Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- Tenang tanpa kontroversi
- Bukan Kerana Aku Tak Cinta uji Sharnaaz
- Harun nekad mahu tinggalkan Seniman
Posted: Tenang tanpa kontroversiTERKEJUT seketika apabila melihat perubahan diri pelakon Tiz Zaqyah ketika bertemu dengannya semasa majlis pelancaran program kesedaran mencegah kanser, May Cares For You 2 yang berlangsung di Giant Hypermarket, USJ 1, Subang Jaya baru-baru ini. Manakan tidak, ketika membuat kemunculan dalam majlis berkenaan sebaik sahaja namanya diumumkan oleh pengacara, kelihatan susuk tubuh badannya yang semakin berisi sekarang, tetapi masih kekal jelita. Apabila ditanya mengenai perkara tersebut kepada empunya diri, pemilik nama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak itu lantas tertawa dan tidak menafikan sedang melalui pertambahan berat badan. "Memang ramai menegur perubahan fizikal saya yang kini semakin berisi, malah ada beberapa orang pengarah yang meminta supaya saya menurunkan berat badan supaya tidak menjejaskan kerjaya saya. "Tidak dinafikan ia agak memberi tekanan apabila mendapat banyak teguran, tetapi saya enggan terlalu memikirkan sangat sehingga membuat fikiran saya menjadi bertambah kusut," ujarnya. Mengakui tidak pernah mengambil berat tentang pengambilan makanan, Tiz beranggapan bahawa perkara yang lebih penting adalah mempunyai keyakinan yang tinggi apabila berada di depan kamera serta bersyukur dengan keadaannya sekarang. Berkenaan dengan kisah dirinya yang kurang diperkatakan serta jarang dikaitkan dengan cerita kontroversi sejak kebelakangan ini, pelakon itu merasakan ia merupakan satu petanda yang cukup positif. Tidak kisah apabila cerita mengenai dirinya jarang dipaparkan di dada-dada akhbar atau majalah, dia melihat keadaan tersebut membuatkan dirinya dapat memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya lakonannya. "Saya berasa cukup tenang sekarang kerana tidak perlu menjawab pelbagai persoalan apabila timbul sesuatu cerita mengenai diri saya. TIZ yang merupakan duta produk May turut menyertai kempen kesedaran penyakit kanser serviks yang dianjurkan oleh produk berkenaan. "Adakalanya berasa penat juga untuk melayan setiap pertanyaan yang diajukan, terutamanya yang membabitkan kisah peribadi. "Apabila kisah peribadi saya lebih menjadi tumpuan, seolah-olah orang lupa terhadap pekerjaan saya sebagai pelakon. Saya lebih gemar kalau dikenali ramai kerana produk yang bermutu dan mendapat sambutan penonton," jelasnya. Menurut Tiz, dia juga sangat berpuas hati dengan perjalanan kariernya sepanjang tahun ini memandangkan tawaran yang tidak henti-henti serta setiap drama bersiri lakonannya seperti Sebenarnya Saya Isteri Dia dan Jodoh Itu Milik Kita begitu diminati ramai. "Secara jujurnya, saya merasakan tahun ini adalah yang terbaik buat diri saya sepanjang bergelar pelakon. Selain karier yang semakin berkembang, saya jarang dikaitkan dengan gosip dan keadaan sedemikian cukup menyenangkan diri saya," ujarnya. Sementara itu, bercerita lebih lanjut mengenai projek terbaharunya sekarang, pelakon yang baru pulang dari New York, Amerika Syarikat untuk menjalani penggambaran telemovie Oh! My English bulan lalu berkata, selepas ini dia akan terbabit dengan drama bersiri berjudul Chef. Jelasnya, drama bersiri sepanjang 60 episod itu akan menampilkan dirinya bersama Aaron Aziz dan seorang pelakon terkenal dari Filipina iaitu Jericho Rosales dan akan memulakan penggambaran dalam tempoh terdekat. TIZ tidak pernah menyembunyikan kisah hubungan cintanya dengan jejaka yang dikenali sebagai Daniel Haziq. Berlakon teater Biarpun sudah tampil agak cemerlang di kaca televisyen dan layar perak, Tiz menyatakan dia menanam impian untuk tampil di pentas teater dan berharap ia bakal direalisasikan pada tahun 2014. Menurut pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama bersiri Nur Kasih itu, sebelum ini dia pernah menerima tawaran berlakon teater, tetapi terpaksa ditolak lantaran jadual kerja yang tidak mengizinkan. "Sebagai seorang pelakon, saya merasakan ia adalah suatu langkah yang paling berkesan untuk mengasah lagi bakat lakonan yang sedia ada serta cabaran yang dilalui juga nyata jauh berbeza. "Tidak kisah sama ada pementasan teater berskala kecil atau besar kerana apa yang lebih penting ialah pengalaman yang dilalui itu pastinya lebih berharga untuk perkembangan karier saya," ulasnya mengenai impian yang sudah terpendam sejak sekian lama itu. Selain berhasrat mahu berlakon teater, pelakon cantik itu juga menyatakan bahawa pada tahun hadapan dia mahu kembali berlakon filem setelah kali terakhir tampil di layar perak pada 2012 menerusi filem Cinta Kura-Kura. "Pada tahun ini saya memang lebih banyak tampil dalam drama bersiri membabitkan episod yang panjang serta penggambaran yang dilakukan pula mengambil masa selama beberapa bulan. "Itu adalah salah satu faktor yang menyebabkan saya tidak terlibat dalam penggambaran filem sekarang. Mungkin saya akan kurangkan berlakon drama bersiri yang panjang dan bersedia menerima sebarang tawaran lakonan untuk filem pula," ujarnya. Enggan terburu-buru Meskipun menyatakan keengganannya untuk bercerita tentang hal-hal yang bersifat peribadi, Tiz tetap terbuka dan sudi bercerita mengenai perkembangan terkini hubungannya dengan kekasih yang dikenali sebagai Daniel Haziq.
Menurut Tiz, buat masa ini hubungan mereka berdua masih lagi berjalan seperti biasa, namun masih belum ada lagi sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga. "Dengan pelbagai cerita membabitkan masalah rumah tangga serta penceraian yang dialami banyak pasangan membuatkan saya seperti agak takut pula untuk berkahwin sekarang. "Lagipun saya enggan terburu-buru melalui fasa alam perkahwinan dan tidak meletakkan sebarang sasaran untuk berkahwin dalam tempoh tertentu. Kalau sudah ditakdirkan jodoh saya dengan kekasih, pastinya kami akan tetap berumah tangga," ujar pelakon yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 pada 25 Oktober lalu. Jelasnya, dengan kesibukan dirinya dan kekasih ketika ini membuatkan masing-masing mahu lebih fokus terlebih dahulu kepada kerjaya dan akan memberitahu kepada umum sekiranya mereka sudah bersedia untuk berkahwin. | |
Bukan Kerana Aku Tak Cinta uji Sharnaaz Posted: Bukan Kerana Aku Tak Cinta uji Sharnaaz
"CINTA itu hadir kerana perkenalan, bersemi kerana perhatian, bertahan kerana kesetiaan," begitulah antara bait indah yang dipetik daripada novel karya E-Man Sufi, Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang kini diadaptasi menjadi sebuah drama bersiri. Drama terbitan Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. itu diarahkan oleh Jamal Khan dan bersiaran sebanyak 60 episod. Bukan Kerana Aku Tak Cinta mengisahkan kehidupan Jebat (Sharnaaz Ahmad) seorang lelaki berdarah campuran Melayu dan Cina yang berubah menjadi individu baik selepas keluar daripada 'jalan hitam'. Sifatnya yang tenang, rajin dan baik hati telah menarik perhatian Mastura (Nelydia Senrose) dan pelbagai cara dilakukan gadis itu untuk mencuri perhatian Jebat tanpa berputus asa. Drama bersiri hebat itu turut dibantu Iqram Dinzly, Datuk Jalaluddin Hassan, Lisdawati, Chew Kin Wah, Tony Eusoff dan Alex Yanz. Ujar penerbit drama itu, Ziela Jalil, pihaknya cuba untuk tidak mengubah jalan cerita asal yang diadaptasi daripada novel itu untuk menjamin kepuasan penonton. "Drama saduran pertama Jodoh Itu Milik Kita telah mendapat sambutan luar jangkaan daripada penonton dan atas alasan itu kami melanjutkan dengan drama kedua iaitu Bukan Kerana Aku Tak Cinta. "Seboleh-bolehnya kami akan mengikut jalan cerita asal sehampir mungkin kerana bimbang pengikut setia novel itu akan mempertikaikan intipati drama ini sekiranya diubah-ubah," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut di Best Western Premier, Dua Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini. BARISAN karyawan drama rantaian Bukan Kerana Aku Tak Cinta bergambar kenangan selepas majlis pelancaran drama tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Sementara itu, untuk menjayakan watak Jebat dalam drama itu kata Sharnaaz Ahmad, dia terpaksa membotakkan kepalanya dan menambah berat badan untuk membawakan watak yang diinginkan. "Dengan rela hati saya membotakkan kepala untuk menjayakan watak Jebat dan menaikkan berat badan kerana saya juga perlu menayangkan badan dalam beberapa babak drama ini. "Sejujurnya, karakter Jebat sangat dekat dengan saya dan sedikit sebanyak mencerminkan diri saya yang sebenar. Selepas membaca novel ini, saya dapati perjalanan kehidupan Jebat hampir sama dengan saya," jelasnya. Sementara itu, kata Nelydia yang baru pertama kali digandingkan bersama Sharnaaz, dia harus meningkatkan prestasi lakonannya demi meletakkan dirinya dan karakter yang dibawa setaraf dengan Sharnaaz. "Watak Mastura berbeza daripada karakter yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Dia tidak mengenal erti putus asa untuk memikat hati seorang lelaki yang disukainya. "Apabila berlakon dengan Sharnaaz, dia memang seorang pelakon yang akan menjiwai watak sampai terbawa-bawa ke luar set penggambaran. Oleh itu, saya sendiri perlu memperbaiki diri dan kualiti lakonan saya untuk membentuk karakter setanding dengannya," kata Nelydia. Drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta menjalani penggambaran di lokasi asal dalam novel itu iaitu di Mentakab, Pahang. Lebih menarik, lagu runut bunyi utama drama itu dinyanyikan khas oleh paduan suara Rossa dan Hafiz Suip untuk lagu berjudul Salahkah. Bukan Kerana Aku Tak Cinta kini sudah menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Rabu pukul 10 malam sejak 9 Disember lalu di saluran Mustika HD (saluran 134 Astro) - KHAIRUL AMRI HASSAN. | |
Harun nekad mahu tinggalkan Seniman Posted: Harun nekad mahu tinggalkan SenimanOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
KEMELUT yang melanda Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berakhir apabila Mahkamah Tinggi memutuskan Mesyuarat Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kali ke-14 yang diadakan pada tahun lepas adalah tidak sah dan terbatal. Dalam keputusan yang diumumkan pada 20 November lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop turut mengarahkan Mesyuarat Agung diadakan semula dalam tempoh dua bulan dari tarikh hari keputusan dibuat serta akan dikendalikan oleh Pertubuhan Pendaftar (ROS). Harun Salim Bachik yang menjadi salah seorang defendan dalam saman yang difailkan plaintif iaitu Abu Bakar Omar, Sahlak Sudiran (S. Sahlan), Roslinda Buang (Linda Buang), Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani (Sonny Abdullah) pada 25 Januari lalu berkata, dia akur dengan keputusan mahkamah yang mengarahkannya membayar ganti rugi kepada plaintif. Harun perlu membayar puluhan ribu ringgit (jumlah sebenar belum ditetapkan mahkamah kerana membabitkan ramai defendan) atas dakwaan penyelewengan mengenai pembelian sebuah bangunan. Bertemu dengan bekas Presiden Seniman untuk sesi 2009-2012 itu semasa majlis pratonton filem Papadom 2 baru-baru ini, Harun menyatakan dia mengambil keputusan untuk keluar daripada persatuan tersebut. Kosmo!: Boleh anda komen mengenai keputusan yang dibuat oleh mahkamah berkenaan Seniman baru-baru ini? HARUN: Berkenaan dengan perkara tersebut, apa yang boleh dikatakan saya cuma akur sahaja dan akan membayar jumlah ganti rugi kepada Seniman dan plaintif seperti yang telah ditetapkan oleh mahkamah. Tidak dinafikan perasaan sedih itu memang ada kerana nama saya turut dikaitkan dengan masalah yang menimpa persatuan ini, termasuk berkaitan dengan isu penyelewengan mengenai pembelian sebuah bangunan. Mengapakah anda tidak mahu lawan kembali keputusan yang ditetapkan itu? Sejujurnya, kalau boleh saya tidak mahu lagi isu ini terus berpanjangan, walaupun terpaksa menggunakan wang hasil titik peluh sendiri dengan jumlah yang perlu dibayar kira-kira RM30,000. Selepas isu ini selesai semuanya, adakah anda ingin terus menjadi ahli Seniman? Buat masa ini saya kekal sebagai ahli biasa dan bayaran yang ditetapkan oleh mahkamah juga masih belum dilakukan kerana membabitkan ramai defendan. Sebenarnya, saya sudah nekad untuk keluar daripada persatuan ini setelah proses bayaran selesai dibuat. Tiada gunanya saya masih terus kekal berada dalam Seniman setelah menjadi mangsa dalam kemelut yang melanda ini. Sepatutnya persatuan ini membela nasib para ahli, tetapi bila saya berhadapan dengan masalah sebegini, dengan siapa lagi yang saya hendak mengadu. Adakah anda menyesal menjadi Presiden Seniman dahulu? Saya cuma boleh katakan memang rasa tidak berbaloi dengan segala usaha yang dicurahkan dahulu. Sehinggakan saya terpaksa mengorbankan masa dan wang ringgit semata-mata memberi tumpuan kepada persatuan ini. Apakah pandangan anda terhadap Zed Zaidi sepanjang dia menjadi memimpin Seniman? Melalui pemerhatian saya, Zed merupakan seorang individu yang sangat kuat berusaha serta banyak melakukan aktiviti untuk Seniman. Selain itu, dia tidak pernah melakukan sebarang penyelewengan. Dalam pemilihan semula yang bakal diadakan nanti, saya berpendapat agar golongan muda seharusnya terus diberi peluang untuk memimpin Seniman. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |