Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: Hasrat cipta hatrik lebur
NAY PYI TAW, Myanmar - Impian skuad Harimau Muda untuk mencipta hatrik pada Sukan SEA 2013 tidak kesampaian. Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu tewas 3-4 kepada Indonesia pada aksi separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan di Stadium Zeyyer Thiri semalam. Kekalahan itu mengimbas kembali final Sukan SEA 2011 di Jakarta apabila Indonesia tewas dengan jaringan yang sama pada aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno. Selain kegagalan A. Thamil Arasu dan Shahrul Mohd. Saad menyempurnakan dua sepakan penalti yang pertama, pengalaman kapten dan penjaga gol Indonesia, Kurnia Meiga Hermansyah dilihat sebagai faktor yang menyebabkan Harimau Muda tewas. Bagaimanapun, Kim Swee tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain di sebalik kekalahan tersebut. "Jangan salahkan Thamil dan Shahrul. Saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan ini dan bukannya disebabkan oleh pemain. "Kami tidak tewas dalam permainan sebenar tetap kami kalah menerusi penentuan sepakan penalti. Bagi saya, pemain-pemain telah menunjukkan karakter yang baik sepanjang 120 minit permainan tersebut. "Sudah tentu kami menampilkan aksi yang agak hambar pada separuh masa pertama tetapi kami berjaya bangkit pada babak kedua. D. Saarvindran sepatutnya mengambil sepakan penalti yang pertama tetapi dia telah dikeluarkan. "Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, ketiadaan tujuh pemain utama dan tempoh rehat yang singkat selepas kami terpaksa bermain selang sehari sedikit sebanyak memberi kesan kepada para pemain," kata Kim Swee kepada pemberita pada sidang akhbar semalam. Pada aksi sepauh akhir semalam, Thamil berpeluang untuk meletakkan Harimau Muda di depan pada minit ke-10 tetapi percubaannya daripada luar kotak penalti terus ke dakapan Kurnia Meiga. Pada minit ke-24, rembatan Yandi Sofyan Munawar dari luar kotak penalti terkena palang gol Malaysia. Bagaimanapun, gawang Harimau Muda akhirnya bocor pada minit ke-30 hasil jaringan pemain tengah Indonesia, Bayu Gatra Sanggiawan. Jaringan itu diperoleh menerusi gerakan cantik satu dua antara Bayu Gatra dan Yandi Sofyan Munawar, sekali gus menewaskan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi Roslan pada minit ke-30. Peluang terbaik Harimau Muda untuk mengikat kedudukan 1-1 hadir pada masa kecederaan babak pertama tetapi Mohd. Irfan Fazail gagal menyambar bola yang jatuh di hadapan pintu gol Indonesia hasil sepakan percuma Mohd. Fadhli Mohd. Shas. Harimau Muda menampilkan aksi yang lebih baik pada babak kedua terutamanya selepas Kim Swee mengeluarkan Nazirul Naim Che Nashim pada minit ke-59 bagi memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan Md. Rozaimi Ab. Rahim. Pada minit ke-65, Mohd. Nasir Bashrudin pula dikeluarkan bagi digantikan dengan Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan kemasukan arkitek muda negara itu berjaya memberikan impak yang besar. Kim Swee membuat pertukaran ketiga apabila menggantikan Saarvindran dengan Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-84. Gol yang dicari-cari Harimau Muda hadir pada minit ke-85 menerusi jaringan Thamil dan kedudukan 1-1 itu berlarutan sehingga tamat masa tambahan, sekali gus memaksa kemenangan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti. Pada aksi penentuan sepakan penalti, Kurnia Meiga berjaya menyelamatkan sepakan daripada Thamil dan Shahrul tetapi gagal menyelamatkan sepakan Nazmi Faiz, Fadhli dan Rozaimi. Indonesia pula bermula agak baik apabila sepakan Alfin Ismail Tuasalamony, Diego Robbie Michiels, Yandi Sofyan Munawar dan Yohanes Ferinando Pahabol gagal dibasa Izham Tarmizi, manakala percubaan Manahati Lestusen Lestusen melepasi palang gol. Kini, Harimau Muda akan bermain pada penentuan pingat gangsa menentang Singapura esok. Singapura tewas 0-1 kepada Thailand dalam satu lagi aksi separuh akhir stadium yang sama, semalam. Dalam pada itu, skuad bola sepak wanita negara turut tewas 0-4 kepada Vietnam pada separuh akhir dan akan bertemu tuan rumah, Myanmar pada penentuan pingat gangsa. | |
Skuad takraw terus hilang sengat Posted: Skuad takraw terus hilang sengatSKUAD sepak takraw negara menutup kempen mereka pada Sukan SEA 2013 dengan aksi yang agak mengecewakan. NAY PYI TAW, Myanmar - Skuad sepak takraw lelaki negara menutup kempen mereka pada Sukan SEA 2013 dengan aksi yang sangat mengecewakan. Pada perlawanan terakhir acara beregu di Stadium Tertutup Wunna Theikdi B semalam, anak-anak buah Jamaluddin Hassan tumpas 1-2 kepada Laos. Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut selepas mereka tewas 0-3 kepada tuan rumah, Myanmar pada aksi pembukaan Kumpulan B sebelum kecundang 1-2 kepada Indonesia kelmarin. Pada aksi semalam, beregu pertama negara, Ahmad Aizat Mohd. Nur Azmi dan Izurin Refin menang 19-21, 21-16 dan 17-21 ke atas pasangan Laos yang dibarisi Chaleunphone Sitthiphoumma dan Cixay Phommavongsa. Bagaimanapun, kecemerlangan beregu pertama itu gagal diteruskan beregu kedua, Farhan Adam dan Mohd. Hanafiah Dollah apabila tewas straight set 17-21, 19-21 kepada Davoy Sanavongxay dan Chakkaphanh Kounlasouth. Pada aksi penentuan, Mohd. Muqlis Borhan dan Amirul Zazwan Amir yang tewas 19-21 pada set pertama bangkit untuk memenangi 21-16 pada set kedua. Bagaimanapun, kemenangan itu belum cukup untuk menyuntik semangat mereka apabila tewas 17-21 pada set ketiga kepada Moneta Hatlavongsa dan Alounsack Khounmuangsene. "Pemain-pemain beraksi dengan baik hari ini (semalam) tetapi kami gagal memenangi perlawanan itu. Sekali lagi, pengalaman menjadi faktor utama yang mengundang kepada kekalahan itu. "Namun, apa yang saya lihat, pemain-pemain muda negara ini semakin menunjukkan peningkatan dan ada potensi untuk pergi lebih jauh pada masa hadapan. "Kekalahan ini memang mengecewakan tetapi kami perlu positif dan meneruskan perjuangan," kata Jamaluddin semalam. Pada edisi ke-27 temasya dwitahunan itu, skuad lelaki negara pulang dengan sebutir pingat perak dalam acara regu dan gangsa (berpasukan), sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan. | |
Posted: United mudah lolosLONDON - Manchester United berjaya mara ke separuh akhir Piala Liga apabila mengatasi Stoke City 2-0 awal pagi semalam. Pada aksi di Stadium Britannia itu, gol-gol kemenangan The Red Devils masing-masing disumbangkan oleh Ashley Young dan Patrice Evra. Dengan kemenangan itu, skuad kendalian David Moyes bakal berdepan Sunderland yang menewaskan Chelsea 2-1 dalam satu lagi aksi suku akhir kelmarin. "Jaringan pertama kami memberikan perubahan yang cukup besar. "Ia satu perlawanan yang sengit terutama apabila kami gagal memiliki beberapa peluang terhidang untuk menjaringkan gol. "Mujurlah Stoke juga berdepan masalah yang sama. Bagaimanapun, saya harus akui perlawanan ini bukan mudah buat kami," jelas Moyes. Sementara itu, pengendali sementara Tottenham Hotspur, Tim Sherwood mengakui kecewa apabila anak-anak buahnya terkandas di suku akhir selepas tewas 1-2 kepada West Ham United di White Hart Lane awal pagi semalam. Selepas mengambil alih tugas Andre Villas-Boas yang dipecat Rabu lalu, Sherwood gagal dalam ujian sulung itu biarpun Spurs mendahului hasil jaringan Emmanuel Adebayor. Namun, dua gol West Ham dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan masing-masing menerusi jaringan Matt Jarvis dan Modibo Maiga menyebabkan terpaksa Spurs berputih mata. "Ia satu kekalahan yang cukup mengecewakan. Saya benar-benar kecewa dengan persembahan pemain. "Biarpun menguasai perlawanan, pasukan lawan berjaya menghukum kesilapan kami yang kehilangan fokus pada penghujung babak kedua," kata Sherwood. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |