Kosmo Online - Pemotoran
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pemotoran |
Dua varian untuk pasaran Malaysia Posted: Dua varian untuk pasaran MalaysiaOleh SHAWKATH AZDE APABILA ditanya mengenai kenderaan super mewah Itali, dua jenama pasti muncul dalam fikiran. Ferrari dan Lamborghini. Bukan suatu perkara aneh kerana produk itu pantas ditangkap mata tatkala menjalar di jalan raya. Kelibat jentera eksotik itu mudah dikenali gara-gara deruman ekzos dan persembahan warna badan kenderaan yang terang. Malah lebuh raya Malaysia pada setiap hujung minggu pasti menjadi lokasi laluan kereta-kereta berkenaan dari Selatan menuju Utara atau sebaliknya. Ada yang mendakwa, itu antara profail sebilangan besar pemilik jentera lambang kuda dan lembu jantan. Seolah-olah mereka mahu menarik perhatian para pemandu lain dan memberitahu mengenai kewujudan jentera berkuasa tinggi itu. Profail itu nyata berbeza jika dibandingkan dengan satu lagi jenama dari Itali. Pemiliknya kurang gemar meraih perhatian dan lebih suka bergerak secara solo. Itulah Maserati. Jenama lambang trisula itu bukannya baharu di Malaysia. Edaran secara rasmi sudah bermula pada 2009 oleh Naza Italia Sdn. Bhd. (Naza Italia). Naza Italia ialah pengedar rasmi jenama Ferrari dan Maserati di Malaysia. Sebenarnya, Ferrari dan Maserati memiliki hubung kait rapat di Itali. Maka tidak hairanlah Kumpulan Naza menempatkan dua produk sekelas itu di bawah Naza Italia. Ferrari pernah memiliki Maserati pada tahun 1997 dan kini, dua-dua entiti itu ialah syarikat adik-beradik di bawah payung Fiat S.p.A. Ada juga beberapa laporan mengatakan Ferrari membekalkan enjin bagi kegunaan Maserati. Portfolio produk Maserati di Malaysia baru-baru ini diluaskan dengan ketibaan dua varian baharu iaitu Quattroporte S dan Quattroporte GTS. Jika sebelum ini, produk yang dijual lebih tertumpu kepada segmen sport touring. RUANG kelegaan kaki penumpang belakang telah ditingkatkan untuk keselesaan para penumpang. Quattroporte bermaksud empat pintu dalam bahasa Itali. Itu tidak bermakna warisan DNA perlumbaan Maserati digugurkan sepenuhnya dalam produk sedan tetapi diberi sentuhan baharu iaitu kemewahan. Model yang tampil menemui peminat tempatan ialah generasi keenam dan pernah dipertontonkan sewaktu Pameran Motor Antarabangsa Amerika Utara awal Januari lalu sebelum menembusi beberapa pasaran di peringkat global. Ketua Bahagian Rekaan Maserati, Lorenzo Ramaciotti berkata, Quattroporte mendokong inspirasi reka bentuk prinsipal asal termasuk bentuk menawan, garis badan dinamik dan seni bina Itali. Katanya, saiz kereta kali ini lebih besar berbanding model terdahulu pada masa sama mengimbangi elemen sport dan mewah. Beberapa ciri utama daripada generasi sebelumnya telah dikekalkan. Antaranya, gril radiator, tiga buah ruang kemasukan udara serta bentuk segi tiga pada tiang C. Wajah hadapan didominasi oleh hud panjang dan gril lebar yang menempatkan enjin berkuasa tinggi. Garis tubuh pada bahagian hud dan sisi kenderaan menonjolkan imej maskulin. Perumah set lampu utama jenis Bi-xenon dengan padanan lampu DRL LED dipanjangkan ke bahagian sisi hadapan. Imej belakang mengetengahkan paparan lebar yang disokong dengan beberapa garis tubuh secara melintang. Penyeri utama adalah set lampu belakang jenis LED berbentuk memanjang. Ia tampak kemas dan menawan. Aspek keseimbangan berat jentera berjaya dikekalkan pada nisbah 50:50 hasil kepintaran pasukan jurutera Maserati yang memberi pengenaan set suspensi bersesuaian selain mengubah kedudukan tangki minyak. Perkara itu juga membantu meningkatkan kapasiti ruang simpanan sehingga 530 liter jika menurunkan kerusi barisan belakang. Buka pintu kereta Quattroporte, ruang kabin memaparkan kombinasi binaan eksklusif dan sport ekoran penggunaan beberapa jenis material seperti alcantara, kulit berkualiti tinggi dan lapisan kayu khususnya pada bahagian papan pemuka. Lebih selesa Untuk aspek keselesaan, ruang kelegaan sudah ditingkatkan sebanyak 117 milimeter berbanding model sebelumnya. Konfigurasi tempat duduk pula melibatkan empat atau lima kerusi bergantung pada varian Quattroporte. Bahagian konsol yang juga melibatkan pengenaan material kayu menjadi rumah kepada sebuah skrin sesentuh multimedia yang dikenali sebagai Maserati Touch Control. Skrin itu menawarkan beberapa ciri kemudahan termasuk sistem navigasi, paparan kamera undur, radio, pemain cakera padat dan video digital, sambungan bluetooth dan USB AUX. ENJIN Maserati Quattroporte dengan padanan transmisi lapan kelajuan membantu menyempurkan saluran kuasa output dan tork yang diperlukan para pemilik jentera itu. Sedan mewah Quattroporte S didatangkan dengan enjin V6 bersesaran 3.0 liter yang berupaya menjana kuasa sebanyak 410hp pada 5,500rpm. Tork tertinggi boleh dikecapi ialah 550Nm pada paras 1,750 hingga 5,000rpm. Kelajuan maksimum direkodkan adalah 285 kilometer sejam (km/j). Berbekalkan enjin V8 3.8 liter, Maserati Quattroporte GTS pula mampu meledakkan kuasa maksimum 530hp pada 6,500rpm dan tork setinggi 650Nm antara 2,000 hingga 4,000rpm. Kelajuan maksimumnya ialah 307km/j. Varian itu ialah kereta Quattroporte paling pantas pernah dicipta oleh Maserati. Siri Quattroporte menggunakan sistem transmisi automatik lapan kelajuan yang dihubungkan pada sistem pacuan roda belakang. Kotak gear itu menawarkan penukaran gear lebih pantas sekali gus membantu penjimatan bahan api sehingga enam peratus (berbanding model sebelum ini). Mod pemanduan ditawarkan melibatkan automatik, automatik Sport, manual, manual Sport dan ICE (Increased Control and Efficiency). Harga pengenalan Maserati Quattroporte GTS bermula serendah RM1,138,800 manakala Quattroporte S ditawarkan sebanyak RM898,800 seunit. Itu belum termasuk harga insurans dan cukai jalan. Aktiviti mengembangkan portfolio perniagaan Naza Italia tidak terhenti di situ. Dengar khabar, awal tahun hadapan entiti perniagaan itu akan memperkenalkan model Gibli dan Maserati Grand Turismo. Sama-sama kita nantikannya. |
Posted: Proton kenalkan Persona SVLUKMAN (tiga dari kiri) bersama barisan pengurusan atasan DRB-Hicom dan Proton pada majlis pelancaran Persona SV di Shah Alam, Selangor baru-baru ini. PENGELUAR kenderaan nasional, Proton Holdings Bhd. melancarkan Proton Persona SV sebagai tambahan pilihan dalam rangkaian Super Value (SV) selepas memperkenalkan model Saga SV. Proton Persona SV yang dilancarkan oleh Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil itu diadakan serentak dengan pengenalan karnival Proton Bola! Bola! Bola! Mega Test Drive di Stadium Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Hadir bersama ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Komersial Proton, Hisham Othman. Persona SV memperoleh tenaga daripada enjin 1.6 liter Campro IAFM dengan dua pilihan transmisi (automatik dan manual). Enjin empat silinder itu mampu menjana kuasa output 110 hp pada 6,500rpm dan tork setinggi 148Nm pada 4,000rpm. Model sedan itu dipasang rim aloi berukuran 15 inci dan set audio 1-DIN dengan pemain cakera padat. Tambahan lain ialah stereng kuasa, cermin sisi bersama lampu isyarat membelok LED, dua beg udara, prapenegang tali pinggang keledar, sistem brek antikunci, sistem agihan brek elektronik dan brek cakera pada roda belakang. Mohd. Khamil dalam satu kenyataan berkata, Proton Persona SV memberi nilai untuk wang kepada para pembeli tempatan dengan peningkatan kualiti produk, gaya dan lebih mampu milik. "Kami menerima sambutan memberangsangkan sejak memperkenalkan model Proton Saga SV dan berharap Persona SV mendapat sokongan sama daripada pasaran tempatan dengan tawaran harga yang cukup menarik," jelasnya. Model Proton Persona SV yang didatangkan dalam tujuh pilihan warna iaitu putih, tembaga, hitam, perak, merah, hijau dan biru kini dibuka untuk tempahan. Jaminan diberikan ialah selama dua tahun atau jarak perbatuan 50,000 kilometer (mana-mana tiba dulu). Persona SV MT (transmisi manual) dijual pada harga atas jalan termasuk insurans bermula serendah RM44,938 manakala varian automatik dijual pada tag harga permulaan RM47,938 seunit. |
Penampilan baharu model Hibrid Premium Posted: Penampilan baharu model Hibrid PremiumOleh MUHAMMAD MD. TAJUDIN CT 200H dianggap model pengganti bagi individuyang mahu berhijrah dalam kelas mewah mampu milik. TOYOTA Motor Corporation memperkenalkan jenama Lexus pada tahun 1989 bagi membuktikan pengeluar automotif Jepun itu juga mampu bersaing dengan kereta premium Eropah. Namun idea menghasilkan Lexus sebenarnya dicetuskan pada 1983 oleh bekas Pengerusi Toyota, Eiji Toyoda yang mahu jenamanya terus kehadapan. Walaupun Lexus tergolong dalam jenama premium tetapi harga produknya masih kompetitif berbanding jenama Eropah. Lexus memancing kepercayaan pengguna dengan mempertaruhkan model hatchback hibrid CT 200h yang didakwa sebagai termurah dalam kelasnya. Model yang mula ditawarkan di pasaran tempatan pada tahun 2011 itu dikatakan antara model yang mendapat sambutan. Tidak CT 200h mendapat menerima respons menggalakkan memandangkan harga asasnya bermula daripada RM168,000. Di pasaran Eropah, Lexus CT 200h bakal ditawarkan dengan model wajah baharu (facelift) bermula Mac tahun hadapan. Model itu telah menerima pelbagai perubahan dari dalam hingga luar kereta. Selari dengan signatur baharu Lexus, CT 200h menerima gril baharu yang digelar sebagai spindle grille. Set gril baharu itu menjadikan muka depan CT 200h nampak lebih rendah dan lebar. TONA kabin yang kontras terutama penggunaan warna merah menjadikan suasana tampak sporty. Rekaan spindle grille itu sebenarnya agak kontroversi seolah-olah tiada keharmonian antara bahagian badan lain. Hakikatnya bentuk spindle grille itu telah lama digunakan pada bampar depan kereta Lexus cuma ia tidak dijadikan bahan publisiti. Rekaan itu diserlahkan semula dengan usaha penjenamaan identiti reka bentuk dengan padanan warna krom berjaya menggoda minat orang ramai. Selain daripada gril baharu, Lexus turut menyemak semula pilihan warna termasuk menjadikan lapisan anti calar sebagai kemasan wajib. Pada bahagian dalaman pula, Lexus telah menggunakan stereng baharu dengan diameter 370mm yang sama seperti Lexus IS baharu. Skrin multimedia pula direka semula supaya lebih nipis dan generasi kedua alat kawalan sesentuh antara pemuka yang diubah supaya lebih mesra agar senang digunakan pemandu. Bagi menambah keselesaan, Lexus Media Display dan Lexus Premium Navigation System turut ditala semula dengan operasi bebas tangan serta pengecaman suara yang lebih. Satu perkara yang menarik ialah penggunaan serat buluh, opal tumbuhan dan arang semasa proses suntikan acuan untuk menghasilkan pembesar suara ternipis bagi mengeluarkan kualiti bunyian yang lebih baik. Perubahan CT 200h tidak terhad pada penampilan luaran sahaja malah turut melibatkan nadi kuasa. Emisi enjin hibrid berjaya dikurang dengan jumlah CO2 turun 5kg/m kepada 82g/km untuk model S grade dengan roda bersaiz 15 inci. Untuk model dengan roda bersaiz 16 inci pula kadar emisi CO2 turun sebanyak 6g/km kepada 88g/km. Perubahan CT 200h lebih komprehensif apabila Lexus turut menyemak semula keselesaan pemanduan. Model baharu itu lebih rigid manakala suspensinya ditala semula. Ciri-ciri aerodinamik ditambah baik dan begitu juga kadar NVH (Noise, vibration, harness) supaya kereta lebih selesa dipandu dan suasana kabin yang lebih senyap. Ketegaran badan kereta diperkemaskan lagi dengan penambahan kimpalan titik (spot weld) dan penggunaan teknologi lekatan struktur yang ekstensif. WALAUPUN menggunakan teknologi hibrid, prestasi CT 200h tetap mengagumkan. Badan yang lebih kukuh membolehkan suspensi ditala semula dengan kadar kekenyalan spring dioptimumkan, injap penyerap hentak baharu turut digunakan dan diameter palang anti oleng belakang telah ditukar untuk memperbaiki keselesaan pemanduan tanpa menjejaskan tahap pengendalian kereta. Lexus turut menala semula sistem kawalan transmisi supaya bergerak selari dengan putaran enjin untuk menyamai pergerakan transmisi automatik konvensional. Selain daripada itu, Lexus Hybrid Drive sememangnya bergerak dengan senyap dan untuk model baharu ini, Lexus telah melakukan tidak kurang dari 94 tindakan bagi mengurangkan tahap NVH antaranya yang pertama untuk model Lexus ialah rekaan salur masuk yang senyap dan efisyen. Tidak ketinggalan Lexus turut menambah baik model istimewa iaitu CT 200h F Sport supaya tampil lebih garang dan mempunyai perbezaan signifikan dengan varian CT 200h lain. Spindle grill yang digunakan mempunyai corak jaring sama seperti model IS F Sport manakala spoiler belakang mempunyai potongan yang menambah tahap mendapan (downforce). Model F Sport terus dibezakan dengan penggunaan rim 17 inci 10 jejari dan lebih unggul apabila ditawarkan dengan warna istimewa iaitu F-Sport White. Pada bahagian dalaman pula, model F-Sport dipasangkan pedal aluminium, plak bingkai pintu dan stereng balutan kulit dengan perincian tebukan (perforated). |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |