{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Terima hakikat berjiran - MB

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
fikri.rosly@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin bergambar dengan ahli Kelab Media Johor di majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar Johor di Hotel M Suites, Johor Bahru, malam semalam.

JOHOR BAHRU 7 Ogos - Kerajaan negeri akan memastikan peningkatan mata wang dolar Singapura berbanding Ringgit Malaysia tidak memberi kesan buruk kepada rakyat tempatan berikutan nilai hartanah dan barangan lain yang menjadi lebih murah untuk dibeli oleh warganegara asing dari seberang Tambak Johor.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembelian oleh rakyat Singapura di Johor sememangnya memberi kesan kepada peningkatan harga hartanah mahupun barangan keperluan berikutan kuasa membeli lebih besar yang dimiliki penduduk negara republik tersebut.

"Sudah pasti itu (hartanah dan barangan di Johor Bahru menjadi lebih murah kepada warga Singapura) akan berlaku tetapi pada masa yang sama kita perlu memastikan ia tidak menjejaskan rakyat tempatan.

"Ada kesan buruk dan baik tetapi ini adalah Johor Bahru dan kita kena terima hakikat bahawa bandar ini adalah ibu negeri yang hampir dan bersebelahan dengan negara jiran. Kalau itu berlaku, saya perlu sediakan rancangan untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik (untuk rakyat tempatan)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Johor Bersama Media, di sini semalam.

Ketika ditanya sama ada peningkatan mata wang dolar Singapura menjadikan hartanah di Johor lebih mudah untuk dibeli dan mewujudkan tarikan pelaburan yang lebih banyak sekali gus merancakkan ekonomi, Mohamed Khaled menegaskan perkara tersebut bukan kriteria yang digunakan dalam penilaian beliau.

Beliau juga menyatakan bahawa keadaan mata wang yang berlaku sekarang ini bukan suatu asas untuk menentukan kadar pelaburan yang ingin dicapai oleh kerajaan negeri.

Peningkatan nilai mata wang dolar Singapura berbanding Ringgit Malaysia menyaksikan tukaran wang S$$1 bersamaan dengan RM2.50 berbanding sebelum ini dan penganalisa pasaran menjangka keadaan tersebut kekal selama enam bulan akan datang.

Bagaimanapun, pakar kewangan turut memberi amaran bahawa ia mungkin memberi kesan buruk kepada rakyat Singapura yang melabur dalam sektor hartanah di negara ini terutama mereka yang melakukan pelaburan berasaskan spekulasi.

Pelabur dari Singapura turut berdepan risiko tukaran wang asing yang mungkin berlaku di masa depan kerana nilai ringgit yang semakin lemah akan mengurangkan keuntungan dan mungkin menyebabkan kerugian ketika mereka mahu membawa pulang dana pelaburan kembali ke negara republik tersebut.

Syawal tidak seceria dulu buat Samiran

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

Samiran (duduk di kerusi roda) menerima sumbangan daripada RHB Cawangan Pontian yang disampaikan Azian Saniman. Turut hadir Ir.Hasni Mohammad (dua dari kanan) di Kampung Permatang Palas, Benut, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 7 Ogos - Ketika mereka yang lain teruja menyambut Syawal, suasana menjelang Aidilfitri tidak lagi ceria buat keluarga Samiran Salam, 56, yang menetap di Kampung Permatang Palas, Benut di sini kerana beliau kehilangan kaki kiri akibat jangkitan kencing manis, sekali gus menjejaskan kehidupannya sekeluarga.

Bapa kepada lapan anak kini tidak mampu lagi bekerja mengambil upah memotong buah kelapa sawit, menebas, meracun dan pelbagai kerja kampung yang lain dan kini hanya bergantung pendapatan kepada hasil kelapa sawit milik keluarga isterinya, Rosmiati Sukaimi, 53.

"Pendapatan tidak seberapa kerana terpaksa dibahagi dua dengan pekerja yang melakukan kerja-kerja memotong buah kelapa sawit, jadi yang tinggal hanya kira-kira RM400 sebulan. Dengan pendapatan inilah kami gunakan untuk menyara keluarga besar termasuk tiga lagi yang masih bersekolah, di samping bantuan anak-anak lain.

"Kaki kiri saya terpaksa dipotong sehingga ke paras paha Februari lalu dan bermula apabila ibu jari tersangkut pada tangga sehingga terluka. Keadaan semakin teruk membuatkan saya dibawa dari Klinik Kesihatan Benut dan Hospital Pontian sebelum ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini kelmarin.

Samiran ditemui semasa menerima kunjungan kakitangan RHB Cawangan Pontian dalam program Semarak Ramadhan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri.

RHB Pontian diwakili Azian Saniman selaku Penggerak Program Semarak Ramadan yang turut menyampaikan sumbangan kepada 20 keluarga yang kurang berkemampuan dalam bentuk barangan keperluan harian.

Samiran berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat menghulurkan bantuan kerana dia sudahpun menerima kad pengiktirafan sebagai orang kurang upaya (OKU) baru-baru ini.

"Isteri saya tidak bekerja semata-mata untuk menjaga saya dan tiga cucu, malah ibu saya sendiri keluar mencari pendapatan tambahan," katanya lagi.

Pastikan rumah selamat, hati-hati memandu

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

JOHOR BAHRU 7 Ogos - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan umat Islam di negeri ini agar memastikan keadaan rumah agar selamat untuk ditinggalkan sekiranya pulang ke kampung halaman sempena kedatangan Aidilfitri yang akan disambut esok.

Pesanan yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau itu turut menasihatkan kepada mereka yang meninggalkan kediaman agar memastikan semua suis telah ditutup dan juga memastikan rumah berkunci dengan rapi.

"Mengambil kesempatan sempena dengan kedatangan Aidilfitri, semua umat Islam harus mengisi borang balik kampung yang telah disediakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi makluman pihak polis dan memaklumkan kepada jiran," demikian menurut pesanan ringkas tersebut.

Beliau juga meminta agar mereka yang pulang ke kampung memeriksa kenderaan supaya dalam keadaan selamat untuk tempoh perjalanan yang jauh selain berehat sebentar sekiranya penat atau mengantuk.

Tambah Mohamed Khaled, pengguna jalan raya perlu mematuhi semua peraturan lalu lintas selain mengamalkan pemanduan berhemah, sabar dan bertolak ansur dalam perjalanan ke destinasi masing-masing.

"Ingatlah kepulangan kita amat-amat ditunggu untuk sama-sama menyambutnya dengan kegembiraan dan bukan dengan tangisan. Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya pada tahun 2012 jumlah kemalangan yang berlaku sebanyak 17, 937 kes, menunjukkan kadar yang yang berlaku amat membimbangkan.

"Amatlah diharapkan supaya tragedi seperti ini tidak berlaku pada Aidilfitri pada kali ini," katanya lagi.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat