{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Terapi haiwan pelajar istimewa

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

IBRAHIM Omar (kanan) mengagihkan ayam percik kepada pelajar pendidikan khas di SMK Panji, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. - UTUSAN/ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU 1 Ogos - Di seluruh dunia, kaedah terapi menggunakan bantuan haiwan seperti kuda, anjing, malah ikan lumba-lumba menjadi sebahagian cara yang dipercayai dapat meningkatkan keyakinan dan menstabilkan emosi pesakit, sekali gus merangsang pemulihan individu ke arah lebih baik.

Sentuhan dan hubungan yang terjalin antara haiwan dan manusia bukan sahaja boleh memulihkan perasaan yang berkocak akibat masalah kesihatan atau kekurangan yang dialami tetapi juga membantu menguatkan fizikal.

Misalnya, seorang warga tua yang sudah lemah otot-ototnya pasti sedikit sebanyak terpaksa bergerak untuk mengisi bekas air dan makanan haiwan peliharaan seperti kucing dan ini secara tidak langsung akan menguatkan fungsi kaki dan tangannya.

Kita juga biasa mendengar program terapi kuda untuk membantu kanak-kanak kurang upaya termasuk cacat anggota, autisme dan sindrom down bagi pemulihan emosi dan fizikal yang mana semakin giat dijalankan di kebanyakan kelab kuda tempatan.

Justeru, tidak hairanlah apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji di sini mengaplikasi kaedah yang sama untuk pelajar-pelajar istimewa yang menuntut di sekolah aliran perdana ini.

Menariknya, sekolah integrasi program pendidikan khas yang mendidik kira-kira 68 pelajar istimewa berumur antara 13 hingga 19 tahun ini memperkenalkan program terapi haiwan melibatkan unggas seperti ayam dan burung puyuh.

Pengetua SMK Panji, Ibrahim Omar berkata, program yang dimulakan sejak 2009 itu telah diberi nafas baharu pada April tahun ini dengan memberi peluang kepada pelajar memelihara sendiri ayam dan burung puyuh di satu sudut khas.

Beliau berkata, pihaknya telah membina dua reban yang dikelilingi landskap menarik, salah satunya bagi menempatkan 100 ekor ayam dan sebuah lagi untuk 50 ekor burung puyuh.

Jelasnya, program di bawah seliaan dua guru cemerlang iaitu K.A Razhiyah dan Suriati Hamzah itu berupaya menenangkan pelajar yang mengalami gangguan mental dan emosi kerana mereka gembira apabila dibenarkan membelai dan memberi makan ternakan tersebut.

"Biarpun kedudukan reban berdekatan dengan kelas, namun hasil kerjasama antara guru dan pelajar yang terlibat berjaya memastikan aspek kebersihan dan tidak mengganggu konsentrasi pelajar lain, khususnya di aliran perdana dengan bau najis haiwan.

"Anak-anak ayam dan burung puyuh ini dibeli kira-kira dua bulan yang lalu dan pihak sekolah berpuas hati kerana berjaya dipelihara sehingga mencapai saiz yang besar tanpa sebarang masalah," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ibrahim ditemui selepas program gotong-royong menyediakan 24 ekor ayam percik oleh pelajar pendidikan khas di sekolah itu.

Tambah beliau, dalam masa sama pihaknya juga mahu mendedahkan kemahiran keusahawanan penternakan haiwan kepada pelajar yang dilihat mampu melakukannya apabila mereka tamat sekolah nanti.

Sementara itu, Razhiyah pula berkata, aktiviti penternakan dengan jumlah yang besar melibatkan penglibatan pelajar pendidikan khas itu dipercayai adalah satu-satunya yang dijalankan di negara ini.

Jelasnya, mereka akan menternak ayam sebanyak dua kali setahun yang mana dijual selepas mencapai umur dua bulan atau dewasa.

Katanya, ini juga tidak terhad kepada aktiviti pemeliharaan sahaja tetapi pelajar turut didedahkan kepada aspek penyembelihan dan memasak hidangan enak haiwan diternak mereka.

Beliau berkata, 'tuaian' musim pertama tahun ini menyaksikan 24 ekor ternakan ayam disembelih di pekarangan sekolah dengan bantuan dua orang ustaz manakala bakinya sudah 'ditempah' sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

"Seperti mana kata seorang cendekiawan Barat, haiwan boleh mengajar perkara yang manusia tidak mampu, interaksi yang bermula antara manusia dan haiwan boleh membina keyakinan untuk berinteraksi, seterusnya sesama manusia.

"Setiap pagi, pelajar-pelajar ini akan mengerumuni reban untuk melihat bagaimana anak ayam dan puyuh mereka membesar dan kita dapat merasai keceriaan mereka," katanya.

Jelasnya, persekitaran dalam kelas menjadi lebih tenang apabila emosi pelajar yang pelbagai masalah ini dan kadang-kadang tidak diduga dapat diredakan.

Salah seorang pelajar pendidikan khas, Mohd. Izzat Izham Husin, 18, ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka gurunya memberi kepercayaan untuknya menjaga haiwan ternakan itu.

Katanya, dia teruja melihat ayam yang dahulunya sebesar tapak tangan membesar dengan cepat sehingga dapat dijadikan lauk untuk berbuka puasa.

"Cikgu yang ajar bagaimana membersihkan kawasan reban dan jumlah dedak yang patut diletak di dalam bekas, dia mahu beri saya seekor ayam untuk dipelihara di rumah tetapi saya beritahu tunggulah dulu kerana rumah saya tidak ada halaman luas," katanya.

Seorang lagi pelajar, Mardiah Azli, 16, pula ditugaskan menyedia dan membakar ayam percik, hasil ternakan pelajar pendidikan khas tersebut.

Mardiah yang mengalami masalah pembelajaran berkata, dia sudah biasa menolong ibu di rumah, jadi kesempatan untuk membantu gurunya memasak bukanlah satu masalah besar.

Katanya, dia berpuas hati kerana mereka dapat membahagi-bahagikan juadah tradisional itu kepada semua guru sekolah tersebut, selain pelajar pendidikan khas.

"Cikgu beri kami bawa pulang untuk dijadikan juadah berbuka puasa supaya keluarga dapat merasai hasil usaha kami," katanya.

Sementara itu, Mohd Riduan Hasan, 16, pula berkata, walaupun agak letih kerana proses menyediakan ayam percik itu dibuat pada siang hari bulan Ramadan dan berlaku gangguan bekalan air, namun segalanya menjadi mudah dengan kerjasama erat bersama rakan-rakannya.

"Sekolah ini mengajar kami macam-macam, bukan sahaja menternak ayam tetapi saya juga belajar cara urutan tangan dan kaki serta membasuh rambut seperti di salon, asalkan cikgu suruh, kami akan buat kerana ini adalah kemahiran berguna," katanya.

Bomba tumpu lokasi kemalangan

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my

ZAWAWI Othman (dua dari kanan) ditemani oleh Azmi Osman (kanan) melancarkan Ops Raya Bomba di Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan, kelmarin.

PASIR PUTEH 1 Ogos - Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan akan memberi tumpuan kepada beberapa jalan raya utama di negeri ini yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi dan sering berlaku kemalangan maut pada musim perayaan ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Osman berkata, seramai 573 anggota telah ditugaskan di bawah Op Raya Bomba untuk meronda dan berada di jalan-jalan terbabit antaranya di laluan Gua Musang-Kuala Krai, Pasir Puteh-Kuala Terengganu, Pasir Mas-Rantau Panjang dan Jeli-Tanah Merah.

Beliau berkata, operasi tersebut diadakan selama 18 hari bermula hari ini dan turut melibatkan pelbagai unit jabatan itu termasuk Skuad Bomba Bermotosikal (RIM) dan Rapid Rife Rescue Tender (RFT).

"Kita juga akan bekerjasama dengan pasukan lain seperti St. John Ambulans, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi meningkatkan kualiti bantuan dalam menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa majlis pelancaran Op Raya Bomba peringkat negeri yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman di Bukit Yong, petang semalam.

Sempena majlis itu, satu demonstrasi menyelamat mangsa kemalangan maut turut diadakan membabitkan semua agensi terlibat termasuk polis cawangan trafik dan ketenteraman awam daerah.

Majlis itu turut dihadiri ADUN Selising, Zulkifle Ali; Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Wan Baijuri Wan Hassan dan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal.

Azmi memberitahu, rekod menunjukkan kemalangan dan kebakaran banyak berlaku pada musim perayaan.

Beliau berkata, bagi tempoh 10 Julai lalu iaitu sempena 1 Ramadan sehingga hari ini, pihaknya menerima sebanyak 110 panggilan kecemasan membabitkan kebakaran dan kemalangan jalan raya yang mengorbankan empat mangsa manakala 29 lagi cedera.

"Sepanjang tempoh berkenaan, seramai 31 mangsa kehilangan rumah kediaman manakala nilai kerugian akibat kebakaran sepanjang bulan puasa ini hampir RM1 juta," katanya.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini pula jelas beliau, sebanyak 840 panggilan kecemasan direkodkan termasuk 515 kebakaran dan 322 kerja-kerja menyelamat.

Beliau menyatakan, sepanjang tempoh itu, ia melibatkan kerugian harta benda lebih RM8 juta manakala nilai harta yang dapat diselamatkan kira-kira RM143 juta.

Penggunaan elektrik di Terengganu meningkat

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

MD. Yuslan Md. Yusof (dua dari kiri) melayan tetamu dalam Majlis Berbuka Puasa TNB Bersama Media di di Primula Hotel, Kuala Terengganu, Terengganu, kelmarin.

KUALA TERENGGANU 1 Ogos - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menganggarkan penggunaan bekalan elektrik musim perayaan di negeri ini meningkat antara lima hingga 10 peratus.

Pengurus Besar negeri, Ir. Md. Yuslan Md. Yusof berkata, peningkatan itu berlaku kerana aktiviti seperti menjahit, memasak, bersahur dan mengindahkan suasana malam yang dilakukan oleh pengguna.

Katanya, berikutan itu persediaan awal telah dilakukan oleh TNB, termasuk menaikkan taraf peralatan di pencawang dengan meningkatkan voltan fius, kabel dan beberapa peralatan lain.

Malah katanya, kawasan yang dikenal pasti berlaku gangguan pada tahun lalu telah dilaksanakan penyelenggaraan lebih awal agar tidak berulang kejadian sama pada tahun ini.

"Ini untuk memastikan pengguna dapat menyambut kemeriahan hari raya tanpa ada gangguan yang berpanjangan dan TNB juga mempunyai pasukan khas menangani sesuatu kerosakan dan aduan yang diterima pada musim perayaan.

"Kira-kira 500 petugas akan bertugas secara bergilir-gilir pada musim perayaan untuk memastikan masalah gangguan dapat dibaiki dengan segera," katanya kepada pemberita sempena Majlis Berbuka Puasa TNB Bersama Media di Primula Hotel di sini petang semalam.

Sehubungan dengan itu beliau menasihati orang ramai tidak melakukan penyambungan pendawaian dan pendawaian baharu tanpa nasihat atau khidmat syarikat yang diiktiraf TNB bagi mengelakkan kejadian litar pintas.

Selain itu, pengguna yang akan pulang ke kampung untuk berhari raya diingatkan supaya memastikan semua suis ditutup atau menutup suis utama bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Mengenai pencerobohan dan kes kecurian elektrik di negeri ini, beliau berkata, memang ada kes yang dilaporkan tetapi hanya kes terpencil berbanding dengan di Pantai Barat.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat