{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Di sebalik RSK Taman Kemumin

Posted: 21 Aug 2013 12:03 PM PDT

Oleh ROSMIZAN RESDI
utusankelantan@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) didedahkan dengan pelbagai aktiviti supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih aktif.

KOTA BHARU 21 Ogos - Setiap insan sudah pasti inginkan kehidupan yang dipenuhi kasih sayang daripada seorang isteri atau suami dan anak-anak.

Namun, tiada apa yang dapat menghalang sekiranya sudah ditakdirkan hidup sendirian tanpa mereka.

Justeru, rumah kebajikan orang tua seperti Rumah Seri Kenangan (RSK) Taman Kemumin, Pengkalan Chepa adalah satu-satunya pilihan untuk golongan tidak bernasib baik seperti ini mendapatkan pembelaan bagi meneruskan kehidupan.

Rumah kebajikan orang tua yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan fasiliti seluas 12 hektar ini merupakan satu-satunya RSK yang beroperasi di Pantai Timur sejak tahun 1952 lagi.

Institusi yang terletak kira-kira 11 kilometer dari bandar ini berfungsi menempatkan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas dari tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Mereka dihantar ke institusi ini berpandukan Kaedah-Kaedah Pengurusan Rumah Orang-Orang Tua 1983, selain mempunyai penghuni yang dimasukkan di bawah Akta Orang Papa 1977.

Penguasa RSK Taman Kemumin, Wira Mahmood berkata, rumah kebajikan tersebut merupakan sebuah institusi bertindak sebagai tempat perlindungan kepada warga emas yang kurang bernasib baik.

Menurutnya, terdapat 129 penghuni terdiri daripada 68 lelaki dan 61 perempuan iaitu 88 penghuni berketurunan Melayu, 32 (Cina), lapan (India) dan seorang Orang Asli.

"Mereka akan dibantu oleh 70 kakitangan RSK yang bertugas 24 jam mengikut syif bagi memantau penghuni di situ yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat masyarakat, atendan, jurupulih anggota, jurupulih cara kerja, tukang masak dan lain-lain.

"Perlindungan yang diberikan oleh RSK ini bukan hanya meliputi penjagaan serta rawatan, malah turut merangkumi aktiviti-aktiviti kerohanian demi menjamin kesejahteraan hidup mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Wira berkata, pemantauan yang berterusan amat penting memandangkan penghuni-penghuni di sini terdiri daripada warga emas yang mempunyai tahap kesihatan berbeza dan memerlukan penjagaan rapi.

"Mengurus penghuni-penghuni di sini amat mencabar kerana dalam kalangan mereka ada yang uzur fizikal dan tidak kurang juga mengalami uzur mental seperti nyanyuk dan kemurungan yang harus diurus dengan cara berbeza.

"Salah satu cabaran yang terpaksa dihadapi terutamanya melibatkan penghuni yang mengalami masalah emosi yang mana mereka mula merindui kampung halaman serta keluarga yang tidak mahu menerima mereka," katanya.

Beliau berkata, selain bantuan kakitangan yang bertugas, RSK turut mempunyai kemudahan klinik pergigian yang mana seorang doktor gigi serta dua jururawat akan datang setiap minggu ketiga untuk memberikan rawatan kepada penghuni-penghuni di sini.

"Apa yang lebih istimewa ialah mereka turut mendapat perhatian seorang sukarelawan iaitu Dr. Lee Yan Hui yang lebih dikenali sebagai Dr. Lee yang datang memberi rawatan serta ubat-ubatan secara percuma.

"Dr. Lee adalah satu-satunya sukarelawan yang banyak membantu penghuni di sini sejak 10 tahun lalu kerana setiap bulan beliau tidak pernah lupa datang memberi rawatan dan ubat percuma.

Beliau berkata, sebanyak RM2.5 juta setiap tahun diperuntukkan kepada institusi tersebut termasuk pengurusan makanan, pakaian serta penambahbaikan untuk keselesaan penghuni di situ.

"Kira-kira RM8 sehari diperuntukkan untuk setiap penghuni yang mana pihak RSK akan menyediakan makanan kepada mereka sebanyak enam kali sehari," jelasnya

Tambah beliau, masa lapang penghuni di situ dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti berkebun, mengikuti ceramah atau kelas agama, beriadah, memelihara binatang ternakan serta menghasilkan kraftangan.

"Aktiviti-aktiviti ini bertujuan memberikan galakan kepada mereka untuk lebih aktif walaupun pada usia lanjut.

"Melalui aktiviti ini juga, RSK turut memberikan elaun penghuni sebagai inisiatif serta penghargaan terhadap kegigihan mereka dalam melaksanakan kerja-kerja," katanya.

Menurutnya lagi, hanya 13 penghuni direkodkan mempunyai anak manakala purata 12 penghuni RSK Taman Kemumin meninggal dunia setiap tahun.

Sementara itu, seorang penghuni, Che Rahimah Awang Su, 68, berkata, dia sudah sebati dengan kehidupan di RSK setelah berada di situ enam tahun lalu.

"Saya cukup gembira dengan kehidupan di sini yang lebih terurus memandangkan saya sebatang kara setelah kehilangan ibu bapa sejak kecil lagi," katanya.

Che Rahimah yang berasal dari Kampung Ulu Mahligai, Melor dekat sini berkata, dia telah dijaga oleh jirannya sejak kecil sebelum dicadangkan oleh pegawai JKM untuk tinggal di RSK.

"Segala keperluan harian terjaga dan saya sudah selesa berada di sini bersama rakan-rakan seusia yang sama-sama menjalani kehidupan di rumah ini," katanya yang buta kedua-dua belah mata sejak lahir.

Bawa agensi pelancongan luar

Posted: 21 Aug 2013 12:03 PM PDT

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 21 Ogos - Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu merancang membawa masuk kumpulan agensi pelancongan domestik dan antarabangsa bagi membolehkan mereka melihat dan menilai sendiri pakej yang sesuai untuk dipasarkan.

Pengarahnya, Mohd. Sabri Zakaria berkata, usaha itu bagi mengubah persepsi berhubung produk pelancongan yang ditawarkan di negeri ini kerana masih banyak pilihan yang boleh disesuaikan dengan cita rasa pelancong.

"Sekarang ini, pelancong (luar) bila sebut sahaja mengenai Terengganu, biasanya dia hanya tahu tentang Pulau Redang atau Pulau Perhentian. Mereka tak nampak Tasik Kenyir yang bukan sahaja bagi aktiviti memancing tetapi juga bagi pencinta burung dan alam.

"Begitu juga Taman Tamadun Islam (TTI) dengan pelbagai monumen dari seluruh dunia, sejarah Islam di Kuala Berang dengan Batu Bersurat, makam ulama-ulama dan sebagainya.

"Sebab itulah kita perlu kembangkan produk-produk ini supaya ia setanding dengan produk-produk sedia ada di negeri ini yang menjadi tumpuan pelancong selama ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika sambutan majlis Salam Mesra Aidilfitri yang melibatkan agensi-agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Pejabat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri di Kuala Ibai di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Sabri berkata, ketika ini, Terengganu telah melatih kira-kira 150 peserta bagi mengikuti program 'We Are The Host' sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 dan Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Sasaran kita untuk Terengganu adalah untuk melatih sehingga 1,000 peserta dan untuk tujuan itu, kita akan mengadakan beberapa siri jelajah ke setiap daerah termasuk di Besut dan Kemaman.

"Ia sebagai memenuhi sasaran yang ditetapkan di seluruh negara iaitu 10,000 peserta," ujarnya.

Tradisi ziarah kubur kekal amalan sambutan 'raya enam'

Posted: 21 Aug 2013 12:03 PM PDT

KUALA TERENGGANU 21 Ogos - Meraikan sambutan 'raya enam' pada 8 Syawal sebagai kemuncak sambutan Aidilfitri masih menjadi amalan masyarakat Melayu di negeri ini, Kelantan dan selatan Thai.

Raya keenam merupakan satu manifestasi kegembiraan baharu, meraikan mereka yang selesai mengerjakan puasa enam hari berturut-turut pada bulan Syawal mulai 2 Syawal yang kebanyakannya dilakukan oleh ibu bapa atau yang lebih berusia.

Berpuasa sunat enam hari yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam bulan Syawal digalakkan dalam Islam apatah lagi ganjaran mengerjakan sungguh besar, seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.

Sambutan ini juga seakan memotivasikan mereka untuk memulakan puasa pada hari kedua secara beramai-ramai ketika masih berasa dalam suasana 'mood' puasa selepas sehari menyambut Aidilfitri.

Amalan kunjung-mengunjung diteruskan dan selain menyediakan sajian hidangan kepada tetamu termasuk ketupat dan rendang, turut menjadi alternatif untuk ahli keluarga berkumpul setelah tidak dapat berbuat demikian pada hari-hari awal bulan Syawal.

Justeru, banyak yang memilih tarikh itu untuk mengadakan majlis rumah terbuka di sana sini, sama ada oleh orang perseorangan, berkumpulan atau pertubuhan.

Di Terengganu, terdapat sedikit kelainannya apabila tarikh itu ramai yang bersama keluarga kembali menziarah tanah kubur sebagaimana pada hari raya pertama, malah jumlahnya lebih ketara.

Menurut Wan Mohd. Sofli Wan Sulaiman, 57, walaupun tidak lagi semeriah dulu, tetapi masih terdapat beberapa kawasan yang mengekalkan amalan ziarah kubur pada 'raya enam'.

Katanya, suatu ketika dahulu ada yang membawa juadah raya untuk dinikmati selepas tahlil, bacaan yasin dan doa serta aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran.

"Di kawasan bandar, amalan ini sudah berkurangan tetapi jika di kampung, 'raya enam' disambut meriah dan orang ramai masih membawa kuih raya ketika berziarah. Ada juga yang datang turut menjemput imam untuk membacakan doa.

Wan Mohd. Sofli bersama keluarga melawat kubur arwah ibu, bapa dan anak sulungnya di Tanah Perkuburan Islam Jalan Pusara, Batu Buruk di sini hari ini.

"Kami biasanya sibuk dengan keluarga masing-masing pada hari raya pertama, jadi peluang ini digunakan untuk kami adik-beradik yang ada di beberapa daerah berkumpul dan melawat kubur arwah," katanya yang tinggal di Kondo Rakyat Kuala Ibai dekat sini.

Sementara itu, Abdul Ghani Muda, 67, dari Batu Buruk berkata, kemeriahan aktiviti ziarah 'raya enam' kini tidak lagi semeriah kira-kira 15 tahun lalu kerana orang ramai semakin sibuk dengan kerja masing-masing.

Namun, katanya, aktiviti ziarah kubur dan sambutan 'raya enam' ketika ini masih meriah di kawasan Bukit Payung, Marang dan Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, dia yang melawat pusara ibu, bapa dan beberapa adik-beradik di Perkuburan Islam Jalan Panji Alam di sini berkata, adalah lebih baik sekiranya orang ramai tidak menunggu hari perayaan untuk menziarahi kubur.

Katanya, paling penting adalah matlamat ziarah untuk mengingatkan tentang kematian, menyedarkan mereka yang masih hidup dan sebagai tanda kasih kepada ibu bapa dan saudara-mara yang telah lama meninggal dunia dapat dipenuhi.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat