{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Mahkamah

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Mahkamah


Azilah, Sirul Azhar bebas

Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

Sebahagian ahli keluarga Koperal Sirul Azhar Umar yang turut berada di pekarangan mahkamah ketika menunggu keputusan rayuan oleh Azilah Hadri dan Sirul Azhar di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, semalam. - utusan/MOHD. NOOR MAT AMIN

PUTRAJAYA 23 Ogos - Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada sabitan dan hukuman gantung kerana membunuh model sambilan dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan kedua-dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu.

Kuorum berkenaan melepas dan membebaskan kedua-duanya selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 April 2009.

Dalam reaksi segera, Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu pemberita, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Sejurus selepas keputusan diumumkan, Sirul Azhar sempat mengucapkan Terima Kasih Yang Arif kepada panel bersidang manakala Azilah kelihatan terpaku sebelum kedua-duanya dibawa beredar oleh polis bertugas menuju ke lokap selepas mahkamah selesai bersidang.

Keputusan itu turut disambut dengan ucapan Alhamdulillah dalam kalangan ahli keluarga terdekat yang hadir pada prosiding tersebut manakala ada di antara mereka saling berpelukan.

Azilah, 37, selaku perayu pertama dan Sirul Azhar, 42, perayu kedua dituduh membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun itu di antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang dekat sini.

Hakim Tengku Maimun ketika membacakan penghakiman ringkas menyatakan, mahkamah membenarkan rayuan mereka selepas berpuas hati bahawa hakim bicara tersilap arah dalam mencapai keputusannya berdasarkan kepada keterangan kes secara keseluruhan.

Beliau menyatakan, hakim bicara tersilap arah kerana gagal memberi pertimbangan terhadap pembelaan alibi berhubung catatan dalam diari polis yang menyatakan Azilah tidak berada di tempat kejadian.

Ujarnya, pada hemat panel tersebut, beliau gagal menimbang atau membuat dapatan bahawa diari polis itu boleh menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan kerana catatan di situ menunjukkan Azilah berada di Bukit Aman ketika pembunuhan berlaku.

Hakim Tengku Maimun selanjutnya menyatakan, hakim bicara tersalah arah kerana tidak memastikan dahulu maklumat yang membawa kepada pendedahan Sirul Azhar dan Azilah mengenai tempat berlakunya kejadian pembunuhan dan letupan.

Menurut beliau, hakim berkenaan gagal menilai sama ada wujud percanggahan nyata berhubung keterangan saksi-saksi pendakwaan mengenai maklumat tersebut sebelum beliau menerima masuk keterangan mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950.

Hakim Tengku Maimun turut berpendirian hakim bicara gagal membuat dapatan menyeluruh berhubung isu bahan letupan C4 dan kawalan terhadapnya bagi mengaitkan bahan itu dengan kedua-dua perayu.

Beliau menyatakan, kegagalan mengaitkan perayu-perayu dengan pemilikan bahan letupan tersebut yang dikatakan digunakan untuk membunuh mangsa menjadikan rantaian keterangan tercicir.

Panel itu turut berpuas hati bahawa kegagalan memanggil seorang pegawai polis, Deputi Supritendan (DSP) Musa Safri sebagai saksi sedangkan ia penting bagi menjelaskan kaitannya dengan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, mewujudkan inferens yang bertentangan terhadap kes pendakwaan.

Pihak pembelaan membangkitkan isu Musa kerana pegawai berkenaan pernah berbalas mesej dengan Abdul Razak bagi mendapatkan bantuan polis untuk menghalang model berkenaan daripada mengganggu beliau dan keluarga.

Altantuya: Jabatan Peguam Negara bakal fail rayuan

Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Jabatan Peguam Negara akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang melepas dan membebaskan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada sabitan dan hukuman gantung atas dakwaan membunuh model sambilan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lalu.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, walaupun menghormati keputusan mahkamah, pihaknya tidak puas hati memandangkan alasan tersilap arah oleh hakim bicara tidak boleh disifatkan sebagai kesalahan pihak pendakwa.

Berkenaan dengan (pegawai polis) Deputi Supritendan (DSP) Musa Safri, kami menegaskan bahawa keterangan beliau sama sekali tidak relevan kerana keseluruhan kes pihak pendakwaan telah dibentangkan dalam perbicaraan yang telah dijalankan," ujarnya.

Dalam penghakiman Mahkamah Rayuan hari ini, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara berpuas hati bahawa hakim bicara telah tersilap arah dalam membuat keputusan.

Panel hakim itu menyatakan hakim Mahkamah Tinggi berkenaan antara lainnya gagal mengambil kira alibi Azilah berhubung catatan diari polis yang menunjukkan lelaki itu tiada di tempat kejadian.

Mereka juga menyatakan hakim bicara gagal membuat dapatan menyeluruh berhubung isu bahan letupan C4 dan pemilikan bahan letupan itu sekali gus menyebabkan rantaian keterangan tercicir.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat