Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
Posted: Pendandan rambut selebritiOleh NIZHA PERIASWAMY SEJURUS pintu Pillay's Hair Studio dibuka, kelihatan enam kerusi menghadap cermin berserta beberapa peralatan keperluan rawatan dan dandanan rambut tersusun rapi. Selain itu, terdapat juga sebuah almari pameran yang mempamerkan aksesori seperti kalung atau chokar, gelang tangan dan hiasan lain berkonsep India. Di bahagian tengah salon, terlihat beberapa kotak yang disusun secara bertingkat. Kotak paling atas telah separuh terbuka, menampakkan kandungannya yang berupa kalendar Selebriti India Malaysia 2014. Di atas meja juga terdapat sebuah kalendar yang sama. Pemilik salon itu, S. Pillay Asbalan, 22, tersenyum lebar menyambut kehadiran wartawan dan jurugambar Kosmo! bersama seorang wanita jelita, Jasmin Michael. Jasmin yang merupakan seorang artis Tamil terkenal di Malaysia juga merupakan duta salon berkenaan. Pillay kemudiannya meminta Jasmin menandatangani kalendar itu sebelum menyampaikannya kepada kami sebagai tanda penghargaan. "Kalendar ini mungkin kelihatan biasa bagi sesetengah pihak tetapi ia istimewa kerana memaparkan wajah-wajah selebriti India tempatan yang terkenal," katanya. Kalendar tersebut juga begitu bermakna kepada Pillay kerana memaparkan hasil kerja dandanan rambut dan solekannya. GEETHANJALI (kiri) dan Jasmin menunjukkan kalendar pertama yang menampilkan imej selebriti India tempatan. "Idea awal hanya untuk mendandan dan menyolek selebriti untuk rakaman foto sambutan Deepavali bagi majalah Tamil keluaran November lalu, tetapi Jasmin tampil dengan idea penerbitan kalendar kerana tempoh hayatnya lebih lama. "Lagipun, ia akan mendekatkan peminat dan artis India tempatan menerusi imej dandanan dan solekan serta pakaian yang cantik," katanya. Sejak mula dijual bulan lalu, kalendar tersebut telah mencatatkan jualan sebanyak lebih 2,500 naskhah. Seni dandanan Bercerita tentang dandanan rambut, Pillay yang memiliki sijil dandanan rambut dari Universiti Limkokwing dan diploma di Kolej Clipso memberitahu, dia amat menitikberatkan peraturan-peraturan asas mendandan. "Dandanan rambut merupakan satu seni yang mempunyai peraturan-peraturan tertentu. Setiap kali saya didatangi pelanggan, saya perlu menilai beberapa perkara sebelum memulakan dandanan. "Contohnya, jika pelanggan merupakan golongan profesional seperti pegawai bank atau peguam yang mahu mewarna rambut mereka, hanya warna-warna tertentu yang akan disyorkan agar tidak menggugat profesionalisme mereka," jelasnya. Pillay menambah, bagi pelakon pula, dandanan rambut yang 'selamat' dilakukan supaya ia tidak mengganggu lakonan artis terlibat. Bukan itu sahaja, reka bentuk leher baju dan aksesori yang dikenakan pelanggan juga mempengaruhi gaya dandanan yang dibuat," katanya. Pendandan yang berdarah kacukan Hindustan di sebelah ibu dan Tamil di sebelah bapanya ini terdedah dalam bidang berkenaan ekoran pengaruh ibu yang turut menjalankan perniagaan kecantikan di Bahau, Negeri Sembilan.
"Ia bermula semasa saya belajar di tingkatan empat. Selepas sesi sekolah tamat, saya akan menemani ibu di salon. "Saya memberi perhatian bagaimana ibu melayan, membuat rawatan muka, rambut, mendandan dan menyolek wajah pelanggan. Sejak itu, minat dalam bidang ini mula bercambah," katanya sambil memaklumkan ibunya, Binodhini, 51, masih menguruskan Raani Saloon di Bahau. Minat yang disemai itu terus berkembang apabila Pillay dan beberapa rakan berpakat mengikuti kursus dandanan rambut selepas tamat persekolahan. Setelah tamat pengajian di peringkat diploma, bintangnya mula bersinar apabila ditawarkan bekerja oleh majikan tempat dia menjalani latihan amali di Kuala Lumpur. "Kemampuan saya berbahasa Mandarin dan kemahiran yang saya miliki membuka peluang untuk saya terus bekerja di salon tersebut. "Di sana saya banyak didedahkan dengan teknik dan gaya dandanan rambut Barat. Saya juga terlibat dalam pameran jalanan dan berpeluang mendandan rambut selebriti tempatan termasuk Amber Chia," ujar anak bongsu daripada dua adik-beradik itu. Rezeki Ketika bekerja di salon berkenaan, rezeki Pillay semakin murah apabila ditawarkan pekerjaan sampingan sebagai pendandan rambut untuk sebuah projek filem Tamil tempatan, Ops Kosa Dappa: The Final Dappa arahan K. Anan. "Saya agak bertuah kerana berjaya menembusi industri hiburan tempatan sebagai pendandan rambut profesional. Disebabkan filem tersebut merupakan satu projek besar, nama saya cepat dikenali ramai selebriti termasuk Jasmin. "Ekoran itu, saya memutuskan untuk berhenti kerja dan membuka salon sendiri awal tahun ini. Saya terpaksa bekerja keras untuk memperkenalkan jenama Pillay's Hair Studio kepada orang ramai termasuk mempromosikannya menerusi laman-laman sosial sosial, melibatkan diri dalam projek filem Tamil tempatan dan mengambil Jasmin sebagai duta," jelasnya. KAVITHA, antara artis India Malaysia yang memilih Pillay sebagai pendandan dan jurusolek. Beliau beranggapan pemilihan Jasmin merupakan langkah terbaik yang pernah dilakukannya kerana ia berjaya menarik kedatangan ramai pelanggan ke salonnya. Tambahan pula, katanya, pelakon wanita versatil itu mempunyai sisi rupa yang menawan selain memudahkan eksperimen dandanan rambut atau solekan diaplikasi pada wajahnya. Rancangan Bercakap lanjut mengenai impian masa hadapan, Pillay merancang untuk mengadakan satu acara ramp walk yang melibatkan pertunjukan fesyen, dandanan rambut dan solekan. Dia juga berharap untuk diberi peluang bekerjasama dengan pereka fesyen tempatan dan pendandan rambut antarabangsa . "Matlamat jangka panjang saya adalah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama di United Kingdom. Saya mahu mengikut jejak pensyarah saya, Karthik atau lebih dikenali Mr. Tee yang menjadi pendandan rambut profesional di negara berkenaan," katanya. | ||
Posted: Nuansa baharu Lord's TailorOleh IZWAN MOHD. ISA
LORD's Tailor bukanlah jenama yang asing bagi penggemar pakaian jenis sut di negara ini. Lebih-lebih lagi apabila jenama ini sering digayakan oleh selebriti-selebriti tanah air ketika menghadiri majlis-majlis anugerah berskala besar. Tidak ketinggalan tokoh-tokoh ternama seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Jimmy Choo turut menggunakan khidmat Lord's Tailor dalam menghasilkan sut mengikut cita rasa masing-masing. Walaupun jenama ini sering digayakan oleh nama-nama besar tetapi evolusi rekaan yang ditampilkan oleh Lord's Tailor berubah mengikut perubahan fesyen dan trend terkini. Terbaharu, Lord's Tailor hadir dengan koleksi Musim Bunga/Panas 2014 yang membawakan kelompok warna-warna terang dan segar dalam setiap rekaan yang ditampilkan. Menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran Lord's Tailor, Liew Lee Lee, koleksi sedia pakai baharu ini disasarkan kepada golongan muda yang mementing gaya dalam menjalani rutin seharian. "Koleksi ini lebih tertumpu kepada mainan warna, fabrik serta corak yang boleh menarik minat golongan muda untuk menggayakannya ke pejabat mahupun majlis-majlis rasmi. "Kami tidak terlalu klise dalam mereka pakaian formal kerana trend berubah mengikut masa. "Selain itu, walaupun tampil dengan potongan moden, rekaan baharu ini juga turut memberikan lebih keselesaan kepada pemakai," katanya ketika ditemui majlis pertunjukan fesyen Alta Moda-Lord's Tailor 2013 di pekarangan pusat beli-belah Suria Kuala Lumpur City Centre (KLCC) baru-baru ini.
Selain koleksi pakaian yang menjadi signatur Lord's Tailor, aksesori seperti beg sandang dan silang turut diperagakan pada malam itu. "Aksesori ini bukan sahaja praktikal, malah ia memberikan sisi baharu dalam menggayakan koleksi pakaian Lord's Tailor," ujarnya lagi. Bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan koleksi baharu ini, Lee Lee menambah, kesemua rekaan boleh didapati di semua butik Lord's Tailor termasuk cawangan baharunya di pusat beli-belah Pavillion Kuala Lumpur. Penampilan berbeza Bagi pelakon dan pengacara Iqram Dinzly, 32, menggayakan rekaan Lord's Tailor yang baharu mampu memberikan penampilan yang berbeza terutamanya bagi kaum lelaki. "Seperti yang kita sedia maklum, ramai kaum lelaki yang kurang gemar mengenakan pakaian berwarna cerah dan terang, terutamanya apabila fabrik itu sendiri menampilkan corak flora. "Tidak salah rasanya bagi kaum lelaki untuk mencuba menggayakan pakaian yang tampak sedikit feminin. Ini kerana jika kena dengan padanan yang dipilih, saya percaya penampilan mereka pasti akan tampak berbeza," jelasnya yang tertarik dengan beberapa pasang baju dan seluar yang diperagakan pada majlis berkenaan. Iqram menambah, potongan dan warna yang dipilih untuk koleksi pada kali ini tampak jauh berbeza berbanding sebelumnya. "Tidak mustahil saya akan membeli beberapa persalinan yang diperagakan tadi," ujarnya tersenyum. Turut hadir pada malam itu pasangan dua sejoli, Que Haidar dan Linda Jasmine, Chef Wan Ismail, Shaheizy Sam dan Amand Imani. | ||
Posted: Rawatan kecelaan kulitOleh NIZHA PERIASWAMY SPA dan Pusat Rawatan Kecantikan HerbaLine yang terletak di Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor. KESEMPURNAAN kulit wajah, tanpa jeragat, jerawat atau apa sahaja masalah kulit lain merupakan impian setiap orang. Kemajuan teknologi dan rawatan dalam dunia penjagaan wajah telah memberi pelbagai harapan kepada semua masalah itu. Syarikat spa dan salon, HerbaLine tampil memperkenalkan rawatan Ee yang berkesan menghilangkan kecelaan kulit dengan mudah. Rawatan hasil daripada penyelidikan dan ujian selama lebih 20 tahun itu, menggabungkan krim herba daripada sumber asli dengan prosedur yang teruji dan terbukti menghapuskan segala bentuk kecelaan kulit paling degil termasuk kutil, siringoma, sista minyak dan tempel kulit. Krim herba semula jadi daripada ekstrak pokok gajus itu menjadi alternatif baharu untuk menangani kebanyakan jenis kecelaan dan ketumbuhan kulit. Selama ini, kos rawatan tersebut amat tinggi. Rawatan Ee HerbaLine ini umpama gigitan serangga kecil yang mengambil masa hanya 20 minit untuk satu rawatan. Ia membantu luka lecuhan mengelupas sendiri dalam masa satu hingga tiga minggu dan terbukti selamat tanpa kesan sampingan. HERBALINE menawarkan sesi memanjakan diri yang sempurna untuk pelanggannya. Penyelia Pusat HerbaLine di Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor, Irene Wong Lee Kun berkata, rawatan itu tidak meninggalkan kesan parut dan memastikan kecelaan tidak kembali sekali gus menjadikan kulit lebih bersih. Rawatan Ee HerbaLine mendiagnosis kecelaan kulit untuk mengenal pasti bahagian kulit yang bermasalah. Bahagian kulit yang bermasalah dibersihkan dan disteril untuk kebersihan dan menghapuskan risiko jangkitan. Permukaan kulit yang mengalami kecelaan dikikis untuk membolehkan krim rawatan meresap ke akar umbi. Krim Ee (ekstrak gajus) kemudian disapu, menutupi semua permukaan kulit yang mengalami kecelaan. "Pada peringkat ini, terdapat sedikit rasa sakit seperti digigit serangga," kata Irene. Kulit licin Lecuhan kulit akan berlaku dalam masa singkat apabila krim bertindak selepas rawatan diberikan. Selepas satu hingga tiga minggu, luka akan terkupas sendiri tanpa kesakitan, menjadikan kulit licin tanpa cela. "Kacang gajus kaya dengan asid anakardik, yang berkesan menentang pelbagai bakteria, termasuk bakteria yang menyebabkan masalah kulit seperti jerawat. Ia juga adalah sumber vitamin E, antioksidan semula jadi dan asid lemak tak tepu, yang memulihkan kelembapan dan kegebuan kulit yang rosak," ujar Irena tentang signifikan menggunakan gajus dalam rawatan ini. DUA daripada empat langkah mudah yang digunakan dalam rawatan EE oleh HerbaLine. Bagi penjagaan susulan, HerbaLine mengesyorkan penggunaan gel, Nano Aloe Vera yang dirumus dengan esen Nano Aloe Vera. "Esen ini segera melembap, memulih dan memperbaharui kulit tanpa meninggalkan kesan minyak pada kulit," kataya. Selain itu, turut ditawarkan ialah pati minyak vitamin C dan E yang menggunakan ekstrak minyak Rose Hip menggunakan kaedah tekanan sejuk dengan teknologi nano sebagai nutrien penting untuk sintesis sel. Lazimnya, rawatan cela kulit menggunakan kaedah seperti laser CO2, elektroterapi, pembedahan dan pembedahan Krio (Cryosurgery). Namun, kaedah tersebut mengakibatkan parut dan kemungkinan cela tumbuh kembali ialah sebanyak lima hingga 21 peratus. HerbaLine membuka sesi rawatan percubaan pertama pada harga RM50 untuk rawatan cela kulit. Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Penjagaan HerbaLine di 03-5121 9055 atau layari laman web www.herbaline.com.my. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |