{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


Hospital rawat penyakit tulang

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

KASMANI Abu Hassan (dua dari kiri) bertukar perjanjian dengan He Jun (tiga dari kanan) sambil disaksikan oleh Mohamad Hasan (empat dari kanan) dan Mat Ali Hassan (dua dari kanan) di Royale Bintang, Seremban, kelmarin. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID

SEREMBAN 20 Ogos - Sebuah hospital khusus bagi merawat penyakit tulang secara tradisional bakal diwujudkan di negeri ini melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara dua syarikat yang melibatkan pelaburan mencecah RM120 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, MoU berkenaan melibatkan kerjasama antara pihak hospital yang beroperasi di Ningxia, China bersama sebuah syarikat tempatan, EE Thong Sdn. Bhd.

"Hospital berkenaan menawarkan khidmat rawatan serta perubatan secara tradisional yang khususnya melibatkan penyakit tulang.

"Buat masa ini lokasi pembangunan kemudahan terbabit masih dalam perbincangan dan pihak kami melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan turut membantu bagi merealisasikan usaha murni ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan, di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengarah Pemasaran UL Tran Corporation Sdn. Bhd., Kasmani Abu Hassan; Pengurus Besar Ningxia Qiyeng Biological Engineering Co. Ltd., He Jun dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan

Mohamad berkata, hospital yang diwarisi melalui empat keturunan itu diasaskan oleh pemilik Islam di negara tersebut.

Pada majlis sama, satu MoU lain turut ditandatangani antara dua syarikat melibatkan pelaburan sebanyak RM150 juta bagi industri penghasilan minuman herba.

Mohamad memberitahu, inisiatif berkenaan merupakan kerjasama antara syarikat dari Ningxia Qiyeng Biological Engineering Co. Ltd. dari wilayah yang sama antara sebuah syarikat tempatan UL Tran Coporation Sdn. Bhd.

"Saya turut gembira dengan pelaburan ini kerana mereka telah memilih negeri ini untuk dijadikan hab pembuatan dan penghasilan produk mereka bagi memenuhi pasaran Asia Pasifik dan Timur Tengah.

"Mereka memilih (Malaysia) berikutan industri halal kita diperakui di peringkat antarabangsa," katanya.

Tambahnya lagi, Negeri Sembilan akan menjadi pintu keluar dan masuk kepada produk kesihatan tersebut apabila syarikat berkenaan memulakan operasi kelak.

Ejen, syarikat pengendali umrah diingat jangan tipu jemaah

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

Anan C. Mohd. (dua dari kanan) beramah mesra bersama ketua kumpulan umrah dan haji bagi Andalusia Travel selepas merasmikan Konvensyen Mutawif Andalusia di Avillion Port Dickson, dekat Telok Kemang, semalam.

TELOK KEMANG 20 Ogos - Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) hari ini mengingatkan semua ejen yang mengendalikan pakej umrah mahupun haji supaya tidak menipu jemaah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Anan C. Mohd. berkata, perbuatan itu akan hanya mendatangkan mudarat, bukan sahaja kepada jemaah terbabit, malah memberi imej buruk kepada ejen atau pengendali pakej berkenaan.

"Setiap ejen mahupun syarikat yang menguruskan pakej umrah dan haji ini hendaklah bersikap jujur dan menepati janji. Jangan pula apa yang dijanji itu ada di Tanah Suci Mekah, tetapi tidak seperti mana yang digambarkan.

"Kita juga mendapati wujud ejen yang menawarkan pelbagai jenis pakej dan apabila jemaah telah membuat bayaran penuh, pakej yang ditawar tidak lengkap," katanya selepas merasmikan Konvensyen Mutawif Andalusia di Avillion Port Dickson, dekat sini hari ini.

Kata Anan lagi, lebih mendukacitakan apabila ada ejen atau syarikat yang mengendalikan pakej ini menawarkan harga jauh lebih murah, tetapi apabila tiba di Tanah Suci, mereka mengenakan pelbagai caj tambahan.

"Ini juga tidak betul dan menyusahkan jemaah. Kita harus ingat, jemaah ke Tanah Suci kerana mereka mahu mengerjakan ibadat. Janganlah disebabkan kekalutan ini, urusan ibadat mereka terganggu," tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, jemaah yang tertipu dengan pakej palsu sebegini perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa dan ejen mahupun syarikat itu boleh disenaraihitamkan.

Pada masa yang sama juga, Anan menasihatkan jemaah supaya mengkaji latar belakang ejen terbabit sebelum membuat sebarang tempahan melalui pakej yang mereka tawarkan.

"Semakan boleh dibuat di kementerian terhadap ejen pelancongan terbabit yang menawarkan pakej umrah mahupun haji ini. Pastikan mereka juga mendaftar dengan kerajaan Arab Saudi dan diiktiraf kedua-dua negara," jelasnya.

Dalam pada itu, Anan memberitahu, tahun lalu sahaja lebih 140,000 jemaah dari negara ini mengerjakan umrah dan dijangka jumlah tersebut akan terus bertambah sebelum musim haji kelak.

"Kita maklum, selain mengerjakan umrah, ada beberapa siri ziarah tempat peninggalan sejarah Islam di negara Arab Saudi berkenaan. Ikutilah dengan sempurna.

"Jagalah tertib ketika melakukan ibadat umrah atau haji ini serta menjaga nama baik negara, katanya.

Perlu kerjasama PBT atasi pembiakan nyamuk Aedes

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

SEBAHAGIAN daripada pegawai penguat kuasa kesihatan melihat botol yang berisi jentik-jentik semasa melakukan penguatkuasaan di sekitar kawasan binaan rumah terbiar di Lorong 7, Melaka Tengah, semalam.

MELAKA 20 Ogos - Jabatan Kesihatan negeri meminta kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pejabat Daerah dan Tanah seluruh negeri untuk mengenalpasti pemilik rumah terbiar atau yang telah dirobohkan bagi membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Teoh Siang Chin berkata, pihaknya menghadapi masalah untuk mengetahui rumah berkenaan yang didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk bagi tindakan lanjut.

"Kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pejabat daerah dan tanah amat diperlukan untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai pemilik premis sebelum mengambil tindakan seterusnya dalam usaha membanteras masalah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Ops Gempur Aedes 2/2013 di Kampung Tujuh, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr. Ismail Ali.

Menurut Siang Chin, pihaknya akan keluarkan notis kompaun bernilai RM500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 jika didapati premis kediaman menjadi tempat pembiakan nyamuk.

"Jika ada tempat yang berpotensi membiakkan nyamuk seperti bekas-bekas air bertakung dan sebagainya pula, kita akan keluarkan notis pembersihan," katanya.

Siang Chin berkata, pemeriksaan di kawasan itu fokus kepada premis kediaman yang telah dirobohkan kerana terdapat banyak bahan binaan terbiar seperti bekas, takungan air dalam rumah dan sebagainya yang menjadi tempat pembiakan nyamuk.

"Tempat-tempat ini mungkin menjadi salah satu punca pembiakan nyamuk Aedes yang boleh membawa virus demam denggi di kawasan ini dengan peningkatan sebanyak enak kes sehingga semalam.

"Justeru, kita memberi perhatian serius mengenai pembiakan di kawasan rumah yang telah diroboh ini sebagai langkah memastikan kes ini tidak berlanjutan," ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya akan terus menjalankan operasi tersebut sehingga kes di kawasan ini dapat diselesaikan dan dijangka tamat pada 1 September depan.

"Aktiviti ini juga diharap dapat memberi maklumat kepada masyarakat Melaka khususnya di kawasan ini untuk mengambil langkah pencegahan kawalan secara berterusan bagi mengelak denggi," katanya.

Selain Melaka Tengah, operasi bersepadu yang dijalankan serentak di seluruh negara itu turut diadakan di Rumah Awam Gadek, Alor Gajah dan Taman Muhibbah, Jasin.

Operasi bermula pada pukul 8.30 pagi itu disertai seramai 40 penguasa dan pegawai Jabatan Kesihatan negeri serta pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat