{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Mahkamah

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Mahkamah


Berdepan hukuman gantung

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

CHE Rosli Che Daud ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat, semalam. - UTUSAN/ROSNI MASRI

TUMPAT 27 Ogos - Insiden letupan bom yang meragut nyawa seorang kerani sekolah berkesudahan dengan seorang anggota tentera berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh mangsa pada hari keempat sambutan Aidilfitri.

Che Rosli Che Daud, 29, dari Batalion 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa, Kota Bharu kini berdepan hukuman di tali gantung setelah didakwa membunuh Mohd. Yusrizal Mat Zain, 32.

Kejadian didakwa berlaku di hadapan sebuah rumah di Lot 127, Blok N, Perumahan JPN Kok Seraya, Chabang Empat di sini antara pukul 10 pagi dan 11 pagi, 11 Ogos lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hamizah Ghazali mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Che Rosli.

Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri menetapkan sebutan kes pada 1 Oktober ini bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan kepada peguam Datuk Sukri Mohamed yang mewakili tertuduh.

Terdahulu, lelaki itu tiba di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki kereta polis jenis Proton Waja dan kawalan keselamatan diperketatkan dengan kehadiran sekumpulan anggota polis di pekarangan mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang memakai pakaian lokap berwarna jingga kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum ketika gambarnya dirakamkan oleh pihak media.

Yang turut kelihatan ialah beberapa ahli keluarga anggota tentera terbabit.

Dalam kejadian 11 Ogos lalu, kerani terbabit maut dengan kedua-dua tangannya putus setelah mengambil satu bungkusan mengandungi bahan letupan yang ditinggalkan di atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mentuanya.

Mohd. Yusrizal yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Krai meninggal dunia di tempat kejadian.

Motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu dan dendam kerana isteri suspek dipercayai mempunyai hubungan dengan salah seorang keluarga mangsa yang juga anggota pasukan keselamatan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kota Bharu, suspek kedua yang merupakan jiran mentua mangsa dan suspek ketiga iaitu seorang lagi anggota tentera yang direman sebelum ini masing-masing dibebaskan tanpa syarat.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Nik Habri Muhamad.

Suspek kedua yang merupakan buruh bersama rakannya itu yang berpangkat koperal sepatutnya direman sehingga 31 Ogos ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, jiran mentua mangsa itu akan dijadikan saksi untuk menguatkan kes ini.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya jangan buat yang bukan-bukan kerana pihak polis akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar jenayah. Siasatan kes ini telah selesai dan tunggu perbicaraan nanti," katanya.

Kes Altantuya: Pendakwaan teliti penghakiman Mahkamah Rayuan

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

PUTRAJAYA 27 Ogos - Jabatan Peguam Negara sedang meneliti penghakiman penuh Mahkamah Rayuan berhubung pembebasan Cif Inspektor Azilah Hadri, 37, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 42, bagi membolehkan pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberitahu, penghakiman bertulis setebal 47 muka surat berkaitan rayuan kedua-duanya dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, diterimanya semalam.

Beliau yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu memaklumkan, jabatan tersebut mempunyai tempoh 10 hari selepas menerima rekod rayuan daripada Mahkamah Rayuan untuk memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan merupakan peringkat terakhir selepas Mahkamah Rayuan bagi mengemukakan rayuan kes jenayah dan sivil yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

"Pihak pendakwaan akan memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh terdekat. Namun, kami belum lagi menerima rekod rayuan daripada Mahkamah Rayuan.

"Buat masa ini, saya tidak dapat memberi ulasan lanjut mengenai kes itu kerana ia kini di peringkat pemfailan petisyen dan dikhuatiri akan menimbulkan subjudis (kacau ganggu kes yang belum diselesaikan) terhadap rayuan kelak," ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.

Tun Abdul Majid ditanya persiapan pemfailan petisyen rayuan selepas Mahkamah Rayuan semalam mengeluarkan penghakiman penuh pembebasan kedua-dua bekas pegawai dan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan bahawa Tun Abdul Majid mengesahkan bahawa notis rayuan terhadap keputusan tersebut telah difailkan pada Jumaat lalu iaitu hari yang sama keputusan pembebasan itu diumumkan.

Kebiasaannya, pihak yang memfailkan rayuan akan menunggu alasan penghakiman dan rekod rayuan daripada mahkamah dan apabila dokumen itu diterima, petisyen rayuan perlu difailkan dalam tempoh 10 hari selepas penerimaan.

Mahkamah Persekutuan kemudian menetapkan tarikh rayuan atau menetapkan pengurusan kes terlebih dahulu bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit dan memastikan kedua-dua pihak telah bersedia untuk prosiding rayuan.

Jumaat lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membebaskan perayu-perayu daripada sabitan dan hukuman mati kerana membunuh Altantuya.

Dalam penghakiman penuh yang dikeluarkan semalam, Hakim Tengku Maimun menyatakan, rayuan Azilah dan Sirul Azhar dibenarkan selepas mahkamah berpuas hati bahawa penglibatan kedua-duanya tidak dibuktikan dengan memuaskan.

Antara alasan yang digariskan dalam penghakiman itu menyentuh isu pembelaan alibi, kegagalan memanggil saksi penting bagi merungkai kes pembunuhan model berkenaan, ketepatan diari polis dan rekod panggilan syarikat telekomunikasi serta pemilikan bahan letupan C4 yang dikaitkan dengan kematian mangsa.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat