{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Utamakan perpaduan - MB

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 24 Ogos - Semua ahli UMNO negeri ini digesa mengutamakan perpaduan antara mereka daripada berpecah akibat pertembungan sesama sendiri bagi merebut jawatan di peringkat bahagian dalam pemilihan parti kali ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu penting diambil kira oleh semua ahli UMNO kerana kekuatan sesebuah parti terletak kepada perpaduan dalam kalangan ahli.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, ahli perlu sedar bahawa pemilihan peringkat bahagian merupakan platform untuk memilih pemimpin, bukan 'gelanggang pertembungan'.

"Kesemua 26 bahagian diingatkan supaya mementingkan perpaduan semasa pemilihan pemimpin di peringkat bahagian kerana dilihat dan dinilai oleh masyarakat atau pengundi.

"Oleh itu, elaklah bertembung sesama sendiri sehingga meretakkan perpaduan yang wujud dalam parti ketika kita bekerjasama secara erat dan padu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu," katanya dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama penduduk daerah ini di sini malam semalam.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohamad Aziz serta barisan Exco negeri, selain pemimpin UMNO Bahagian Batu Pahat, Sri Gading dan Parit Sulong.

Mohamed Khaled berkata, perpaduan atau kerjasama yang ditunjukkan oleh tiga UMNO bahagian di daerah ini dalam menjayakan majlis sambutan Aidilfitri itu perlu dicontohi.

"Kalau nak dianjurkan majlis sama di setiap bahagian, ini memerlukan kos yang tinggi dan pencarian kawasan terutamanya dewan yang boleh memuatkan orang ramai.

"Tapi dalam kerjasama tiga UMNO bahagian ini, satu majlis telah dianjurkan secara kerjasama dan alhamdulillah cukup meriah dan berjaya membawa tetamu daripada ketiga-tiga bahagian," katanya.

Beliau berharap perpaduan seperti itu dapat diteruskan dan dicontohi oleh ahli, khususnya dalam pemilihan pemimpin peringkat bahagian kelak.

Pelantikan Ali suntikan baharu kepada PUNB

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

YUSOF Abu Bakar (tengah) bersama para tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka beliau di Bukit Pasir, Muar, Johor, semalam.

PAGOH 24 Ogos - Pelantikan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam selaku Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) yang baharu diyakini akan membawa perubahan dalam melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera yang dinamik, berdaya tahan dan progresif.

Pengerusi Persatuan Usahawan Bumiputera Muar, Datuk Yusof Abu Bakar berkata, kemampuan Mohd. Ali yang menggantikan Khairy Jamaluddin berkuatkuasa 1 Ogos lalu, dinilai melalui kepimpinannya sebelum ini yang menyaksikan banyak usaha meningkatkan pendapatan usahawan bumiputera.

"Dengan adanya pengaruh beliau sebelum ini kita percaya PUNB akan terus menjadi nadi penggerak untuk membangun usahawan bumiputera yang penglibatan dan sumbangan mereka penting kepada pembangunan ekonomi negara," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya di pekan Bukit Pasir di sini hari ini.

Mohd. Ali dilantik menggantikan Khairy yang kini menjadi Menteri Belia dan Sukan berdasarkan pengalaman dalam memajukan ekonomi Melaka semasa menjadi Ketua Menteri di negeri itu selama 12 tahun.

Mengulas lanjut Yusof berkata, Mohd. Ali akan memberi suntikan baharu dan lebih segar terhadap PUNB selain memberi sumbangan tersendiri dalam membangunkan perbadanan tersebut dalam usaha memperkasa ekonomi bumiputera ke tahap yang lebih baik.

Sementara itu, beliau yang mengumumkan hasratnya pada 23 Julai lalu untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh pada pemilihan parti pada Oktober ini, berharap mendapat sokongan daripada ahli-ahli.

"Penjelasan sudah diberikan tentang hala tuju baharu Pemuda UMNO Pagoh dalam bidang ekonomi, agama dan sosial.

"Saya yakin ramai akan menyokong idea-idea besar ini namun pada masa sama saya menafikan pertandingan merebut jawatan ini akan membawa perpecahan kerana ahli bijak menilai calon yang mempunyai visi dan misi," katanya yang juga Penasihat Majlis Belia Daerah Muar.

Dua polis didakwa rasuah

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

JOHOR BAHRU 24 Ogos - Dua anggota polis dan seorang juruteknik kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah pada Oktober tahun lalu.

Koperal Kamaruzaman Khamis, 45, Konstabel Zamzuri Idha Ismawi, 27, dan Cheah Chee Seng, 27, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca kepada mereka di hadapan Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dengan niat bersama didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15,000 daripada Lee Tau Hoo sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu yang disyaki memiliki dadah.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kereta Plaza DNP, Jalan Abdullah Tahir, di sini pada pukul 1 pagi, 18 Oktober 2012.

Mereka juga didakwa menerima suapan wang RM1,800 daripada Tau Hoo di hadapan Public Bank Bhd., Jalan Rosmerah 2/10 Taman Johor Jaya bagi tujuan tersebut pada pukul 2.30 pagi, hari yang sama.

Pada pukul 2.50 pagi, tarikh dan tempat yang sama, mereka bertiga didakwa menerima rasuah RM500 daripada Tau Hoo.

Pertuduhan keempat pula menyaksikan kesemua tertuduh didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada Tau Hoo di hadapan TM Point Jalan Rosmerah 2/10, Taman Johor Jaya, di sini pada pukul 9.30 malam, 19 Oktober tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama bagi keempat-empat pertuduhan berkenaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd. Malik mencadangkan supaya setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Noordin Hussin yang mewakili mereka pula meminta jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000 seorang bagi setiap pertuduhan terhadap Kamaruzaman dan Zamzuri Idha yang sudah membayar jaminan RM10,000 kepada SPRM dan membantu dalam siasatan kes.

Bayaran ikat jamin yang berpatutan turut diminta Noordin untuk Chee Seng yang sebelum ini telah membayar jaminan RM4,000 kepada SPRM dan memberikan kerjasama sepanjang siasatan kes berjalan.

Mohamad Haidar kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 17 September ini.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat