Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Jemaah rujuk pegawai Tabung Haji
- Sembilan spesies baharu flora dan fauna ditemui
- PPL kukuhkan pelancongan Langkawi
Jemaah rujuk pegawai Tabung Haji Posted: 26 Aug 2013 12:00 PM PDT TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (depan, tengah) bersama bakal-bakal haji dalam Kursus Perdana Haji 1434 Hijrah Peringkat Negeri Perlis di Kangar, baru-baru ini. KANGAR 26 Ogos - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihati bakal jemaah haji agar merujuk kepada pegawai Tabung Haji jika mereka mempunyai kemusykilan ketika berada di tanah suci. Baginda juga mengingatkan bakal jemaah agar tidak terpengaruh dengan amalan tertentu jemaah dari negara-negara lain. "Tumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah kerana anda antara yang terpilih untuk mengerjakan tahun ini sedangkan ramai lagi yang harus menunggu giliran mereka. "Sebagai jemaah yang terpilih, saya harap setiap jemaah haji lebih serius memberi tumpuan mengerjakan ibadah haji bukan untuk membeli-belah atau seumpamanya," titah baginda ketika menyempurnakan perasmian Kursus Perdana Haji 1434 Hijrah Peringkat Negeri Perlis, di sini malam kelmarin. Titah baginda, mereka yang terpilih juga bertuah kerana tahun ini kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota jemaah haji sebanyak 20 peratus bagi setiap negara. Sementara itu, Pengurus Besar Kanan (Haji) Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, Tabung Haji membelanjakan RM3 juta untuk mengendalikan siri kursus haji tahun ini. Setiap bakal haji juga masih menikmati subsidi sebanyak RM5,575 kerana kos sebenar ialah RM15,555 namun mereka hanya membayar RM9,980, katanya. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Sumber Manusia Perlis, Khairi Hasan. — BERNAMA |
Sembilan spesies baharu flora dan fauna ditemui Posted: 26 Aug 2013 12:00 PM PDT GERIK 26 Ogos - Sebanyak sembilan spesies baharu flora dan fauna ditemui di kawasan Sungai Enam Basin di Timur Hutan Simpan Temengor yang merupakan sebahagian dari Kompleks Hutan Belum Temengor di sini, antara 1 hingga 10 Oktober tahun lalu. Penemuan tersebut melibatkan tiga spesies orkid (biermannia laciniata, oberonia bertoldii dan hylophila lanceolata); dua spesies cicak (cnemaspis dan cyrtodactylus) dan ular (lycodon effraenis dan rhabdophis) serta masing-masing satu spesies katak, rhacophorus dan pokok liana (callicarpa sp). Semua spesies baharu itu ditemui sekumpulan 128 pakar, saintis dan penyelidik yang menyertai ekspedisi 10 hari yang dijalankan di muara sungai tersebut sehingga ketinggian 1,213 meter yang belum pernah diterokai. Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pulau Banding dan Pulau Banding Rainforest Research Centre, Dr. Daniel Baskaran K. berkata, selain dijangka sebagai spesies baharu di negara ini, penemuan berkenaan juga sesetengahnya bersifat endemik. "Setakat ini terdapat penemuan yang kita jangka sebagai pertama di negara ini iaitu orkid jenis hylophila lanceolata manakala liana (callicarpa sp) pula merupakan spesies baharu ditemui. "Sebenarnya kami amat teruja dengan penemuan baharu tersebut dan berharap lebih banyak ekspedisi dapat dijalankan pada masa depan. Kita yakin masih banyak spesies baharu berada di kawasan Hutan Belum Temengor," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis perasmian Simposium Ekspedisi Saintifik Temengor kali kedua di Pulau Banding yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak, Nolee Ashilin Mohd. Radzi di sini baru-baru ini. Yang turut hadir Pengerusi Yayasan Pulau Banding, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad. Menurut Daniel, pihaknya bercadang untuk mengeluarkan sebuah buku mengandungi penemuan yang dibuat sepanjang ekspedisi berkenaan tidak lama lagi. "Simposium ini merupakan medan untuk semua saintis, pakar serta ahli kumpulannya membentangkan penemuan yang telah mereka buat pada ekspedisi di Sungai Enam tersebut. "Segala maklumat dan gambar berkenaan penemuan itu akan dimasukkan dalam sebuah buku berbentuk ringan yang akan kita hasilkan untuk kemudahan pembaca. Dalam buku itu nanti kita hanya meletakkan gambar dan sedikit penerangan mengenainya supaya senang untuk difahami," katanya. Sementara itu, Nolee Ashilin dalam ucapannya berkata, penemuan baru tersebut menjadi daya tarikan baharu kepada aktiviti pelancongan dan penyelidikan di kawasan berkenaan. "Semoga kajian dan ekspedisi yang dijalankan ini mampu memberi manfaat dan menjadikan Hutan Belum Temengor terkenal sebagai salah satu destinasi ekopelancongan terkenal di negeri ini," katanya. |
PPL kukuhkan pelancongan Langkawi Posted: 26 Aug 2013 12:00 PM PDT Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menurunkan tandatangan selepas perasmian Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sambil diperhatikan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (dua dari kanan) dan Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (kiri) di Pantai Kok, Langkawi, Kedah, baru-baru ini. - Bernama LANGKAWI 26 Ogos - Penubuhan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Pantai Kok di sini dijangka memberi sumbangan lebih besar dan bermakna kepada Blueprint Pembangunan Pelancongan Langkawi. Kewujudan pusat berkenaan juga bakal mengukuhkan lagi kedudukannya terhadap pembangunan Langkawi Geoforest Geopark sebagai destinasi pelancongan terkemuka khususnya berasaskan ilmu alam semula jadi sebagai produk utama. Kompleks PPL yang mula dibina pada 2009 dan siap sepenuhnya pada penghujung 2011 dengan kos RM11 juta itu disempurnakan perasmiannya oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah baru-baru ini. Berangkat sama, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Canselor UKM dan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim. Yang turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, pemimpin masyarakat setempat dan beberapa Exco kerajaan negeri. Pusat tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk makmal saintifik, bilik seminar, auditorium dan galeri yang mempamerkan segala dapatan, asrama untuk 70 penghuni bagi memudahkan pascasiswazah dan penyelidik melakukan kajian dengan selesa. Kemudahan yang ditawarkan oleh pusat itu terbuka kepada penyelidik daripada universiti lain dari dalam dan luar negara. PPL berperanan dalam membangunkan geopark pertama di negara ini dan Asia Tenggara serta menjalankan penyelidikan sumber asli Langkawi untuk tujuan pelancongan. Kerjasama penyelidikan yang dijalankan adalah bagi membangunkan sumber geologi dan landskap, biologi dan marin, kesihatan persekitaran dan budaya tradisi setempat bagi tujuan ekopelancongan serta pembangunan lestari sumber asli dalam geopark. Penglibatan UKM di pulau legenda sumpahan Mahsuri itu bagi menjalankan penyelidikan dan pembelajaran bermula sejak 1970-an terutama dalam bidang geologi atau geosains. Pada 1999, universiti itu melihat keupayaan pulau tersebut untuk dimajukan menerusi konsep pembangunan lestari wilayah. Demi memperkukuhkan lagi kesungguhan penglibatannya dalam pembangunan lestari Langkawi, UKM diberikan mandat oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) menerusi memorandum persefahaman (MoU) bagi mewujudkan PPL pada 2002 yang menjalankan penyelidikan berteraskan pelancongan tabii sejak 1996. Pusat penyelidikan tersebut berjaya menerokai dan mengenal pasti sumber tabii pulau peranginan ini yang berdaya maju untuk diangkat menjadi produk pelancongan. Sokongan kuat daripada pelbagai pihak seperti Lada, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Mineral dan Geosains serta pihak berkuasa tempatan, PPL telah menjalankan pelbagai ekspedisi saintifik, menganjurkan beberapa siri simposium, dialog, ceramah, kursus dan latihan kepada pihak berkepentingan. Pada 2006, UKM menerusi PPL bersama pihak berkepentingan di Langkawi melakukan persediaan untuk menjadi ahli Jaringan Global Geoparks Dunia (GGN) di bawah naungan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Setahun kemudian, Langkawi Geopark secara rasmi menjadi ahli GGN dan merupakan pencapaian terbesar yang disumbangkan oleh UKM menerusi PPL di pulau berkenaan. Pendekatan penyelidikan PPL yang berteraskan pembangunan lestari wilayah dengan memanfaatkan sumber warisan tabii dan budaya untuk memperkasakan masyarakat setempat mewujudkan peluang-peluang ekonomi serta sumber pendapatan baharu. Umpamanya, hasil kajian yang diperkenalkan seperti geotapak bernilai tinggi menjadi tarikan pelancongan baharu dan secara tidak langsung mewujudkan permintaan terhadap perkhidmatan sokongan antaranya bot dan kedai cenderahati di kawasan tersebut. Ini jelas menunjukkan kejayaan Langkawi Geopark dan PPL dalam membangunkan sumber secara lestari di samping menjana pendapatan tambahan kepada masyarakat setempat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |