Utusan Online - Jenayah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Jenayah |
Bekas banduan bunuh isteri serah diri - Polis Posted: 27 Oct 2013 08:35 PM PDT KUALA LUMPUR 28 Okt. - Seorang lelaki yang baru dibebaskan dari penjara 12 Oktober lalu, menyerah diri kepada polis selepas menikam isteri yang kemudian mati, dalam kejadian di Ladang Bukit Darah Kundang, Sungai Buloh dekat sini malam tadi. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek berusia 35 tahun itu menyerah diri di Balai Alam Jaya tidak lama selepas kejadian. "Dalam kejadian 9 malam itu, suspek pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. "Suspek menggunakan pisau sepanjang 32 sentimeter untuk menikam isteri yang berusia 36 tahun beberapa kali di bahagian belakang, bagaimanapun mangsa sempat melarikan diri ke rumah jiran dalam keadaan berlumuran darah dan meminta bantuan sebelum mati beberapa minit kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Menurutnya, siasatan awal juga mendapati pasangan itu sering bergaduh. Polis sedang meneliti rekod jenayah suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 506 kanun yang sama. - BERNAMA |
Peluru sesat: Anggota polis ditahan kerja Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT IPOH 27 Okt. - Seorang anggota polis yang melepaskan tembakan secara tidak sengaja sehingga mencederakan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di Kampung Belanja Kiri, Parit pada 14 Oktober lalu ditahan kerja sehingga kes itu selesai. Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah mengeluarkan surat arahan tersebut pada Jumaat lalu dan surat itu dijangka sampai esok untuk diserahkan kepada anggota terbabit. "Polis Bukit Aman telah mengeluarkan surat arahan untuk ditahan kerja pada Jumaat lalu dan saya percaya surat itu akan tiba esok (Isnin). "Surat itu akan dihantar kepada anggota terbabit serentak dengan tindakan tahan kerja. Saya percaya isu ini akan diselesaikan minggu depan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Golf Piala Ketua Polis Negara 2013 di Kelab Golf Diraja Perak hari ini. Dalam kejadian pada 14 Oktober lalu iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, Mohd. Amar Mohd. Azizi, 10, cedera parah pada leher akibat terkena peluru sesat yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh seorang anggota polis ketika mengosongkan senjata di tangga rumah mentuanya di Kampung Belanja Kiri, Parit. Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Iskandar Shah, Parit itu selamat menjalani pembedahan berisiko tinggi mengeluarkan sebutir peluru dari kerongkong di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada 20 Oktober lalu dan dia dibenarkan pulang ke rumahnya Khamis lalu. Acryl Sani juga berkata, polis sedang meneliti beberapa aspek untuk mengambil tindakan disiplin ke atas anggota berpangkat Sarjan berusia 50-an itu yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping. Antaranya kata beliau, kesalahan membawa senjata api semasa bercuti dengan tidak menyerahkan kepada stor senjata serta tidak mematuhi peraturan semasa mengosongkan senjata. "Saya beri jaminan kita akan kendalikan siasatan disiplin ini secara telus dan sekiranya perlu, kita akan rujuk kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tetapi kebiasaannya tindakan disiplin diambil oleh kontinjen negeri," katanya sambil memberitahu anggota polis terbabit tidak mempunyai rekod disiplin sebelum ini. Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, polis telah melengkapkan dan menyerahkan kertas siasatan kes tersebut ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya kelmarin. "Polis juga telah mengesyorkan beberapa pertuduhan yang kita fikir bersesuaian dengan insiden yang berlaku. Antaranya Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 338 Kanun Keseksaan dan beberapa seksyen lain," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |