Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- TM Pahang rugi RM2.8 juta
- Tanggungjawab bersama jaga kebersihan Pulau Tioman
- Guna langkah bersepadu tangani gores dan menang
Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN MD. Rasidin Kadak (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TM Pahang di Kuantan, baru-baru ini. KUANTAN 27 Ogos - Telekom Malaysia Berhad (TM) Pahang mencatatkan kerugian berjumlah RM2.8 juta ringgit tahun ini akibat kecurian kabel yang berlaku di seluruh negeri ini. Pengurus Besar TM negeri, Md. Rasidin Kadak berkata, dari Januari hingga Julai lalu, sebanyak 669 kes kecurian dilaporkan berlaku yang menyaksikan peningkatan 200 peratus iaitu 288 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Menurutnya, kerugian itu dicatatkan selepas mengira kos pemasangan dan penggantian kabel yang dicuri di negeri ini. "Pihak kami telah mengadakan kerjasama dengan polis, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) bagi membendung masalah kecurian tu dan setakat ini berjaya membuat lapan tangkapan membabitkan 13 individu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri TM di sini baru-baru ini. Dalam majlis itu beliau menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim, fakir miskin, warga emas dan ibu tunggal yang tinggal di daerah ini. Md. Rasidin berkata, selain itu pihaknya juga mengambil beberapa inisiatif bagi mengekang kes kecurian dengan memasang alat pengesan dan pemasangan kabel bawah tanah. Beliau memberitahu, Kuantan dan Temerloh mencatatkan bilangan kes kecurian tertinggi berbanding daerah lain dan secara keseluruhan Pahang merupakan antara lima negeri tertinggi berhubung kes tersebut. Dalam pada itu, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM80,000 bagi melaksanakan tanggungjawab sosial dengan RM50,000 diserahkan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan selebihnya diberikan kepada golongan asnaf. "Tahun ini, TM Pahang menyampaikan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Orang Kaya Haji Ali, Lipis dan berharap dapat membantu meningkatkan tahap pendidikan mereka di situ," ujarnya. |
Tanggungjawab bersama jaga kebersihan Pulau Tioman Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT Peserta program Merdeka Dive 2013 bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar sempena Kempen Pembasmian Tikus di Kampung Air Terjun Asah, Pulau Tioman, baru-baru ini. PULAU TIOMAN 27 Ogos - Penduduk Pulau Tioman dan pelancong perlu mempunyai tanggungjawab bersama menjaga kebersihan pulau tersebut bagi mengelak daripada masalah penularan penyakit kencing tikus atau leptospirosis. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Johari Hussain berkata, penduduk tempatan dan pelancong yang bercuti ke pulau itu dinasihatkan tidak membuang sampah di merata tempat terutama sia makanan yang boleh mengundang kehadiran tikus. Menurutnya, penyakit itu boleh mengundang bahaya sehingga membawa maut kerana wabak tersebut merebak melalui aliran darah. ''Kebersihan di Pulau Tioman seperti di kawasan pantai dan air terjun bukan sahaja penting memastikan keselamatan kesihatan penduduk dan pelancong, tetapi memastikan imej pulau ini sebagai antara 10 pulau tercantik dapat dipelihara. ''Jika berlaku kematian akibat penyakit tersebut secara tidak langsung boleh menjejaskan industri pelancongan dan akhirnya merugikan penduduk yang bergantung kehidupan harian daripada sektor itu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pembasmian Tikus di Kampung Air Terjun Asah di sini baru-baru ini. Kempen tersebut disertai beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pelancongan negeri, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pulau Tioman, para penyelam yang menyerai program Merdeka Dive dan penduduk kampung. Beliau berkata, walaupun belum ada kematian yang dicatatkan tentang penyakit itu, tetapi para penduduk diminta sentiasa mengekalkan kebersihan demi kebaikan bersama. ''Tahun ini tiada kematian dilaporkan berlaku, namun pada tahun lalu terdapat satu kematian dicatatkan akibat terkena jangkitan tersebut di Rompin," katanya. |
Guna langkah bersepadu tangani gores dan menang Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT KUANTAN 27 Ogos - Satu langkah bersepadu akan digunakan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang dalam mengambil tindakan terhadap penganjur gores dan menang di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Imigresen Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM. Menurut beliau, langkah demikian diambil berikutan sikap penganjur yang berani memeras ugut masyarakat dalam mengaut keuntungan walaupun tiada tawaran hadiah lumayan disediakan. Lebih mengejutkan katanya, pihak terbabit menggunakan khidmat tenaga pekerja asing sebagai tarikan terbaharu dalam memujuk mangsa supaya menyertai peraduan tersebut. "Kerajaan negeri memandang berat terhadap tindakan yang dilakukan penganjur terbabit. Berdasarkan aduan diterima, ada mangsa diperangkap, diugut dan dikurung untuk menjelaskan bayaran tertentu sebelum mereka dibebaskan. "Lebih malang rata-rata mangsa membabitkan golongan peneroka dan pesara termasuk dari negeri jiran Kemaman, Terengganu apabila berkunjung ke bandar Kuantan," katanya dalam sidang akhbar di pejabat PPDNKK negeri di sini baru-baru ini. Tambahnya, ada di kalangan mangsa sanggup membayar antara RM3,000 hingga RM20,000 apabila dijanjikan hadiah lumayan termasuk pakej percutian ke London dan sebuah kereta mewah. Menurutnya, modus operandi yang digunakan adalah memujuk mangsa sehingga mereka menjelaskan jumlah bayaran tertentu bagi meraih hadiah lumayan. "Masyarakat perlu faham bahawa tidak mungkin pihak tertentu sanggup memberikan hadiah lumayan sedangkan bayarannya dalam jumlah kecil. "Oleh itu, jika masyarakat didatangi pihak yang cuba menawarkan hadiah lumayan dan berasa tertipu, mereka perlu melaporkannya kepada PPDNKK bagi memudahkan pihak kami menjalankan siasatan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |