Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Trauma mangsa banjir
BANJIR yang melanda beberapa daerah di negara kita mungkin bukan satu malapetaka terburuk jika dibandingkan dengan kejadian bencana alam seperti tsunami atau taufan besar di beberapa negara lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sekali pun tidak seteruk dengan situasi di negara lain, musibah banjir tetap memberikan impak yang besar kepada mereka yang terlibat. Ia bukan setakat menyebabkan kerugian wang ringgit dan harta benda, tetapi terdapat juga kes kehilangan nyawa. Lebih buruk, ia juga memberi kesan psikologi jangka panjang kepada mereka yang terlibat, khususnya mereka yang mengalami kerosakan harta benda yang teruk atau kehilangan ahli keluarga yang disayangi. Mutakhir ini, dengan begitu banyaknya bencana alam yang berlaku, kajian-kajian psikologi cuba melihat sejauh mana semua bencana ini memberikan kesan psikologik kepada mangsa. Antara satu kesan yang selalu dilaporkan ialah gangguan stres pascatrauma atau post-traumatic stress disorder (PTSD). Ia tidak mengejutkan kerana antara tahun 2000 hingga 2009, banjir telah menjejaskan lebih 949 juta penduduk di seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, 900 juta daripadanya melibatkan mereka yang tinggal di negara-negara membangun. Apakah PTSD? Secara umumnya ia merupakan perasaan ketakutan atau kebimbangan yang menyelubungi hidup seseorang setelah ditimpa sesuatu bencana. Mangsa akan terus mengingati dan membayangi saat-saat buruk yang mereka hadapi. KEROSAKAN harta benda yang berlaku akibat banjir menyebabkan mangsa berada dalam keadaan trauma apabila memikirkan nasib mereka. Perasaan itu sesekali muncul dan hilang. Adakalanya, perasaan itu akan timbul kembali apabila minda mereka terangsang dengan sesuatu yang dilihat, didengar, dihidu atau dirasai. Mereka yang pernah menjadi mangsa penderaan, misalnya, mungkin akan terus berasa cemas apabila bertemu seseorang yang mempunyai persamaan dengan orang yang mendera mereka. Mereka yang mengalami trauma yang teruk akibat banjir pula mungkin akan merasa bimbang atau takut apabila melihat sungai atau mendengar bunyi guruh di langit. Kesan psikologi ini mungkin tidak mampu dibayangkan oleh mereka yang tidak terlibat dengan banjir. Kita hanya mungkin sekadar mampu melihat kerosakan harta benda atau kerugian yang bersifat fizikal. Hakikatnya, banjir juga memberikan kerosakan psikologi yang teruk. Bayangkan sekiranya seorang miskin yang telah melakukan tabungan bertahun-tahun untuk membina sebuah rumah atau membeli kenderaan dan tiba-tiba ia rosak dalam sekelip mata ekoran bencana banjir. Mereka ini mungkin akan mengalami trauma yang sangat teruk. Apatah lagi sekiranya banjir itu turut mengorbankan ahli keluarga mereka. Teori psikologi Dalam psikologi, keadaan ini cuba dijelaskan oleh satu teori yang dikenali sebagai Conservation of Resources Theory. Adalah dikatakan bahawa setiap orang mempunyai 'kolam' sokongannya sendiri. Misalnya, mereka yang tidak mempunyai kekayaan yang boleh dianggap sebagai 'sokongan' dalam kehidupan mereka akan mampu untuk terus bertahan sekiranya mempunyai kejayaan yang lain. Antaranya mempunyai anak-anak yang baik, sahabat yang memahami atau apa sahaja bentuk sokongan yang mampu menampung kekurangan dari sudut yang lain. Seseorang yang kehilangan pekerjaan, misalnya, akan terus mampu bertahan di atas kepercayaan bahawa mereka akan mendapat pekerjaan pada masa hadapan. Semua ini adalah persepsi yang menentukan sejauh mana seseorang itu mampu terus bertahan secara psikologikal dalam apa sahaja situasi. Berbalik kepada isu banjir, kesan psikologikal yang dialami oleh seseorang individu dengan individu lain adalah berbeza. Ia bergantung kepada sejauh mana besarnya 'kolam' sokongan yang mereka miliki. BANTUAN yang dihulurkan kepada mangsa bencana alam seperti banjir mampu memberikan kelegaan dan kegembiraan kepada mereka. Sebab itulah, selain daripada bantuan yang bersifat fizikal kepada mangsa banjir, sudah tiba masanya kita juga menyediakan satu mekanisme bantuan psikologi kepada mereka. Menempatkan ahli psikologi atau pakar kaunseling di setiap pusat pemindahan seperti yang biasanya dilakukan di negara-negara barat mungkin sewajarnya diamalkan di negara kita. Dengan cara ini, pakar-pakar ini boleh membantu menilai kesan psikologi yang dialami oleh mangsa bagi memberikan mereka rawatan susulan. Untuk nota, walaupun PTSD ini biasanya akan berkurangan dalam tempoh tiga bulan, bagaimanapun terdapat mangsa yang menanggung kesan trauma ini dalam tempoh yang lama. Mereka yang mengalami PTSD yang teruk biasanya akan dikaitkan dengan simptom psikologi lain seperti kemurungan, putus asa dan mengalami mimpi ngeri. Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah di samping mendoakan kesejahteraan mereka. Bantuan tidak semestinya bersifat wang ringgit atau harta benda semata-mata, sebaliknya bantuan psikologikal mungkin lebih diperlukan oleh mereka semua pada saat ini. Kepada semua pembaca yang sedang ditimpa musibah banjir, bersabar dan bertahanlah. Ia bukan sekadar ujian kepada anda sahaja, tetapi ia juga adalah dugaan untuk kita semua. | |
Posted: Didikan melalui lagu, tarianUITTENBOSCH (paling kiri) dan Ang (empat dari kiri) merakamkan gambar bersama kumpulan kanak-kanak terkenal, Hi-5 dalam pelancaran kempen Give Me 5!. MEMUJUK anak-anak untuk mengambil makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran adalah satu cabaran buat mereka yang bergelar ibu bapa. Seperti yang dipaparkan dalam beberapa iklan di media massa, ibu bapa terpaksa menari, melakukan aksi adiwira dan menghias hidangan dengan lebih kreatif semata-mata untuk menarik perhatian dan membuka selera anak-anak mereka. Membantu ibu bapa memujuk anak-anak mengambil makanan seimbang, jenama susu Dumex Mamil melancarkan kempen Give Me 5! Menurut Pengarah Urusan Danone Dumex (M) Sdn. Bhd., Connie Ang, kempen tersebut hasil kolaborasi bersama kumpulan muzikal kanak-kanak yang terkenal dari Australia, Hi-5. "Menyasarkan pemakanan seimbang bagi kanak-kanak, kempen ini menampilkan lagu-lagu dan tarian dalam bentuk video pendidikan oleh kumpulan Hi-5. "Dengan aplikasi digital yang menarik, kumpulan ini akan berkomunikasi dan menceritakan tentang lima kumpulan utama makanan. Antaranya karbohidrat, protein, produk tenusu, buah-buahan dan sayur-sayuran," jelasnya. Tambah Ang, Hi-5 merupakan kumpulan paling ideal dalam kempen tersebut dan percaya mereka dapat melakukan pemujukan yang berkesan. "Hi-5 sangat popular di televisyen dan sentiasa menyelitkan mesej-mesej positif dalam program mereka. "Jadi, dengan penampilan kumpulan tersebut dalam kempen ini, kami percaya kanak-kanak akan turut serta dalam menyanyikan lagu Give Me 5!, sekali gus mendidik mereka tentang amalan pemakanan sihat," jelasnya. Mengulas lanjut mengenai inisiatif tersebut, Ang memaklumkan, kajian pemakanan pada tahun 2012 mendedahkan kebanyakan kanak-kanak Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat. "Kanak-kanak negara ini kurang mengambil vitamin A, D dan kalsium, tetapi mengambil protein serta lemak yang banyak. Ini satu fenomena yang membimbangkan kerana ia secara langsung berkaitan dengan kualiti tumbesaran mereka. "Sebagai salah satu syarikat pengeluar susu utama, kami komited dalam melaksanakan usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan makanan seimbang. Kali ini dengan bantuan Hi-5," katanya. Sementara itu, Pengurus Pemasarannya, Christiaan Uittenbosch berkata, selain kempen Give Me 5! pengeluar susu tepung kanak-kanak itu juga akan terus menjalankan kerjasama dengan Hi-5 untuk pelbagai aktiviti pada tahun hadapan "Dengan cara ini, kami dapat mendekati lebih ramai kanak-kanak dan mendidik mereka dari awal tentang amalan gaya hidup sihat," katanya. Tiket eksklusif Mengulas lanjut mengenai kempen tersebut, Uittenbosch berkata, selain pendidikan menerusi lagu dan tarian oleh Hi-5, kempen ini turut menawarkan tiket eksklusif percuma konsert kumpulan itu. "Bermula dari Oktober hingga hujung November lalu, kami telah mengadakan peraduan menjawab soalan mudah menerusi SMS. Orang ramai boleh menyertai peraduan itu dengan setiap pembelian Dumex Mamil All'n One seberat 500 atau 900 gram. "Sebanyak 180 tiket eksklusif pembukaan persembahan Hi-5 House Party bernilai RM200 diberikan kepada pemenang bertuah pada setiap minggu. "Konsert yang dibawakan oleh Mamil All'n One akan berlangsung pada 27 Disember 2013 di Pentas Seni Kuala Lumpur," katanya. Menyemarakkan lagi kempen Give Me 5!, lima kanak-kanak bertuah berpeluang menyanyi bersama-sama barisan idola mereka di atas pentas. - DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |