Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Ramadan rahmat orang susah
- Memahami masalah golongan kurang bernasib baik
- NS pecah monopoli 'tauke ayam'
Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT Oleh AMRAN MULUP Hasan Rahman bersama pelajar dan kakitangan Kolej Profesional Mara semasa Program Singgah Sahur DUN Sungai Rambai di Kampung Parit Penghulu, Melaka, baru-baru ini. - UTUSAN/Gaie Uchel JASIN 1 Ogos - Kedatangan setiap kali bulan Ramadan sememangnya membawa rahmat kepada golongan tidak bernasib baik khususnya buat anak yatim, warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, fakir dan miskin. Di samping menjalankan ibadat puasa, terselit seribu hikmah apabila golongan tersebut menjadi perhatian dermawan terdiri daripada individu, agensi kerajaan atau pun swasta. Mereka bermurah hati memberikan sumbangan dalam bentuk wang ringgit, barangan keperluan harian menyambut Aidilfitri dan tidak kurang pula meraikan dalam majlis berbuka puasa. Pelbagai aktiviti dianjurkan di negeri ini sejak awal Ramadan sehingga sehari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik. Penganjuran majlis berbuka puasa disertai penyampaian sumbangan pakaian, duit raya dan sebagainya dinikmati oleh golongan tersebut, sekali gus menceriakan mereka menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba kekurangan. Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman, beliau mempunyai pendekatan tersendiri untuk membantu golongan tersebut bagi menyalurkan sumbangan. Program Singgah Bersahur Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai bersama penduduk tidak bernasib baik adalah salah satu usaha bukan sahaja membantu mereka tetapi menyembuhkan kesedihan dan kesepian menjelang Aidilfitri tidak lama lagi. Baru-baru ini, rombongan Japerun Sungai Rambai diketuai Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri melawat tiga keluarga yang tidak bernasib baik. Lebih menarik apabila program tersebut disertai kira-kira 50 pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) cawangan Bandaraya Melaka bersama 20 pensyarah turut menyalurkan sumbangan menerusi dana yang dikumpul hasil titik peluh seluruh warga KPM. Rombongan KPM diketuai Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajarnya, Dr. Mumtaz Begum Abdul Kadir turut membawa pelbagai barangan keperluan harian seperti beras, susu, kopi, teh, tepung, gula, makanan dalam tin, garam dan sebagainya. Sebaik sahaja jam menunjukkan pukul 1 pagi Rabu lalu, sebanyak 20 buah kereta dan sebuah bas milik KPM mula meredah malam singgah di Taman Anggerik, Sungai Rambai dekat sini. Rumah yang didiami pasangan kurang bernasib baik Mohd. Abdul Rahman Abu Bakar, 56, dan isterinya, Mahara Kuti menjadi lokasi pertama sumbangan daripada Japerun Sungai Rambai berupa barangan keperluan harian dan duit raya. Sejurus selepas itu, rombongan Japerun disertai warga KPM menuju ke rumah dua anak orang kurang upaya (OKU) di Kampung Parit Sidang Seman. Kedatangan rombongan itu memecah keheningan malam mengejutkan keluarga Bobby Asmidi, 40, yang mempunyai dua anak OKU, Mira Amira, 16, dan Helmi, 4, kerana cacat kedua-dua belah kaki. Kunjungan itu disambut wajah gembira keluarga Bobby serta anaknya Mira Amira, anak kedua pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan mencatat keputusan cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 dengan keputusan 4A dan 4B. Melihat raut wajah anak kedua keluarga itu jelas terpan car rasa gembira dengan kunjungan rombongan tersebut sambil menyampaikan sumbangan bukan sahaja duit raya tetapi juga pelbagai barangan keperluan harian. Sejurus selepas berbual mesra dengan keluarga itu, anggota rombongan bersahur beramai-ramai walaupun rumah tersebut agak sederhana dan tidak mampu menampung kehadiran orang yang begitu ramai. Bagi Bobby, dia melahirkan rasa terima kasih atas kunjungan yang tidak dijangka itu walaupun pada mulanya diberitahu hanya 20 orang yang akan hadir. ''Saya ucapkan terima kasih kepada Hasan dan warga KPM yang melawat anak saya serta menyampaikan sumbangan kepada kami sekeluarga," ujarnya. Sejurus selepas itu, rombongan berkunjung pula ke Kampung Parit Penghulu melawat seorang warga emas, Rabibah Deraman, 79. Dia yang menumpang di rumah anaknya nyata terkejut melihat rombongan yang begitu ramai melawatnya di samping menyampaikan pelbagai barangan keperluan untuknya menyambut Aidilfitri nanti. ''Makcik rasa terharu orang ramai berkunjung melawat saya. Terima kasih atas sumbangan kepada saya," ujar ringkas Rabibah. Rombongan sehingga pukul 4.30 pagi itu jelas menceriakan 30 pelajar KPM serta 20 pensyarah mereka apabila buat pertama kali menyertai program Singgah Sahur yang melawat dan menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik. Dr. Mumtaz Begum berkata, program yang disertai itu adalah salah satu aktiviti warga pelajar dan kakitangan KPM di bulan Ramadan bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan. ''Pelajar dan kakitangan mengumpul dana dengan membeli pelbagai barangan keperluan harian untuk menyambut Aidilfitri bagi disalurkan kepada mereka yang memerlukan," ujarnya. Katanya, program tersebut memberi pengalaman berguna kepada seluruh warga KPM yang menjadi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kolej berkenaan. |
Memahami masalah golongan kurang bernasib baik Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT Pelajar dan kakitangan Kolej Profesional Mara semasa bersahur di rumah pasangan Rabibah Deraman dan suaminya, Mohd. Zaini pada Program Singgah Sahur DUN Sungai Rambai di Kampung Parit Penghulu, Melaka, baru-baru ini. JASIN 1 Ogos - Program Singgah Sahur Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai dekat sini merupakan salah satu usaha untuk mendekati golongan kurang bernasib baik serta membantu mereka menerusi sumbangan yang diberikan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata, program tersebut merupakan kali keenam dianjurkan khususnya setiap kali kedatangan Ramadan. Menurutnya, kunjungan kali ini amat bermakna apabila disertai 50 warga kerja dan pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) cawangan Bandar Melaka untuk turut sama membantu mereka yang memerlukan pertolongan. ''Rezeki mereka yang dilawati melimpah apabila mendapat sumbangan wang dan barangan keperluan harian bukan sahaja daripada Japerun Sungai Rambai tetapi juga hasil titik peluh warga KPM. ''Usaha murni pada bulan yang mulia ini amat dihargai buat KPM yang sanggup datang dari jauh untuk turut serta beramah mesra serta menyalurkan bantuan dan pengalaman itu amat berguna kepada pelajar agar mereka dapat melihat sendiri kehidupan penduduk kampung khusus golongan yang kurang berkemampuan," katanya ketika ditemui pada program tersebut baru-baru ini. Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri berkata, kunjungan itu juga adalah salah satu usaha untuk meninjau kehidupan golongan itu di samping dapat mendengar pelbagai masalah yang mereka hadapi. Ujarnya, berkunjung sambil bersahur itu dapat mengetahui dengan lebih dekat masalah yang dihadapi dan bantuan yang perlu disalurkan untuk meringankan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri nanti. ''Sekurang-kurangnya saya dapat mendengar dan melihat kehidupan mereka dari dekat serta mereka dapat menyuarakan apa sahaja masalah untuk diselesaikan," ujarnya. Beliau menambah, program itu tetap dilaksanakan setiap kali kedatangan Ramadan yang masuk tahun keenam diadakan sehingga kini. |
NS pecah monopoli 'tauke ayam' Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL SEREMBAN 1 Ogos - Negeri Sembilan menawarkan beberapa penyelesaian untuk memecahkan monopoli penternakan ayam dalam negara ini bagi memastikan harganya kekal stabil dan lebih realistik. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau amat kecewa dengan sikap tamak syarikat penternak ayam dalam negara ini, yang mana dengan sengaja meningkatkan kos kehidupan rakyat secara melampau. ''Pada mesyuarat Exco semalam, kita telah membincangkan cara untuk mengurangkan beban yang ditanggung rakyat, terutama dalam menangani hal berkaitan memerangi kos yang telah meningkatkan kehidupan rakyat, yang mana sepatutnya tidak wajar berlaku," katanya di sini hari ini. Tegas beliau, salah satu yang telah dikenal pasti membebankan rakyat ialah peningkatan harga ayam yang melampau serta barangan keperluan lain terutama pada musim perayaan. ''Kita mendapati apa yang berlaku itu berpunca daripada kurangnya bekalan ayam dari dua syarikat penternakan ayam terbesar negara yang sedang memonopoli pasaran itu," katanya sambil memberitahu bahawa pengambilan keuntungan melampau daripada mereka turut berlaku. Oleh itu, kata Mohamad, kerajaan negeri mahu membetulkan corak perniagaan yang tidak sihat ini, yang mana tidak akan membenarkan kegiatan memonopoli pasaran ayam itu terus berlaku dalam kalangan dua syarikat besar tersebut yang telah mengambil keuntungan dan membebankan rakyat. ''Kerajaan negeri mahu memecahkan monopoli itu dan bersetuju untuk mengkaji secara serius berdasarkan beberapa kajian kes, memikirkan insentif membantu mana-mana syarikat yang berhasrat membuka ladang ternakan ayam moden dan tertutup di negeri ini," jelas beliau. Mohamad memberitahu, hanya syarikat penternakan baharu yang moden serta berkemampuan mengurangkan kerosakan kepada alam sekitar akan dipertimbangkan untuk menyertai tawaran baharu ini. Katanya, insentif itu termasuklah tawaran lebih murah untuk kos tapak atau secara percuma sehingga 15 tahun selepas kajian itu selesai dibuat dalam waktu terdekat. ''Ini akan mengurangkan kos produksi atau pengeluarannnya, sekali gus dapat mengurangkan harga ayam itu bagi keperluan pengguna. ''Kita juga boleh mempelawa Felda dan Lembaga Tabung Haji di negeri ini untuk menggunakan produk berkaitan minyak sawit untuk menghasilkan pemakanan bagi ayam ternakan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan import. Ini juga dapat mengurangkan harga dalam pasaran," tegasnya. Tegas beliau lagi, semua tawaran terbaharu itu akan dikaji dengan teliti dan hanya terbuka kepada syarikat baharu dan hendaklah mengutamakan kepentingan rakyat, selain jaminan harga baik untuk mereka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |