{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Penyandang undur, Razali tawar diri

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

MUAR 25 Ogos - Datuk Razali Ibrahim yang akan melepaskan jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO atas faktor umur menyatakan kesediaan merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Muar selepas penyandangnya, Datuk Mohd. Ismail Mohd. Shah (gambar) mengumumkan akan berundur.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau terharu dengan kesediaan Mohd. Ismail tidak bertanding lagi dalam pemilihan Oktober ini selepas 23 tahun memimpin bahagian berkenaan.

Katanya, keputusan Mohd. Ismail itu dibuat dalam menyahut saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang mahu meremajakan UMNO.

"Adalah sangat mustahak melihat kesediaan beliau menyahut saranan Presiden dengan membuat pengumuman mengundurkan diri selepas 23 tahun berkhidmat, tiga penggal bersama Pemuda dan tiga penggal lagi bersama Bahagian. Ini mudah didengari tetapi sukar dilaksana, perkara seperti ini terjadi cukup sedikit," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Muar di Kampung Seri Menanti, Parit Jawa, di sini malam tadi.

Terdahulu, Mohd. Ismail ketika berucap di depan kira-kira 5,000 tetamu dalam majlis tersebut mengumumkan pengundurannya demi menyahut saranan Perdana Menteri.

Mohd. Ismail juga berharap penggantinya pada masa akan datang perlu datang daripada kalangan golongan muda yang akan dapat terus memperjuangkan UMNO.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, soal menterjemahkan keremajaan UMNO bukan hanya membabitkan perubahan dalam Majlis Tertinggi (MT) namun sepatutnya bermula dari bawah.

"Hari ini ialah sejarah, yang pasti beliau berundur dengan harapan saya menggantikannya, tapi saya belum tentu (akan menang), saya tak tahu apa yang difikirkan orang lain, harapan itu saya akan galas dengan menawarkan diri bertanding Ketua UMNO Bahagian.

"Beliau mengikut jejak langkah pemimpin-pemimpin Johor sebelum ini termasuk Allahyarham Tun Dr. Ismail Mohd. Ali, Tun Hussein Onn dan Tun Musa Hitam yang meletak jawatan ketika berada di puncak," katanya yang juga Ahli MT UMNO.

Kata Razali yang juga akan melepaskan jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, beliau berharap ahli memberi sokongan kepadanya sebagaimana sokongan yang diterima ketika menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal.

Hartanah bukan fokus utama Iskandar Malaysia

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

JOHOR BAHRU 25 Ogos - Pembangunan projek mega Iskandar Malaysia tidak memberi tumpuan kepada sektor hartanah tetapi mempunyai objektif mewujudkan peluang ekonomi dan membangunkan kawasan selatan negeri ini kepada bandar raya metropolis bertaraf antarabangsa.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad (gambar) berkata, peningkatan nilai hartanah di Iskandar Malaysia adalah perkara normal yang berlaku di kawasan yang menyaksikan kerancakan ekonomi.

"Sebelum bermulanya Iskandar Malaysia, ramai rakyat Johor dan negara ini yang mempunyai persepsi keadaan ekonomi negeri ini tidak menggalakkan. Tetapi apabila Iskandar Malaysia membangun dan semakin maju sebagai kawasan tumpuan pelaburan, ramai pula yang mengadu kononnya bergerak terlalu pantas.

"Kita perlu melihat kepada gambaran yang lebih besar dan tidak mengaitkan sektor hartanah sebagai ekonomi utama Iskandar Malaysia. Kerajaan sedar tentang isu ini dan rancangan sudah dibuat bagi membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kesenian Johor Bahru ke-10, di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang lonjakan nilai hartanah di Iskandar Malaysia yang menjadi topik hangat dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ditangguhkan Khamis lalu yang menyaksikan wakil rakyat meminta kerajaan negeri campur tangan berikutan rakyat negeri ini tidak mampu membeli kediaman.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, United Malayan Land Bhd. (UMLand), Charlie Chia; Pengarah Eksekutif SAP, Freddie Lee dan Pengurus Besar Dynasty View Sdn. Bhd., Wong Kuen Kong.

Menurut Shahrir, rakyat di negara ini teruja dan pada masa sama bingung dengan laporan berita yang menyatakan ada pihak sanggup membeli tanah sehingga RM1,000 bagi setiap kaki persegi untuk projek kondominium mewah di Iskandar Malaysia.

Namun, beliau menegaskan, Johor sebenarnya adalah negeri pertama yang merevolusikan perumahan awam bermula dengan pemindahan penduduk Rumah Pangsa Lumba Kuda dan Rumah Pangsa Bukit Chagar ke Perumahan Rakyat Iskandar dan Perumahan Rakyat Sri Stulang.

Sementara itu, Ismail berkata, IRDA telah mengenal pasti beberapa kawasan untuk rumah mampu milik seperti bandar raya Johor Bahru sendiri dan empat lagi kawasan tumpuan pembangunan di bawah Iskandar Malaysia.

Ujarnya, rumah mampu milik yang bakal dibangunkan itu akan dibina berasaskan Perumahan Rakyat Iskandar di Jalan Ulu Choh, Gelang Patah yang mana penduduk diberi pilihan membeli kediaman tersebut selepas tempoh ditetapkan.

Menurutnya, IRDA tidak mempromosi hartanah sebagai tumpuan ekonomi Iskandar Malaysia kerana yang menjadi fokus adalah elektrik dan elektronik, petrokimia dan oleokimia, pemprosesan makanan dan pertanian.

Turut menjadi tumpuan, kata beliau, adalah sektor logistik, industri kreatif, perkhidmatan, pelancongan, penjagaan kesihatan, pendidikan, kewangan dan teknologi maklumat.

'Raja sehari' teruja bertemu Sultan Johor di sesi fotografi

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar bersama pasangan Mohd. Fairul Razi Shafiei (kiri) dan Eka Susila Wasih di Stadium Majlis Perbandaran Kluang di Kluang, Johor, semalam.

KLUANG 25 Ogos - Sepasang pengantin baharu di sini teruja kerana berpeluang beramah mesra bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika sedang menjalankan sesi fotografi di Stadium Majlis Perbandaran Kluang (MPK) di sini hari ini.

Pasangan pengantin itu, Mohd. Fairul Razi Shafiei, 34, dan Eka Susila Wasih, 24, menyifatkan peluang tersebut sebagai sesuatu yang sangat bermakna buat mereka.

Mohd. Fairul Razi berkata, beliau sama sekali tidak menyangka berpeluang bergambar dan bersalaman dengan Sultan Johor dan menyifatkannya sebagai hadiah perkahwinan terbaik.

"Kami memang merancang ke sini, tetapi sama sekali tidak menjangka baginda juga ada di sini.

"Memang seperti yang dikatakan, baginda seorang sultan yang berjiwa rakyat dan sama sekali tidak menjangkakan peluang seperti ini akan datang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Detik-detik indah pasangan itu hadir ketika rombongan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2013 yang diketuai Sultan Ibrahim ingin berangkat meninggalkan Stadium MPK selepas menyaksikan perlawanan bola sepak antara Johor Darul Takzim dan pasukan pilihan Kluang.

Kebetulan, baginda terlihat pasangan 'raja sehari' tersebut dan memutuskan meluangkan masa bergambar bersama selain beramah mesra bertanyakan khabar dan mengucapkan tahniah.

Eka Susila turut meluahkan kegembiraannya apabila berpeluang bersalaman dengan Sultan Ibrahim selain memberitahu detik itu merupakan antara yang bermakna dalam hidupnya.

"Saya sangat teruja dan tidak menjangka berpeluang bersalaman dengan baginda. Saya sangat teruja dengan apa yang berlaku hari ini," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat