{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Polis berkas tujuh penyamun

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff menunjukkan sebahagian senjata yang dirampas daripada penjenayah dipercayai terbabit dalam kes samun dan pecah rumah sekitar Johor pada sidang akhbar di IPK Johor, di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 28 Ogos - Polis percaya berjaya menyelesaikan 19 kes samun dan pecah rumah selepas memberkas tujuh lelaki dalam dua kejadian berasingan di sekitar bandar raya ini minggu lalu.

Dalam serbuan pertama pada 20 Ogos lalu, pihak polis menahan empat lelaki berusia antara 28 hingga 31 tahun kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pecah rumah.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Pertanian 52, Taman Universiti, Skudai, di sini pukul 1.45 pagi.

"Polis merampas 11 bilah parang, empat buah komputer riba, empat kamera, 26 telefon bimbit pelbagai jenama dan dokumen peribadi milik orang lain.

"Tiga daripada suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ujian air kencing menunjukkan kesemua suspek positif dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, polis percaya telah menyelesaikan sembilan kes pecah rumah di sekitar bandar raya ini dengan tertangkapnya keempat-empat suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kedua pukul 9.30 malam, beliau berkata, tiga lelaki berusia antara 25 hingga 32 tahun diberkas selepas polis memeriksa sebuah kereta yang mencurigakan di Jalan Abdul Rahman Andak di sini pada 21 Ogos lalu.

Katanya, ekoran penahanan tersebut, polis turut merampas sebuah kereta yang dilaporkan disamun di Setia Indah, di sini serta empat bilah parang, satu tukul besi dan pelbagai jenis spanar.

"Semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan berada dalam senarai individu dikehendaki polis.

"Kita percaya dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan," katanya sambil memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dapatkan nasihat bomba pasang paip LPG

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

JOHOR BAHRU 28 Ogos - Orang ramai yang ingin melakukan pemasangan paip gas petroleum cecair (LPG) di premis peniagaan atau kediaman disaran mendapatkan nasihat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengelakkan sebarang kemalangan pada masa akan datang.

Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Daud berkata, berdasarkan pemerhatian, kebanyakan premis perniagaan khususnya kedai makan melakukan pemasangan paip gas tersebut tanpa merujuk kepada pihaknya, malah ada antaranya tidak mematuhi piawaian keselamatan.

"Pemilik premis dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat bomba, khususnya dari segi laluan paip gas bagi mengelakkan berlakunya kecelakaan akibat kebocoran gas.

"Kita akan memberi nasihat yang sewajarnya seperti laluan paip itu tidak boleh diletakkan di kawasan letak kereta atau di tempat tertutup," katanya selepas merasmikan Seminar Keselamatan Sistem Bekalan Gas dan Akta Bekalan Gas di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di sini hari ini.

Seminar sehari bermula pukul 8 pagi itu disertai 50 pegawai dan anggota bomba yang terlibat secara langsung dengan pemeriksaan bangunan serta pemasangan paip gas.

Ab. Ghani berkata, seminar itu bertujuan memberikan pendedahan kepada setiap pegawai dan anggota berkaitan isu-isu semasa melibatkan penggunaan gas.

Beliau berkata, program berkenaan diadakan susulan beberapa kejadian kebakaran dan letupan yang berlaku akibat kebocoran gas LPG di beberapa negeri seperti di Selangor, Melaka dan negeri ini.

"Susulan kebakaran dan letupan yang berlaku di beberapa pusat beli-belah seperti di Subang Jaya dan Melaka akibat kebocoran gas, kami mengambil inisiatif mengadakan seminar ini dengan menjemput pakar dalam bidang berkaitan untuk memberikan penerangan terperinci," katanya.

Kampus baharu KPTM Batu Pahat di Sri Gading

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

BATU PAHAT 28 Ogos - Kampus baharu Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Batu Pahat bakal dibina di Sri Gading dekat sini dalam tempoh terdekat bagi menggantikan kolej sedia ada yang menumpang di Bangunan Tabung Haji di sini.

Pengerusinya, Mohd. Aziz Jamman berkata, kampus yang mampu memuatkan hampir 2,000 mahasiswa itu dibina di atas tanah seluas 1.2 hektar dan melibatkan kos sebanyak RM250 juta.

Menurutnya, usaha KPTM untuk membina kampus baharu itu kini berada di peringkat akhir yang melibatkan perbincangan teknikal antara pihak pengurusan dengan kontraktor.

"KPTM melalui ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan kini sedang menyelesaikan perbincangan akhir sebelum pembinaan kampus itu dimulakan.

"Jika tiada halangan, upacara pecah tanah akan dilakukan pada 29 September ini dan kontraktor diberikan tempoh selama 18 bulan untuk menyiapkan kampus berkenaan yang dilengkapi asrama mahasiswa," katanya selepas menghadiri Majlis Aidilfitri KPTM Batu Pahat hari ini.

Yang turut hadir Pemangku Presiden KPTM, Dr. Wan Sabri Wan Hussein dan Pengarah KPTM Batu Pahat, Mohd. Asri Mohamad.

Mohd. Aziz berkata, KPTM turut bercadang membina kampus baharu di Semporna, Sabah selain menyasarkan untuk membuka cawangan di Sarawak, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu.

"Setakat ini, hanya lima negeri tidak mempunyai cawangan KPTM. Oleh itu, kita sedang memilih lokasi terbaik di luar bandar untuk membuka cawangan baharu.

"Pemilihan kawasan di luar bandar dilihat lebih strategik dan efisien kerana selain tidak perlu bersaing dengan kolej lain, langkah itu juga merealisasikan hasrat kerajaan yang mahukan pusat pengajian tinggi lebih dekat dengan penduduk luar bandar," katanya.

Menurutnya, usaha membuka cawangan baharu itu akan direalisasikan jika mendapat kelulusan daripada kerajaan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat