{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Menghormati dan melindungi wanita

Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT

Oleh FAUZIAH AROF
rencana.utusan.com.my

Perkhidmatan komuter yang menyediakan Koc Wanita untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang yang disediakan untuk keselesaan wanita dan mengelakkan berlakunya kes-kes yang membabitkan gangguan seksual.

TENTU ada sebabnya apabila 'Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera' dijadikan tema pada sambutan Hari Wanita 2013 peringkat kebangsaan dan negeri yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Bersempena sambutan berkenaan esok, kita ketepikan dulu menyingkap mengenai pencapaian demi pencapaian golongan wanita yang sering diperkatakan apabila setiap kali tibanya Hari Wanita setiap tahun.

Sememangnya, tidak dapat disangkal tahun demi tahun, ada saja pencapaian dan kemajuan yang diperoleh oleh wanita di negara ini dalam pelbagai bidang sama ada ia memberi kesan yang membanggakan kepada keluarga masing-masing, syarikat di tempat kerja yang diwakili atau mengharumkan nama negara.

Dan kita turut mengakui peranan yang dimainkan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lain-lain agensi berkaitan dalam memberi laluan dan memudahkan kaum wanita membangunkan potensi diri sekali gus membantu meringankan beban keluarga dan pada masa yang sama juga menyumbang dalam menjana ekonomi negara.

Bagaimanapun, dalam memperkasa dan mengangkat wanita dalam bidang-bidang tertentu, mengikut kemampuan dan tahap pendidikan mereka, soal kebajikan, emosi dan keselamatan wanita perlu dititik beratkan.

Sebabnya, jika itu dikesampingkan, sudah tentu akan mempengaruhi dan menjejaskan perjalanan wanita dalam mencapai kejayaan berkenaan dan melalui kehidupan yang selesa.

Perlu diingat bahawa tugas wanita kini bukan sekadar menjaga hal ehwal rumahtangga dan mendidik anak-anak, mereka turut bekerja untuk membantu keluarga tidak kira apa jua tahap pendidikan mereka.

Dalam keletihan selepas bekerja, bila pulang ke rumah wanita masih boleh menguruskan hal-hal rumahtangga dan keluarga dan apabila hal-hal seperti ini diperlekehkan dan kemampuan mereka dipandang rendah oleh sesetengah lelaki, tentu ini sesuatu yang 'menyakitkan'.

Sedangkan kaum lelaki sepatutnya menunjukkan rasa 'respek' atau hormat terhadap kemampuan wanita menangani kerja-kerja ini yang sekali gus berkorban untuk meringankan beban mereka juga. Itulah hakikat yang sepatutnya diterima lelaki.

Tidak kiralah sama ada wanita itu memegang jawatan penting di tempat kerja, bekerja di pejabat-pejabat kerajaan atau swasta, bekerja di kilang-kilang atau pasar raya, semua itu secara tidak langsung dilakukan untuk membantu meringankan beban keluarga dan bagi yang telah berumahtangga meringankan beban suami pula dengan konsep susah payah digalas bersama.

Pun begitu, dalam kita mengakui kemajuan dan kejayaan wanita, pada masa yang sama kes keganasan terhadap golongan ini semakin meningkat.

Mungkin terdapat ramai wanita di luar sana, yang terpaksa hidup merana dan ketakutan kerana terlibat dalam keganasan rumahtangga, gangguan seksual dan sebagainya.

Paling menyedihkan, hal-hal sebegini didiamkan kerana bimbang sekiranya bersuara atau dilaporkan kepada pihak berkuasa akan teruk dipukul, akan ada tindakan membalas dendam, rasa sayang yang tidak bertempat kepada si pelaku dan macam-macam lagi.

Wanita yang mengalami trauma seperti ini harus diberi pembelaan sewajarnya dan dilindungi manakala pihak yang melakukannya perlu mendapat hukuman yang setimpal.

Dilaporkan sebanyak 2,576 kes keganasan terhadap wanita dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, berbanding hanya 2,295 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim memberitahu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia itu peningkatan berkenaan membimbangkan.

Sememangnya, kes-kes keganasan ini bukan dilakukan secara bermusim.

Seringkali pun, kita mendengar isteri didera suami dengan bermacam-macam bentuk keganasan seperti dipukul dengan pelbagai objek, disimbah asid dan ada yang sanggup membakar isteri sendiri apabila si suami hilang pertimbangan, panas baran atau menghadapi tekanan di tempat kerja lalu menjadikan isteri dan anak-anak sebagai mangsanya.

Dan bukan setakat itu, wanita juga terdedah dengan kes-kes gangguan seksual di mana-mana saja mereka berada tidak kira di tempat kerja, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau dalam pengangkutan awam. Ia dilakukan oleh orang yang dikenali atau tidak dikenali.

Sebab itu, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan seperti teksi, gerabak kereta api, bas dan tempat letak kenderaan khas untuk wanita.

Ini bukan kerana kaum wanita di negara ini terlalu dimanjakan, tetapi ia satu keperluan dan kemudahan kerana jenayah gangguan seksual ini berlaku di mana-mana dan ini merupakan satu ancaman kepada kaum wanita.

Maka untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai terutama wanita, Kementerian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengadakan Kempen 'Respek Wanita' di seluruh negara. Ia bertujuan memberi pendedahan kepada wanita mengenai trend-trend jenayah terbaru, hak-hak mereka dan memberi maklumat-maklumat mengenai saluran aduan kes kecemasan.

Untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada wanita semata-mata, sudah pastinya ia tidak lengkap sekiranya kaum lelaki tidak dibawa bersama dalam memahami perspektif ini. Justeru, kementerian yang sama turut merancang untuk memperbanyakkan seminar yang dikhususkan untuk lelaki pula dalam meningkatkan kesedaran mereka tentang hak-hak wanita.

Ini sebagai langkah untuk mempertingkatkan lagi sifat melindungi dan muhasabah diri dalam diri seorang lelaki terhadap wanita.

"Kadang-kadang ada lelaki yang tidak sedar tindakan mereka itu jatuh pada kategori mendera walaupun isteri sendiri.

''Malah dalam satu seminar baru-baru ini, mereka mengaku kurang prihatin tentang hak wanita. Hilang pertimbangan, panas baran, tekanan kerja antara punca kenapa mereka mengabaikan hak wanita," kata Rohani dalam satu program temubual radio baru-baru ini.

Justeru, kesedaran dan pengetahuan mengenai hak-hak wanita seharusnya turut difahami oleh golongan lelaki.

Dan seharusnya, kempen 'Respek Wanita' ini dijalankan secara menyeluruh agar kesannya benar-benar memberi manfaat kepada wanita dan seluruh masyarakat.

Yang penting ia dapat mengekang berlakunya kes-kes keganasan rumahtangga dan gangguan seksual kepada wanita.

Jika tidak ia hanyalah sekadar kempen-kempen yang dianggap remeh sebelum ini, apabila tiada perubahan daripada sasarannya. Yang mahu dielak dan dibanteras semakin banyak pula berlaku.

Dan melihat kepada tema sambutan Hari Wanita tahun ini, sudah tentulah tidak cukup sekadar memberi peluang dan ruang kepada wanita untuk memajukan diri dalam pelbagai bidang, tetapi pada masa sama wanita juga menuntut agar mereka dihormati. Walaupun ia satu tuntutan yang nampak mudah tetapi amat sukar dilakukan oleh sesetengah pihak.

Pedulikan Dong Zong, teruskan pelaksanaan PPPM

Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar

TIMBALAN Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan isyarat yang jelas bahawa kerajaan sama sekali tidak akan tunduk dengan tekanan yang dibuat oleh Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) berhubung Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Sememangnya ketegasan itu wajar kerana rakyat semakin muak dengan mainan Dong Zong yang tidak sudah-sudah dengan pemikiran sempit mereka.

Biar pun sudah berkali-kali diperjelaskan bahawa tiada agenda dalam PPPM untuk menghapuskan bahasa Cina dan sekolah jenis kebangsaan Cina tetapi persatuan itu terus juga buat-buat tidak faham.

Sebab itulah, bukan kata Muhyiddin malahan kita juga mempersoalkan apakah sebenarnya yang Dong Zong mahukan.

PPPM turut digubal dengan penyertaan persatuan itu dan mereka sudah pasti faham apa yang akan dilaksanakan melalui pelan berkenaan tetapi malangnya mereka terus melakukan penentangan berterusan.

Sepatutnya, Dong Zong perlu berjiwa besar dan berterima kasih dengan sikap kerajaan yang turut menjemput mereka dalam merangka pelan tersebut.

Kerajaan ikhlas berbuat demikian bagi memastikan semua pihak berpuas hati dan tidak timbul sebarang isu apabila ia dilancarkan bulan depan.

Tetapi malangnya, Dong Zong seolah-olah mahu terus memainkan sentimen dalam soal memperjuangkan bahasa Cina dan sekolah jenis kebangsaan Cina. Ada sahaja bantahan mereka sehingga kita berasa mual untuk mendengarnya.

Jika Dong Zong ikhlas mereka sepatutnya memberi cadangan seperti mana sikap kelompok masyarakat Cina yang waras dan tidak melihat PPPM sebagai satu ancaman.

Bagaimanapun Dong Zong memilih pendekatan yang menyebabkan timbul tanggapan bahawa persatuan itu ingin terus berkonfrantasi dengan kerajaan serta meracuni pemikiran masyarakat Cina.

Oleh itu, rakyat Malaysia khususnya masyarakat Cina tidak terus terpengaruh dengan wayang yang dimainkan oleh Dong Zong. Seperti mana kata Muhyiddin, kita juga tertanya-tanya apakah tujuan persatuan itu.

PPPM harus dilancar dan dilaksanakan kerana ia melibatkan usaha bagi meningkatkan sistem pendidikan negara.

Kalaulah kerenah puak seperti Dong Zong ini dilayan sampai ke bila pun kita tidak dapat menyaksikan peningkatan dalam sistem berkenaan.

Biarlah Dong Zong dengan protes mereka kerana mereka bukanlah kelompok yang mewakili keseluruhan masyarakat Cina kerana bak kata Muhyiddin, ...kita tidak akan layan lagipun mereka (mewakili) kelompok kecil sahaja.

Apa yang penting ialah segala kebimbangan Dong Zong berhubung sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Cina adalah tidak betul.

Dari semasa ke semasa, kita yakin rakyat akan mengetahui juga siapa yang betul dan siapa yang terus mahu berpolitik.

Kalau Dong Zong berhasrat untuk berpolitik maka masuklah ke gelanggang politik, jangan mendabik dada menyatakan mereka pejuang pendidikan Cina tetapi tindak tanduk seperti parti politik.

Kerajaan mengamalkan sikap terbuka, sentiasa bersedia menerima kritikan dan teguran. Malahan dalam apa juga perkara melibatkan rakyat, kerajaan sentiasa membuka pintu kepada rakyat untuk memberi pandangan tetapi janganlah melampau.

Apa yang penting, sesuatu cadangan itu mesti berteraskan kepada kepentingan seluruh rakyat Malaysia dan bukannya menjuruskan kepada sesuatu kaum sahaja.

Begitulah juga PPPM, sementara sekolah jenis kebangsaan terus dipertahankan dan bahasa ibunda masing-masing dikekalkan, keupayaan sekolah-sekolah lain pula dipertingkatkan.

Justeru tidak perlulah lagi kita berasa khuatir atau bimbang dengan mainan yang ditonjolkan oleh Dong Zong.

Jika Dong Zong mahu bercakap soal sesuatu kaum sahaja, maka pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada kaum lain juga boleh berbuat demikian.

Tetapi malangnya kalaulah NGO seumpama itu khususnya daripada orang Melayu bersuara, mereka akan dituduh rasis atau bersikap perkauman, bagaimanapun setakat ini tidak ada pula mana-mana pihak khususnya parti politik tertentu mahu mengatakan Dong Zong bersikap perkauman.

Berikutan keadaan itu adalah diharapkan Dong Zong akan lebih bersikap terbuka dalam memperkatakan soal PPPM ini. Ikhlaslah kalau betul-betul ingin memperjuangkan soal pendidikan.

Sebenarnya tidak salah untuk Dong Zong memperjuangkan perkara berkenaan tetapi janganlah melihat ia dari sudut sempit dan kepentingan kaum tertentu sahaja.

Hakikatnya, sudah lama Dong Zong bersikap demikian sehinggakan ada pihak melihat persatuan itu seolah-olah sudah melampau.

Dong Zong tidak boleh menganggap mereka begitu istimewa sehingga apa juga desakan dan tuntutan mereka perlu dilayan.

Mereka hanya sebuah persatuan, oleh itu mereka perlu memahami hanya layak untuk dilayan sebagai sebuah persatuan, tidak lebih daripada itu. Kalau Dong Zong mahu semua tuntutan mereka dilayan, susahlah kerajaan.

Namun begitu dengan kenyataan Muhyiddin, kita percaya bahawa kerajaan tidak akan tunduk dengan tekanan Dong Zong lagi.

Sememangnya inilah tindakan paling tepat kerana di negara ini tidak boleh ada mana-mana pun persatuan yang dilihat semakin besar kepala.

Ini bukanlah bermaksud, kita hendak menyekat kebebasan bersuara dan memberi pendapat atau kerajaan perlu melaksanakan sesuatu dasar mengikut kehendak kerajaan sahaja tetapi salurkanlah sebarang pandangan secara ikhlas dan jujur.

Kerajaan sudah bersikap terbuka dalam soal PPPM ini, kalau betul kerajaan mahu menghapuskan sekolah jenis kebangsaan tidak kira Cina atau Tamil serta menghapuskan bahasa ibunda masing-masing sudah pastilah kerajaan tidak akan menjemput persatuan seperti Dong Zong untuk turut serta.

Tetapi itu tidak berlaku sebaliknya semua pihak diberi peluang memberi pandangan termasuklah Dong Zong.

Apabila perbincangan dijalankan dan keputusan sudah dibuat, maka hormati kesepakatan bersama. Janganlah amalkan sikap rumah siap pahat berbunyi.

Semoga dalam isu PPPM ini, kerajaan akan terus tegas dan tidak membiarkan tindakan Dong Zong menjadi penghalang kepada agenda perkembangan sistem pendidikan negara.

Tidak kisahlah apa pun Dong Zong hendak buat atau lakukan selepas ini tetapi apa yang pasti PPPM perlu dilancarkan seperti mana dijadualkan kerana itulah hasrat seluruh rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat