Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT Oleh ZULKIFLEE BAKAR Seorang Pegawai Agama Jabatan Agama Islam Johor, memeriksa arah kiblat sebuah surau yang menjadi tempat penganut Buddha menjalankan upacara keagamaan di Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor sambil diperhatikan oleh penduduk setempat, Isnin lalu. - Utusan/AMIN FARIJ HASAN Kebiadaban dan keceluparan pihak tertentu dalam mengulas kejadian berkaitan dengan umat Islam dan orang Melayu semakin ketara. Ia terbukti apabila sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperlekehkan tindakan tegas polis dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) berhubung isu surau di sebuah resort di Sedili, Kota Tinggi yang digunakan oleh bukan Islam untuk upacara keagamaan mereka baru-baru ini. Dalam Twitter yang disiarkan oleh portal berita propembangkang, Malaysiakini kelmarin, NGO yang mendakwa memperjuangkan hak asasi manusia dan reformasi undang-undang, Lawyers for Liberty (LFL) mengatakan pihak berkuasa agama Johor bersikap seperti 'Taliban' kerana merancang untuk merobohkan surau tersebut dengan alasan dibina tidak menepati arah kiblat. LFL juga secara biadab mempersoalkan arah kiblat tersebut perlu dipatuhi oleh manusia dan bukan oleh surau. Antaranya mereka menulis; "Surau 'meditasi' Buddha tidak menghadap kiblat, kata Mufti Johor... Dah gila - surau kena hadap kiblat, bukan manusia?" Malah tidak cukup dengan itu, mereka juga mempersoalkan tindakan polis mengenakan reman selama empat hari ke atas pemilik resort tersebut dengan menyatakan: "Taliban dah bertapak di Malaysia - syabas BN. MAIJ (Majlis Agama Islam Johor) macam Taliban, @PDRMsia (polis) salah guna kuasa tangkap/reman pemilik resort, majistret (pula) bersekongkol benarkan empat hari reman. "Agaknya @PDRMsia dah jadi penguat kuasa Taliban Msia lupa kerja sebenar - sibuk tangkap 'penghina' Islam bila hari-hari orang kena tembak/letupan." Demikianlah biadabnya kelompok yang kononnya memperjuangkan hak asasi dan reformasi undang-undang ini. Mereka bercakap ikut sedap mulut tanpa mempedulikan sensitiviti umat Islam. Ketika pelbagai pihak termasuk Ketua Sami Buddha Malaysia, Datuk K. Sri Dhammaratana memohon maaf kepada umat Islam di negara ini berikutan kejadian berkenaan, LFL yang kononnya dianggotai oleh kelompok bijak pandai cuba memperlekehkan tindakan tegas yang dilakukan. Sememangnya penulis tidak berhasrat untuk menulis lebih lanjut latar belakang LFL kerana perbuatan itu hanya membuang masa namun yang paling pasti, perbuatan NGO ini mencampuri urusan kes surau itu sudah melampaui batas dan menunjukkan bagaimana mereka memperjuangkan hak asasi manusia yang songsang. Apa yang berlaku di Sedili itu tiada kaitan dengan hak asasi manusia atau reformasi undang-undang tetapi ia berkaitan dengan kejadian yang boleh menyinggung perasaan umat Islam. Oleh itu LFL tidak sepatutnya campur tangan atau 'gatal-gatal mulut' untuk membuat ulasan. Apa yang berlaku di resort itu adalah satu perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama kerana ia menunjukkan bagaimana kurang sensitif pemilik resort dalam perkara tersebut. Justeru tidak ada asas LFL hendak melihat ia dari sudut hak asasi manusia semata-mata sehinggakan perbuatan yang bertentangan dengan agama Islam hendak dibiarkan. Polis bertindak ikut undang-undang manakala MAIJ bertindak berdasarkan kepada hukum-hakam agama, oleh itu adalah lebih baik LFL jangan cuba hendak tunjuk pandai dan memperjuangkan hak asasi manusia serta reformasi undang-undang secara membuta tuli. Apa yang malang LFL mungkin melihat perjuangan hak asasi manusia itu daripada sudut sempit atau atas landasan pemikiran liberal apabila memandang remeh soal penghinaan ke atas agama Islam. Soalnya, apakah LFL akan berdiam diri jika penghinaan itu berlaku ke atas agama lain, apakah kerana ia berlaku ke atas orang Melayu dan umat Islam maka soal ini harus dipandang remeh? Selain itu, apakah motif LFL apabila mempersoalkan ketegasan polis dalam kes penghinaan ke atas Islam dan pada masa yang sama cuba mengaitkan dengan isu tembak yang semakin meningkat. Sebelum memperkatakan perkara itu, LFL sepatutnya bertanya kembali siapakah yang bersalah atau bertanggungjawab memungkinkan semua itu berlaku. Bukannya ia akibat daripada perjuangan kononnya mahu melakukan reformasi dalam undang-undang. Apakah LFL tidak terlibat sama dalam langkah penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad. Tidakkah anggota-anggota LFL memahami ketiadaan undang-undang itu telah memungkinkan penghinaan ke atas Islam semakin menjadi-jadi, sentimen perkauman semakin meningkat dan kejadian tembak semakin berleluasa? Kalaulah LFL menganggap keempat-empat undang-undang berkenaan melanggar hak asasi manusia, kenapakah sebahagian undang-undang itu khususnya seumpama ISA masih wujud di sesetengah negara? Janganlah hanya pandai bercakap soal hak asasi manusia dan reformasi undang-undang sehingga terlupa batasnya! Apa yang berlaku sekarang kerana sebahagian besar kita sudah melampaui batas itu. Penghapusan empat akta berkenaan memungkinkan semua itu berlaku. Berikutan itu tidak payahlah LFL hendak mengkritik pihak berkuasa dalam apa juga isu kerana mereka tidak berhak dan tidak layak berbuat demikian. Tidak apalah jika LFL ingin berpolitik kerana dari satu segi pun bukanlah sesuatu yang mengejutkan kalau ramai peguam menyokong pembangkang, tetapi biarlah menjadi kelompok peguam yang bijaksana, bertindak berdasarkan rasional bukannya emosional. LFL boleh meneruskan perjuangan sempitnya itu jika ia merasakan itu hak asasi mereka tetapi janganlah melampau sehingga mahu mengajar pihak berkuasa agama Islam bagaimana mahu menangani sesuatu isu. Memang benar semua pihak mahu memperjuang dan mempertahankan hak asasi manusia serta melakukan reformasi dalam undang-undang demi kebaikan rakyat tetapi dalam soal menyentuh sensitiviti mana-mana agama, kedua-dua perkara itu tidak terpakai sama sekali. Justeru kepada LFL, carilah isu lain kalau pun hendak popular setaraf Majlis Peguam kerana jika tersilap langkah sudah pasti umat Islam akan menggunakan hak asasi manusia untuk mempertahankan agama mereka. Ketika itu janganlah pula LFL hendak memarahi umat Islam, sebaliknya salahkan diri sendiri dan kelompok-kelompok tertentu yang dari semasa ke semasa semakin berani mencabar kesabaran umat Islam dan orang Melayu. Semoga LFL memahami keadaan ini dan tidak bersikap membuta tuli dan 'membabi buta' untuk mengulas apa-apa isu sesuka hati. Biarlah isu surau itu yang diuruskan oleh polis dan MAIJ, kalau rasa hendak menjadi 'wira' juga tunggulah apabila kes tersebut dibawa ke mahkamah. Janganlah menjadi 'batu api' sehingga memungkinkan perjuangan atas nama hak asasi mengundang kepada tragedi, semoga LFL memahami bahaya ini! |
Bantu bendung peningkatan jenayah Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT Dr. Ahmad Zaki Ismail Orang ramai melihat lokasi di mana penjenayah yang menggunakan motosikal menembak seorang pengusaha kedai emas di Pandan Indah, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR Apa diharap padi seberang entah berisi entahkan tidak, apa diharap kasihnya orang entahkan sudi entahkan tidak.' Begitu mudah analogi puitis gurindam lama menggambarkan senario sesuatu situasi dengan perkara yang bakal berlaku berdasarkan sebab dan musabab. Dengan perkataan lain, bolehkah kita mengharapkan perkara yang baik boleh berlaku sekiranya kita tidak berusaha untuk membina dan mendapatkannya secara bersungguh-sungguh dan bukannya sekadar menaruh harapan semata-mata. Inilah sebenarnya yang sedang berlaku dan digusarkan oleh rakyat negara ini akibat pemansuhan Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri baru-baru ini. Sebaik-baik sahaja kedua-duanya dimansuhkan maka ratusan tahanan dibebaskan demi memenuhi permintaan khalayak terutamanya daripada pihak pembangkang dan masyarakat antarabangsa yang menuduh bahawa pihak berkuasa dan pemerintah negara ini mengamalkan undang-undang rimba. Memanglah mudah untuk menuding jari dan mencerca jika tidak kena batang hidung sendiri. Malangnya, apabila orang lain memukul gendang yang sumbang kita pula turut menari bersama mereka hingga akhirnya percaya bahawa kita tidak pandai menjaga keselamatan negara sendiri dan percaya bahawa apa yang kita lakukan itu salah. Akhirnya kita membatalkan peruntukan berkaitan dengan harapan akan mendapat pujian daripada masyarakat antarabangsa dan memperolehi sokongan daripada parti pembangkang. Namun begitulah adat dunia, lain yang diharap lain pula yang menimpa. Bukan sekadar tidak menghargai usaha negara bagi memenuhi permintaan dan desakan berkenaan, sebaliknya semakin didesak dan dituduh dengan pelbagai macam cercaan sehingga negara jiran turun mengambil kesempatan menggambarkan situasi di negara kita umpama neraka dunia apabila nyawa sudah lagi tidak berharga dan keganasan bermaharajalela. Kes tembak, bunuh, rompakan, letupan penculikan dan pertelingkahan menggunakan senjata api dan pelbagai senjata berbahaya lain seolah-olah menggambarkan keamanan negara tidak lagi terkawal. Malah pasukan keselamatan dan penguat kuasa menjadi mangsa belasahan pelbagai pihak seolah-olah mereka gagal melaksanakan tugas dengan efektif. Kononnya sempadan negara bolos, penyeludup berleluasa dan pelbagai telahan dan teori yang diketengahkan bagi menggambarkan situasi semasa dan menjejaskan malah mensabitkan situasi kepada kelemahan-kelemahan jentera negara dalam melaksanakan tugas mereka. Dengan cara tidak langsung strategi 'kambing hitamkan' kerajaan dan pihak berkuasa berjalan sangat lancar dan begitu meyakinkan. Tambahan pula kerajaan sekarang sedang bertungkus lumus memulihkan pelbagai perkara selepas berlalunya PRU-13 yang menjejaskan banyak aktiviti terutama yang berkaitan ekonomi dan keputusan-keputusan penting yang tertangguh sebelum ini. Lantas apabila negara dikucar-kacirkan dengan insiden-insiden jenayah, banyak yang mungkin mudah terpengaruh sehingga percaya terus dengan pelbagai andaian tidak munasabah yang diketengahkan oleh mereka yang kononnya pakar keselamatan, badan NGO, aktivis dan sebagainya. Walhal, apa yang berlaku sebenarnya tidak susah dan sulit benar untuk difahami sekiranya kita meneliti dan bermuhasabah seketika melihat rentetan-rentetan peristiwa sebelum ini dengan sedikit analisis biasa yang boleh dilakukan oleh semua pihak. Kita memang tahu, faham dan mengerti bahawa dengan pemansuhan Ordinan Darurat dan ISA maka kesemua mereka yang ditahan sebelum ini dibebaskan serta-merta. Mereka ini bukanlah orang biasa, mereka sebenarnya dalam senarai 'Dikehendaki' (Wanted). Cuma disebabkan prosedur perundangan tidak mampu dikenakan kepada mereka disebabkan kelemahan-kelemahan teknikal maka mereka di kenakan tahanan khusus mengikut peruntukan yang sudah dimansuhkan itu. Kini, individu berkaitan sudah terlepas daripada kepungan kandang yang mengekang mereka daripada terus melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang. Mereka yang diketahui terlibat dalam pelbagai aktiviti ini sebelumnya sudah membentuk empayar tersendiri sebelum ditahan. Maka, apabila mereka ditahan sudah tentu generasi berikut akan mengambil alih tempat mereka dan mengisi ruang kosong yang mereka tinggalkan. Lantas, apabila mereka dibebaskan sudah tentu akan berlaku proses pengambil alihan kuasa sama ada secara aman ataupun dengan pertumpahan darah. Dalam situasi sekarang, nampaknya ia lebih kepada kekerasan dan pertumpahan darah. Ke mana lagi anjing kalau tidak mencari bangkai, maka begitulah mereka ini. Kalau dahulu mereka terkurung kini mereka sudah berada di luar. Tentu perkara yang sama yang akan mereka lakukan kerana proses pembebasan mereka dahulu tidak diikuti dengan agenda pemulihan, pemantauan dan pemutihan yang tersusun dan berkesan. Ia dibuat secara tergesa-gesa dan tanpa perancangan yang cukup bagi membina sahsiah mereka yang terlibat. Lantas, bukan kebolosan sebenarnya yang menjadi isu utama, bukan juga penguatkuasaan yang tidak sempurna tetapi desakan yang membabi buta kononnya untuk memuaskan hati segelintir manusia yang sebenarnya tidak pernah puas hati pun selama ini. Inilah yang dikatakan bercakap memang senang, berkata memang percuma tetapi akibat daripada idea gila mereka itu, kita semua menderita dan ekonomi negara menerima bencana. Akhirnya harimau dan singa sudah dilepaskan berkeliaran di dalam kandangan kambing, tentunya pada bila-bila masa mereka akan mengganas semula jika situasi mengizinkannya. Kita percaya bahawa pihak berkuasa terutama polis mempunyai maklumat dan kredibiliti yang tidak dapat dinafikan dalam menangani situasi ini. Namun pada masa sama kita sepatutnya memberikan kerjasama dan membantu setakat termampu dalam pelbagai aspek termasuk menyokong bahawa kerajaan patut menyegerakan pengenalan undang-undang baru yang lebih kukuh, utuh dan berkesan untuk menampung ruang kosong yang ditinggalkan oleh ordinan dan akta yang sudah dimansuhkan itu. Dengannya, proses penguatkuasaan dan pencegahan akan berjalan serentak dan tentu lebih mudah pihak berkuasa bertindak mengekang, selanjutnya menghapuskan segala macam huru-hara yang berlaku sekarang hingga ke akar umbinya. Kita semua jangan hilang fokus dan agenda kerana kadang kala asyik lompat sini sana sampai terlupa mana satu kaca dan mana satu permata. Semua sirna mata, sirna otak dan sirna batu jemala menyebabkan yang buruk dikata baik dan begitulah sebaliknya. Pada masa yang sama, pihak Kementerian Dalam Negeri perlu memperluaskan pelaksanaan Strategi Lautan Biru secara lebih agresif lagi termasuk memperkasakan Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pelbagai agensi di bawah kementerian berkenaan supaya dapat menjadi serampang pelbagai fungsi dan mata dalam melaksanakan tugasan. Mereka perlu keluar daripada kepompong lama dan menggunakan interpretasi yang serupa terhadap keamanan, keselamatan dan kesejahteraan kawasan bagi membendung, mencegah dan memperbaiki situasi yang ada kini.Malahan pelbagai pengalaman lalu yang pernah dilalui dengan pelbagai unit keselamatan yang pernah ditubuhkan seperti Unit Kawalan Keselamatan, Unit Pencegah Penyeludupan, Jungle Squad, Home Guard, Special Constable, Polis Bantuan dan seumpamanya perlu diteliti peranan mereka bagi diubah suai dan diperkenal semula mengikut kesesuaian semasa tanpa melibatkan kos yang berlipat ganda. Setiap apa yang berlaku kini sebenarnya memberikan kita banyak pelajaran dan pengajaran. Dengan itu, marilah kita saling bekerjasama mengukuhkan jaringan dan memperteguhkan usaha membantu pihak berkuasa dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |