Utusan Online - Pemotoran
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pemotoran |
Toyota tumpu bangunkan kereta hibrid Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT Oleh JOHARDY IBRAHIM KILANG Primearth EV Energy yang mengeluarkan bateri hibrid pasang palam untuk Toyota di Shizuoka, selatan Tokyo, Jepun. MUNGKIN ramai sudah mengetahui, tetapi Nagoya adalah bandar di mana Kiichiro Toyoda memulakan perniagaannya pada 1937, menjadi apa yang dikenali dunia hari ini sebagai Toyota Motor Corp, dan paling terbaru pada 1993, permulaan kepada 'Projek G21'. Empat tahun kemudian, pengeluar kereta Jepun tersebut melancarkan produk rahsia kepada dunia pada Disember 1997, dikenali sebagai hibrid Prius hari ini. Toyota Prius, yang merupakan kereta hibrid paling laris di dunia, kini memasuki generasi ketiga. Prius mewakili kira-kira 2.9 juta unit daripada 5 juta kereta hibrid yang dijual oleh Toyota di seluruh dunia hingga ke hari ini. Kewujudan Prius memberi sumbangan istimewa kepada industri automotif global iaitu mendidik mengenai kepentingan alam sekitar dan paling utama, kesan pemanasan global. Bagi yang tidak peka, isu pemanasan global adalah isu yang benar dan mendesak, kesan akibat pencemaran yang mengundang bahaya kepada manusia sejagat. Namun, kita tidak boleh serta-merta menukar kepada kenderaan yang tidak mengeluarkan asap kerana prasarana belum disediakan secukupnya. Ini bermakna tempoh peralihan diperlukan bagi kita untuk meleraikan diri daripada kebergantungan terhadap bahan api fosil dan inilah apa fungsi Toyota Prius kepada kita. Manusia mungkin tidak akan berhenti menjadi pengguna kepada bahan api fosil tetapi kita tentunya boleh mengurangkan kebergantungan tersebut. Toyota juga telah meluaskan model keluarga hibrid Prius merangkumi kenderaan pelbagai guna alfa Prius dan kompak hatchback Prius C, yang dikenali sebagai Aqua di Jepun. Sebagai perintis kepada pengeluaran besar-besaran kenderaan hibrid, Toyota kini semakin hampir kepada kenderaan sifar pelepasan asap menerusi penggunaan teknologi hibrid pasang palam (plug-in) yang terdapat di dalam Prius. Perbezaan antara hibrid dan hibrid pasang palam ialah anda kini boleh mengecas pasang palam untuk jarak yang lebih lagi khusus menggunaka kuasa elektrik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada enjin pembakaran dalaman (ICE) yang sesuai untuk perjalanan dekat atau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Hibrid-hibrid Toyota yang lain termasuk model seperti Toyota Crown Hybrid, Toyota Estima Hybrid, Toyota Alphard Hybrid dan Lexus GS450h, yang sangat bertenaga menggunakan enjin V6. Keupayaan diperluaskan lagi jarak perjalanan bagi hibrid pasang palam Prius adalah disebabkan pek bateri yang lebih padat bateri Li-ion 80kg 4.4kWh berbanding bateri Ni-MH 42kg 1.3kWh. Meskipun pek bateri Li-ion kini lebih berat, ia memerlukan tiga setengah pek bateri Ni-MH untuk menyaingi pek bateri Li-ion yang mengakibatkan kesan tanggungan berat bateri pada kenderaan. Walau bagaimanapun, sebagaimana kebanyakan bentuk baharu teknologi, disebabkan oleh kekurangan skala ekonomi, pengguna belum boleh menikmati kos per-unit yang lebih rendah untuk bateri Li-ion setakat ini, bergantung sepenuhnya kepada masa dan penggunaan lebih besar bagi membantu menurunkan harganya. Namun, hibrid pasang palam nyata menjadi langkah maju ke hadapan bagi Toyota, membolehkan kita sekurang-kurangnya mengguna pakai dan menikmati pengalaman pemanduan lancar, senyap dan bebas asap kenderaan elektrik (EV) bersama enjin petrol sebagai sandaran jika prestasi dan jarak tambahan diperlukan. Motor elektrik hibrid pasang palam kini lebih bagus daripada segi penyaluran kuasa, membolehkan pengguna bergerak lebih jauh dan pantas dalam mod EV, berbanding sebelum ini. Sekali gus bermakna pengguna tidak perlu mengisi minyak secara kerap. Satu penambahbaikan ialah pada fungsi nyalaan enjin Start/Stop Prius yang hampir tiada langsung gegaran dan berupaya menyambung kepada ICE dengan lancar, yang memberikan rasa kepuasan tinggi. Sebenarnya, keadaan itu menyebabkan pemandu sukar membezakan sama ada masih menggunakan bateri elektrik atau enjin petrol. Toyota nyata memiliki wawasan masa depa, malah meneroka kemungkinan menyatupadukan hibrid pasang palam ke dalam kehidupan harian. Bukan sahaja teknologi pasang palam boleh menyimpan dan menggunakan kuasa elektrik, tetapi boleh juga digunakan untuk tujuan lain dalam keadaan yang memerlukan seperti semasa bencana alam, hibrid tersebut boleh berfungsi sebagai jana kuasa. Menurut Toyota, hibrid pasang palam itu memiliki keupayaan untuk membekalkan tenaga bagi rumah sehingga tiga hari, mula-mula dengan tenaga bateri dan diikuti kemudiannya menggunakan enjin kereta. Selain rumah, Toyota juga aktif meneroka kemungkinan untuk merubah cara pengguna menggunakan kenderaan. Lazimnya orang akan mencari laluan terbaik untuk pergi dan balik dari destinasi menggunakan unite GPS, sebaliknya alat itu memberikan pengguna laluan paling jimat bahan api, menggabungkan penggunaan pengangkutan awam dan berjalan kaki. Seandainya kita benar-benar mahu memelihara alam sekitar, akan wujud isu pelupusan sisa, yang mana Toyota telah menyatakan bahawa bateri Ni-MH yang diguna di dalam Prius kini dileburkan menjadi bahan besi wajar selepas tamat hayat penggunaannya. Selain itu, Toyota kini melihat kaedah-kaedah untuk menggunakan semula bateri-bateri berkenaan sejurus tamat kegunaannya bagi mengurangkan sisa dan tenaga yang diperlukan untuk melupuskannya. Dengan mod pengangkutan sifar asap di ambang pintu kehidupan kita, kebergantungan manusia terhadap bahan api fosil tidak ragu-ragu lagi akan dikurangkan dan seterusnya menggalakkan pembangunan teknologi penjimatan tenaga lain terutama sumber-sumber tenaga diperbaharus seperti tenaga solar dan angin. |
Naza Kia lancar Picanto versi baharu Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT Kia Picanto bakal masuki pasaran Malaysia pada suku keempat tahun ini. KUALA LUMPUR 12 Ogos - Naza Kia Malaysia Sdn. Bhd., merancang untuk melancarkan versi baharu Kia Picanto pada suku keempat tahun ini, kata Ketua Pegawai Operasi, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar. Beliau berkata, sebagai permulaan, syarikat menyasar untuk menjual 400 unit Kia Picanto versi baharu itu dalam sebulan. "Pasaran kami ialah pembeli kereta pertama kali dan kami berharap dapat melancarkannya paling awal pada pertengahan Oktober. "Kami masih mengkaji harga tetapi menjangka dalam lingkungan RM55,000 hingga RM65,000," katanya kepada Bernama. Hafiz berkata, bagi Picanto baharu ini, Naza Kia akan menampilkan transmisi auto dan manual. "Sebelum ini, kami tidak menawarkan versi manual, jadi Picanto akan menjadi yang pertama. "Kami percaya, terutamanya di kawasan luar Lembah Klang, permintaan bagi kereta manual masih kukuh berikutan harga dan penggunaan bahan api," katanya. Semasa ditanya sebab Naza Kia mengambil masa yang lama untuk membawa kereta segmen A ke pasaran tempatan, Hafiz berkata: ''Semasa kami memulakan rancangan pemulihan tiga tahun, perkara pertama yang kami fikirkan ialah model lebih kecil seperti kereta segmen A Picanto adalah yang terakhir kami bawa masuk. "Ini kerana sebelum ini imej jenama Kia adalah rendah dan jika kami memulakan rancangan pemulihan kami dengan membawa kereta segmen A, harga kami tidak akan menarik. "Itulah sebabnya bila kami buat rancangan pemulihan tiga tahun, kami mula dengan segmen D, jadi bila sudah cukup kuat jenamanya, barulah kami bawa masuk segmen A, iaitu Picanto," jelas beliau. Hafiz berkata, antara ciri-ciri yang ditawarkan oleh Picanto ialah enjin 1.2 kelas casis, rim 14 hingga 15 inci dan penggunaan bahan api yang boleh mencapai sehingga 16-17 kilometer seliter. Mengenai prospek, Hafiz berkata, syarikat akan menampilkan kenderaan pelbagai guna (MPV) tahun depan. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |