{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


Apa cerita jalan lama Bukit Putus?

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

Oleh MOHAMAD AIZIM BAHARON
utusanN9@utusan.com.my

JALAN lama Bukit Putus masih boleh digunakan pengguna jalan raya.

KUALA PILAH 19 Ogos - Kadangkala apabila melalui jalan baharu di Bukit Putus dekat sini terkenang selekoh tajam di laluan lama yang telah banyak meninggalkan nostalgia.

Bukan sahaja melibatkan tanah runtuh, kemalangan yang meragut nyawa, malah ada juga mayat yang dibuang di gaung yang dalam di laluan paling 'seram' terutama di tengah malam.

Namun begitu, pemandu yang hendak ke Kuala Pilah, hari ini tidak perlu bimbang lagi untuk melalui selekoh tajam di jalan lama dekat Bukit Putus itu, sebaliknya mereka boleh melalui jalan lurus yang kini lebih cepat dan pantas, malah disebut sebagai 'laluan sutera moden' bagi pedagang dari Pantai Timur ke Pantai Barat.

Biarpun jalan lama ditinggalkan sepi sejak jalan baharu itu dirasmikan pada 29 November 2009, kini hanya tempat tinggal binatang liar yang bebas berkeliaran di atas jalan raya, khususnya kera.

Inilah nostalgia jalan yang suatu ketika dahulu telah memberi khidmat kepada penduduk khususnya di daerah Kuala Pilah, Jempol dan Gemas.

Malah jalan itu juga menjadi laluan penting ke Kuantan, Pahang dan Segamat, Johor bahkan penghubung penting kawasan sebelah barat yang merupakan kawasan pertanian yang luas menerusi penanaman kelapa sawit melalui tanah rancangan Felda.

Selain itu, ia menempatkan lokasi pelancongan utama kerana Istana Besar Seri Menanti terletak di Kuala Pilah dan kawasan rekreasi air terjun Ulu Bendul yang menggamit kedatangan pelancong dalam dan luar negeri.

Lebih nostalgia, 'laluan sutera' yang digantikan dengan jalan baharu itu merupakan pencetus kewujudan pelbagai institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah, Kolej Matrikulasi dan sekolah berasrama penuh di sekitar daerah Kuala Pilah dan Jempol, sekali gus menyaksikan peningkatan bilangan kenderaan terutama pada hujung minggu.

Apa pun, jalan lama Bukit Putus ini, sekadar menjadi memori terutama bagi mereka yang gemar menikmati selekoh tajam dan hutan rimba di sekitarnya.

Kata seorang pemandu teksi, Razali Mohd. Som, 62, dahulu kalau terdapat lori di hadapan pasti orang ramai sukar untuk memotongnya kerana selekoh di jalan lama itu terlalu bahaya.

''Kesudahannya, kita tunggulah sampai ke penghujung jalan. Bila ada jalan baharu itu semuanya dapat diatasi, tetapi bagi saya jalan lama ini terlalu banyak kenangannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, macam-macam cerita didengar ketika melalui jalan lama ini, maklumlah banyak sangat kejadian korban jalan raya di situ.

''Cerita seram, tidak perlu cakap. Yang berlumba dan jatuh gaung pun ramai. Kes jenayah pun ada di situ. Buang sampah pun ke dalam gaung itu. Sekarang tidak ada lagi orang berhenti tepi jalan bagi makan pada kera di situ," katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha barangan kraftangan, Mohd. Fauzi Ahmad, 57, berkata, dia berulang-alik dari rumahnya di Taman Tuanku Ja'afar dekat Senawang ke kedainya di kawasan rekreasi di Ulu Bendol sejak 13 tahun lalu.

''Kalau ikut jalan lama dahulu, yang banyak terbabit kemalangan ialah penunggang motosikal. Bila salah pecut, sudah terbabas dan masuk bawah lori.

''Bagi saya, memandu di jalan lama Bukit Putus itu memang santailah. Kita dapat tengok pokok menghijau dan sesekali melihat habitat dan kehidupan lain di situ seperti burung, kera, haiwan liar. Seronok juga," katanya.

Sementara itu, Mahadzir Ibrahim, 42, berkata, apabila dapat bercuti dia akan balik ke Batu Kikir menggunakan jalan baharu Bukit Putus ini.

''Jalan lama banyak kenangan. Saya bergerak ke Nilai dari Batu Kikir pada pukul 5 pagi kemudian akan berhenti solat subuh di stesen minyak Paroi kemudian sambung perjalanan ke Nilai dan pulang pada waktu malam kira-kira pukul 10 malam.

''Pada waktu pagi tiada masalah besar tetapi apabila pulang waktu malam timbul risau kerana keseorangan menunggang motosikal melalui jalan yang gelap dan sunyi," katanya.

Biasanya dahulu dia akan berhenti di stesen minyak di Paroi berhampiran Bukit Putus dan menunggu jika ada kenderaan lain yang lalu di jalan lama Bukit Putus sebelum mengekorinya.

KISAH MISTIK

Apabila diajukan soalan mengenai jalan lama Bukit Putus, ramai yang tidak berani bercerita, apatah lagi diajak menggunakan laluan berkenaan terutamanya pada waktu malam, walaupun ketika ini jalan baharu sudah ada.

Namun kisah seram ini mungkin rekaan termasuklah kononnya terjumpa orang mengusung keranda sambil membawa obor dan suara wanita menjerit minta tolong dari gaung dan sebagainya.

Kata Razali, sepanjang dia memandu di jalan lama dahulu, tiada peristiwa ganjil yang ditemuinya dan menganggap kisah mistik itu sekadar 'mengaibkan' jalan lama yang sudah banyak berjasa ini.

Kata Mohd. Fauzi, dia telah menggunakan laluan itu setiap hari selama 13 tahun dan semua cerita karut itu tidak benar.

''Jalan lama ini sudah banyak jasanya dan janganlah diperkecilkan sumbangannya," katanya.

Waspada guna jalan lama Bukit Putus

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

Selekoh berbahaya yang terdapat di jalan lama Bukit Putus.

KUALA PILAH 19 Ogos - Benarkah jalan lama Bukit Putus di sini bahaya untuk digunakan oleh orang awam ketika ini, apatah lagi memandu sendirian?

Walaupun ketika ini keadaannya sunyi dan kurang kenderaan yang menggunakannya, masih ada pemandu yang tetap mahu menggunakannya.

Jika diimbas kejadian pada 22 November 2011, mangsa kes tikam sebanyak lapan kali, Armaan Shah, 29, yang kemudiannya dibuang di kawasan jalan lama sebelum diselamatkan oleh orang ramai adalah antara contoh penjenayah menjadikan lokasi jalan lama itu sebagai tempat membuang bahan bukti.

Menurut Mohd. Fauzi Ahmad, banyak juga kisah peras ugut didengarnya berlaku di jalan lama yang sunyi itu dan menasihatkan orang ramai supaya mengelak menggunakan laluan berkenaan selepas pukul 7 malam kerana berbahaya.

''Saya ada juga menggunakan laluan ini pada sebelah pagi kerana lebih santai terutama ketika menunggang motosikal. Apa pun kita perlu berwaspada," katanya.

Selain itu, katanya, elakkanlah daripada menggunakan laluan itu pada waktu hujan kerana bimbang berlaku kejadian tanah runtuh.

''Memang benar kita mahu merasai nostalgia jalan lama itu, tetapi kalau berlaku sesuatu kejadian, tiada siapa yang sedar," katanya.

Razali Mohd. Som berkata, amat malang kerana jalan lama di Bukit Putus ketika ini menjadi tempat pembuangan sampah seperti perabot lama dan sisa pembinaan.

''Hutan yang indah itu akan tercemar dan ini perlu dihentikan," katanya.

Apa pun, katanya, dia menasihatkan orang ramai yang ingin menggunakan jalan lama tersebut supaya bergerak secara berkonvoi dan ketika itu, nikmatilah keindahan hutan rimbanya.

Jalur Gemilang kurang dikibar

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Kibaran Jalur Gemilang di Jalan Hang Tuah, Melaka masih kurang walaupun sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56 bakal tiba tidak lama lagi.

MELAKA 19 Ogos - Amalan mengibar Jalur Gemilang dalam kalangan masyarakat di negeri ini dilihat masih kurang walaupun sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56 bakal tiba 12 hari sahaja lagi.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa tempat mendapati, kebanyakan Jalur Gemilang hanya dipasang di bangunan milik agensi dan badan kerajaan sahaja.

Bagi bangunan swasta, kedai milik persendirian, kediaman mahupun kenderaan pula, amalan mengibar bendera kebangsaan itu masih tidak meriah dan kurang mendapat sambutan.

Pemilik kedai makan, Latiff Wahab, 38, berkata, Jalur Gemilang kurang dikibarkan disebabkan semangat kenegaraan yang semakin nipis dalam kalangan masyarakat masa kini.

"Sikap patriotik dalam kalangan anak muda masa kini juga makin berkurangan, malah mereka seolah-olah lupa bagaimana susahnya orang dahulu berusaha mencapai kemerdekaan untuk negara," katanya ketika ditemui di Banda Hilir di sini hari ini.

Latiff merupakan antara peniaga kedai makan yang tidak melupakan tanggungjawab memasang Jalur Gemilang di kedainya sebagai tanda sokongan terhadap negara.

Katanya, dia akan sentiasa memasang Jalur Gemilang di setiap penjuru kedai bukan sahaja pada Bulan Kemerdekaan tetapi pada hari biasa bagi menarik kunjungan orang ramai.

Tambahnya, lebih menyedihkan apabila terdapat sesetengah pihak menganggap budaya memasang Jalur Gemilang ini sebagai tanda sokongan terhadap sesebuah parti politik.

"Mereka tidak sepatutnya melibatkan parti politik dalam hal ini kerana Jalur Gemilang adalah lambang kemerdekaan negara, bukannya tanda sokongan terhadap parti politik," ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga, Mohd. Hairy Kamardin, 27, berkata, orang ramai akan mengibar Jalur Gemilang jika mendapatnya secara percuma sahaja.

"Sikap mengharapkan bantuan seperti ini yang membataskan orang ramai untuk mengibar Jalur Gemilang sedangkan itu adalah tanggungjawab mereka dalam memberi sokongan terhadap negara," katanya.

Mohd. Hairy turut tidak ketinggalan mengibar Jalur Gemilang di premis perniagaannya di Jalan Hang Tuah di sini dan menghabiskan kira-kira RM100 untuk membeli bendera baharu setiap kali sambutan Bulan Kemerdekaan.

Katanya, dia berusaha menghias kedainya dengan Jalur Gemilang bagi memberi semangat kepada peniaga-peniaga lain untuk sama-sama memeriahkan amalan tersebut.

Seorang lagi peniaga, Murad Ismail, 58, berkata, dia mengakui amalan memasang Jalur Gemilang di kedai, rumah mahupun kenderaan tidak begitu diamalkan masyarakat masa kini.

"Ini disebabkan sikap tidak sensitif masyarakat terhadap kemerdekaan negara kerana mereka sudah terlalu selesa hidup dalam keadaan aman tanpa sebarang kekacauan selama ini.

"Sikap tidak sensitif dan terlalu mengharapkan bantuan juga antara sebab kurangnya amalan ini dilakukan masyarakat," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat