Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Semangat rock & roll Amy, Bunkface Posted: Semangat rock & roll Amy, Bunkface"ROCK macam mana sekalipun, setiap band (wajib) kena ada lagu balada. Kalau buat konsert dua jam, takkan peminat nak lompat, nak hentak-hentak kepala (selama) dua jam. Penat, nak juga bagi peminat relaks dengan lagu-lagu sentimental," selamba pesan Amy Search buat tiga anak muda Bunkface yang berpaksikan punk rock sebagai dasar pergerakan muzik mereka itu. Ikut hukum logikal, pesan sang 'living legend' itu cukup bernas. Search sendiri mempunyai berbelas lagu hits yang berentak balada termasuklah Isabella, Fantasia Bulan Madu, Gadisku, Rozana dan banyak lagi. Begitu juga dengan Wings, selain Sejati yang masih menjadi lagu wajib dalam mana-mana konsert, kumpulan rock itu mempunyai deretan lagu berhantu yang cukup kuat pengaruhnya. Aliran muzik Bunkface yang diwakili tiga anggota tetapnya, Paan atau nama penuhnya Ahmad Farhan, Youk (Farouk Jaafar) dan Shamsul Anuar (Sam) mungkin berbeza dengan Search. Mereka juga bukan cebisan Wings atau mana-mana grup rock yang pernah mencapai dan masih gemilang dalam jiwa pengikut rock tanah air. Kumpulan Green Day yang menjadi ikutan tegar Bunkface sendiri memiliki lagu-lagu balada. Judul Wake Me When September Ends, Boulevard Of Broken Dreams dan Macys Day Parade barangkali lagu paling balada yang merujuk dalam kamus muzik Green Day bahkan menambah impak keteguhan Green Day di persada muzik dunia. "Untuk kami, lagu Situasi, Jatuh dan Agenda Jahiliah boleh dianggap sebagai lagu paling balada yang pernah kami rakamkan. Mungkin lagu-lagu tidak balada sepenuhnya dari segi lirik, jadi ia seperti tak cukup balada. Sebenarnya kami tidak pernah simpan ego tak mahu hasilkan lagu berentak balada. Akan datang, Insya-Allah, kami akan buat lagi lagu-lagu balada ikut cara kami," Paan mencerna pemikiran Amy yang banyak mendatangkan inspirasi buat mereka.
Selama lebih tujuh bulan bekerjasama, Amy tidak meletakkan jurang senioriti ketika bersama Bunkface. Kesanggupan Amy untuk turun berkolaborasi bersama Bunkface bukan terbina atas dasar 'tangkap muat' atau sekadar mengisi ruang untuk terus dilihat seiring dengan arus muzik. "Apabila saya kata saya mahu bekerjasama, maknanya saya tidak mahu kerja main-main. Saya mahu produk itu jadi produk bersama dan kami sama-sama kerja kuat untuk bawa lagu itu pergi sejauh mungkin. Kena hebah dan dedahkan ia agar betul-betul jadi," getus Amy berhubung penyatuan tenaga dan emosinya ke dalam single terbaharu Rentak Laguku bersama Bunkface. Tak minat Goyang Bagi Amy Search, Bunkface sebuah band yang bercita-cita tinggi. Melihat Bunkface seumpama cerminan silam buat Amy sendiri. "Bunkface mengingatkan saya ketika mula-mula Search hendak menapak, daripada nobody mahu jadi somebody. Muzik mereka ada perjuangan dalam berkarya. Budak-budak beginilah yang harus diberi sokongan," puji Amy terhadap pencapaian Bunkface yang mengeluarkan EP pertama bertajuk Lesson Of The Season pada tahun 2007 itu. "Sebenarnya kami sudah lama mahukan abang Amy menjadi rakan duet dalam lagu. Ikutkan sejak tahun lepas lagi ketika itu kami mahu merakamkan lagu berjudul Musuh tetapi ada sahaja perkara yang membantutkan hasrat itu. "Ada dua single yang kami cadangkan, satu lagi berjudul Goyang tetapi abang Amy lebih berminat terhadap Rentak Laguku. Sebenarnya, kami sudah rakam lagu Rentak Laguku tanpa abang Amy, tapi rasa macam 'kosong'. Lagu itu pula atas jalur punk rock. Tak sangka bila kami bawa kepadanya, dia setuju," jelas Youk.
"Kami berkongsi pentas buat pertama kali semasa Anugerah Planet Muzik (APM) di Singapura, Oktober lalu. Saya dengan cara saya dan abang Amy dengan stail dia. Rasanya kami ngam dan persembahan itu mengalir dengan seronok," ujar Sam pula saat menterjemah penyatuan dua nada suara, Amy Search dan Sam Bunkface yang berlainan dalam satu lagu. Tambah Sam juga: "Kami ada banyak rancangan untuk gandingan ini dan kalau boleh, saya mahu kolaborasi ini tidak sia-sia. Ia seperti gabungan dua generasi. Sehabis sahaja APM di Singapura, kami banyak berkongsi pengalaman dan sampai satu masa, saya rasa mahu jadi seperti Amy Search yang sampai sekarang masih dengan stail rock & roll dan peminat suka." Band rock mendatar "Dia (Amy) otai, jadi kami sangat berbesar hati dan persetujuan abang Amy untuk bersama-sama dengan kami ini satu penghormatan terbesar rasanya," celah Youk lagi sambil mengaitkan percaturan muzik Bunkface sendiri harus sentiasa sentiasa menampakkan pembaharuan. Youk merasakan hayat band rock tanah air dalam fasa mendatar. Selain sokongan peminat secara individu, komitmen dan perjuangan pemuzik berkumpulan akan lebih bernyawa sekiranya diberi ruang oleh pihak radio dan televisyen mahupun penganjur acara hiburan. "Rasanya band-band baharu yang ada sekarang sukar untuk menonjolkan diri. Ruang yang ada sangat terhad. Kalau dahulu ada stesen radio X FM yang hala tujunya kita tahu. Itulah tempat yang jadi harapan untuk lagu-lagu band macam kami. Sekarang stesen televisyen juga ada ramai artis mereka sendiri. Untuk persembahan luar, penganjur pula anggap bayaran untuk artis berkumpulan lebih mahal. Rasanya artis berkumpulan dilihat artis tahap kedua berbanding artis solo. "Jadi, survival band akan mendatar, tak naik-naik," jelasnya menerangkan situasi yang dihadapi kebanyakan pemuzik berkumpulan. Perkara itu diakui oleh Amy Search. Sebagai orang lama yang sudah lebih 30 tahun menjadi sebahagian daripada warna muzik Malaysia, Amy cukup kesal memikirkan trend 'kelahiran dan pemilikan' artis oleh stesen televisyen.
"Dari satu sudut trend itu bagus tapi dari satu sudut yang lain, ada impak yang negatif. Apabila stesen televisyen yang berpengaruh lahirkan artis mereka melalui program terbitan mereka, sudah tentu artis-artis naungan mereka yang akan diberi sebanyak mungkin peluang. Ada ketidakadilan di situ dan situasi itu terjadi. Rasanya, soal artis bernaung bawah stesen televisyen ini hanya wujud di Malaysia," luah Amy tentang salah kepincangan arus muzik yang harus ditempuh ramai artis ketika ini. Berbalik kepada pergerakan muzik Bunkface sendiri, kumpulan yang akan terbang ke Jakarta bagi menyertai Ekspo JakCloth selama tiga hari mulai 5 Disember ini masih dalam agenda untuk melebarkan sayap ke negara jiran. "Banyak band muzik tempatan berangan nak ke Amerika Syarikat atau Britain. Nak ke sana boleh tapi biarlah benar-benar berjaya di sini. Tak payah jauh-jauh, dapat masuk Indonesia pun cukup," kata Amy. | |||
Posted: Bahang cinta Johan-Lana
PENGAKUAN cinta aktor Johan As'ari, 27, bersama Lana Nordin, 34, pelakon wanita yang cukup terkenal dengan jolokan 'Pamela Anderson Malaysia' mudah sahaja mencetuskan kontroversi. Seperti menyimbah minyak ke dalam api, keterbukaan Johan yang selama ini dilihat intim bersama penyanyi popular Shila Amzah itu membakar kejutan dan reaksi berganda banyak pihak. Bara sensasi Lana Nordin yang pernah bercinta dengan jejaka warga Republik Czech bernama Parvel Michalec menambahkan bahang kepanasan. Lantaran itu, para peminat menganggap kisah silam Lana yang mengotori namanya tidak sesuai berdampingan dengan Johan. Seorang demi seorang wanita cantik hadir dalam hidupnya sehinggalah tiba ke giliran Lana Nordin, dia pantas membuat pengakuan bahawa itulah wanita yang bakal disunting sebagai isteri, surinya yang sah. Johan sebelum ini dikaitkan dengan beberapa nama pelakon wanita popular termasuklah Izreen Izminda, Nabila Huda serta Shila Amzah. Sebenarnya, bukan sekali dua Johan meluahkan perasaannya untuk bertunang dan bernikah dalam masa terdekat. Ketika sibuk mempromosikan filem Balada Pencinta baru-baru ini, Johan sempat berkongsi hasratnya untuk bertunang sekitar bulan Disember. Jika ditemukan cinta dengan wanita yang tepat iaitu cantik, berharta, keturunan yang baik-baik dan beragama, dia pasti itulah orangnya calon isteri yang dicari-cari. Dia mahu bernikah sebelum menyambung pengajian dalam bidang agama di Yemen dan berangkat ke sana tahun depan bersama-sama seorang isteri di sisi. Melihat secara luaran, Lana punya banyak sejarah hitam. Gelaran Pamela Anderson Malaysia untuknya sudah cukup memberi gambaran tentang personaliti wanita itu. Namun, siapalah peminat untuk menentukan status Lana Nordin sebagai ratu di hati Johan. Setiap manusia harus ada peluang untuk diubah dan berubah ke arah yang lebih baik. Lana sendiri pernah menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan imej seksi dan sedia menyarungkan hijab demi cintanya terhadap Johan. BEBERAPA ahli keluarga dipercayai keluarga Lana makan bersama Johan (dua dari kanan). Begitu juga dengan Johan, perkenalan singkat bersama Lana tidak menghalang perasaan tulus terhadap wanita itu. "Saya berkawan dengannya bukan main-main. Saya tahu, dia juga mendambakan calon suami yang boleh membimbingnya. Kami akan sama-sama belajar untuk menjadi insan yang lebih baik. "Biarpun berbeza usia, dia menghormati saya. Andai kami disatukan, hanya tiga perkara yang saya pinta iaitu taat kepada Allah, Rasulullah dan suami. Itu saja," jelas Johan saat ditanya tentang keseriusan hubungannya bersama Lana. Dari satu sudut yang lain, keterbukaan Johan dan Lana mengundang reaksi berlainan emosi daripada dua wanita terdekat dengan Johan. Pertama, ibu Johan iaitu Datin Firdaus sendiri memuat naik sekeping gambar menerusi Instagram berserta status berbau hampa. Datin Firdaus menulis, 'A sad face under the shades'. Allah menduga setakat yang kita mampu. Setiap dugaan ada hikmah di sebaliknya.' Status mengundang skeptikal umum, adakah perhubungan Johan dan Lana direstui keluarga. Shila Amzah melalui akaun Instagram turut memuat naik sekeping gambar yang dirakam memeluk bahu ibu Johan dan menulis: 'Please be strong aunty sayang. We love you, no matter what. Allah knows better, we are here for you.' Gambar serta status yang seolah-olah memberi kata-kata semangat itu mendapat banyak reaksi daripada penyokong dan pengikutnya. Namun, tidak lama kemudian gambar tersebut dipadam Shila. Drama kisah cinta Johan dan Lana turut dihangatkan oleh rakaman-rakaman manis yang terzahir oleh Lana dan Johan. Membuktikan hubungan mereka sudah sampai ke pengetahuan keluarga, Lana sendiri ada memuat naik sekeping gambar yang dirakamkan ketika malam malam bersama keluarga Johan. Kemesraan Johan, Lana serta beberapa ahli keluarga dalam gambar itu menjelaskan penerimaan keluarga terhadap kehadiran Lana. Sejauh mana hubungan itu berkekalan, masa dan keadaan sahaja yang akan menentukan. Barangkali Lana seorang wanita yang cukup 'mencabar' buat Johan atas sebab itu, cinta yang segera berputik mahu diikat ketat agar perasaan yang terbina tidak mudah hanyut. | |||
Posted: Belahan jiwa, cinta Kolumpo
TIGA rasa yang dipadukan dalam sebuah filem, Kolumpo sebenarnya banyak membongkar cerita untuk dikongsikan bersama. Filem yang dipecahkan kepada tiga cerita itu masing-masing diterajui tiga pengarah berbeza. Secara luaran, Kolumpo sebuah filem yang membawa tema sebesar kota metropolitan Kuala Lumpur untuk dikupas namun pada waktu yang sama, ia menyelinap ke celah realiti yang selama ini barangkali terlepas daripada pandangan hari-hari. Kolumpo itu mendefinisikan ibu kota Malaysia tercinta dalam satu jurus yang berbeza, tiada babak kelab malam atau pergaduhan sesama abang kawasan. Tiada konflik orang kaya menghina si miskin yang menjadi pilihan anak perempuannya. Tiada juga sebarang slogan seumpama rakyat Malaysia yang berbilang kaum harus hidup bersatu-padu, tapi indahnya, Kolumpo kali ini membenarkan segala hukum logikal perbezaan bangsa yang melintas lalu dalam kehidupan di Kuala Lumpur untuk meresap dan hadam lunak dalam setiap perasaan penontonnya. Dua perenggan di atas sekadar sebuah pengenalan rambang kepada judul Kolumpo yang dikongsikan tiga pengarah, Bront Palarae, Rozi Izma dan Sheikh Munasar. Bront mempersembahkan kisah pekerja asing dari India, Rozi pula mengheret gadis Cina ke dunia wanita Melayu warga emas yang separuh waras manakala Syeikh Munasar pula menghadirkan pertembungan hubungan dua remaja berbeza pemikiran. Kisah mereka tidak berkait tetapi Kuala Lumpur atau disebut Kolumpo untuk filem ini meletakkan mereka dalam ruang masing-masing. Mak Mah tunggu jemputan "Nek Wok seorang wanita tua yang tidak terurus tetapi dia bebas menikmati kehidupan. Dia nenek gelandangan, macam sesat tetapi baginya dia hidup dalam dunia dia. Orang Malaysia itu suka membantu. Dia dipelawa menumpang kereta seorang gadis Cina untuk balik ke rumahnya. Dari tengah hari membawa ke petang, kisahnya hanya dalam kereta sahaja," cerita seniwati veteran, Ruminah Sidek mengenai watak Nek Wok yang digalasnya dalam salah sebuah segmen Kolumpo. Rupa karakter sedemikian tidak banyak bezanya dengan watak-watak yang sering dijayakan oleh seniwati berusia 68 tahun itu. Ruminah yang mesra dibahasakan Mak Mah itu mengakui letak dirinya. "Saya ini jenis yang menerima, mungkin saya ini dilahirkan untuk menjadi wanita yang menurut, boleh dicorakkan macam-macam. Bagilah watak sampah pun saya terima, bagi saya babak lima saat pun saya terima.
Tapi saya tetap mahu beri impak, misi saya mahu skor A. Saya gemar begitu. Dalam Kolumpo, watak itu memang untuk saya. Keadaan begitu bersesuaian dengan diri saya. Saya pun boleh jadi serupa Nek Wok jika tidak di sini, hari ini," ujarnya mengakui masih mampu berlari, kudratnya masih boleh dipulas jika itu kehendak cerita. Memuji kerja sang pengarah dalam waktu yang sama besar hati digandingkan bersama Nell Ng, Mak Mah yang banyak tersenyum itu sempat berperi tentang hidupnya saat ini. Akui ibu Adlin Aman Ramli itu, hidupnya mudah tetapi setiap manusia tidak lepas daripada undang-undang, ketentuan Allah dan pilihan insan. "Sesiapa pun boleh panggil saya untuk penggambaran, kalau saya ada kesempatan, saya akan buat. Kalau boleh jangan tunda-tunda, kerja sekejap kemudian akan sambung sambung penggambaran hujung bulan ke. Manalah tahu, usia begini, menunggu sahaja bila-bila masa boleh dijemput," bisiknya seraya berseloroh. Seharian tanpa letih, sebelum fotografi ini bermula kira-kira pukul 5 petang, Mak Mah sebenarnya melalui perjalanan jauh dari Terengganu kerana menziarah saudaranya yang baru meninggal dunia. Amirul sahut cabaran Muka baharu di layar perak namun Amirul Ariff, 25, sudah masak benar dengan selok-belok pembikinan filem. Di belakang tabir, dialah kru yang banyak terlibat dalam penataan seni, pencahayaan, fokus kamera dan bermacam kerja lain termasuklah jurukamera. Seumur hidupnya, jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu tidak pernah menyangka bahawa haluan hidupnya sehabis pengajian dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan membawa dirinya ke depan kamera. "Saya mulanya diminta untuk uji bakat tetapi tidak sangka akan terpilih. Saya amat serius dalam melakukan sesuatu kerja yang melibatkan filem kerana minat saya yang mendalam terhadap perfileman dari dahulu lagi. Kesungguhan saya itu berbaloi dengan kepercayaan yang diberikan kali ini. "Selama ini saya kru filem tapi saya sahut cabaran Kolumpo dengan sepenuh hati. Apa yang terlihat daripada watak saya dalam filem itu juga ada kaitan dengan perasaan saya ketika ini. Saya kekok dan masih risau dengan penerimaan ramai," katanya yang mempunyai iras wajah seakan-akan Johan As'ari. "Dalam Kolumpo, saya jadi pemuda yang janggal apabila berhadapan dengan masyarakat kerana saya ibarat berada dalam kepompong dunia saya sendiri. Watak sulung yang saya bawakan ini agak terhad permainannya demi tuntutan karakter," ujar Amirul yang risau apabila diberitahu gandingannya merupakan pelakon yang cukup berkarakter, Sharifah Amani. "Walaupun saya terbiasa dengan kerja pembikinan filem, berlakon sebenarnya tidak mudah. Saya kena belajar dari bawah dan Amani sendiri sangat banyak memberi tunjuk ajar kepada saya. Begitu juga dengan Bront serta pengarah segmen iaitu Sheikh Munawar," jelas Amirul yang mengidamkan watak antagonis jika masih diberi kepercayaan dalam bidang lakonan selepas ini. Amirul yang merupakan anak pengkritik filem, A. Wahab Hamzah itu mengharapkan Kolumpo dapat meninggalkan setidak-tidaknya sebuah nilai yang mungkin selama ini dilupakan setiap kali selesai menonton filem.
Amani bergelandangan "Apa yang dipaparkan dalam Kolumpo bukan benda-benda mahal untuk dijual tetapi benda itu wujud dalam diri semua orang," getus Sharifah Amani yang membawakan watak Siti Nor Hayy dalam filem berkenaan. Nama wataknya cukup untuk membayangkan sesuatu yang tidak terjangka, Amani sendiri mengakui karakter yang digalas itu sedikit misteri. "Dia gadis berambut merah yang masih bergelandangan di tengah kota walaupun sudah tengah malam. Hendak kata dia sejenis kupu-kupu malam, perkara itu tidak dinyatakan. Tetapi keramahan dia dengan hampir semua orang, daripada penjaja, penghibur jalanan bahkan pelacur boleh mendatangkan pertanyaan. Dia selesa dengan Kuala Lumpur," ujar Amani tentang karya yang dijayakan kali ini. Bangga atas pembikinan Kolumpo bukan sahaja atas alasan Bront, Rozi atau Sheikh Munawar yang sudah dikenalinya sekian lama, bahkan kata Amani, Kolumpo ialah bukti semangat dan kecintaan mereka berkongsi apa benar-benar kepada komuniti. "Ini semacam apa yang kami mahukan sumbangkan kepada khalayak. Karakter-karakter yang ditampilkan jarang dilihat di kaca televisyen atau mana-mana filem sebelum ini. "Kolumpo juga bercerita tentang sejauh mana anda kenal sedalam-dalamnya kota yang anda puja dan diami ini. Terlibat dan melihat sendiri hasil kerja keras kami selama ini membakar emosi saya untuk semakin bersemangat, buat filem juga dan berkarya dalam nada yang serupa ini," luah Sharifah Amani berkobar-kobar. Sesuatu yang meninggalkan kesan hebat ke jiwanya, pembikinan Kolumpo sendiri bermula daripada sebuah setiakawan dan diakhiri dengan kasih sayang. "Hampir semua pelakon jemputan dalam filem ini terdiri daripada nama besar. Ada yang muncul hanya untuk satu babak sahaja. Bront sendiri boleh jadi pak pacak jaga trafik padahal dia salah seorang pengarah filem ini. Kenangan dan pengisian filem ini sendiri sungguh indah," tutup Amani mengajak sokongan umum terhadap filem yang bakal masuk pawagam bermula 5 Disember itu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |