusan tanpa usaha mencari perdamaian, akan membawa kepada perang saudara yang parah.

"Kabinet menyarankan supaya diadakan dialog antara semua pihak di Mesir supaya semua proses perdamaian nasional dapat berlaku di Mesir. Pertama untuk tidak menggunakan kekerasan secara berterusan dan sebaliknya mencari jalan di mana hak asasi manusia dihormati," katanya dalam sidang akhbar selepas sejurus menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Majlis turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Sementara itu, merujuk kepada usaha membawa pulang pelajar Malaysia dari Mesir, Najib berkata beliau dimaklumkan 35 pelajar akan dibawa keluar dari negara itu menggunakan sistem penerbangan komersil Etihad Airways pada pukul 5 petang ini waktu Kaherah.

Beliau berkata, esok pula lebih 200 tiket penerbangan sudah ditempah untuk membawa pulang pelajar, menggunakan perkhidmatan penerbangan Emirates, Etihad Airways dan SIA.

"Saya telah minta supaya diteruskan tempahannya (tiket) sebanyak mana mungkin yang dapat kita perolehi setiap hari mulai hari ini supaya dalam jangka waktu tidak lama lagi, kesemua pelajar kita yang ingin pulang akan dapat berbuat demikian," katanya.

Najib berkata, setakat ini beliau masih belum dapat menentukan tempoh masa yang akan diambil untuk membawa semua pelajar itu pulang, namun menurutnya kerajaan akan berusaha mendapatkan tiket-tiket penerbangan sebanyak mungkin setiap hari untuk membawa pelajar berkenaan pulang dengan segera.

Sementara itu, menjawab satu soalan, Perdana Menteri berkata, amat penting rakyat secara keseluruhan memahami sensitiviti setiap komuniti dalam negara.

"Ini bukan membabitkan persoalan sebagai bersifat ortodoks. Terdapat sensitiviti dalam kalangan rakyat Malaysia, yang bukan eksklusif kepada orang Islam sahaja tetapi juga bukan Islam, mereka juga mempunyai tahap sensitiviti mereka. Jadi adalah penting untuk kita memahami sensitiviti setiap komuniti," katanya.

Najib berkata demikian semasa ditanya adakah beliau fikir Malaysia semakin menjadi sebuah negara Islam ortodoks dengan memberikan contoh beberapa insiden sebelum ini seperti pelatih anjing dan pemilik resort di Johor yang dikatakan menghina Islam.

Pelatih anjing itu ditahan berhubung klip video kontroversi memaparkan seorang individu menyambut Hari Raya bersama tiga ekor anjing manakala taraf penduduk tetap (PR) pemilik resort di Kampung Sedili Besar di Kota Tinggi, Johor dibatalkan serta merta kerana tidak menghormati sensitiviti orang Islam di Malaysia. - BERNAMA

1,200 CCTV di KL diganti sebelum Disember

Posted: 21 Aug 2013 01:12 AM PDT

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Kira-kira 1,200 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh Kuala Lumpur akan diganti selewat-lewatnya hujung tahun ini kerana kebanyakannya telah usang dan rosak akibat vandalisme.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, bagi tujuan itu, sebuah syarikat kontraktor telah dilantik untuk memasang, mengganti dan menyelia kesemua CCTV itu. Katanya nilai kontrak CCTV baharu itu yang lebih canggih, moden dan berkualiti bagi memastikan kelancaran trafik dan pencegahan jenayah berjumlah kira-kira RM190 juta untuk enam tahun.

"CCTV itu di bawah Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) termasuk lebih 300 unit khas untuk pencegahan jenayah akan dipasang setelah 30 hingga 40 peratus sahaja yang didapati masih berfungsi kerana berusia lebih 10 tahun, selain akibat vandalisme," katanya selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata CCTV bagi tujuan pemantauan dan pencegahan jenayah akan digantikan terlebih dahulu dan disambungkan terus ke semua pejabat polis di Kuala Lumpur.

"Saya telah pun berjumpa dengan syarikat pembekal yang dilantik itu pada dua, tiga hari yang lepas dan mengingatkan mereka untuk memberi keutamaan kepada CCTV yang menghubungkan kepada pihak polis dan menyiapkan kesemuanya sebelum hujung tahun ini.

"Kita juga akan memperlengkapkan CCTV seperti di Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan sistem siar raya agar apabila kita kesan kesesakan lalu lintas berlaku kerana peletakkan kereta contohnya, kita akan dapat membuat pengumuman dan menyiarkan nombor plat kenderaan itu," katanya. - BERNAMA

2 projek mega mampu sumbang RM6 bilion KDNK Melaka

Posted: 21 Aug 2013 01:11 AM PDT

MELAKA 21 Ogos - Dua projek mega, 'The Melaka Gateway' dan 'Dinosaurs and Underwater World' yang dirancang dibina di Melaka dijangka mampu menyumbang lebih RM6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu.

Pengerusi Majlis Perundingan Ekonomi Negeri Melaka (MPEN), Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, The Melaka Gateway yang akan di bina tanah berkeluasan 209.6 hektar dengan kos RM30 bilion di Bandar Hilir di sini, dijangka dapat menyumbang RM6 bilion kepada KDNK negeri itu.

"Projek ini dijangka dapat mewujudkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan Melaka selain meningkatkan kedatangan pelancong kira-kira 2.5 juta orang setahun," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, projek tersebut terdiri daripada beberapa komponen utama termasuk pembinaan tiga pulau buatan berhampiran Pulau Melaka, pusat beli-belah, hotel, kondominium, Kompleks Pertunjukan Budaya (Melaka Impression) serta taman perumahan berkonsepkan perkampungan budaya.

Katanya, projek Dinosaurs and Underwater World yang akan dibina kawasan seluas 14.1 hektar dengan kos RM240 juta di Klebang pula dijangka mampu menyumbang RM48 juta kepada KDNK Melaka. - BERNAMA

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat