Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Nora tidak gopohCUACA mendung pada pagi Isnin lalu tidak menjadi penghalang buat pelakon genit yang popular menerusi drama komedi bersiri Puteri, Nora Danish, untuk bercerita mengenai kisah peribadinya. Walaupun dicuit dengan soalan-soalan panas, ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram ini tidak sedikit pun menunjukkan tanda-tanda kurang senang. Malah, dibalasnya setiap soalan dengan tenang dan diiringi dengan senyuman. "Saya sudah boleh agak bakal ditanya tentang hubungan yang terjalin antara saya dan Nadeem," ujar Nora dengan nada berseloroh ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta suplemen kecantikan Sure White Beauty Plus dan C-Glow Factor di Flora Terrace, Kuala Lumpur. Pentingkan restu keluarga Mengulas mengenai perkara tersebut Nora berkata, dia enggan menghebahkan kepada umum mengenai hubungan cintanya jika dia dan pasangan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga. "Bagi saya, biarlah kami mengenali antara satu dengan lain terlebih dahulu. Jika saya mengumumkan kisah cinta dengannya terlalu awal, takut hubungan tersebut terputus di tengah jalan. Akhirnya, kedua-dua belah pihak akan menanggung malu. "Lagipun, kami belum terfikir untuk meneruskan hubungan ke peringkat yang lebih istimewa. Jika saya dan Nadeem dijodohkan untuk berkahwin, baru saya akan membuat pengumuman," ujarnya.
Ketika ditebak mengenai dakwaan liar yang mengatakan bapa Nadeem tidak menyukai aktres berbintang Pisces itu, Nora menegaskan, dia sanggup untuk memutuskan hubungan cintanya jika dia tidak mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga. "Sudah menjadi keutamaan bagi saya untuk mendahulukan pendapat yang datang daripada ahli keluarga. Jika saya tidak mendapat restu daripada bapanya, tidak mustahil untuk saya memutuskan hubungan ini. "Tetapi, selama berkawan dengan Nadeem, dia tidak pernah memberitahu saya apa-apa mengenai perkara itu. Saya juga pernah berjumpa dengan ibu dan bapanya. Mereka sungguh merendah diri dan begitu baik terhadap saya," ujarnya lagi. Bukan cari VIP Hubungan Nora dengan bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai pernah hangat diperkatakan seuatu ketika dahulu. Bagaimanapun, perkahwinannya dengan anak bekas Menteri Besar Perak itu akhirnya terputus di tengah jalan setelah Nora melahirkan Rayqal. Sekali lagi, wanita berusia 31 tahun ini dikaitkan dengan anak lelaki orang kenamaan (VIP) sehingga menimbulkan cerita kurang enak yang mengatakan Nora hanya memilih individu berharta untuk dijadikan teman hidup. Menafikan dakwaan tersebut, Nora berkata, tidak pernah terlintas di benak fikirannya untuk memilih pasangan dalam kalangan orang berada. Malah, sebelum mengahwini Jejai, dia pernah keluar dengan lelaki-lelaki biasa tanpa memikirkan status dan wang ringgit.
"Sejujurnya, saya bukan wanita materialistik yang gemar mengejar lelaki berharta. Sebelum mengahwini Jejai dan mengenali Nadeem, saya pernah keluar dengan lelaki biasa. Mungkin spekulasi itu timbul secara kebetulan," katanya. Apabila ditanya lebih lanjut mengenai Nadeem, Nora memberitahu, walaupun nampak sombong dan sering dilabel angkuh, lelaki itu sangat baik terhadapnya dan langsung tidak menyamai sifat-sifat luarannya. "Dia nampak snobbish (angkuh), tetapi dia merupakan lelaki paling baik yang pernah saya kenal. Mungkin disebabkan kontra peribadi dan penampilannya itu yang membuatkan saya ingin mengenalinya dengan lebih dekat," ujar Nora yang suka melihat keakraban Rayqal dengan Nadeem setiap mereka berjumpa. Isu MLM 2013 Bercakap tentang pemilihannya sebagai salah seorang juri program realiti Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) yang pernah menjadi isu ekoran statusnya sebagai pelakon yang tidak punya pengalaman dalam bidang komedi, Nora mempunyai pendapat tersendiri. Lebih mengeruhkan keadaan, pada minggu lalu, Nora dan juri-juri yang lain menerima tempias lawak sarkastik yang menyindir keempat-empat juri oleh peserta program tersebut. Mengulas mengenai isu berkenaan, Nora berkata, barisan penjurian MLM 2013 pada kali ini memang dipilih bukan dalam kalangan pelawak-pelawak ternama. Mereka dipilih kerana ingin memberikan kritikan ikhlas sebagai penonton biasa yang sama-sama menonton pertandingan tersebut. "Pihak Astro memilih kami untuk mengkritik dan menjurikan pertandingan itu berdasarkan apa yang dilihat daripada kaca mata penonton. Kami akan memberikan markah berdasarkan apa yang dipersembahkan. Jika persembahan mereka bagus, kami memberikan markah yang tinggi. Jika apa yang ditampilkan kurang menarik dan hambar, maka markah yang diberikan haruslah setimpal. "Saya berharap agar para peserta faham dengan konsep tersebut. Pada pendapat saya, jika kerusi penjurian itu diisi oleh pelawak-pelawak senior atau mereka yang lebih arif mengenai dunia komedi, pasti komen yang diberikan lebih teruk dan pedas," katanya.
Bantu mangsa banjir Sementara itu baru-baru ini, beberapa negeri di Malaysia teruk dilanda banjir. Musibah itu memusnahkan beberapa kawasan di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor. Terpanggil untuk memberikan bantuan, Nora melalui kumpulan Demorian tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang memerlukan. "Saya dan ahli-ahli Demorian begitu sedih melihat mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir. Sebagai seorang ibu, saya begitu prihatin dengan anak-anak kecil yang terlibat dengan musibah itu. "Justeru, sebagai inisiatif, saya mengumpulkan barang-barang keperluan asas dan sama-sama menghantarkannya ke Temerloh, Pahang untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir," ujarnya yang bergegas ke negeri itu usai tamat latihan pementasan teater Bahaya Wanita sehari sebelum temu bual ini dijalankan. | |||
Tidak disingkir, Izzue ingin kekal bersama Forteen Posted: Tidak disingkir, Izzue ingin kekal bersama ForteenOleh NOOR ASHREEN ISMAIL FORTEEN terdiri daripada One (kiri), Ameer, Ariz dan Izzue. Mereka sepakat untuk kekal bersama biarpun Izzue sibuk dengan karier lakonannya. WALAUPUN berkumpulan, namun populariti Izzue Islam diketahui melebihi ahli kumpulan Forteen yang lain. Namun, Izzue sedaya upaya menghadiri semua majlis yang memerlukan dia bersama Forteen. Pernah juga wujud isu berbangkit mengenai Forteen ingin menyingkirkan Izzue kerana tidak dapat memberi komitmen penuh terhadap kumpulan tersebut. Bagaimanapun, akui Izzue yang ditemui baru-baru ini, dia sedaya upaya akan cuba menghadiri sebarang acara yang memerlukan dia bersama Forteen. Selain itu, Izzue juga berbicara mengenai tawaran pertamanya sebagai duta produk iaitu Aura Men ketika majlis pelancaran produk baharu Aura White & Aura Men yang diadakan di Hotel Aloft, Kuala Lumpur baru-baru ini. KOSMO!: Bagaimanakah anda boleh disunting untuk menjadi duta Aura Men. Boleh ceritakan sedikit? IZZUE: Sudah hampir setahun saya menggunakan produk Aura White. Bila sudah lama pakai dan pemilik Aura White tahu, dia melamar saya untuk menjadi duta produk baharu, Aura Men ini. Saya pun tidak kisah dan terus menerima pelawaan yang datang buat saya. Apakah kesan yang anda rasa cukup bagus selepas memakai produk ini? Sebelum menjadi duta, mereka telah memberi saya sampel Aura Men untuk dicuba. Paling ketara ialah tentang tenaga. Walaupun letih bekerja namun selepas mengambil produk ini secara konsisten, ia dapat mengembalikan semula tenaga saya.
Berapa lama ambil keputusan sebelum anda setuju menjadi duta? Tidak lama sangat. Memandangkan ini merupakan tawaran pertama saya untuk menjadi duta produk, jadi saya perlu juga fikir apa yang perlu. Saya diberi kontrak setahun untuk mewakili Aura Men ini. Beralih pula soalan mengenai Forteen. Apakah perkembangan terkini Forteen? Insya-Allah kami akan mengeluarkan album dalam masa terdekat ini. Pembikinan lagu dan rakaman sudah siap, kini hanya tinggal proses yang kecil-kecil sahaja sebelum album ini dipasarkan. Ada peminat yang tidak puas hati dengan anda kerana kerap tidak muncul dalam beberapa persembahan bersama Forteen dan tidak dapat beri komitmen. Boleh komen tentang isu ini? Saya rasa tiada isu mengenai perkara tersebut. Ini kerana pihak KRU sendiri tahu akan komitmen saya. Setiap kali kami ingin menerima undangan nyanyian, kami akan lihat jadual saya dahulu. Jika ada tarikh yang tiada saya, maka pihak pengurusan akan berbincang pula dengan pihak pengelola majlis tersebut. Jika mereka tidak kisah Forteen bertiga, maka persembahan akan diteruskan. Ini bukanlah isu yang besar sebenarnya. Jika ditakdirkan, satu hari nanti anda terpaksa meninggalkan Forteen, kerana komitmen anda sebagai pelakon, bagaimana? Sebolehnya, saya memang sedaya upaya tidak akan meninggalkkan Forteen kerana saya memang sayangkan kumpulan ini. Namun, jika satu hari saya terpaksa tinggalkan Forteen, pasti saya akan rasa sedih. Namun, sejujurnya saya rasa perkara itu tidak akan berlaku. Saya akan kekal bersama Forteen. | |||
Datuk Ramli Sarip bikin konsert Posted: Datuk Ramli Sarip bikin konsertOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
BUKAN dibuat secara suka-suka. Sebaliknya, Konsert Siri Jelajah Blues Buat Teman penyanyi, Datuk Ramli Sarip dibuat demi membantu teman-teman seperjuangan yang sedang menderita sakit iaitu Yazid Ahmad (Search) dan Hamid (Black Dog Bone). Konsert jelajah itu akan bermula di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 19 Januari 2014, diikuti dengan sembilan negeri lain seperti Sarawak (14 Februari), Sabah (16 Februari), Pulau Pinang (23 Februari), Perak (1 Mac), Terengganu (7 Mac), Kelantan (8 Mac), Melaka (14 Mac), Johor (28 Mac) dan Singapura (29 Mac). "Sebahagian jualan tiket-tiket konsert ini akan disalurkan kepada Yazid, Hamid dan juga balu kepada Abdul Samad Mian (kumpulan Lefthanded) pada akhir siri jelajah ini di Johor Bahru pada 28 Mac 2014," ungkap penyanyi yang digelar Papa Rock itu ketika ditemui usai majlis sidang akhbar konsert Siri Jelajah Blues Buat Teman di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Mula merancang setahun yang lalu, ulas Ramli, idea untuk menghasilkan konsert itu timbul selepas mendengar album Alive (2000) yang dirakamkan semula pada tahun ini. Sepanjang lebih 40 tahun karier Ramli, album Alive (2000) adalah antara album yang dirakam dalam bentuk digital. Ia juga antara album yang sangat dihargai Ramli, langsung ia diterbitkan semula pada tahun 2013 dengan judul Ramli Sarip Live 2000. "Allahyarham Samad Mian, Yazid dan Hamid terbabit dalam pembikinan album tersebut. Saya tersentuh bila mendengar dan melihat gambar-gambar rakan yang sudah pergi dan juga yang sedang sakit dalam album ini. MAN KIDAL akan menemani Ramli dalam konsert Jelajah Blues Buat Teman. "Disebabkan itu, saya mula terdetik untuk menghasilkan konsert siri jelajah ini demi memberi bantuan kepada mereka," jelasnya yang bakal menyanyikan lagu-lagu daripada album pertamanya sehingga ke album bersama Sweet Charity untuk konsert jelajah itu nanti. Mengulas lanjut mengenai keistimewaan konsert tersebut, Ramli juga akan menyanyikan sebanyak lapan buah lagu yang tidak pernah dinyanyikan di mana-mana konsertnya sebelum ini. Bukan itu sahaja, sebuah lagu baharu berjudul Blues Buat Teman juga akan dihasilkan dan akan dipersembahkan dalam siri jelajah berkenaan. Turut sama dalam konsert tersebut nanti ialah Man Kidal sebagai gitaris, Tom Anuar (dram), Fauzie Zain (Bass), Roza Rasul (Keyboard) dan Paang Zaman (perkusi). Stamina Sementara itu, disoal mengenai stamina Ramli yang masih hebat di atas pentas pada usia 61 tahun, luah Ramli, ia adalah anugerah daripada Allah dan juga disiplin hidup yang diamalkan sejak dulu lagi. Bagi Ramli juga, tiada istilah berhenti daripada menyanyi. Selagi ada hayat, katanya, dia akan terus menyanyi. Diminta mengulas mengenai nasib-nasib pemuzik yang dilanda kesempitan hidup, ulas Ramli, bukan pemuzik sahaja malah ada juga pelakon yang mengalami nasib yang sama. Apa yang penting, ujarnya, disiplin dan usaha keras dalam setiap pekerjaan. "Selain jaga kerja dan disiplin, kita juga kena banyak bersyukur. Moga rezeki yang diperoleh diberkati," tuturnya lagi. Tiket-tiket konsert sudah mula dijual dari harga RM83 hingga RM300 mengikut lokasi di setiap negeri. Sebarang maklumat mengenai pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman web www.ilassotickets.com atau hubungi talian 013-698 2336. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |